Saya gemar membaca, buku yang saya baca kebanyakannya bersifat non-fiksyen, amali dan realiti. Saya kurang berminat untuk membaca novel-novel perihal perasaan dan hati kerana saya tidak memberi kepentingan yang berat pada perasaan, apa yang penting adalah fakta yang praktikal. Tetapi sampai satu ketika, saya merasakan pandangan ini silap. Novel boleh mengajar banyak perkara perihal kemanusiaan kepada manusia. Walaupun ia adalah cebisan imaginasi penulis, tetapi tentulah penulis sendiri menulis dari getusan hatinya, jadi ia tetap tidak dapat lari dari sifat-sifat kemanusiaan. Melainkan kita ada novel yang seratus peratus ditulis komputer menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Antara novel-novel yang saya minati adalah tulisan Khaled Hosseini, karyawan dari Amerika yang lahir di Afghanistan. Terutamanya karya beliau The Kite Runner dan A Thousand Splendid Suns. Ia mengangkat nilai-nilai kekeluargaan dan kemanusiaan. Dari perspektif ibubapa, novel ini memberi satu kesan tentang bagaimana kita melihat anak-anak dibawah didikan kita. Mereka bukanlah sekadar manusia kecil yang perlu diurus, didisiplinkan, dan dilengkapkan dengan pelbagai informasi. Tetapi mereka punya perasaan, sifat-sifat manusia yang perlu diraikan oleh ibu bapa.
Saya teringat satu teguran baru-baru ini yang tular di Facebook berkenaan dengan manusia yang suka membaca ini kadangkala menjadi "manusia buku", dia gagal memahami sifat kemanusiaan yang kompleks dengan emosi dan perasaan. Segalanya perlu mengikiut buku, dia menjadi "book wise" tetapi tidak "street wise". Walaupun kritik itu bagus, saya kira kesimpulannya bukanlah kita perlu kurangkan pembacaan, tetapi kita perlu juga kayakan pembacaan berkenaan ragam manusia, karya-karya yang mencemaskan perasaan, menimbulkan kesedihan, mengelegakkan kemarahan, bukan hanya karya perihal fakta-fakta yang kering dari sebarang unsur kemanusiaan. Saya berpendapat kita boleh menjadi "street wise" dengan bersosial dengan masyarakat tanpa perlu "mengorbankan" pembacaan.
Saya minat kata-kata dalam buku tulisan Jamie Glowacki bahawa sebanyak manapun buku-buku "pakar" yang kita baca, apabila menguruskan anak kita sendiri, tiada yang lebih "pakar" berbanding kita sendiri. Kerana kitalah yang duduk 24 jam dengan mereka, kita yang main dengan mereka, makan dengan mereka, mandi dan tidur dengan mereka. Jadi jika nasihat "pakar" tidak berkesan, jangan kita terlalu rigid, sebaliknya timbangkan cara-cara lain yang berkesan dengan anak kita.
Pengalaman saya membesarkan anak, 2 tahun pertama biasanya merupakan tahun-tahun yang membahagiakan, kerana kita belum masuk ke dalam fasa mendisplinkan anak. Mereka ketika ini masih belum boleh membina ayat untuk bertutur dalam menyampaikan kehendak-kehendak mereka. Selepas tahun ini berakhir, kita mula memasuki fasa kita sering memarahi anak. Dalam fasa ini kita perlu sentiasa ingat bahawa mereka adalah manusia yang mempunyai perasaan, walaupun kita mungkin dapat apa yang kita mahu mereka lakukan dengan memarahi mereka, kita perlu ingat akan sampai satu masa kemarahan kita tidak lagi akan memberi kesan kepada mereka. Disini perlunya penerangan dan pendidikan.
Jangan salah sangka, saya berpendapat "marah" ada tempatnya dalam pendidikan. Sekiranya anak itu tidak pernah dimarahi dari kecil hingga dewasa mungkin dia tidak akan berjaya memahami apa itu baik dan buruk, mereka juga tidak dapat faham sifat-sifat manusia yang kompleks, atau mungkin dia merasakan dia boleh berbuat apa sahaja sesuka hatinya. Namun, marah itu perlu digunakan dengan berhati-hati, jangan sampai kasih sayang terpadam. Marah harus segera diikuti dengan kemaafan dan penerangan. Dan ibubapa juga perlu berani meminta maaf pada anak-anak mereka jika mereka terlebih marah, atau marah kerana nafsu dan ke-ego-an.
Seorang ayah itu, ego-nya lebih tebal dari seorang ibu. Ibu sifatnya lebih tebal dengan kasih sayang, selalu membenarkan diri terluka untuk melihat anak dan suami bahagia. Namun saya kira, setebal manapun ego seorang bapa, selepas memarahi anaknya pasti tebit rasa kekesalan, walau sebesar zarah, pasti timbul rasa kasihan apabila melihat anaknya menangis kesedihan. Walaupun kadangkala egonya mengatasi zarah-zarah tersebut. Maka perlulah seorang bapa itu selalu bertanya pada hatinya, untuk apa ego itu? Wajarkah ia diberi kemenangan dengan mengorbankan kasih-sayang diantaranya dan anak-anak?
Mendidik anak itu satu seni yang sukar, tiada satu formula yang sesuai untuk semua anak-anak. Pasti ada kelainan, pasti ada perubahan terhadap cara untuk menghadapi anak-anak yang berbeza. Membentuk manusia ini tidak semudah membentuk tepung yang sudah diuli, kerana manusia itu kompleks dengan emosi dan perasaan. Maka ibu bapa perlu mencari jalan yang seimbang, menanam disiplin dalam masa yang sama menyiram dan memastikan kasih-sayang terus subur. Terlebih marah, anak akan merasakan seolah dia hidup dalam keluarga diktator tanpa kasih sayang, terlebih sayang menjadikan mereka manusia yang hidup tanpa menghiraukan perasaan orang lain. Jalan sederhana ini juga tidak dijamin mudah dan selesa, ia dijamin penuh dengan dugaan dan airmata. Namun hasilnya, insha'Allah, bahagia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan