Pada malam tahun baharu, saya dijemput oleh beberapa mahasiswa untuk memberi sedikit pengisian di dalam Kuliah 3T Tea Talk Together dengan tajuk Fikrah Mahasiswa Dalam Dakwah. Saya kira elok kiranya saya kongsikan disini sedikit nota penyampaian untuk rekod dan rujukan.
Fikrah dari sudut bahasanya adalah daya fikir atau pemikiran. Pemikiran ini dibentuk melalui pengalaman kita, pendidikan, keluarga, juga suasana sekeliling. Cara kita berfikir, mentafsir dan melihat dunia ini dalam bahasa Inggeris disebut sebagai worldview. Dari sudut pandang dan pemikiran inilah yang menggerakkan kehidupan kita. Kenapa worldview ini penting?
Kerana ialah yang mencorak kehidupan kita. Jika
worldview kita adalah moral nihilism kita akan hidup bertuhankan nafsu, tiada
hala tuju. Jika fikrah atau worldview kita adalah materialism kita akan hidup
hanya untuk memenuhi kehendak material tetapi mempunyai jiwa dan hati yang
mati. Dan hidup kita ini hanya sekali, tiada peluang yang kedua, jika fikrah
atau worldview kita salah dari awal, maka kita akan bazirkan satu-satunya
peluang hidup ini, dan kita tidak ada peluang yang kedua.
Oleh itu kita perlu berpegang dengan fikrah yang benar,
worldview yang bukan sahaja memberi kita kejayaan di dunia, tetapi juga
kejayaan di kampung abadi kita, akhirat.
"Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak
tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, kecuali orang-orang yang
datang mengadap Allah dengan hati yang sejahtera” (Surah Asy-Syu’araa: 88-89)
Kita hendak pulang dengan Qalbin Saleem. Oleh
itu fikrah kita hendaklah fikrah Islam, dengan fikrah itu kita melihat dunia
dan beramal di dalamnya sesuai dengan tujuan penciptaan kita. Fikrah kita adalah
fikrah Islam yang syumul, menyeluruh, bukan dipisah-pisahkan. Seperti yang
diungkapkan oleh As-Syahid Imam Hasan Al-Banna di dalam Risalah at-Ta’alim
pada usul yang pertama dalam Usul ‘Isyrin:
“Islam adalah sistem lengkap yang merangkumi
keseluruhan aspek kehidupan. Islam adalah daulah dan tanahair atau kerajaan dan
ummah. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Kebudayaan dan undang –
undang atau ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad
dan dakwah atau tentera dan fikrah. Sebagaimana Islam itu adalah aqidah yang
benar dan ibadah yang sohih.”
Jadi jika pemikiran atau fikrah kita jelas akan
lengkapnya sistem Islam ini, maka kita juga perlu sedar bahawa ia tidak dapat
dilakukan berseorangan. Kita perlukan teman, rakan, suami, isteri, yang
sama-sama memahami akan tuntutan fikrah ini, dan sama-sama berkerja sama untuk
menjayakannya secara amal jama’ei.
Peranan mahasiswa bukan satu, tetapi pelbagai.
Semuanya penting dan perlu dijayakan. Mahasiswa merupakan manusia yang sedang
berada dalam fasa kehidupan yang unik, yang punya semangat kuat membakar,
perasaan lapar akan pengalaman dan ingin tahu, tenaga yang kuat, intelek yang
cerdas, dan masa yang banyak. Ia adalah fasa emas yang tidak boleh disia-siakan.
Yang pertama adalah peranan mahasiswa sebagai pencandu
ilmu. Mahasiswa yang mempunyai fikrah Islam hendaklah sedar bahawa kejayaan
akademiknya adalah dakwah. Oleh itu dia bukan sahaja perlu berjaya, malah dia
perlu berjaya dengan cemerlang. Tidak boleh alasan dakwah dan tarbiyah
digunakan untuk menghalalkan kegagalan akademik.
Yang pertama juga adalah keterlibatan mahasiswa dalam
program dan aktiviti dakwah dan tarbiyah kampus. Ini juga adalah peranan yang
pertama, zaman ini merupakan zaman emas untuk memahami selok belok organisasi,
belajar bekerja sesama manusia lain, dan juga membina jaringan ukhuwah
Islamiyah sesama aktivis dakwah.
Peranan yang pertama seterusnya adalah memahami
masyarakat, bersama masyarakat, dan menyumbang kepada masyarakat. Tenaga, masa,
dan intelektual mahasiswa perlulah dirasai masyarakat, jika tidak mahasiswa itu
akan menjadi mahasiswa abstrak, yang tenggelam dalam teori-teori tetapi lupa
untuk membaiki manusia di bumi.
Untuk membaiki masyarakat, yang pertama kita perlu
memahami masyarakat kita. Kita tidak boleh membaiki apa yang kita tidak faham.
Kita boleh baca teori dan bahan akademik, tetapi jika kita tak memahami
realiti, kita akan kalah. Oleh itu adalah keperluan yang kritikal untuk
mahasiswa dan aktivis dakwah memahami pemikiran dan worldview lain, agar mereka
punya alatan yang betul, cara yang betul untuk berhujah dan menanganinya.
Buku-buku fikrah juga tidak boleh kita fahami secara literal, tetapi
disesuaikan mengikut waqi’ dan suasana setempat.
Kita tidak dapat memberi pada orang lain sesuatu yang
kita tidak ada. Oleh itu, kita sendiri perlu melalui proses pembaikan, proses
tarbiyah, sebelum kita boleh mengajak orang lain. Ini tidak bermakna jika kita
sudah mula berdakwah kita meninggalkan tarbiyah, tetapi ia jalan seiring,
tarbiyah adalah proses berterusan hingga hujung nyawa. Tarbiyah ini adalah
tangungjawab kita sendiri, bukan tangungjawab naqib atau naqibah usrah, kerana
objek tarbiyah adalah hati, walau sekuat manapun usaha naqib dan naqibah hanya
kita yang boleh membuka hati kita untuk disapa tarbiyah.
Ke mana kita hendak mengajak manusia? Tanya Imam
Hassan Al-Banna. Kepada Allah. Kita bukan mahu mengajak manusia kepada peribadi
kita, persatuan kita, gerakan kita, tetapi kita hendak mengajak manusia kepada
Allah.
Gerakan kita bukanlah satu-satunya gerakan Islam, tetapi gerakan kita adalah sebahagian dari gerakan-gerakan Islam. Masing-masing ikhlas dan punya cara mereka. Kita maafkan perbezaan dan bekerjasama dalam persamaan. Antara buku yang baik untuk memahami strategi berdakwah adalah buku Al-Muntalaq atau terjemahannya Langkah Bermula oleh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan