Isnin, 2 Mac 2020

Ayah: Hari Separuh Jiwaku Mati

Gambar ayah, Syed Mohd Khair bin Syed Mohd Jiplus ketika beliau masih muda. - Dari Album Keluarga.

Sewaktu kecil, banyak program motivasi, program muhasabah diri yang aku ikuti. Yang banyak berkisar tentang kematian ibu ayah, untuk menggetarkan rasa, diceritakam suasana bagaimana sebagai anak, kita pulang ke rumah, mendapati rumah sudah dikerumuni keluarga dan jiran tertangga, dan ditengah-tengah ruang tamu terbujur badan yang kaku diselimuti kain. Semua program-program itu tidak dapat menyiapkan perasaanku untuk menghadapi hari ini.

Petang itu ayah kelihatan juga seperti penat, aku tanya keadaannya, dia kata dia okay sahaja. Kami pun bersiap seperti biasa, ayah keluar rumah melambai kami pulang ke Sungai Petani selepas berhujung minggu di Kuala Lumpur.

Sekitar jam sembilan, Zulfaqar menalifon saat kami sudah hampir melepasi Perak, aku pada mulanya tidak dapat mengangkat kerana sedang memandu, namun aku berkali-kali cuba menalifon semula, akhirnya dapat, katanya ayah muntah-muntah dan tak boleh bangun. Aku bertanya adakah ayah sedar? Katanya ayah sedar dan sedang menunggu ambulance. Aku ambil keputusan untuk teruskan perjalanan. Tidak lama kemudian Ihsan menalifon sambil menangis katanya ayah telah tiada, diikuti dengan panggilan dari Islami. Aku keluar di Exit Changkat Jering, dan berpatah semula ke Gombak. Kakak juga dalam perjalanan ke Gombak dari Kelantan.

Aku tidak menangis ketika itu, aku menjawab dengan tenang kesemua panggilan, dan memberitahu bahawa aku dalam perjalanan pulang. Perasaan aku terlalu kebas ketika itu, seperti aku dapat menerima kenyataan bahawa kini aku sudah tidak lagi punya insan untuk dipanggil ayah. Namun apabila mesej mula berpusu-pusu masuk, emosi yang ku sangka kukuh mula retak, empangan emosiku pecah, air mata mula mengalir dipipi. Terasa separuh jiwaku telah mati.

Sebagai anak, tentulah banyak kenangan bersama ayah, ada yang masih kukuh dalam ingatan, ada yang sudah samar-samar, ada yang sudah pudar dan hanya nyata dalam album-album gambar. Aku harap ini semua hanya mimpi buruk, yang akan hilang apabila aku bangun semula. Aku merasakan ingin untuk hidup dihari semalam, hari yang tenang, bukan hari ini yang menyakitkan dan panjang, bukan hari esok yang melukakan. Namun tidak mampu tangan insan menolak qada' Tuhan.

Apabila sampai dirumah sekitar jam 12 malam baru aku sedar perihal realiti yang sedang aku hidupi, ini memang bukan mimpi ngeri. Aku duduk disisi tubuh ayah yang telah kaku, mengambil naskah surah Yasin, cuba membaca tanpa menangis walau aku tahu aku tak mampu. Dalam serak aku berdoa, ya Allah ampunilah ayahku. Selesai bacaan aku selak kain muka ayah, wajahnya kini pucat kerana darah sudah berhenti mengalir. Aku tekap wajahku pada pipi ayah, mungkin ini yang terakhir, aku bisikkan pada telinga ayah "Ayah, Ahmad sayang ayah, selamat tinggal Ayah, Assalamualaikum".

Sekitar jam 3 pagi, apabila tetamu mula surut, kami sudah selesai berbincang dengan nazir berkenaan dengan butiran pengurusan jenazah esok pagi, aku membawa anak-anak ke hotel berdekatan untuk berehat sebentar. Mencari ketenangan sebelum mengharungi ribut esok hari.

Pagi esoknya, jenazah dibawa ke Masjid Ar-Rahimah untuk dimandikan. Aku bersyukur, kami semua 5 beradik bersama ibu diberi kesempatan untuk memandikan ayah. "Inilah bakti terakhir kita buat ayah" kata ibu kepada kami sambil meratakan air ke badan ayah yang kini sudah mengeras. Ibu tidak henti berselawat, kami adik beradik tidak berhenti menangis. Aku cuba mengangkat tangan ayah, namun sudah keras, pengurus jenazah mula mengurut-ngurut tangan ayah untuk mengendurkan otot yang mengeras. Hanya wajah ayah yang seperti tersenyum, memberi kami sedikit perlindungan dari kesedihan yang menjiwai emosi. Inilah tubuh yang berkerja bertahun-tahun menyara kami sekeluarga, yang membawa motor menghantar kami ke sekolah setiap pagi dengan wang saku 2 ringgit, di tubuh ini kami mencari kasih, mencari sayang, hari ini kami menghantarnya pulang.

Ketika sudah selesai dikafan, pengurus jenazah bertanya adakah masih ada yang nak melihat wajah arwah ayah buat kali terakhir. Tak mampu aku untuk mengatakan tidak. Lalu beliau buka bahagian muka, aku menekapkan wajahku di pipi ayah. Ya, kali ini betul-betul terakhir, sebelum aku hanya boleh melihat wajahnya pada gambar-gambar lama. "Ahmad sayang ayah, Ahmad sayang ayah, selamat tinggal ayah, jumpa disana, assalamualaikum" aku bisikkan ke telinga ayah kali terakhir di dunia ini. Satu persatu adik beradik ayah masuk mengucup wajahnya buat kali terakhir, Mak Kecik, Pak Oteh, Mak Yang, Mak Chu, Pak Ngah bergilir-gilir mengucup pipi saudara seibu seayah mereka.

Kubur ayah di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Khairiyah, Taman Sri Gombak ditandai dengan batu bernombor 1128.

Selepas selesai solat, jenazah ditanam dan talkin dibaca, tubuhku terasa sangat penat, kepalaku sangat pening, dan emosiku telah habis kering. Terasa kekok bila masuk semula ke rumah selepas perkemubian. Rumah ini terasa asing, terasa tidak sama, terasa tidak lengkap, terasa seperti ada yang hilang tanpa kelibat ayah.

Aku tidak tahu bila aku akan merasa normal semula. Adakah perasaan sedih ini akan hilang, atau ia akan kekal memaruti hatiku selama-lamanya. Namun aku sedar, kematian ini adalah hakikat insan, ia merupakan tazkirah bagi yang masih bernyawa. Peluang bagi mereka yang masih bernafas. Semoga Allah terima ruh ayah sebagai orang yang soleh, kami redha dengan pemergian ayah. Terima kasih ya Allah kerana meminjamkan kepada kami seorang ayah. Semoga Allah merahmati ayah.

Syed Mohd Khair bin Syed Mohd Jiplus.
30 April 1959 – 29 Febuari 2020.

Tiada ulasan: