Khamis, 26 Mac 2026

Mengulang-Baca Wacana Sempadan Ilmu

Buku 'Sempadan Ilmu Yang Terkurung' oleh Suhaib Zahir.
Antara aktiviti hari raya saya tahun ini selain menambahkan kolestrol dalam pembuluh darah melalui penghadaman lemang, rendang, dan kuih raya, adalah mengulang baca sebuah karya tulisan Ustaz Suhaib Zahir yang mengupas persoalan sempadan ilmu, polemik pendidikan dan juga sikap kita dalam memaknai keilmuan. Saya pernah membacanya dahulu, dan menulis sedikit ulasan

Namun sekali baca bagi saya tidak mencukupi, kerana saya merasakan persoalan-persoalan ini selalu perlu diulang-fikir dan diulang-baca. 

Antara wacana yang saya kira sangat menarik untuk dibincangkan adalah sekitar perbandingan sistem pendidikan. Ramai aktivis misalnya membangkitkan persoalan pendidikan percuma. Mereka membandingkan sistem pendidikan sedia ada dengan sistem di negara-negara kaya/membangun. Desakan ini telah lama berlarutan, malah aktivisnya dahulu pun sudah menjadi menteri. Namun kelihatan tiada perubahan yang material. Aktivis baharu pula mengangkat semula isu ini dan mengejek/mengkritik aktivis lama. 

Dalam hal ini, Ustaz Suhaib mengajak kepada pemikiran yang menyeluruh. Tidak boleh dibandingkan pendidikan percuma itu dari satu sudut sahaja. Sebaliknya perlu juga dilihat struktur negara yang dibandingkan itu yang membolehkan polisi itu terlaksana. Seperti sistem cukai, jumlah populasi, dan kemampuan ekonomi. Jika perbandingan hendak dilakukan, aspek-aspek struktural yang lain ini juga perlu difikirkan untuk membolehkan polisi yang sama dilaksanakan. 

Saya kira isu yang sama juga berlaku apabila pendidikan kita dibandingkan dengan "pendidikan Finland" dahulu. Membuat perbandingan memang mudah. Namun harus dilihat juga dasar-dasar di sekelilingnya, sistem yang menyokong pendidikan sedia ada, semua itu perlu diubah jika perubahan besar-besaran hendak dilakukan. Jika tidak, tinggallah ia satu perbandingan untuk dijadikan satu kritikan yang tidak boleh dibina apa-apa diatasnya.

Proses ulang baca ini saya lakukan kerana buku ini akan diwacanakan nanti dalam acara anjuran Komkura di Qah-wa Cafe, Bertam pada 18 April 2026 nanti. Banyak lagi persoalan-persoalan pendidikan dan wacana sekitar ilmu yang saya rasa menarik untuk diwacanakan nanti.

Poster: Slot "Pendidikan atau Kilang Sijil? Peranan Tradisi Berfikir, Membaca, dan Menulis bersama Syed Ahmad Fathi dan Suhaib Zahir dalam Acara Jom! Rayakan Buku Bersama Komkura pada 18 April 2026.

Tiada ulasan: