Ahad, 18 April 2021

Perjalananku Ini: Sebuah Naskah Nostalgia Menggetar Jiwa

Sebenarnya memang terlalu banyak buku yang saya mahu baca, entah sempat entah tidak dihabisi semua sebelum saya meninggal dunia, ada sebahagiannya yang saya sudah beli 5-6 tahun yang lalu, namun masih belum dibuka plastiknya. Namun kehadiran buku kecil bertajuk "Perjalananku Ini: Himpunan Puisi SukaDidik" yang ditulis oleh Annaky Abolmujahid ini mengusik jiwa kecil saya.

Pertamanya kerana ia ditulis oleh guru saya yang banyak mencorak kehidupan saya. Kedua, kerana naskah ini bagi saya secara peribadi, merupakan genre buku yang paling dalam di hati saya. Genre buku yang merupakan sebahagian dari korpus sejarah sekolah tercinta iaitu Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI). Yang ketiga, ia adalah koleksi puisi gurindam jiwa, yang tentulah enak dinikmati sambil menghirup secawan kopi dan terbang dalam kenangan. Jadi buku ini berjaya memotong barisan dalam senarai bacaan saya.

Walaupun ia bukanlah buku perihal sejarah definitif dan autoritif berkenaan sejarah MATRI (kita belum punyai naskah seperti itu setakat ini, menunggu siapa yang berani menyambut obornya), ia mempunyai kaitan erat dengan MATRI, pelajarnya, murobbinya, dan aktivitinya, jadi ia bolehlah diletakkan sebaris dengan naskah-naskah yang pernah ditulis sebelum ini perihal MATRI seperti Murobbiku tulisan Hilal Asyraf dan Sejarah Awal Matri tulisan Ghazali Saad.

Buku ini berkonsepkan nasihat yang diberikan melalui genre puisi. Walaupun puisi boleh terjatuh kedalam daerah yang sukar difahami oleh penerimanya, ia tetap diteruskan begitu oleh penulis. Beliau mengiktiraf masalah ini tetapi meneruskannya kerana bagi beliau nasihat itu tidak boleh diberi dengan gelojoh. Beliau lebih meminati gaya imejan, yang membawa anak didiknya bersiar-siar menikmati keajaiban alam sebelum isi nasihat itu meresap perlahan-lahan ke dalam jiwa mereka. Ia bukan seperti naskah puisi biasa, naskah puisi biasa terus terjun pada bait-bait aksara sambil pembaca terpaksa meneka makna dan latarnya. Dalam naskah ini, sebelum pembaca dihidangkan dengan bait aksara, diceritakan dahulu latar peristiwa, watak dan tempat dimana lahirnya puisi-puisi ini. Jadi pembaca boleh membaca tanpa meneka latar puisi tersebut dan menjadikan pembacaan lebih mudah difahami.

Latar buku ini adalah program SukaDidik yang merupakan misi pendidikan yang dijayakan oleh pelajar lepasan Matri di Sabah selepas mereka menamatkan peperiksaan STAM. Penulis merupakan pendidik dan koordinator misi ini, yang dirangka sebagai medan amali bagi anak didiknya selepas mereka mengutip mutiara-mutiara di Matri. Di medan inilah mereka perlu menyebarkan mutiara yang sudah diterima, jauh masuk ke jiwa-jiwa di dasar perdalaman Sabah.

Misi sukarelawan ini dilaksanakan di Pusat Pembangunan Minda Insan (PPMI) yang merupakan institusi alternatif pendidikan bagi masyarakat Sabah yang ketinggalan dari sistem pendidikan arus perdana. Mereka tercicir kerana taraf hidup, jarak ke sekolah, kemudahan, juga masalah ketiadaan dokumen kewarganegaraan. Antara lokasi mereka menyumbang bakti mendidik masyarakat setempat adalah seperti di Kampung Tandoan, Kampung Hidayat, Pulau Mabul, Kampung Tagupi Laut, Kampung Paman Hutan, Simuning, dan Kampung Langkabong. Puisi-puisi di helaian awal juga menggambarkan kegusaran penulis meninggalkan anak-anaknya di pedalaman Sabah kerana kawasan ini merupakan kawasan keselamatan (ESSZONE).

Mungkin bagus kiranya untuk saya memetik satu bait puisi dari naskah yang kemas ini, sekadar untuk memberi gambaran kepada kita keindahan lantunan bahasanya.

"Belumpun habis secangkir bicara
saatnya sudahpun tiba
melepaskan ke dunia nyata
membawa risalah mulia;
merawat buta aksara,
membanteras jahil agama
membebaskan minda terpenjara."

