Ahad, 10 Mei 2020

Mengenang Abu Asri bin Zailani



Orang kata semakin kita berusia, semakin sedikit kita akan mempunyai kawan baharu. Oleh itu seharusnya kita sentiasa menjaga jalinan yang kita ada dengan sahabat-sahabat yang kita ada. Saya kadangkala, jika teringat pada seseorang sahabat, cepat-cepat saya akan mesej atau talifon, sehingga kadang mereka berasa pelik, mungkin takut saya cuba mempromosikan produk jualan. Bagi saya ia adalah peluang untuk bertanya khabar, bertegur sapa, dan mungkin itu adalah sapaan terakhir. Membelek-belek blog usang saya ini, baru saya sedari saya belum pernah menceritakan pada dunia tentang kisah seorang sahabat yang sangat dekat dengan hati saya namun dia telah pergi jauh, tidak dapat dicapai lagi oleh tangan manusiawi, sudah tidak boleh disapa dan dicanda-candakan. Kata Imam Ghazali "yang paling jauh adalah masa lalu", kini Abu berada sangat jauh dari diri ini, namun senantiasa dia dipeluk oleh ukhuwwah di dalam hati ini. Bulan Ramadhan ini, merupakan bulan yang mulia, moga sedikit coretan ini mengingatkan kembali beberapa manusia yang masih ada di muka bumi perihal seorang manusia yang bernama Abu Asri bin Zailani, dan harapannya sudilah mereka mengirim doa kepadanya yang kini sudah menetap di kampung abadi.

Abu bagi saya lebih dalam hubungannya untuk diungkapkan dengan perkataan "sahabat", kami bermain dan membesar bersama di sebuah kampung tarbawi di hujung utara Malaysia. Kampung yang dilitupi ladang getah dan diteduhkan oleh bukit kecil bernama Bukit Tunjung itu menjadi tempat kami berkenalan, berjumpa, bersahabat, hinggalah tercipta talian darah ukhuwwah antara kami. Walaupun tidak sekelas, kami sangat akrab, saya sejak dari awal lagi memang suka bersahabat dengan teman di kelas sebelah, jika rehat pun saya akan duduk di kelas sebelah, sesi prep sebelah malam pun saya akan berada di kelas sebelah, malah jika "tuang" perhimpunan pun saya biasanya akan menyorok di kelas sebelah. Mungkin jiwa saya tidak begitu mendakap dengan idea bahawa saya adalah "budak kelas sains" atau mungkin sebab kelas sebelah mempunyai stok majalah Kreko, Utopia, majalah dan komik Gempak Starz, juga novel-novel Ramlee Awang Murshid yang mencukupi untuk dibelek, yang merupakan "barang-barang seludup" di zaman persekolahan.

Abu merupakan teman se-talam saya di asrama. Makanan merupakan komoditi yang sangat berharga di asrama, oleh sebab itu biasanya pelajar junior akan menyorokkan biskut-biskut mereka di laci-laci rahsia di dalam locker asrama. Antara keseronokan teman setalam bersama Abu adalah kerana dia mempunyai sebuah cecair hitam ajaib yang mampu menjadikan apa-apa menu yang disediakan oleh medan makan menjadi begitu menyelerakan, hatta ikan termenung pun boleh jadi begitu sedap, cecair ini dinamakan "sambal kicap Johor". Selama saya hidup, tidak pernah lagi saya makan sambal kicap sesedap sambal kicap Johor yang dibawa oleh Abu ke asrama yang dikirim oleh bundanya yang tersayang di Simpang Renggam. Malah ketika saya sudah habis zaman sekolah sekalipun, saya masih meminta sambal kicap dari Abu untuk dibawa ke Rusia. Botol mineral besar berisi sambal kicap Johor Abu merupakan bahan yang paling berharga dalam peti ais saya semasa menuntut ilmu di Saint Petersburg, malah ada rakan-rakan yang datang ke bilik untuk merasai sambal kicap yang Abu kirim pada saya kemudian meminta resepi. Moga-moga sebelum saya mati, saya sempat bertandang ke Simpang Renggam, berjumpa bonda Abu dan merasai sekali lagi kelazatan sambal kicap Johor.

Di asrama, saya dan Abu ada sedikit persamaan, kami berdua bukan orang Utagha, jadi kebanyakan cuti jika kami tidak pergi menumpang kasih dirumah kawan-kawan di Alor Setar atau Sungai Petani, kami akan menghabiskan masa bersama. Antara aktiviti kegemaran kami adalah menyeludup keluar dari asrama untuk mendaki Bukit Tunjung. Zaman itu Bukit Tunjung masih lagi berambut lebat, lengkap dilitupi pohon-pohon hijau, tidak botak seperti hari ini. Kami akan membawa stok megi, air mineral dalam botol, periuk, untuk memasak di puncak bukit. Abu pula membawa tilam asrama! Di gulungnya tilam asrama menjadi silinder, di ikat dan di pikul hingga ke puncak. Selama beberapa tahun tilam itu ada di puncak Bukit Tunjung sebelum ia reput. Pemandangan Perlis dari atas puncak Bukit Tunjung begitu majestik, kami akan duduk berehat, bersembang, bergelak ketawa, dan berkongsi earphone untuk mendengar radio dari radio kecil bernama Palito. Jika cuti panjang kami akan balik ke selatan bersama menaiki tren KTM, kami akan duduk di gerabak tengah yang boleh dibuka pintu, duduk merasai angin berlari di muka berderu-deru sambil melihat permandangan sawah padi yang terbentang seluas saujana. Saya dahulu ada simpan gambar kami duduk disitu, Abu memakai t-shirt hijau Mexico yang saya hadiahkan kepadanya, entah dimana hilang gambar tersebut. Kadang-kala dalam perjalanan balik Johor, Abu akan singgah dan tidur dirumah saya, dan kami meneroka ibukota Kuala Lumpur bersama. Zaman kami bersekolah belum lagi zaman Facebook, saya masih ingat nama Yahoo Messenger Abu iaitu Mr_Adventure.

