Jumaat, 4 Ogos 2023

Catatan MTP Ke-34


Setelah beberapa tahun tidak bertemu mata dengan sahabat-sahabat, akhirnya pada tahun ini saya dapat menghadiri MTP yang diadakan di Bangi Avenue Convention Center. Secara peribadi, saya tidaklah begitu tertarik dengan hal-hal perihal urusan mesyuarat dan sebagainya. Tetapi apa yang lebih dinantikan adalah pengisian-pengisian jiwa serta bertemu sapa dengan sahabat-sahabat dari seluruh negara. Ternyata MTP kali ini sememangnya mengesankan jiwa bukan sahaja dengan pengisian-pengisian formalnya, tetapi juga dengan perbincangan dan sembang santai dalam lapis-lapis yang terselit sepanjang program.

Antara insan istimewa yang saya temui kali ini adalah Dr. Khairul Anwar, yang merupakan guru saya di UTM pada satu ketika dahulu. Berbual dengan Dr. Khairul sememangnya mengasyikkan, hingga semua orang sudah meninggalkan dewan, kami masih berbual. Antara topik menarik yang kami bualkan adalah perihal bagaimana penyampaian ustaz-ustaz, termasuklah Almarhum Cikgu Abdullah Thaidi yang baru meninggal dunia mempunyai lapis-lapis perasaan. Ini membezakan penyampaian mereka dengan orang lain, dan lapisan ini berjaya menyentuh hati manusia. Lapisan-lapisan perasaan yang ada dalam penyampaian ustaz-ustaz ini tidak dapat ditangkap melalui penulisan. Ini adalah kelebihan memberi penyampaian dalam bentuk oratori, yang tidak dapat diungkapkan melalui kaedah tulisan.

Kami juga berbual perihal apa yang menyebabkan seseorang itu mengikuti gerakan Islam, bagi Dr. Khairul beliau lebih terpengaruh dengan kekuatan pemikiran yang disampaikan. Bukan bergantung pada sosok atau figura. Bagi beliau ini penting, kerana kepimpinan berubah dan berlalu pergi, jika kita melekatkan hati kita pada figura, kita akan berpecah sekiranya berlaku perubahan kepimpinan. Sebaliknya jika kita bersama atas dasar kefahaman, perubahan figura akan dirasakan sebagai sesuatu yang biasa, dan ia tidak menjejaskan penglibatan kita.

Tetamu yang diundang pada perhimpunan kali ini adalah Prof. Muhammad Nur Manuty, walau pun beliau tidak berapa sihat dan sering berbatuk semasa penyampaian, saya kira penyampaiannya sangat tegas dan bermakna. Beliau menekankan bahawa selain dakwah dan tarbiyah, aspek ilmu tidak boleh dikesampingkan. Beliau memetik kata-kata Almarhum Yusuf Qardhawi bahawa kita perlu "mengheningkan kebangkitan Islam dengan ilmu". Juga antara kalam beliau yang menarik adalah ulasan dari kata-kata Saidina Ali "akhul fiddeen, akhul fil watan, akhul fil insan". Yakni penting untuk kita menjaga persaudaraan kita sesama manusia, bukan sahaja persaudaraan atas nama agama dan negara. Jika kita dapat menggerakkan konsep akhul fil insan, beliau berpandangan bahawa Malaysia mampu menjadi Andalusia baru.

Akhir sekali, yang dinantikan pastilah amanat dan pesanan presiden. Tema perhimpunan kali ini adalah kepimpinan, oleh itu Dr. Abdullah Sudin menekankan aspek kepimpinan sebagai sebuah khidmat kita kepada masyarakat. Masyarakat hendaklah merasai khidmat kita. Jika kita tiada atau mati, masyarakat mestilah merasai kehilangan, itu adalah tanda bahawa khidmat kita berkesan, iaitu kehilangan kita dirasai. Jika aspek ini difahami, kepimpinan tidak akan direbut dan menjadi seperti satu perlumbaan. Masing-masing mahu berebut jawatan. Tetapi apa yang diperlukan adalah masing-masing memberi khidmat kepada masyarakat. Jika ini difahami, maka semua orang mampu menjadi pemimpin kerana kita semua mampu berkhidmat.

Begitulah sedikit sebanyak catatan yang saya rasa berharga untuk dinotakan di blog usang ini. Sekadar menyambung lidah untuk menyebarkan kebaikan. Moga Allah izinkan lagi saya untuk menyambung ukhuwwah bertemu sahabat-sahabat di masa yang akan datang. Dan dalam kesempatan yang singkat dan sedikit itu, mampu saya kutip sedikit mutiara-mutiara hikmah.

Tiada ulasan: