Khamis, 28 Januari 2021

Reviu Zine Fagiyu #9


Bak kata Widji Thukul yang sudah diubah suai "Hanya satu kata, mantap!" begitulah kata-kata yang boleh saya ungkapkan jika zine ini hendak disinopsiskan dengan satu ayat. Susun aturnya sangat kemas dan cantik, membuatkan seoalah-olah pembaca sedang memasuki sebuah kafe retro hipster. Bukan sahaja susun aturnya yang kemas, kontennya juga bagi saya sangat baik dan menarik.

Pencak pembacaan dimulakan dengan kolum wawancara bersama dengan Anis A. Azam yang merupakan mengusaha toko buku Gadis Buku. Banyak perkara-perkara yang diulaskan dalam segmen wawancara ini terutamanya dari sudut survival toko buku dizaman gawat Covid-19. Namun apa yang paling menarik bola pemikiran saya adalah isu "ilusi dalam kalangan ramai penulis dan pembaca". Anis membicarakan bagaimana penulis itu sering dianggap sebagai selebriti manakala pembaca adalah peminat. Ia adalah ilusi yang membuatkan seolah penulis itu eksklusif manakala pembaca adalah pemuja. Perkara ini menurut Anis membutakan mata penulis muda baharu, kononnya penulis itu satu kerja glamour, duduk dalam kelas elitnya tersendiri.

Oleh itu kadangkala penulis tidak mahu menjual buku, kerana merasakan itu tidak padan dengan kedudukan elit mereka sebagai penulis. Saya sangat bersetuju dengan pandangan Anis ini. Saya juga kadangkala merasakan ia adalah satu curam dalam penulisan apabila pembaca merasakan saya yang menulis ini punya lebih banyak ilmu dari mereka. Saya lebih merasakan penulisan ini sebagai medan berkongsi idea, pengalaman, dan rasa hati. Mungkin ada nilai dari sudut ilmu, tetapi itu tidaklah menjadikan kita duduk dalam kelas yang lebih tinggi. Orang lain juga punyai ilmu, malah mungkin lebih banyak ilmunya dari penulis, cuma mungkin mereka tidak tintakan.

Zine Fagiyu #9 ini turut membedah dan membicarakan perihal medan seni musik tanah air. Antaranya bual bicara dengan kumpulan kugiran Langkasuka, juga reviu album musik kumpulan Raskat. Turut dikongsi promosi adalah zine-zine lain seperti Haiwan Bukan Kriminal oleh Bad Cat Club, Genesis Secawan Latte oleh Hanevad, Angkat Takbir Lepas Tangan oleh Nana, Zine Molek Ah #2 #4 dan #5 oleh Penerbitan Ikan Kekek, Zine Dari Johor #1 oleh Kolektif Naratif, Trans Rentboys; Love Don't Pay the Rent dan juga Pulang ke Rindu tulisan Khairul Kamarul.

Artikel Anarkis dan Pandemik Covid-19 tulisan Kon Zing menampakkan ciri-ciri anarkis zine ini. Artikel ini mengajak penyewa rumah melawan menuntut hak mereka di zaman kegelapan Covid-19 ini dari diusir oleh tuan rumah. Catatan pengalaman Selangkah ke Sebrang tulisan Mucky saya kira adalah luahan getaran hati perihal melangkah menuju alam rumah tangga, cuma saya merasakan tulisannya kadang terlalu berbunga untuk difahami manusia. Jelajah Puisi 2017; Melaka yang ditulis oleh Petak Daud membawa pembaca mengikuti hanyutan kilasan emosi penulis menyusuri Sungai Melaka. Tulisan ini bagi saya memberi kita kefahaman akan masa sendirian yang kadang kala kita perlukan, untuk merenung dan merasionalkan kehidupan.

Zine ini turut memuatkan banyak puisi, puisi yang paling menyengat emosi saya adalah Melihat Tidak Ada tulisan EA. Beliau menulis:

Kadang melihat hujan,
bukan dari yang jatuh,
tetapi kemudian,
apa yang akan tumbuh.

Puisi bagi saya merupakan satu aksi yang begitu sensitif dan emosional. Takrifannya sering kali berbeza antara penulis dan pembaca. Saya mungkin tidak tahu apa yang dialami oleh EA sehingga dia melahirkan puisi itu. Bagi saya ia membawa maksud yang positif, pengharapan, dan sifat optimisme. Saya sendiri gemarkan hujan, dinginnya, baunya, emosi yang dilahirkan hujan begitu menaikkan jiwa. Namun mungkin bagi sesetengah orang hujan adalah suatu yang tidak baik, mungkin pembawa banjir, namun puisi EA mengajar kita bahawa apa yang perlu kita perhatikan adalah apa yang tumbuh selepas itu. Mungkin selepas konflik dan revolusi akan lahir masyarakat segar yang baru, begitu optimisnya.

Akhir sekali adalaha kolum Cher Phen yang memuatkan dua buah cerpen. Cerpen pertama bertajuk Atok Ilmu Hutan tulisan Cech Adrea. Bagi saya tulisan ini ada unsur misteri dan kelakar. Adrea menulis beliau sendiri tak yakin akan nasihat-nasihat hutan Atoknya kerana kadang kedengaran seperti mahu menipu dan menakutkan budak-budak, tapi ada juga nasihat atoknya yang saya rasa macam logik, dan saya seperti Adrea tidak pasti nak percaya atau tidak. Cerpen penutup zine ini bertajuk Menghadap Malam yang Sangat Panjang tulisan Emma Maria. Saya suka gaya penceritaan yang memperlihatkan dunia dari kaca mata kecil seorang budak perempuan, cuma endingnya tidak begitu jelas pada fikiran saya, mungkin Emma mahu kita berteka-teki.

Saya agak sedih kerana sudah habis membaca zine ini, ia pembacaan yang menarik namun singkat. Nasib baik saya ada membeli edisi #10, jadi mungkin kesedihan saya tidak berpanjangan kerana boleh tenggelam semula dalam edisi seterusnya. Siapa yang sudah membeli, saya ucapkan selamat membaca. Siapa yang belum, cepatlah pergi beli. Tahniah diucapkan kepada barisan editorial, penulis, penerbit atas bingkisan ini. Moga banyak lagi edisi-edisi seterusnya yang boleh menghiasi mata dan minda kita.

Tiada ulasan: