Ahad, 3 Januari 2021

Surat Buat Izzudeen Pasha


Beberapa hari lepas Sheikh Izzudin Pasha ada menghantar utusan bertanya perihal proses penulisan dan penerbitan, jadi di ruangan kali ini saya tintakan sedikit pengalaman peribadi saya. Saya menulis pada asalnya sedikit demi sedikit. Kemudian saya kumpulkan semua penulisan itu. Ini merupakan satu asas yang penting saya kira, iaitu, tulis dahulu. Tidak kiralah idea itu bernas atau tidak bernas, yang penting ia ditulis. Bak kata Seneca, "jika anda ingin menjadi penulis anda harus menulis". Pada peringkat awal jangan terlalu dirisaukan apa yang mahu dibaca oleh orang, tuangkan semua apa yang anda ingin tulis. Jangan letakkan apa-apa standard atau halangan, biarkan idea itu mengalir secara semulajadi.

Apabila sudah dikumpul dan dibukukan untuk menjadi naskah. Disini baru perlu kepada penilaian dan semakan. Pada mulanya semaklah sendiri. Kemudian hantar kepada editor untuk disemak. Jika tiada editor, beri kepada teman-teman rapat agar mereka boleh baca dan tandakan kesilapan yang ada. Saya dahulu mencetak naskah pra-penerbitan dan pos pada rakan-rakan yang sudi membaca. Ini penting kerana kita sering kali buta dengan kesilapan kita sendiri.

Setelah naskah itu siap, boleh dihantar kepada penerbit. Penulis kali pertama mungkin sukar untuk mendapatkan penerbit. Tambahan pada zaman yang sukar bagi industri buku seperti hari ini, penerbit biasanya memilih penulis yang sudah punya nama dan crowd agar buku itu nanti boleh dipasarkan. Jangan takut, terbitkan sendiri. Jika ada satu orang yang yakin dengan tulisan anda, orang itu mestilah anda! Jika anda sendiri tidak yakin, masakan orang lain diminta untuk meyakini karya anda.

Anda juga boleh meminta penulis sedia ada, atau mereka yang mempunyai crowd mereka tersendiri untuk menuliskan kata pengantar untuk buku anda. Ini akan menjadi daya penarik dan meyakinkan pembaca untuk membeli naskah tersebut kerana ia sudah dibaca oleh orang yang mereka percayai.

Untuk terbitkan karya secara swaterbit (sendiri), anda boleh mendaftar syarikat dengan SSM atau terbitkan atas nama sendiri. Saya lebih menyarankan anda menerbitkan atas nama syarikat, nampak lebih kemas dan professional, dan anda boleh menerbitkan karya lain seterusnya dibawah syarikat tersebut. Kemudian isi borang dari perpustakaan negara untuk penerbit baru. Pastikan manuskrip sudah siap untuk dicetak semasa mengisi borang perpustakaan negara, kerana selepas didaftarkan anda perlu menyerahkan 5 naskah buku ke perpustakaan negara untuk rekod. Apabila sudah mengisi borang ISBN dan CIP, masukkan data tersebut mengikut format yang ditetapkan ke dalam buku sebelum dicetak.

Untuk cetakan saya menasihatkan anda mencetak dalam lingkungan 50-100 dahulu. Walaupun mungkin margin untung rendah, ia lebih baik dari anda rugi dan naskah yang tercetak tidak terjual. Selepas dicetak bolehlah mulakan promosi. Saya sendiri hanya menjual kepada keluarga dan kawan-kawan di Facebook pada peringkat permulaan. Minta mereka berikan rating dan tuliskan reviu kepada buku anda, Goodreads adalah tempat yang baik untuk pembaca memberi rating dan review. Apabila buku anda mempunyai rating dan review, ini akan lebih meyakinkan pembeli baru. Boleh juga menjual di pesta buku atau mana-mana event yang ada. Saya pernah menjual sendiri di pesta buku, ia adalah pengalaman yang sangat berharga.

Buku ini ibarat anak kecil, kita tidak tahu kemana dia akan pergi. Boleh jadi selepas anda menerbitkan sendiri, ia mendapat perhatian dan kemudian ada penerbit yang sudi menerbitkannya semula. Atau mungkin ia tersebar dengan luas dan permintaan menjadi sangat menggalakkan. You will never know until you try. Tapi apa pun yang berlaku, sekurang-kurangnya jika anda mendaftar ISBN dan menghantar manuskrip ke perpustakaan negara, buku itu akan dipelihara dan datanya akan disimpan dan boleh diakses di OPAC PNM, jadi sekurang-kurangnya nama anda sudah terparut dalam sejarah. Siapa tahu buku itu akan menjadi sambutan 100 tahun lagi oleh pembaca baru? Tapi jika anda tidak menerbitkannya, tiada siapa yang boleh membacanya.

Tiada ulasan: