Alhamdulillah. Setelah sekian lama mendapat pengkhabaran
dari alam maya sahaja, hari ini abang frontliner posmen mengirim naskah edisi
baharu buku Berfikir Tentang Pemikiran yang diterbitkan semula oleh The Biblio Press dan dipasarkan secara meluas oleh The Bibliophile Bookshop. Saya
secara peribadi sangat berpuas hati dengan naskah terbaru, lebih kemas, lebih
professional, dan lebih mesra pembaca berbanding naskah asal yang saya
terbitkan 2 tahun yang lalu. Setelah disusun semula, ketebalan juga menjadi dua
kali ganda.
Mungkin pada penulisan Ahad ini saya hendak merakam sedikit
sejarah dan kisah-kisah disebalik buku ini, kerana saya melihat ramai juga yang
bertanya "buku ini pasal apa?".
Sebelum saya pergi jauh ke halaman itu. Saya hendak
merakamkan jutaan terima kasih kepada penerbit yang memberi peluang dan
kepercayaan kepada penulisan saya untuk diterbitkan semula dan menemui pembaca
baharu. Terima kasih juga kepada Aktivis Buku Negara, Puan Emmy Hermina Nathasia yang sudi menukil sedikit kata pengantar buat edisi baharu ini,
tentulah saya sebagai penulis tersentuh dan berterima kasih atas kesudian ini.
Mungkin cadangan saya pada penerbit jika mahu dicetak lagi dituliskan
"Kata Pengantar Oleh" di muka hadapan untuk cetakan seterusnya
sebagai penghargaan pada Puan Emmy.
Baik. Sedikit sejarah dan latar belakang. Saya merupakan
seorang yang mengikuti gerakan Islam di Malaysia. Saya mengikuti pelbagai
program dakwah dan tarbiyah dari kecil hinggalah ke usia saya hari ini. Dan
dalam proses tersebut saya mengenali ramai manusia, ada yang manis, ada yang
kurang, ada yang bersemangat, ada yang berfikiran jauh, ada yang akhirnya
menjadi isteri (ops!), dan saya merasakan ia satu pengalaman yang sangat
berharga. Saya merasakan ia satu kerugian sekiranya apa yang saya kutip ini
hilang seiring hilangnya memori saya apabila saya menutupkan kelipan mata
terakhir.
Maka saya mula menulis, menulis, dan menulis. Ia adalah
pandangan dan pemikiran jujur saya, meski bagi sesetengah pengkritik merasakan
ia berbentuk didaktik atau terlalu pekat usrah. Kadangkala saya menulis di bilik, di rumah, di universiti, di
atas bas, di surau hentian bas. Saya menulis semua pengalaman, perasaan dan
pemikiran saya. Proses penulisan ini bukan sehari, seminggu, atau sebulan,
hampir empat ke lima tahun. Dihujungnya saya juga rasa sukar hendak berhenti, kerana ada sahaja benda baharu yang ingin dimasukkan. Sepanjang penulisan itu saya juga banyak membaca
buku-buku lain, membuatkan saya berfikir tentang perkara-perkara lain, idea
yang saya kira sangat menarik, dan saya masukkan, ulaskan, dan tuliskan ke
dalam buku tersebut. Oleh kerana itu buku itu berevolusi, kerana pemikiran saya
juga sedang berevolusi pada ketika menulis itu seiring pengalaman dan pembacaan saya.
Dalam proses evolusi ini, buku ini saya berikan banyak nama,
ia saling bertukar-tukar. Pada ketika itu saya sedar memberi nama kepada buku
ini merupakan satu perkara yang sukar, lebih sukar dari menamakan anak. Saya
tidak boleh memberi nama yang eksklusif kedengaran Islamik kerana terlalu
banyak perkara lain yang turut saya bincangkan. Jadi saya mengambil keputusan,
hasil dari bacaan saya dalam buku "Langkah Bermula" oleh Muhammad
Ahmad Ar-Rasyid (atau mungkin ulasan berkenaan buku tersebut, saya tidak berapa
pasti), iaitu menggunakan metodologi Al-Qur'an dalam menamakan surah. Surah
Al-Baqarah sebagai contoh dinamakan bersempena kisah lembu Bani Israel,
meskipun surah tersebut berkisar tentang banyak perkara lain selain kisah
tersebut. Jadi saya memilih satu daripada bab untuk dijadikan tajuk buku iaitu bab "Berfikir Tentang Pemikiran". Bab itu saya pilih kerana ia bersifat
umum, dapat merangkumi semua penulisan saya.
Saya tiada tujuan untuk menjadikan buku ini kedengaran
seperti buku falsafah, dan buku ini bukanlah buku berkenaan dengan falsafah - walaupun Puan Emmy menulis dalam sidang pengantar ia adalah buku ini bersifat "berat dan ilmiah". Ia
adalah buku yang bagi saya memuatkan kisah-kisah peribadi. Bagi saya buku ini
mempunyai personal effect yang kuat dengan diri saya sendiri, sebab itu saya
ada juga menolak tawaran untuk diterbitkan bersama dengan penulis lain yang
sudah ada nama dalam industri buku, bukan kerana sombong atau besar diri,
tetapi saya merasakan ia adalah rakaman pengalaman peribadi dan lebih selesa
diterbitkan sendiri meski mungkin tidak dapat pergi jauh. Saya juga ada menolak
penerbitan dari penerbit yang saya rasa tidak sesuai, alasannya adalah sekali
lagi kerana ia adalah refleksi pemikiran-pemikiran peribadi.
Saya secara peribadi ingin mengamalkan nasihat Howard Zinn
yang tidak membaca buku sendiri, namun atas nasihat teman yang dikasihi Akmal Sabri yang membaca buku saya awalnya sebanyak dua kali dan mengkritik panjang
buku ini, mungkin saya akan baca semula, dan menilai semula pemikiran lama
saya. Naskah yang disusun secara kemas ini juga menjadi pemangkin untuk saya
menyelaknya semula.
Terima kasih kepada penerbit, penulis kata pengantar, pereka
kulit, teman-teman pembaca, rakan-rakan yang sudi membeli, membaca, mengkritik
dan menulis ulasan, kalian semua adalah permata yang sangat berharga buat diri
saya secara peribadi. Membuatkan saya ingin menulis lagi dan menyambung
projek-projek penulisan yang sekian lama tergendala di dalam folder draft.
Alhamdulillah, tsumma alhamdulillah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan