Ahad, 18 April 2021

Nota-Nota Peribadi di KLAB21


Prelude, sudah lama sebenarnya saya tidak ke pesta buku, kali terakhir adalah pada 2019 sebelum bencana Covid-19 melanda alam semesta. Kuala Lumpur Alternative Bookfest 2021 (KLAB2021) ini saya dimaklumkan agak last minit, jadi agak kelam kabut sedikit perancangan saya untuk menyusun jadual untuk cuba hadir. Pada mulanya saya merasakan seperti mahu skip, tambah pula perlu pergi ke balai polis untuk meminta kebenaran. Tapi apabila difikirkan semula, sudah terlalu lama saya terperap dan terpuruk, mungkin sudah tiba masa untuk keluar dari tempurung depresi.

Penerbit buku saya, saudara Kiridaren Jayakumar ada memberi surat hasil nasihat dari Tuan Hasri Hasan, dan saya panjangkan surat tersebut kepada pihak polis. Alhamdulillah polis meluluskannya tanpa banyak birokrasi, tidak perlu lagi mengisi borang atau membawa salinan kad pengenalan, pegawai bertugas hanya mengecop surat kebenaran saya untuk merentas negeri. Kemudian yang lebih mendebarkan adalah menghantar permohonan pada isteri, alhamdulillah, juga diluluskan. Akhir sekali adalah kebenaran dari Tuhan, alhamdulillah sekali lagi, saya dikurnia umur dan jodoh untuk hadir bersama.

Namun saya tidak dapat hadir penuh, saya hanya hadir pada hari Ahad, dari jam 10 pagi hingga 10 malam di booth No. 20, The Bibliophile. Saya berharap ada kawan-kawan yang datang, agar saya ada teman bersembang. Bolehlah bertentang mata bertukar khabar tanpa perlu zoom, google meet atau apa-apa aplikasi. Saya juga membawa bersama beberapa keping naskah zine dan buku-buku yang masih berbaki. 


Saya bertolak dari Sungai Petani, Kedah menaiki kereta Myvi sekitar jam 6 petang. Sebelum bertolak saya bersalaman dan berpelukan dengan anak-anak dan isteri. Amni sewaktu itu berumur 6 tahun menangis sebak dan memeluk saya dengan erat dan lama. Adiknya Idlan, 3 tahun pada mulanya tak mahu berpelukan bersama, tapi kemudian apabila melihat kakak dan umminya memeluk saya akhirnya dia pun peluk bersama. Idlan petang itu cool sahaja, melambai saya pergi dengan gembira. Isteri juga melepaskan saya dengan mata yang berkaca. Seram juga saya ketika itu, dalam hati terdetik "adakah ini kali terakhir aku akan melihat mereka?".

Petang itu perjalanannya menenangkan. Seolah ada perasaan kebebasan yang terbit dalam hati saya. Mungkin sudah lama saya tidak kembara dan merantau seperti zaman muda. Dalam perjalanan saya singgah di Shell Sungai Dua bagi mengisi minyak dan menambah nilai kad Touch & Go, juga berhajat untuk membeli secawan Latte Caramel dari mesin Costa Coffee, namun mesin Costa Coffee sedang diservis, terpaksalah saya membeli Bubble Milk Tea dari Tealive sahaja untuk menemani perjalanan. Matahari petang itu sangat cantik, bulat penuh kemerah-merahan menghampiri maghrib. Melintasi Gunung Semanggol hujan mula merintik-rintik meruntunkan lagi jiwa dalam perjalanan. Alhamdulillah sekitar jam 10 malam saya sampai, saya tuliskan di Facebook "Alhamdulillah selamat sampai ke Gombak Darul Azmin" kerana jalan-jalan di Gombak penuh dengan muka dan poster Azmin!

Malam itu ada Zul dan Kakak sekeluarga di rumah bersama ibu. Malam dan keesokan paginya kami bersembang dan berbual perihal hal-hal dan urusan keluarga. Saya memberi tahu ibu bahawa saya mahu berziarah ke pusara ayah pada pagi Ahad, ibu kata dia mahu ikut bersama. Dalam jam 8.30 pagi pada hari Ahad, saya bersama ibu pergi menziarahi pusara ayah. Sempat saya membacakan secangkir Surah Yasin juga titipkan doa, moga pahalanya mengalir buat ayah, dan doa saya agar ayah diterima sebagai orang yang soleh diterima Allah.

"Assalamualaikum Ayah, minggu ni Allah izin Ahmad sempat balik KL sekejap, ziarah ibu. Cucu-cucu ayah semua sihat. Idlan dah boleh bercakap siked-siked. Amni dah nak masuk darjah satu tahun depan. Ahmad cuma nak cakap yang Ahmad.....
.....
.....
.....
.....
.....
.....
.........rindu."

Selepas itu kami pulang ke rumah. Saya bersalaman dengan ibu dan terus menuju Sunway Putra Mall. Saya melihat rate parking seperti agak mahal, RM15 untuk 3 jam pertama dan RM2 untuk jam-jam berikutnya. Saya akan berada disini selama 12 jam, jadi saya mengambil keputusan untuk parking ditepi jalan sahaja, bersebelahan dengan rumah apartmen. Seingat saya, saya pernah parking ditempat yang sama sebelum ini tanpa ada sebarang masalah.

Oleh kerana buku Berfikir Tentang Pemikiran edisi The Bibliophile sudah habis stok, penerbit cuba untuk menyiapkan cetakan kedua untuk acara ini, namun syarikat percetakan tidak dapat memenuhi garis masa tersebut. Maka saya bawakan edisi lama, kalau-kalau ada yang nak membeli, juga sebuah buku antologi puisi Maka Kitab Itu Pun Menyanyi, dua naskah koleksi reviu buku dalam bahasa Inggeris Life Full of Reading, juga yang terbaru, zine Skazka #1. Sekurang-kurangnya ada lah juga buku yang boleh dijual.

Antara booth awal yang saya singgah adalah booth Chempaka Collective, PBAKL2019 saya ada berkongsi booth dengan Cukong Press, mereka ada menjual Mosh Zine, tetapi pada waktu itu saya tidak membeli. Jadi kali ini saya beli sebuah Mosh Zine dari Chempaka, juga bergambar dengan Zine Dari Johor #2 yang mengandungi sebuah artikel saya. Saya ada nampak Nizang berkeliaran di pesta buku, beliau adalah penulis Mosh Zine, saya ingin menegur untuk minta autograph, tapi tak jadi sebab segan!

Kemudian saya singgah ke booth Gadis Buku dan menyapa pemiliknya, Anis A. Azam. Saya kenal Anis dari pembacaan temubual bersamanya pada zine Fagiyu #9. Gadis Buku memfokuskan buku-buku puisi dan sastera. Saya bukanlah seorang pembaca buku puisi dan buku sastera Melayu. Jadi saya bertanyakan kepada Anis, bagi pembaca entry level seperti saya, buku apa yang dicadangkan. Beliau mencadangkan naskah Baris Pertama oleh T. Alias Taib, menurut beliau naskah ini bukanlah buku penuh yang ditulis oleh T. Alias Taib, sebaliknya puisi dan rangkap yang dikumpulkan oleh anak beliau, sebahagiannya tidak pernah diterbitkan, kata Anis ia sesuai sebagai pengenalan kepada puisi-puisi T. Alias Taib. Tapi jika nak membaca terus karyanya terus juga boleh ujar Anis. Saya masih bertatih, jadi saya setuju sahaja untuk membaca naskah pengenalan dahulu. "Selamat menikmati aksara" tulis Anis dalam menurunkan tanda tangan beliau kepada naskah yang saya beli.

Saya kemudian ke booth Fagiyu, saya menegur penjaga booth menyatakan bahawa saya merupakan peminat Petak Daud, beliau sedikit terkejut dan bingung kerana beliau tidak mengenali saya. "Siapa ni ya?" tanya Petak Daud. Saya pun memperkenalkan diri, kami pun ketawa, "tak baik buat suprise macam tu!" kata Petak. Sebelum ini kami hanya berkenalan di Facebook dan Whatsapp, ini baru pertama kali berjumpa. Saya membeli naskah Merenung Matahari Mac tulisan beliau dan meminta dituliskan puisi untuk saya sebagai tanda tangan.

"Fathi,
aku fikir,
kehidupan-
apa pun,
akan membinasa.
Aku fikir,
Fathi,
kita lek je lah.
Mungkin nanti,
kita betul-
betul hidup."
- PTK DD, 12/04/21.

Banyak juga yang saya bualkan dengan Petak Daud, dari perancangan zine, penulisan artikel, pembelian dari Jue di Sungai Petani. Beliau menceritakan bagaimana keretanya rosak pagi tadi ketika mahu datang ke pesta buku. Ya, setiap hari pasti ada tragedi, kecil atau besar, gumam hati saya. Saya bertanyakan pada beliau, kerana saya melihat zine Fagiyu yang dijual masih ada semua edisi dari edisi-1 hingga lah yang paling baru, edisi ke-11. Adakah naskah tidak habis atau dicetak semula? Beliau menerangkan bahawa beliau tidak menggemari idea limited edition. Kebanyakan zine dicetak terhad untuk menjadi eksklusif kepada kawan-kawan. Beliau mahu penulisannya berkembang, jadi pada pandangan beliau tidak boleh dihadkan. Jika habis perlu dicetak semula.

Booth The Bibliophile berjiran dengan booth Studio Anai Anai. Ketika pengunjung mula surut, saya bersembang dengan adik yang menjaga booth Studio Anai Anai. Beliau merupakan pelajar lepasan Universiti Malaya dalam bidang linguistik, sebelum ini beliau bekerja sebagai pembantu farmasi. Saya bertanya akan buku-buku yang dijual, beliau menceritakan dan mencadangkan buku Lemoi Praaq yang ditulis oleh Bungo Lale, kisah perjuangan seorang guru yang mengajar anak-anak orang asli suku Lemoi. Saya punya pengalaman menjadi guru dan pendidik, jadi apa yang beliau ceritakan pada saya itu menarik minat saya, jadi saya beli sebuah naskah. Saya juga ada melepak di booth Tarbiyah Sentap, yang menjual novel-novel Hilal Asyraf, dan bersembang dengan adik yang menjaga booth, tapi saya tidak membeli apa-apa kerana kurang minat membaca novel.

Antara pembaca yang menegur dan bersembang dengan saya adalah Tuan Fadthul Rizal dari Shah Alam, juga Abang Roslan (dari Sarawak jika saya tidak silap). Antara teman sepelajaran yang hadir adalah Akmal Sabri, bersama isteri dan anaknya. Akmal merungut pada saya kerana kesukaran untuk mencari parking. Saya menjawab dengan nada bodoh sombong dan sedikit bangga bahawa saya hanya parking di tepi jalan. Saya parking dahulu dan fikirkan akibatnya kemudian. Dalam tak sedar, sebenarnya tragedi sedang tersenyum sinis pada saya. Saya bertanyakan khabar ibunya yang kini terlantar sakit. Kemudian kami berbincang sedikit perihal kebahagiaan. Bagi Akmal kebahagiaan adalah pilihan, se-sukar manapun cabaran yang dunia timpakan kepada kita, kita boleh bahagia jika kita memilihnya. Saya agak tidak bersetuju dengan pemikiran ini. Mungkin kerana saya juga diserang minor depression pada musim pandemik ini. Pada fikiran saya, orang yang dibelenggu depresi sebagai contoh, tidak memilih untuk menjadi depress, jika dia boleh memilih pastilah dia akan memilih kebahagiaan. Walaupun dia cuba untuk memilih bahagia, perasaannya sendiri mengkhianati dirinya untuk terus dibelenggu depressi. Jika diambil kira contoh ini, tentunya kita tidak dapat mengatakan dengan total bahawa kebahagiaan itu satu pilihan. 

Setelah Akmal pulang, saya ditemani oleh Termidzi Mahmod (Miji), saya meninggalkan pesta buku seketika untuk solat jamak zohor dan asar, kemudian kami ke restoran Pak Jen untuk makan tengahari+malam. Seperti biasa kami mempolemikkan subjek-subjek kontemporari seperti teori konspirasi dan perjuangan gender. Miji menceritakan bahawa dia sekarang ingin step back, dan melepaskan koleksi bukunya, kerana dia merasakan buku-buku ini tidak membantu kehidupannya secara real. Saya membantah pandangan beliau ini, kerana ia kontradik dengan kenyataan beliau sendiri tentang nasihat politik yang dia pernah berikan pada orang lain yang walaupun mereka tidak ingat akan nasihat itu, ia tetap memberi kesan kepada minda mereka secara subtle. Bagi saya ini juga terjadi apabila kita membaca buku, ia mungkin tidak kelihatan seperti mempunyai kesan yang real, namun secara subtle ia merubah gaya fikir kita, mempengaruhi tindak tanduk kita juga mempengaruhi keputusan-keputusan yang kita lakukan dalam hidup.

