Sabtu, 26 September 2026

Mengapa Saya Mempertahankan Saudara Rohingya?

Apabila saya memilih untuk mempertahankan saudara Muslim Rohingya, saya sedar benar jalannya susah, panjang, dan akan dipenuhi cacian, makian, dan ugutan. Saya sudah berfikir panjang dan dalam. Ada kawan-kawan dan keluarga yang sayang pada saya, yang tak sanggup melihat saya dimaki setiap hari. Tapi saya tutup mata dan kata pada mereka, saya yang memilih jalan ini.

Saya tak pernah rasa saya berani atau hero. Saya hanya merasakan bahawa saya melakukan apa yang wajib, iaitu melindungi saudara seakidah saya. Sejak dari awal saya sedar, kempen kebencian dan rasisme ke atas saudara Rohingya ini akan bertukar ganas dan dahsyat, mereka adalah kaum mustad’afin yang tertindas. Tiada negara, tiada siapa yang akan mempertahankan mereka. Mereka dihina, dicaci, difitnah, ditengking, ditangkap, dipukul, dirakam, dimalukan tapi mereka tidak boleh melawan dan mempertahankan diri. Tiada siapa berani membela mereka. Tiada siapa mahu mendengar suara mereka, kisah mereka, dan sudut pandang mereka. Tiada siapa berani membela mereka kerana takut digelar barua, pengkhianat dan terma-terma celaan kosong yang lain.

Ahli agama, NGO Islam, tokoh masyarakat, semuanya tidak berani bersuara. Mereka melihat sahaja golongan gengster, badut, dan penyamun mengembala pemikiran masyarakat masuk ke lembah rasisme yang penuh kehinaan. Maka saya fikir saya perlu buka jalan, agar denai kritikan itu dibuka, sedikit demi sedikit mengumpul suara-suara yang sudi membela saudara kita. Sampai denai itu menjadi arus, yang akhirnya dapat mengalahkan naratif rasisme dan kebencian. 

Saya tiada reputasi untuk dilindungi. Saya tidak kisah jika jemputan acara dibatalkan. Saya tak kisah kalau rumah penerbitan tidak mahu terbitkan buku saya. Saya tak kisah hilang kawan. Kerana bagi saya al-haq itu apa yang dikata oleh Allah dan Rasul, al-haq itu bukan ditentukan oleh sentimen atau komen netizen. 

Tapi dalam masa yang sama saya bersyukur kerana memilih jalan ini. Saya jumpa kawan baru. Saya dapat peluang-peluang baru. Saya jumpa platform baru untuk berbakti. Allah maha adil, dia akan buka jalan jika kita ikhlas.

Saya hanya mahu saudara Rohingya saya dilayan seperti manusia. Saya mahu anak-anak mereka dibenarkan menuntut ilmu menjadi generasi Islam yang cerdas, dan mereka dapat membangunkan semula bangsa dan negara mereka. Supaya bila negara mereka kembali aman, kita mampu pulangkan mereka sebagai generasi Islam yang baru, yang berpendidikan, yang maju, yang hebat. Mereka akan mampu menyumbang untuk kita bersama membina kembali bangunan tamadun Islam yang indah.

Pastilah perjuangan memerlukan bahan bakarnya. Jika kita beriman benar, maka kita akan sentiasa bersedia membayar harganya. Cacian, makian dan ugutan tidak akan melemahkan kita. Kita juga tidak berharap pada terima kasih. Kerana bak kata Macklemore “la shukran ala wajeb”.

Tiada ulasan: