Jumaat, 13 Januari 2017

Catatan Baitul Muslim 13



"Kadang-kadang seorang suami bukan lah seorang yang kaya. Namun apabila ada keperluan dan keinginan isteri dan anak-anak dia akan cuba tunaikan. Walaupun mungkin di pejabat dia terpaksa menolak pelawaan rakan-rakan untuk makan di restoran luar. Kerana dia sedar itu tanggungjawabnya."

"Sering kali orang tidak nampak pengorbanan seorang ayah. Apa yang orang nampak adalah seorang lelaki yang tidak pulang ke rumah beberapa hari. Pengorbanan seorang ibu mungkin lebih mudah dilihat, mudah ditafsir tanpa perlu berfikir panjang."

Begitu monolog ku beberapa hari di pejabat akhir-akhir ini. Aku sendiri tidak pasti apa yang membuatkan ku berfikiran sedemikian. Jika hendak dibandingkan dengan ramai orang lain rasanya aku masih bertuah. Mempunyai badan yang sihat, dapat berkerja, punyai isteri dan anak yang sihat. Cukup makan dan pakai, tidur masih beratap. Cuma mungkin kebelakangan ini aku kerap memerhati buruh-buruh yang bekerja dibawah terik mentari di sekitar pejabat, berapa banyak peluh yang mereka titiskan untuk memastikan ada nasi untuk disuap kedalam mulut anak-anak mereka.

Anak ku kini sudah berumur hampir 14 bulan. Dahulu hanya minum susu kini sudah boleh mengunyah goreng pisang. Dahulu hanya boleh bergolek kini sudah boleh berlari memanjat tangga. Sedikit sebanyak sudah boleh memahami arahan-arahan mudah. Mulut juga sudah mengeluarkan bunyi seolah-olah menyebut sesuatu perkataan.

Aku sedang membaca sebuah buku, bertajuk 'Tuesdays With Morrie' yang mengisahkan pengalaman seorang professor, Morrie yang menghayati saat-saat akhir dalam kehidupannya dengan berbicara bersama bekas pelajarnya berkenaan dengan apa yang penting dalam kehidupan. Apabila berbicara berkenaan dengan keluarga, Morrie mengungkapkan bahawa pengalaman membesarkan anak-anak merupakan antara pengalaman yang paling berharga dalam hidupnya.

Kehidupan moden sering menolak kita untuk mengejar perkara material. Gaji yang lebih besar, rumah yang lebih tingkat, kereta yang lebih laju, untuk itu kita melihat ramai yang tidak berkahwin dan menumpukan hidup mereka pada kerja. Masyarakat moden mempunyai keluarga yang kecil. Anak-anak dilihat sebagai penghalang kerjaya kepada ibu bapa. Bagi Morrie, ini adalah kehidupan yang salah, diakhirnya mereka akan sedar segala material yang dikejar tidak dapat mengisi kekosongan hidup mereka. Mereka akan menghabiskan sisa-sia hari tua mereka bersendirian, dan dalam kesedihan.

Ya, membesarkan anak merupakan satu kerja yang sukar. Sering kali ketika tiba giliranku menjaga anak sendirian, akan ku pastikan dia dimandikan, disuap sarapan diteman bermain dan menonton siri video belajar bahasa inggeris. Apabila dia tidur ditengah hari, barulah tiba giliranku untuk mandi dan makan. Suatu hari segala kesusahan ini akan berlalu, apa yang tinggal adalah anak-anak yang telah dewasa. Setiap perkara yang baik memerlukan kesabaran. "Good things come to those who wait."

Sering kali apabila melihat anak kecil tersenyum, atau apabila mereka mendepakan tangan untuk didukung, segala penat lelah hilang dari ingatan. Apabila anak kecil meletakkan pipinya di tangan kita kemudian terlelap, kita merasa bahagia. Melihat wajah anak kecil tidur, kita merasa aman.

2 ulasan:

Mel berkata...

Aku rasa kehidupan aku dengan kau tak jauh beza pun. Masih lagi rutin yang sama bila weekend stuck dekat rumah untuk babysit. Life yang dulu terus berubah 360 degree. Kadang-kadang aku pernah terfikir, dengan usia 27 sekarang banyak lagi benda yang aku nak buat yang belum lagi tercapai disebabkan komitmen keluarga, kekangan masa etc.

Aku imagine : bangun pagi esok, life aku reset macam 5 tahun lepas. Aku bayangkan benda-benda yang aku nak buat, benda baru yang aku nak cuba. Tapi satu benda yang aku lose is the family yang aku ada sekarang. Are you ready to trade them with all the things you want to do & your dream? no I don't think so.

Aku percaya setiap life manusia ni akan ada win and lose. Contoh paling senang adalah life aku masa baru kahwin. Sederhana, tak mampu honeymoon, kadang-kadang baru seminggu awal bulan duit dalam bank dah tinggal cukup-cukup, cuti weekend hanya mampu duduk rumah tengok movie download, tapi happy. Tuhan twist sikit life aku jadi lagi stable, mampu itu ini tapi tak mampu pula dari segi masa dan komitmen yang makin banyak. Tak ada life yang sempurna tapi tak bermaksud tak boleh happy.



Syed Ahmad Fathi berkata...

Thanks chief. Kita yang memilih untuk gembira atau tidak.