Kemudian pada sebelah petang sedikit, saya bertemu dengan junior sekolah dari Matri, saudara Amirul Mahzan, lama juga saya mendengar kisah beliau perihal bidang perniagaan yang dia ceburi. Juga saya ada bertemu saudara Ameerul Firdhaus, sejuk sedikit hati apabila sahabat-sahabat besar datang melawat, bersembang dan bertukar gelak jenaka. Dalam pesta kali ini ada juga timbalan menteri, ahli parlimen yang datang, ada yang datang mengunjung, ada juga yang merasmikan buku mereka. Namun satu pun saya tidak dekati untuk bersembang atau bergambar kerana tidak berminat.

"First as a tragedy then as farce" tulis Karl Marx dalam Der 18te Brumaire des Louis Napoleon. Selepas saya bersama salahabat-sahabat lepasan Matri, saya merasa penat, saya kembali ke booth dan mendapati buku Berfikir Tentang Pemikiran yang saya bawa telah habis stok. Maka saya pun turun ke bawah ke kereta untuk mengambil beberapa buah lagi yang saya bawa, tanpa saya ketahui ini adalah permulaan tragedi.

Saya mendapati kereta saya telah hilang, saya bertanya kepada pengawal yang menjaga apartmen berdekatan, kata mereka kereta saya telah ditunda DBKL 2 jam yang lalu dan menasihati saya untuk menalifon Depoh Tahanan Kereta DBKL. Saya pun menghubungi mereka dan mereka mengesahkan bahawa kereta saya ada di depoh dan saya perlu membayar RM115 untuk mengambilnya semula. Hati saya diruntun sedih dan kecewa, namun apakah daya, nasi telah menjadi tragedi. Nasib baik depoh tersebut hanya 7 minit sahaja dari tempat pesta menaiki Grab. Selepas mengambil kereta, saya kembali semula ke pesta buku, kala itu sudah maghrib dan pengunjung sudah mula surut.

Sebelum kami membersihkan booth dan mengemas, Abang Nazmi Yaakob datang singgah bersembang. Saya mengenali beliau dari grup Goodreads Malaysia dimana beliau merupakan salah seorang admin, namun itu adalah kali pertama saya berjumpa dan bersembang dengan beliau. Pada mulanya saya mahu menolong mengangkat buku ke kenderaan, walaupun Amira beberapa kali menyarankan agar saya balik sahaja kerana perjalanan balik yang jauh, Kiridaren juga memberi nasihat yang sama. Saya pada mulanya menunggu juga, namun apabila jam sudah menghampiri jam 10 tetapi kenderaan belum tiba, saya meminta diri untuk pulang.

Dalam berjalanan pulang saya termenung dan berfikir adakah penyertaan saya pada kali ini berbaloi. Jika dicongak dari segi wang ringgit, termasuk duit minyak, tol, juga duit yang di pow oleh DBKL berbanding dengan hasil jualan tentu sahaja tidak berbaloi. Antara objektif utama saya ke KLAB21 adalah untuk mendapatkan tanda tangan Tuan Hasri Hasan. Penterjemah karya ulung The Alchemist ke dalam Bahasa Melayu, beliau juga merupakan penyumbang besar kepada industri buku negara. Alhamdulillah objektif ini tercapai, banyak juga yang saya bualkan dengan beliau perihal penterjemahan, penerbitan juga suasana industri buku negara. Jika ditimbang dengan pengalaman, persahabatan yang terjalin, perbincangan dan idea yang dapat dikutip, bagi saya segala penat lelah dan tragedi ini telah terbayar, perjalanan ini lebih dari berbaloi.

Tiada sebarang sekatan polis yang saya tempuhi semasa perjalanan ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan balik, ada dua sekatan. Satu selepas keluar tol Juru, pada sekatan ini abang polis tidak check apa-apa. Yang kedua selepas keluar tol Sungai Petani Selatan, hanya pada sekatan ini abang polis memeriksa surat kebenaran, itu pun hanya sekali imbas. Saya tiba semula di Sungai Petani jam 02:13 pagi.

Tiada ulasan: