Petang itu kepala saya sakit, saya tidak tahu sakit kepala itu psikologi atau phisiologi. Mungkin sebab dari pagi duduk menghadap skrin, tengahari berdiskusi dengan universiti dan wakil industri, petang siapkan laporan yang tergendala, mungkin kepala panas. Selepas solat Asar saya keluar, duduk di laman rumah melihat hujan turun. Rintiknya semakin surut, di angkasa ada burung layang-layang terbang bebas. Kemudian kawanan burung pipit lalu melintas, mungkin mereka juga mahu pulang ke rumah masing-masing selepas pening mencari rezeki.
Buruh imigran yang sedang menyiapkan rumah jiran mula masing-masing memanaskan enjin motor, walau hujan mereka tetap bekerja. Beberapa ketika mereka semua hilang, tiada lagi riuh rendah persembangan mereka, walaupun saya tidak memahami bahasa mereka, namun sepertinya mereka ceria bekerja bersama. Teringin juga belajar bahasa mereka, boleh juga berbual-bual jika bosan.
Rintik hujan makin hilang, saya cuba untuk mematikan fikiran. Kata Eckhart Tolle, otak harus digunakan seperti alatan lain, andai sudah tidak digunakan harus di turn off, jika tidak kita penat berfikir tanpa henti. Apabila ada fikiran yang datang, cepat-cepat saya padamkan. Saya kembali merenung awan yang berarak, gerak awan agak pantas, mungkin penangan angin monsun belum berakhir. Entah apa yang menggusarkan kepala saya petang itu. Duduk melihat awan pun tidak tenang, ada sahaja fikiran yang cuba menyusup, namun segera saya padamkan. Saya sebenarnya menunggu anak-anak pulang tadika, selalunya mereka akan lari ke dalam rumah mencari dan menjerit nama saya apabila pulang. hari itu saya terasa terlalu penat berada di dalam rumah, biarlah saya menyambut mereka di luar.
Mereka masih belum tiba bersama isteri, saya pun bangun dan berjalan-jalan di halaman rumah tanpa arah. Kemudian akhirnya saya masuk semula ke dalam rumah dan mengambil naskah buku Mulut Terkunci Tapi Hati Bisa Berkata-Kata tulisan Nur Kamilea Syasya binti Che Sharif. Saya duduk semula dilaman dan mula membaca. Saya rasakan dunia ini terasa kecil, syarikat penerbit Syihabudin Press ini rasanya adalah syarikat yang diusahakan senior sekolah saya, manakala Usaid Asmadi yang menulis prakata adalah mahasiswa Universiti Malaya bersama adik saya. Namun saya tidak mengenali Kamilea secara peribadi.
Di bahagian prakata Usaid menulis perihal magiknya penulisan, hal ini saya kira persis apa yang diperkatakan oleh Carl Sagan, namun sebab mereka berbeza. Bagi Sagan ia magik kerana ia membolehkan manusia yang dipisahkan dengan jarak beribu tahun untuk saling berkomunikasi, manakala menurut Usaid ia magik kerana 3 perkara. Pertama, ia boleh datang menghukum kita semula. Kedua, ia memperlihatkan perkembangan pemikiran kita, dan yang terakhir, boleh mengubat fikiran yang sedang rusuh. Cuma kata Usaid, dia selalu melangkau helaian prakata tanpa dibaca. Saya berbeza dalam hal ini, jika tidak dibaca kulit ke kulit, saya merasakan pembacaan saya tidak lengkap, sering saya merenung bahkan hingga ke belakang, di bahagian nota, bibliografi, juga indeks.
Kamilea memulakan pencak bicaranya atas dilema wanita, yang sering terperangkap dalam konstruk sosial untuk memilih dua curam, sama ada kerjaya atau keluarga. Kedua-dua pilihan ini mendatangkan kata-kata tidak manis dari masyarakat, seolah-olah apa pun pilihan mereka, mereka tetap akan dijatuhkan hukuman "bersalah". Membaca dilema ini saya teringat akan buku tulisan Sheryl Sandberg yang bertajuk Lean In, saya kira ia buku yang wajib dibaca oleh setiap wanita, tidak kira mereka memilih kerjaya atau keluarga. Selepas para isteri membacanya, elok dipaksa juga suami membacanya, agar mereka faham situasi dan dilema wanita.
Buku ini turut memuatkan nasihat perihal harapan dan sifat tidak menyerah kalah. Nasihat-nasihatnya begitu bagus dan positif. Cuma mungkin saya terlalu tua untuk menjadi idealis, saya kira di masa muda juga saya idealis, melihat dunia penuh dengan optimisme dan harapan, namun semakin dewasa saya faham dunia ini tidak semua indah. Dunia ini diciptakan untuk manusia yang tidak sempurna dan penuh dengan ketidak sempurnaan, kekalahan, malah tragedi. Ia kadang tidak dapat kita elak se-optimis mana pun kita. Kadang kita perlu menerimanya apa adanya, dan mendefinisikan semula apa itu kejayaan. Namun bagi orang muda, idealis itu bagus bagi saya, kerana banyak sahaja perubahan baik dalam dunia ini lahir dari mereka yang idealis dan tidak mahu mengaku kalah walaupun sudah kalah.
Sampai di muka surat 11, kereta Myvi putih muncul disebalik rumah jiran, meluncur ke halaman. Anak-anak sudah melekat di tingkap kereta dengan senyuman, jeritan, dan lambaian. Maka saya harus letakkan semula naskah ini sebentar, untuk memberi hak masa kepada anak-anak.
Keesokan harinya, Idlan, anak saya yang kedua berumur 3 tahun bangun dengan badan yang panas. Dia punya masalah sakit perut, oleh kerana pada hari tersebut adalah hari Thaipusam, yang mana sinonim dengan kontroversi Menteri Besar Kedah, Idlan menemani saya di rumah pada hari itu. Apabila dia tidur, saya kembali membelek naskah buku ini.
Saya sangat tertarik dengan ungkapan yang dipetik oleh Kamilea ketika membahaskan perlunya mahasiswa membaca. Iaitu ungkapan dari Napoleon Bonaparte yang menyebut "Aku lebih takut dengan empat orang penulis berbanding 1000 senapang". Petikan ini menggambarkan besarnya peranan ilmu, yang mampu menjadi alat pemandaian untuk melawan penguasa. Tidak sedikit sejarah yang merekodkan bagaimana tulisan merubah dunia, sebab itu kita membaca banyak buku yang diharamkan, penulis yang dipenjarakan, kerana penulisan dan keilmuan itu satu senjata yang ampuh. Cuma saya tidak dapat menemui quote yang asal seperti dipetik, jadi saya tidak pasti adakah kata-kata ini benar dari Napoleon, walaupun dari sudut maknanya begitu signifikan.
Saya juga begitu tertarik dengan frasa "melayang-lah ke angan masa kecil yang indah" ketika beliau menghuraikan perlunya kita menulis. Bagi saya menulis adalah terapi diri yang sangat berkesan, ketika saya sedang dirundung emosi, sama ada marah, sedih, kecewa, atau gembira, adalah masa yang sangat subur untuk saya "melayang", kata-kata biasanya mengalir ke dalam tulisan secara semulajadi, tanpa ada halangan. Selain dari mengalirkan emosi, ia juga adalah rekod penting akan perasaan saya, jika dirundung emosi sama, saya bisa pulang ke laman itu, kembali memetik dan merasai buah-buah yang saya tanam dahulu.
Menulis juga menurut beliau merupakan cara kita belajar berfikir, ia merupakan kaedah yang sesuai untuk kita menghadap pembacaan, menyusun informasi. Saya secara peribadi juga amat bersetuju dengan hal ini. Kadang kita merasakan kita faham akan sesuatu perkara, dengan menulisnya semula, kita dapat menyusun kefahaman kita, juga menguji kefahaman kita tadi. Dengan cuba menulis kefahaman kita semula kadang kita belajar, bahawa ada sisi yang kita belum benar-benar faham, membuatkan kita terus membaca lagi sehingga kefahaman itu dilengkapkan dan boleh disusun dengan rapi.
Menulis dan membaca memang tidak dapat dipisahkan, Kamilea menganalogikan penulisan tanpa pembacaan umpama tanaman yang hidup di tanah yang gersang. Penulisan yang disirami pembacaan adalah penulisan yang berisi, yang sihat, yang mampu membuatkan manusia lain berfikir. Bagi saya secara peribadi, menulis dan membaca itu adalah dua sayap ilmu.
Tulisan Kamilea Syasya ini menurut saya banyak berbentuk monolog yang memuatkan nasihat, motivasi, keperluan untuk terus cekal dalam hidup, dan pelbagai nasihat lagi. Walaupun ia dipasarkan sebagai sebuah zine, saya merasakan ia lebih dekat dengan sebuah buku, atau mungkin risalah kecil. Saya cukup tertarik akan penulisannya perihal menulis dan membaca, ia akan saya jadikan sebahagian dari rujukan, petikan, dan citation bagi buku saya yang akan datang. Moga-moga kita diberkati dengan lebih banyak lagi karya mutiara berharga dari penulis muda ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan