Rabu, 29 Ogos 2012

Musibah apakah ini



Aku melihat manusia yang tengelam mencari dunia ibarat orang yang mabuk. Mereka mencari kepuasan pada sumber yang tidak pernah akan memuaskan. Sibuk mencari dunia yang akhirnya tidak membawa apa-apa erti , mahu pun melahirkan bahagia di hati.

Golongan muda pula telah hampir hancur tidak ada lagi jati diri dan tidak mampu bangun lagi. Hilang identiti , tidak lagi mengenal siapa mereka dan ke arah mana hidup hendak dibawa. Hidup dihabiskan dengan perkara yang sia-sia. Perkara yang membuang masa dan tidak  langsung memberi apa-apa faedah kepada diri apatah lagi ummat ini.

Yang bermain game komputer sibuk dengan dunia mereka. Dari terbit fajar hingga ke larut malam dihabiskan dengan permainan yang sia-sia.

Yang sibuk bercinta diluar nikah pula semakin menjadi-jadi menayangkan aurat di facebook . Tidak lagi merasa malu berdua-duaan  . Tidak perlu menunggu Jakim membuat serbuan untuk membuat pendedahan , mereka dahulu telah menayangkan maksiat mereka kepada umum dengan gambar dan status yang menjijikkan.

Ada juga yang cuba mencari bahagia menghilangkan kebosanan dengan gelak ketawa dan begembira dengan budaya pop yang dijaja dari merata dunia. Dari Korea , Jepun , hingga ke Amerika semuanya dicuba. Namun setelah habis ketawa mereka merasakan kekosongan masih tetap berada di dalam jiwa.

Kadang-kadang aku bertanya kepada diri. Apakah pengertian iman bagi mereka? Aku juga tertanya tanya apakah mereka percaya akan hari kebangkitan? Apakah yang akan mereka persembahkan dihadapan Rabb ketika disoal mengenai masa dan usia ke pada mana dihabiskan?

Apakah mereka akan menjawab " Wahai Rabb sesungguhnya usia yang Engkau beri kepadaku aku habiskan dengan bermain game komputer dari pagi hingga ke larut malam , usia mudaku aku habiskan dengan gelak ketawa menonton rancangan realiti TV di depan komputer , usia mudaku aku habiskan dengan menceritakan kisah cinta romantik luar nikah ku kepada umum! Maka terimalah aku ya ALLAH masukkanlah aku ke dalam syurga MU"

Apakah cukup jawapan ini nanti untuk membeli syurga?

Semakin lama aku memerhati semakin sakit aku memikirkannya. Mereka berada dalam keadaan yang lemah , rugi dan hina tetapi mereka bergembira. Musibah apakah yang telah menimpa ummat ini?