Satu malam selepas tamat SPM, saya masih ingat kami berjalan berdua dibawah gelap malam di Taman Melati untuk keluar makan, kerana tiada adik-adik junior, warden tidak begitu keras terhadap kami untuk keluar (sebab kalau keras pun keluar juga). Abu seperti biasa, berkain pelikat dan kopiah, kelihatan konfiden, kami selalu mengusik Abu "eh ko ni konfiden je atuk", kerana itu sikapnya yang merupakan anak sulung, dan kerana wajahnya yang kelihatan lebih berusia dari kami, kami beri dia nama timangan sebagai "atuk". Malam itu tamat SPM seolah-olah satu beban batu terlepas dari kepala, terasa begitu bebas, dan dunia terbuka untuk diteroka. Abu berkata malam itu "aku tak nak jumpa korang lepas kita keluar sekolah, lagi 10 tahun baru jumpa balik, baru boleh tengok perbezaan sorang-sorang". Namun Tuhan mempunyai perancangan yang tidak dapat disingkapi makhluk, Abu dipanggil pulang sebelum cukup 10 tahun kami keluar sekolah. Namun aku bersyukur, kerana belum pun 10 tahun kami selalu bertemu.

Tamat persekolahan kami di Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) kami berpecah mengejar mimpi dan impian masing-masing. Saya ke luar negara dan Abu menyambung pengajian di Kolej Teknologi Darul Naim, Kelantan. Ketika cuti musim panas, saya pernah pulang ke Malaysia dan menziarahi beliau. Abu begitu teruja hingga membawa saya ke Rantau Panjang, itu pertama kali saya ke Rantau Panjang. Tamat pengajian Abu pulang ke Johor untuk menguruskan perniagaan ayahnya, manakala saya menyambung ijazah di sebuah universiti awam di Skudai. Sering kali jika saya dalam perjalanan dari Skudai-KL atau KL-Skudai, saya akan singgah di Restoran Rni yang diuruskan Abu, kadang kala saya tumpang tidur di kedai atau di rumahnya di Sungai Linau. Abu akan membawa saya melihat lembu ternakannya, pusat sembelihan ayam, dan saya masih ingat menaiki motor bersama Abu pada satu pagi, beliau membawa saya tour melihat ladang sawit dan ladang nenas sebelum kami mencari kedai roti canai. Abu menganggap saya seperti adik beradik, dia tidak pernah berkira apa pun, jika saya mahukan sesuatu pasti dia cuba untuk menunaikan hajat saya. Di hujung-hujung hayatnya beliau kerap menalifon saya untuk bersembang perihal kehidupannya, dia pernah mengajak saya untuk pergi menemaninya memancing di kelong, saya bukanlah seorang kaki pancing, tetapi saya berminat dengan pengalaman baru, namun kami tidak pernah sempat untuk ke kelong bersama.

Seingat saya, perjumpaan terakhir saya bersama arwah Abu adalah pada bulan Mei 2016, di mana kami berkonvoi bersama untuk menghadiri majlis perkahwinan Saiful Islam Izraei dan Azaruddin (Pakdin/ Din Tony). Abu dipanggil pulang oleh Allah dalam sebuah nahas apabila bot yang dinaikinya terbalik di Empangan Semberong, mayat beliau dijumpai oleh skuad selam pasukan Bomba dan penyelamat pada bulan Ogos 2016. 

Terlalu banyak kenangan manis bersama Abu, perasaan kasih berukhuwwah masih membasah sehingga ke hari ini, segala jenaka dan gelak tawanya masih didamba dan dirindukan. Tidak ada album gambar yang dapat membantu mengubati perasaan rindu ini. Di bulan Ramadhan yang mulia ini, saya doakan moga Allah merahmati Abu Asri Zailani, memaafkan Abu, dan menempatkan Abu di syurga bersama orang-orang yang beriman. Kira anda membaca cebisan perasaan saya ini, sudilah kiranya untuk menghadiahkan sebuah doa buat sahabat yang sangat saya kasihi dan rindui ini. 

Dalam kenangan, 
Abu Asri bin Zailani.
9 September 1990 - 22 Ogos 2016.


2 ulasan:

Unknown berkata...

arwah sangat baik,bila kawan2 datng die rajin memasak,walaupn kenal x lama,to hubungan tu sangat akrab..alfatihah buat arwah abu,semoga tenang di sisi allah..terima kasih sahabat..

Tanpa Nama berkata...

Terima Kasih. 22/8/1990, hari ulang tahun aku, hari kau pergi meninggalkan dunia. Semoga diampuni segala dosa kamu, dan dipermudahkan segalanya. Al-Fatihah.