Gambar saya pada tahun 2003 di MATRI semasa tingkatan satu. |
Walaupun infrastrukturnya berubah, begitu juga orang-orang yang mewarnai sekolah ini telah berubah, saya merasakan ruhnya masih ada, masih segar jika kita memberinya peluang, jika kita mahu kembali memeluk rindu, MATRI sentiasa membuka dakapannya untuk semua anak-anaknya, siapa pun mereka hari ini. Tentulah saya merindui guru-guru dan teman-teman sepermainan saya dahulu di sini. Sebahagian dari guru-guru saya, ramai yang sudah tiada. Saya doakan Allah merahmati guru dan murobbi saya yang telah pergi mendahului saya. Moga Allah merahmati Cikgu Desa Senawi, Teacher Basimah, Teacher Embun, Cikgu Bakar, Cikgu Yahya Ismail, Cikgu Zainuddin, Ummi Halimaton, Ustaz Dahlan Mohd Zain dan lain-lain. Terasa begitu sekejap Allah pinjamkan mereka untuk bersama saya.
Hari ini saya hadir atas dasar kerinduan kepada suasana tarbiyah di sini. Saya dilahir dan dibesarkan di ibu kota di Kuala Lumpur. Pertama kali ditinggalkan oleh ibu dan ayah di kampung dalam kebun getah di Perlis ini 20 tahun yang lalu, saya masih ingat saya selalu termenung. Tidak seperti banyak kawan-kawan saya yang selalu menangis rindu mahu balik rumah. Saya selalu termenung dan berfikir "apa yang akan aku buat dan lalui di kampung kebun getah ini". Ternyata, keputusan ibu dan ayah ini meninggalkan kesan yang begitu besar dalam diri anak kecil ini. Setelah 20 tahun, saya merasakan pengalaman bersekolah di sini sangat berharga dan tidak dapat ditukar ganti.
Walaupun tidak ramai sahabat-sahabat sepermainan saya yang dapat hadir, saya memahaminya. Anak-anak MATRI yang keluar sudah ada hidupnya yang sendiri. Mereka bukan lagi anak-anak kecil yang pakai baju dua lapis dengan baju hijau raihan di luar. Mereka sudah beranak pinak, sudah menjadi orang-orang besar dalam masyarakat, sibuk dengan aktiviti harian kehidupan. Untuk memberi sedikit masa, sehari dua untuk kembali ke sekolah tua ini terasa begitu sukar. Apalah lagi yang ada di sekolah tua dan usang ini untuk mereka. Tapi saya positif, saya merasakan pasti dalam setiap hati mereka tersisa sedikit rindu, dan jika ada usaha-usaha untuk memercikkan dan menggali semula kerinduan itu, satu hari nanti mereka akan pulang juga. Pulang ke sekolah tua ini untuk seketika.
Antara kebahagian saya pulang ke sekolah di dalam kebun getah ini adalah bertemu semula dengan murobbi saya, Ustaz Abdul Hadi Osman. Dahulu semasa tingkatan satu di Dorm Huffaz, pagi-pagi biasanya akan kelihatan ustaz mengayuh basikal sambil tersenyum berpesan kepada kami untuk mengulang hafazan. Selepas subuh biasanya ustaz akan memberi tazkirah pendek. Antara kata-kata ustaz yang saya masih ingat sehingga ke hari ini adalah "jangan kita padamkan masa depan akhirat anak-anak kita". Bagi ustaz itulah sebabnya ibu dan ayah menghantar anak-anak ke MATRI.
Di Wacana Persatuan Lepasan MATRI, ustaz kelihatan gembira dapat bertemu dan bercakap dengan anak-anaknya yang kini sudah keluar dari sekolah. Kata ustaz seronok dapat bercakap, walaupun kepala tak berapa nak betul disebabkan makan ubat yang kesannya sedikit kuat. Kami melihat ustaz gembira menjadi lebih gembira. Antara pesanan ustaz adalah untuk anak-anak MATRI adalah agar mereka menghargai peluang hidup, perlu terus belajar dan menuntut ilmu. Ustaz berpesan bahawa jangan disebabkan kita miskin, kita berhenti menuntut ilmu. Bagi saya pesan-pesan ini sangat berharga, sangat dekat dan membekas di hati. Sangat menggembirakan dapat mendengar nasihat setelah 20 tahun berlalu. Ustaz menceritakan kisahnya semasa zaman belajar, hidup miskin, mengail ikan untuk makan, tapi tidak mematahkan semangatnya untuk belajar. Ustaz sangat suka membaca buku, peluang dapat membaca buku digunakan sebaiknya disebabkan keadaan tidak berduit menyebabkan dirinya sukar membeli buku. Tapi alhamdulillah, ustaz belajar jauh. Sampai diberi rezeki oleh Allah untuk makan nasi di rumah Sheikh Yusuf Qaradhawi.
Ustaz juga berpesan bahawa anak-anak MATRI perlu menjadi insan yang barr'un (baik). Mesti baik dalam segala aspek. Baik dari segi makanan, pakaian, dan keterampilan. Baik kepada ibu bapa, anak isteri, guru, dan sahabat. Juga baik dari segi akhlak, pendidikan juga sumbangan pada masyarakat. Tetapi baik sahaja tidak mencukupi, perlu juga menjadi orang yang taqiyyun, bertakwa kepada Allah. Kebaikan yang dilakukan perlulah dihubungkan dengan Allah. Perlu menjaga aspek-aspek Islam dan syariat. Mungkin pesanan ustaz yang paling berbekas di hati adalah "jangan putuskan hubungan dengan kawan-kawan MATRI". Anak-anak MATRI yang keluar ini pelbagai sifat dan jenisnya. Bagi ustaz kita perlu sentiasa meraikan sahabat dan teman, berkawan dan berlapang dada. Mengeratkan kembali ukhuwah, kerana tanpa ada jalinan dan kasih sayang hati, kita tidak mampu menjadi satu kesatuan untuk memberi kebaikan pada masyarakat.
Pesanan-pesanan ustaz ini memang masuk meresap ke dalam hati saya sebagai anak kecil, saya masih lagi menganggap saya adalah pelajar di MATRI ini, datang untuk menuntut ilmu dan hikmah. Banyak lagi sebenarnya perasaan-perasaan yang hendak ditintakan, cinta yang ingin diluahkan. Rindu dan nostalgia ini sememangnya manis, akan saya kenang sehingga mati. Namun jika berpeluang, ingin saya ulangi beribu-ribu kali lagi jaulah singkat seperti ini. Kembali mengubat jiwa, membasuh hati dengan siraman air rindu. Terima kasih diucapkan kepada sahabat-sahibah Persatuan Lepasan Matri (PLM) yang menganjurkan program wacana pada kali ini. Moga Allah beri rezeki lagi pada kita untuk bertemu di masa hadapan, jika tidak, saya berdoa Allah menemukan kita semula di syurga nanti.
Musolla MATRI, Perlis.
23 Julai 2023.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan