Benar, saya rasakan benar. Bahawa sebenarnya tiada yang dapat menyediakan kita dengan cabaran untuk membesarkan anak-anak. Tidak buku, tidak kelas, tidak juga penyampaian atau ceramah. Bukanlah semua itu tidak bermakna dan sia-sia, tetapi ia tidak akan pernah cukup. Kita akan merasai cabaran yang sebenar hanya apabila kita sudah mempunyai anak-anak sendiri. Seperti kita hanya akan faham akan kesakitan ditumbuk apabila tumbukan itu singgah di muka kita. Kita hanya akan memahami realiti apabila realiti berada di depan kita dan ia merenung tepat pada anak mata kita.
Dan saya kira walaupun ilmu dan teori itu ada manfaatnya, kita tidak boleh berpegang dengannya dengan jumud atau dogmatik. Jika sesuatu teori itu tidak berjaya menatijahkan keputusan yang baik di alam realiti, kita harus segera meninggalkannya dan mencuba kaedah-kaedah yang lain. Masa dan suasana berubah, realiti kehidupan berubah, aplikasi teori juga perlu berubah, kita tidak boleh mencedok sesuatu pada zaman dahulu dan mengaplikasikannya pada zaman ini tanpa mengambil kira perubahan yang ada.
Antara perkara yang saya rasakan perlu dititik beratkan dalam diri anak-anak adalah merasai tanggungjawab. Contohnya apabila anak-anak mula bersekolah, kita mungkin perlu mengerah dan membantunya melakukan kerja rumah pada setiap malam. Namun kita perlu mempunyai strategi untuknya perlahan-lahan melakukan kerja ini sendiri, dan dibantu hanya apabila perlu, contohnya apabila dia buntu. Anak-anak perlu dilatih merasakan kerja-kerja ini adalah tanggungjawab mereka, bukan tanggungjawab ibu bapa. Sampai ke satu tahap, apabila telah disuruh dan anak itu gagal melakukan kerja sekolahnya, perlu diberi ruang agar anak tersebut tidak siap kerjanya dan dimarahi guru pada keesokan hari di sekolah. Bagi saya ini adalah proses pembelajaran.
Anak-anak bukan sahaja belajar menyiapkan kerja sekolah, dia juga diajar untuk bertanggungjawab sekiranya kerja itu tidak dapat dilunaskan. Dengan ini perlahan-lahan, kita dapat melepaskan anak-anak itu melakukan kerjanya sendiri. Jika rasa tanggungjawab ini tidak kita bina, bayangkan jika kita mempunyai lebih dari satu anak. Mampukah kita membantu mereka semuanya setiap malam? Pasti tidak.
Menjadi seorang ayah, saya juga menyedari bahawa sebenarnya kita merupakan pengenalan kepada anak-anak dalam banyak perkara. Saya sendiri sebagai seorang anak, teringat bahawa banyak perkara yang saya dapat dalam hidup hari ini merupakan sesuatu yang diperkenalkan kepada saya oleh arwah ayah saya. Makan buah-buahan sebagai contoh, teringat akan pasar pagi Ahad di Greenwood, arwah ayah selalu membawa saya mengikutinya, dan dia suka membeli buah di pasar pagi. Saya kira, hari ini, saya suka makan buah-buahan kerana pengenalan dari ayah. Buah-buahan mengingatkan saya kepada memori ini.
Begitu juga anak-anak kita. Kita merupakan pengenalan pada mereka. Jika kita memperkenalkan buah rambutan misalnya, dia mungkin akan menggemarinya sehingga ke tua, dia akan mempunyai memori awal perihalnya. Namun, tentulah tidak semua yang kita perkenalkan akan menjadi kegemaran mereka. Contoh lain adalah persekitaran. Kita yang memperkenalkan anak-anak pada peringkat awal pada persekitarannya. Misalnya jika kita rajin membawa anak setiap petang bermain di luar rumah, mereka akan menjadi anak-anak yang suka bermain di luar dan mempunyai banyak kenangan perihalnya. Begitu juga sebaliknya.
Saya teringat akan perbualan saya dengan Hazri, teman saya satu ketika dahulu. Beliau menceritakan bagaimana isterinya mahu berpindah rumah. Kerana baginya suasana di kawasan perumahannya ketika itu tidak kondusif untuk pembesaran anak-anak. Kebanyakan anak-anak di sekeliling rumah mereka tidak bersekolah dan terbiar. Suasana ini dibimbangi akan mempengaruhi pembesaran anak mereka. Saya bersetuju dengan pemikiran isterinya, memang suasana sekeliling sangat penting. Siapa yang menjadi kawan anak-anak kita akan mencorakkan pemikiran awal mereka. Kawan-kawan mereka di usia formatif mempunyai pengaruh rakan sebaya yang kuat. Jadi ini memerlukan intervensi dan pantauan dari ibu bapa.
Jika anak-anak kita sudah mempunyai kawan, tidaklah bererti kita sudah terlambat. Kita sebenarnya masih mempunyai peluang mempengaruhinya. Antara caranya adalah dekati kawan anak-anak kita. Kenal pasti kawan-kawan baiknya dan pastikan kawan-kawan baiknya ini juga dekat dengan kita. Kita boleh mengambil hati mereka dengan memberi hadiah kepada mereka. Apabila kawan-kawan baiknya sudah kita tawan, kita boleh mempengaruhinya dengan perantaraan kawan baiknya tadi. Namun, walaupun secara teorinya hal ini dapat dilakukan, mempraktikkannya di alam realiti tidaklah semudah teori. Namun, apa pun yang terjadi, hendaklah kita sedar bahawa segalanya sebenarnya belum terlambat. Selagi hayat dikandung badan, kita masih merupakan ibu dan bapa, dan kita tidak pernah gagal selagi kita tidak berhenti mencuba.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan