Memaparkan catatan dengan label Perjalanan Dissertasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Perjalanan Dissertasi. Papar semua catatan

Ahad, 15 Februari 2026

Viva Voce dan Penjilidan Disertasi

Para pelajar sarjana sejarah dalam sesi viva voce 2025/2026 bersama para pensyarah pada 28 Januari 2026.

Pada 28 Januari 2026, akhirnya saya selamat membentangkan tajuk kajian saya dalam sesi viva voce di Bahagian Sejarah, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia bagi program Master Mod Campuran, Sejarah Asia Tenggara. Sesi ini dipengerusikan oleh Prof Madya Dr. Jasni Sulong selaku dekan PPIK, dengan Prof Madya Dr. Hasrul Zakariah sebagai pembantu. Penilai dalaman saya adalah Dr. Abdul Rahman bin Mad Ali @ Abang dan penyelia saya adalah Prof Madya Dr. Azmi Arifin. Tajuk kajian saya adalah ‘Nasionalis Melayu Kiri’: Satu Penilaian Semula Terhadap Pembentukan Imej Radikalnya Dalam Persejarahan Malaysia.

Saya agak gemuruh juga membentangkan hasil kajian. Mujur semua soalan yang ditanyakan tidak begitu 'membunuh' dan saya dapat menjawabnya. Selesai menjawab semua soalan saya diberi masa dua minggu untuk melakukan sedikit pembaikan dengan perbincangan lanjut bersama penyelia.

Disertasi sarjana yang siap dijilidkan.

Alhamdulillah, tsumma alhamdulillah. Setelah entah berapa kali tukar tajuk, rombak bab, baiki ayat, baiki hujah, baca laporan berjela-jela, termenung dan murung di depan skrin, akhirnya saya selesai melakukan pembaikan dan sampai kepada fasa penjilidan. Disertasi saya siap dijilid pada 09 Febuari 2026. Dua naskah saya serahkan pada PPIK, satu naskah saya berikan kepada penyelia, dan satu naskah saya bawa pulang untuk simpanan peribadi.

Saya fikir, mungkin sudah beratus cawan kopi dihabiskan untuk menulis, juga beratus malam yang dihabiskan untuk membaca dan menulis, sampai otak pun kadangkala jem kerana tidak cukup tidur. Tapi, menyiapkan kajian ini bukan usaha kita sebenarnya, ia adalah nikmat yang Allah bagi, nikmat diberi peluang menimba ilmu. Juga banyak saham orang lain di dalamnya.

Ibu yang mendoakan.

Adik beradik yang mendoakan.

Guru penyelia yang setia menyemak penulisan berkali-kali.

Guru penilai yang gigih membaca dan memberi komen dan ulasan penting.

Isteri yang beri masa bagi suami menyendiri.

Juga anak-anak yang faham ‘abi tengah siapkan homework’.

Alhamdulillah. Maka persaksikanlah ya Allah, akan masa-masa hidupku yang sudah aku wakafkan untuk mencari ilmu. Kau terimalah ia ya Allah sebagai amal soleh. Engkau alirkanlah tulisanku ini dalam sungai khazanah ilmu umat sebagai kajian yang bermanfaat.

Selasa, 30 Disember 2025

Penyerahan Disertasi Untuk Semakan

Pada hari Isnin, 29 Disember 2025, akhirnya saya telah menghantar enam naskah manuskrip disertasi di pejabat Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM sekitar jam 3 petang. Walaupun penghantaran ini tidaklah bermakna pengajian telah selesai, ia tetap menandakan bahawa satu bahagian yang besar sudah selesai. Fasa analisis dan penulisan telah selesai, kini saya masuk ke fasa semakan pemeriksa sebelum ke fasa viva voce yang dijangka akan diadakan pada penghujung Januari 2026. Selepas itu, saya akan memasuki fasa pembetulan. Sekiranya pembetulan diterima, saya kira, barulah saya boleh menarik nafas lega dan mula kembali pada kehidupan normal semula.

Khamis, 27 Mac 2025

Disertasi: Perjalanan Panjang Yang Memenatkan

Menulis dissertasi sememangnya satu proses yang mencabar. Ada kalanya semangat dan tenaga membuak-buak, oleh itu banyak yang dapat dihasilkan. Ada kalanya mata layu dan kuyu, sebatian kimia didalam secawan kopi juga kadang tidak mampu meransang tenaga untuk terus menulis. Namun saya teringat pesan yang dititipkan oleh tuan guru Azmi Arifin dalam bengkel yang beliau jalankan pada 23 Mac 2025. Katanya perjalanan menulis disertasi itu sememangnya panjang, kita tidak boleh berhenti berlama-lama, jika tidak, kita akan susah untuk memulakan semula tulisan. Disebabkan itu, setiap hari, sepenat mana pun saya. Saya akan mengusung jasad (pinjam ayat Azri Walter) untuk duduk di depan laptop, menaip barang satu perenggan pun. Ini kerana, satu perenggan itu lebih baik dari masa berlalu tanpa apa-apa progres. Selain itu Dr. Azmi juga berpesan, sekurang-kurangnya baca satu sumber sehari, ini bagi memastikan kita mempunyai ulasan dan perbincangan yang menarik dan meluas. Inilah pesan-pesan yang saya kira berharga untuk digunakan dalam perjalanan yang panjang dan sunyi ini.

Jalan yang panjang, apa yang penting adalah bergerak setiap masa. Biar pun hanya sejengkal.

Selasa, 18 Mac 2025

Tetap Berjalan Walau Satu Perenggan

 

Bergambar di Perpustakaan Negara Malaysia pada 15/03/2025.

Fasa menulis dissertasi ini merupakan fasa yang sangat memenatkan, tetapi menyeronokkan dalam masa yang sama. Saya memberi tahu isteri bahawa saya seronok menulis dissertasi. Beberapa hari lepas saya sempat bermukim selama dua hari di Perpustakaan Negara Malaysia, menyemak sumber dan duduk menulis. Banyak juga kemudahan yang ada untuk membantu kita melakukan kajian. Saya juga sempat menggunakan mesin mikro-filem bagi membaca akhbar Warta Malaya dalam tulisan Jawi pada tahun 1930-1940. Tidur juga sekarang tidak tentu waktu. Saya sudah kembali ke rutin tidur lewat iaitu pada satu atau dua pagi. Ada kala terlajak juga menulis hingga tiga pagi. Walau sepenat mana pun saya pada sesuatu hari, saya akan cuba gagahkan diri untuk menulis walau satu perenggan. Perjalanan masih jauh tetapi cabarannya sangat mengujakan.

Jumaat, 7 Mac 2025

Dirasuk Dissertasi: Meninta Khazanah Buat Umat

 

Alhamdulillah, perjalanan panjang beberapa tahun kini berada di pusingan terakhir. Fikir panjang juga semasa mula-mula mahu mendaftar untuk menyambung pengajian, tapi bila difikirkan, fikir sahaja tidak ke mana-mana, perlu satu tindakan. Jadi akhirnya saya beranikan diri juga untuk hulur satu kaki ke dalam air. 

Di pusingan terakhir ini saya rasa macam seluruh tubuh sudah masuk air, tinggal rambut sahaja di permukaan. Bila berada di fasa menulis dissertasi ini rasa kelakar, macam dirasuk. Malam tengah tidur pun mimpi hendak tulis apa. Masa solat tarawikh pun terfikir pasal perenggan yang boleh dibaiki. Ada masa kosong sahaja, terasa bersalah jika tidak sambung menulis. Seolah-olah dissertasi ini telah merasuk diri.

Saya di kesempatan ini ingin memohon maaf kepada rakan-rakan dan saudara-mara andai ada jemputan yang tidak tertunai. Saya juga akan mengurangkan aktiviti luaran seperti ceramah, bengkel, forum dan lain-lain bagi menumpukan lebih masa kepada penulisan pengajian. Juga ada beberapa manuskrip yang saya berhutang pada penerbit, saya mohon maaf kerana akan mengambil masa yang lebih panjang kerana terpaksa mengutamakan urusan pengajian.

Walaupun rasukan ini ada tekanannya, tapi di sudut pandang yang lain, bagus juga kerana tekanan memaksa kita belajar sesuatu. Moga-moga saya diberi kekuatan dan ilham untuk menulis dengan bersungguh-sungguh. Moga Allah terima usaha ini sebagai jariah yang dapat diwakafkan dalam lapangan ilmu. Moga ia juga nanti menjadi ilmu yang bermanfaat dan mengalir dalam khazanah keilmuan umat.