Sabtu, 16 Mei 2020

Manusia pertama menurut Hegel



Dalam sejarah Islam manusia pertama yang diciptakan adalah Nabi Adam. Manusia pertama menurut Georg Wilhelm Friedrich Hegel yang akan kita perkatakan kali ini bukanlah manusia pertama yang diciptakan dalam sejarah. Sebaliknya ia adalah eksperimen minda untuk mengetahui sifat semulajadi manusia, ataupun apa yang dikatakan sebagai sifat alami manusia. Sifat ini merupakan sifat manusia yang sama selepas ditanggalkan personaliti yang dibentuk oleh budaya atau agama, contohnya jika manusia itu dilihat sebagai manusia, bukan sebagai orang Malaysia atau orang Cina atau seorang jurutera atau seorang yang beragama Hindhu.

Hegel tidak mempunyai doktrin tentang apa yang dikatakan sebagai sifat asal manusia, beliau juga menolak fahaman yang mengatakan sifat manusia itu tetap dan tidak berubah. Manusia menurut Hegel tidak ditetapkan sifat-sifatnya sebaliknya boleh mencorakkan sendiri sifat yang diingininya seiring peredaran zaman. 'Manusia pertama' oleh itu adalah manusia asal sebelum berlakunya 'perubahan sendiri' ini, iaitu sebelum terciptanya masyarakat sivil dan sebelum bermulanya sejarah, manusia pertama ini merupakan manusia dalam keadaan asal mereka.

Manusia pertama menurut Hegel mempunyai sifat-sifat yang sama seperti haiwan seperti sifat mempunyai keinginan untuk makan, tempat tinggal, dan survival kehidupan. Sifat-sifat ini merupakan kaitan manusia dengan dunia fizikal dan alam semula jadi. Tetapi manusia mempunyai perbezaan besar dengan haiwan dimana manusia mempunyai keinginan yang tidak material, manusia mempunyai keinginan yang diingini oleh manusia lain. Manusia ingin diiktiraf sebagai manusia oleh manusia lain. Dalam kata lain, manusia adalah makhluk sosial, perasaannya sentiasa berkemahuan agar orang lain memandang pada dirinya yang akan membuatkan dia berasa berharga. Hal ini berbeza dengan haiwan, sementara haiwan juga merupakan makhluk sosial, mereka tidak berkeinginan untuk mendapat pengiktirafan, monyet sebagai contoh berkeinginan kepada pisang untuk makan, monyet tidak berminat untuk diiktiraf sebagai monyet yang paling cantik dikalangan semua masyarakat monyet.

Penafsir Hegel, Alexander Kojeve menyatakan bahawa manusia juga seringkali berkeinginan perihal sesuatu yang tidak berguna dari sudut biologi, contohnya manusia ingin mendapatkan piala, atau ingin merampas bendera musuh dalam peperangan. Manusia bukan sahaja ingin pengiktirafan, dia juga ingin 'pengiktirafan sebagai manusia'. Dia mahu dia dilayan seperti manusia.

Pertembungan antara manusia-manusia pertama menyaksikan mereka bertarung antara satu sama lain. Masing-masing ingin mendapat pengiktirafan. Pertarungan ini seringkali merupakan pertarungan berdarah dan berakhir dengan tiga keputusan. Yang pertama, kedua-dua manusia yang bertarung mati, mengakibatkan berakhirnya kemanusiaan. Kedua, salah seorang mati, menyebabkan yang kedua tidak juga puas kerana tidak mendapat pengiktirafan. Yang ketiga adalah manusia yang lemah menyerah diri untuk tidak mati lantas mengiktiraf manusia kedua sebagai penguasanya. Disinilah bagi Hegel datangnya hiraki sosial, kontrak sosial dan ketidaksamaan kelas manusia.

Persoalan manusia pertama menurut Hegel ini adalah antara topik perbincangan Francis Fukuyama di dalam kitab karangannya The End of History and the Last Man. Mungkin kita bertanya apa perlunya kita mengetahui pemikiran Hegel berkenaan manusia pertama atau sifat alami manusia, atau mungkin mengapa kita perlu tahu tentang falsafah? Bagi saya ia adalah satu instrumen untuk memahami dunia, bagaimana kita hendak terima perlakuan-perlakuan manusia dan menganggap ia 'masuk akal'. Kata-kata Karl Marx yang merupakan anak murid Hegel dan digelar sebagai Young Hegelian saya kira menarik untuk memahami kepentingan falsafah. Kata Marx "ahli falsafah telah mentafsirkan dunia dengan pelbagai bentuk dan cara, namun, matlamat utamanya adalah untuk kita mengubah dunia". Dalam erti kata lain, kita tak mampu mengubah dunia jika kita tidak memahaminya.

Tiada ulasan: