Jumaat, 22 Mei 2020

Memaknai Rumi: Siri 9



Saya suka menyimpan puisi-puisi Rumi, berbanding dengan buku-buku lain, yang biasanya saya akan cuba berusaha seupaya untuk menghabiskannya secepat mungkin, puisi-puisi Rumi saya simpan dan membacanya dengan perlahan. Kadang-kadang berbulan-bulan sebelum saya berpindah dari satu puisi ke puisinya yang lain. Tentulah saya bukan seorang insan yang boleh menghadap Rumi dalam teks asal yang berbahasa Farsi, tetapi translasi ke Bahasa Inggeris juga masih mempunyai aura untuk menjentik jiwa.

We know separation so well because we've tasted the union. (47)

Perpisahan merupakan sebahagian daripada intipati kehidupan, malah mungkin ia adalah tujuan kehidupan itu sendiri. Sejak kita lahir, kehidupan kita dipenuhi perpisahan. Kita mula dengan menyusu bersama ibu kita, kemudian semakin besar kita berpisah dengan susu dan mula mengunyah makanan-makanan ruji. Kita belajar berkawan dan bermain di tadika, taska, kemudian seiring usia kita, kita tinggalkan guru dan rakan-rakan kita di tadika. Begitulah seterusnya, ke sekolah, universiti, kita bersama dengan rakan-rakan yang kita kenali sepanjang hidup, tiba masanya kita akan berpisah dengan mereka.

Ada perpisahan yang sementara, ada pula yang kekal tak mampu digugat oleh kuasa manusia. Kita akhirnya akan berpisah dengan orang yang kita sayangi, ayah kita, ibu kita, atuk nenek kita, isteri dan suami kita, anak-anak kita, walaupun mungkin pada saat ini tak tercapai dek akal kita untuk berpisah dengan mereka, tetapi apabila saatnya tiba, kita hanya ada air mata. Begitu jugalah dengan kehidupan yang kita nikmati ini, akhirnya kita akan berpisah dengannya, dan berlayar ke samudera abadi, yang hujungnya adalah takdir yang tak dapat kita singkapi.

Mungkin kita takut akan perpisahan, kita tak dapat bayangkan kesedihan yang bakal menimpa kita. Kenapa? Kata Rumi, hal ini adalah kerana kita telah menikmati kebersamaan. Kita telah merasai kemanisan kasih sayang, kita telah menyentuh kehangatan kehidupan, ia telah sebati dengan diri dan perasaan kita. Kita tak mampu untuk sedih jika kita berpisah dengan orang yang kita tidak pernah jumpa, yang kita tidak kenal nama, yang kita tidak pernah bertukar kata dengan mereka. 

Sama ada kita takut, kita sedih, kita mahu atau tidak mahu, mampu atau tidak mampu, kehidupan tidak akan pernah peduli. Kehidupan tetap akan memberikan kita perpisahan, kerana ia adalah batu bata kehidupan. Sebelum kita diberi perpisahan, masa yang kita ada sekarang adalah apa yang kita boleh genggam, boleh abaikan. Atau mungkin, boleh kita hargai.

Tiada ulasan: