Ahad, 31 Mei 2026

Ulasan Buku di Dalam Jurnal Minden

Terima kasih MINDEN: Journal of History and Archeology yang menerbitkan tulisan ulasan buku saya. Tulisan kali ini saya mengulas buku Islam Dalam Arus Sejarah: Perjuangan, Politik dan Dakwah. Antara yang dibincangkan adalah perjuangan gerakan Melayu Islam sebagai arus tengah dalam merebut kemerdekaan, perkembangan idea sosialisme Islam di Alam Melayu, juga sejarah penubuhan dan pergolakan dalam Parti Islam Semalaysia (PAS). Selain aspek sejarah, peranan Islam dalam konteks semasa Malaysia turut dikupas. Ulasan buku ini boleh dibaca di pautan ini.

Selain itu, edisi Jurnal Minden kali ini juga menarik kerana ada sebahagian artikelnya ditulis oleh kenalan-kenalan. Antaranya penulisan oleh Waqqas Zulfiquer perihal penilaian semula sejarah Perjanjian Pangkor 1874. Baca di sini.

Juga penulisan oleh Azizi Yazit yang mengetengahkan aliran revisionis dalam penulisan sejarah Malaysia. Beliau mengkritik penulisan sejarah kolonial dan aliran Marxis yang memaparkan masyarakat peribumi dari lensa yang salah. Baca di sini.

Banyak lagi artikel-artikel yang menarik dalam keluaran Jurnal Minden Vol. 3, Ed. 1. Boleh godek-godek semua artikel yang diterbitkan melalui pautan ini.

Khamis, 7 Mei 2026

Kemuncup di Sungai Lembing


Di pesisir Sungai Lembing kita berlabuh,
lamannya berkemuncup penuh,
sebuah kitab muncul dalam ingatan,
tajuknya kemuncup dalam perjuangan,
Guru Nik Aziz tuan punya tulisan.

Melihat alam mengukir batu,
membuat jiwa terasa kaku,
sungguh indah ciptaan Tuhan,
jika manusia sedia menyaksikan.

Di bawah langit yang masih merah,
kita bersama sujud menyembah,
mengadu nasib umat yang lemah,
di pesisir ini akan dimula langkah.

Sungai lesu mengalir keruh,
saksi kita berbaris dalam peluh,
menyingkap semula sirah,
yang pernah menjadi sejarah.

Al-Muthanna, Tariq, dan Qa'qa' dikenang,
pernah merintis jalan gemilang,
mengapa anak cucunya hilang?

Istana Madain dan Tembok Tustur,
saksi umat yang tidak pernah berundur,
sudahkah tiba masa untuk bangun dari tidur?

Di kaki sungai ini,
kita belajar bahawa dakwah ini,
adalah sebuah emosi,
lahir dari sebuah saksi.

Saksi akan sebuah pemandangan,
melihat umat penuh kehinaan,
jatuh di lembah binasa,
tiadakah lagi jiwa perkasa?

Yang hatinya tidak terpaut pada dunia,
yang berikrar setia pada seni dakwahnya,
menukar keletihan kepada tenaga,
dan kepenatan menjadi kerehatannya.

Sungai ini telah mencairkan penglihatan,
darinya mengalir ikrar untuk bertebaran,
menyebar fikrah dan kefahaman.

Tidaklah kita pulang kepada kerehatan,
pulang kita pada Allah dan Rasul ikutan,
yang akan menjadi saksi pencak kita di medan.