Banyak lagi bait-bait yang mengasyikkan, namun tidak bolehlah saya muntahkan semua disini kerana boleh menyebabkan saya terjatuh ke lembah pelanggaran hak cipta. Anda perlu dapatkan sendiri naskah ini untuk menghayati bait-bait aksara yang digarap dengan indah. Selain membicarakan subjek misi pendidikan di Sabah, dalam naskah ini juga kita dapat mengenali penulis dengan lebih intim. Contohnya bagaimana penulis mengimbau pengalaman beliau sendiri membaca dan menghayati puisi tulisan Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad dalam kolum Pabila Hujan Turun di dalam Dewan Sastera. Disini kita dapat kenali bahawa penulis sememangnya peminat bahan-bahan sastera.

Antara pesan yang saya kira berbekas di hati saya sepanjang membaca adalah puisi Hujan dan Kemarau, dalam puisi ini kita diingatkan akan sentiasa mengambil jalan tengah. Tidak terlalu jumud sehingga berlakunya kemarau, tidak juga terlalu ekstrem dalam berlepas-lepasan sehingga ditenggelami banjir. Walaupun nasihatnya khusus kepada pendidik, ia juga boleh diaplikasikan kepada kehidupan kita rakyat biasa.

Apabila penulis membicarakan bahawa pendidik nilainya tinggi, dan untuk mencapai ketinggian nilai itu ada tenaga yang perlu dikorbankan, ada usaha yang perlu dilakukan dalam mendaki untuk mencapai ketinggian. Hanya orang yang sampai ke puncak sahaja dapat menikmati keindahan permandangan. Bait-bait ini mengingatkan buku yang pernah saya tulis, bertajuk Gunung Tahan Hiking Log, saya dapat merasai maksud yang digarap penulis. Teringat saya pada cabaran dan keperitan mendaki Gunung Tahan, namun apabila tiba dipuncak, melihat buana luas terbentang indah diselimuti kabus, terasa manisnya kejayaan, segala penat lelah hilang seperti mimpi semalam.

Saya juga sangat terkesan membaca bagaimana sukarelawan yang berbaki disana bergaul dengan masyarakat dan anak didik sehingga tumbuh perasaan kasih dan sayang. Apabila tiba saat pulang, ada yang merayu untuk tinggal lebih lama. Saya juga pernah menjadi pendidik sebentar beberapa kali dalam hidup dan menyelami perasaan ini. Ya, apabila kita bersama anak-anak murid, melihat mereka belajar dan menjadi insan yang lebih baik, ia membungakan bahagia, sungguh kerjaya pendidik adalah kerjaya yang penuh percintaan. Saya sendiri dahulu menangis apabila berhenti menjadi cikgu. Saya ada membeli naskah Lemoi Praaq yang ditulis oleh Cikgu Bungo Lale perihal pengalaman beliau mengajar anak-anak orang asli Lemoi, saya kira naskah tersebut merupakan naskah yang baik untuk menyambung pembacaan perihal indahnya menjadi warga pendidik.

Maka penulis menulis dalam puisi Gurindam Rasa Hati, "andai jelma rasa sedih, itulah fitrah orang berkasih", begitu menusuk bait ini.

Sebelum saya mengakhiri ulasan saya terhadap naskah istimewa ini, saya ingin berkongsikan sebuah lagi tema yang berjaya saya kutip dalam makalah ini. Iaitu perihal minda yang dibiasakan berfikir tentang ilmu dan pendidikan pastilah tidak sama dengan minda yang hanya disuap hiburan-hiburan ringan. Seperti jasad yang banyak berehat, pasti tidak sama dengan jasad yang kuat bersukan dan beriadah. Tema ini dibicarakan penulis diakhir naskah dalam bahagian penutup. Apabila dibaca, ia seakan pesanan buat diri ini, apakah kita banyak bekerja dan menyumbang, atau sekadar berehat-rehat, memilih kerja-kerja yang senang dan mudah sahaja. Tentulah ia memerlukan satu muhasabah yang panjang.

Naskah ini bagi saya bukan sahaja indah, ia juga penting dalam erti memelihara sejarah persuratan akan sekolah yang kita semua semat di hati. Ia pastilah lebih penting dan indah buat sukarelawan yang pernah sendiri turun dan berbakti di sana. Semoga kita akan dihadiahkan lebih banyak naskah dalam genre ini, yang memelihara kisah, peristiwa, dan sejarah kita. Namun, sebelum kita diberikan hadiah-hadiah seterusnya, haruslah kita menikmati naskah yang telah tersedia ini. Penulis menutup makalah ini dengan baris akhir "doakan untuk penerbitan seterusnya", maknanya ada sinar cahaya bahawa kita akan diberkati dengan karya penulis di masa akan datang.

Tiada ulasan: