Sabtu, 18 November 2023

Serangan Jantung di Umur 30-an


Pagi Ahad, 11 November 2023 sepertinya merupakan Ahad seperti hari yang biasa. Kami merancang untuk ke Kuala Kangsar untuk bertemu dengan ibu di sebuah homestay dan membawa anak-anak bersama. Di pertengahan jalan kami singgah di Shell Sungai Bakap untuk membeli makanan dan minuman, saya pula ingin membeli kopi sebagai peneman di sepanjang perjalanan. Pada ketika itu saya mula merasakan sakit di dada, namun ketika itu tidak begitu kuat, jadi saya fikir ia akan hilang tidak lama lagi, jadi saya terus memandu seperti biasa meninggalkan Shell Sungai Bakap. 

Namun sakit dada saya tidak surut-surut malah bertambah sakit. Akhirnya saya keluar di Exit Parit Buntar di mana isteri saya mengambil alih stereng, dan kami terus ke bahagian kecemasan Hospital Parit Buntar. Selepas mengambil tekanan darah, saya dibaringkan dan electrocardiogram (ECG) di lakukan. Saya juga diberikan beberapa ubat termasuklah ubat glyceryl trinitrate yang perlu diletakkan di bawah lidah. Selepas itu, dada saya beransur hilang sakitnya. Sampel darah diambil, ECG dilakukan sehingga kali ke-3, dan ujian X-ray juga dilakukan. Selepas lebih kurang sejam, doktor memaklumkan bahawa saya terkena serangan jantung ringan, bacaan ECG menunjukkan ada perubahan dan saya perlu dimasukkan ke dalam wad.

Oleh kerana Parit Buntar agak jauh dari rumah saya, saya akhirnya memutuskan untuk masuk ke wad di Hospital Sungai Petani atas risiko sendiri. Setelah menandatangani surat, saya pun dibenarkan pulang ke Sungai Petani. Di bahagian kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim, saya diuji sekali lagi dengan ECG, doktor memaklumkan bacaan menunjukkan ada serangan jantung, manakala imej X-ray menunjukkan keadaan paru-paru dan jantung yang normal, tiada angin. Akhirnya saya dimasukkan ke Wad Bunga Raya 2.

Setelah tiga kali dicucuk fondaparinux di perut dan makan ubat kolestrol setiap malam, saya akhirnya dibebaskan dari wad pada 14 November 2023 dan dibenarkan pulang ke rumah. Saya dibekalkan dengan ubat glyprin, clopidogrel, pantoprazole, dan atorvastatin. Final diagnosis yang dinyatakan pada discharge note saya adalah "unstable angina".

Bacaan kolestrol saya sebelum ini memang sedikit tinggi. Kali terakhir ujian darah saya lakukan untuk masuk ke Universiti Sains Malaysia pada 22 Ogos 2023. Ketika itu bacaan kolestrol keseluruhan saya adalah di paras (6.5), LDL di paras (4.5), manakala bacaan triglycerides pada paras (0.9). Oleh kerana waktu menunggu untuk ujian cardiac stress test dan echocardiogram di hospital kerajaan agak lama. Saya memutuskan untuk ke Hospital Pantai untuk melakukan ujian lanjut.

Ujian di Hospital Pantai dilakukan bermula 15 November 2023, keputusan echocardiogram tidak menunjukkan apa-apa gejala yang tidak normal, kesimpulan yang dibuat dari ujian ini adalah "good heart function". Kemudian saya telah menjalani cardiac stress test pada hari yang sama. Ujian ini dilakukan dalam beberapa fasa. Di mana alat ECG dilekatkan pada badan, dan kita dikehendaki untuk berlari di atas treadmill. Setiap fasa, kelajuan dan inclination akan ditingkatkan. Setiap fasa dilakukan dalam masa 3 minit. Jururawat mencadangkan saya melakukan ujian hingga fasa ke-6, namun di fasa ke-5 saya sudah kepenatan dan berhenti. Cardiologist mengatakan bahawa jantung saya stabil pada fasa pertama, namun bermula fasa kedua dan seterusnya, bacaan graf menunjukkan ada penurunan kandungan oksigen, beliau menyebut ada "interference" bermula fasa kedua. Jadi beliau menasihatkan saya untuk berhenti dari menjalankan apa-apa sukan yang berbentuk kompetatif dan high-intensity. Hanya dibenarkan jog ringan sahaja. Nampaknya berakhir sudah kareer sukan saya.

Oleh kerana had limit insurans saya untuk rawatan luar spesialis terbatas, untuk ujian computed tomography (CT Scan) coronary angiogram dan angiogram untuk melihat aliran darah dengan menggunakan contrast dye, saya sekali lagi perlu dimasukkan ke dalam wad. Saya melakukan CT Scan pada 16 November 2023. Saya di minta untuk berbaring dan menahan nafas selama sepuluh saat sementara mesin CT Scan berpusing di sekeliling saya. Pusingan ini dilakukan sebanyak dua kali, kali kedua badan terasa agak panas apabila ubat hijau dimasukkan ke dalam badan dan mesin berpusing laju di sekeliling badan. Doktor mengesahkan bahawa memang terdapat salur darah yang menyempit di bahagian kiri hadapan jantung. Namun menurut beliau, keputusan ini juga tidak begitu konklusif kerana ia mempunyai limitasi dari sudut peratusan kesilapan (percentage error). Salur darah yang bermasalah ini adalah left anterior descending artery (LAD) di mana doktor menulis keputusannya "focal mild to moderate stenosis at proximal to mid LAD". Untuk lebih tepat, doktor menasihatkan saya untuk melakukan angiogram menggunakan contrast dye.

Ujian angiogram ini saya lakukan pada 17 November 2023. Semasa tangan kanan ditebuk untuk dibius dan dimasukkan alat saluran contrast dye, saya merasakan sangat sakit, tangan juga merasa kejang. Dalam hati saya berdoa "O God I am not afraid to die but please spare me the pain". Dari ujian ini memang dapat dilihat bahawa saluran darah kiri hadapan itu mempunyai blockage sebanyak 50%. Maka saya kira dari ujian-ujian ini, saya perlu menerima hakikat bahawa saya memang mempunyai masalah jantung, tidak lagi boleh melakukan sukan berat, dan perlu berdisiplin makan ubat hingga ke hujung usia. Walaupun terdapat sedikit kesedihan di hati kerana tidak dapat lagi terlibat dalam sukan-sukan yang diminati, saya tidaklah kecewa yang teramat sangat sehingga menimbulkan depresi. Saya terima sahaja dengan hati yang redha. Mungkin ini adalah stesen kehidupan yang baharu di mana saya diberi peluang untuk lebih fokus dalam hal pengajian dan akademik. 

Khamis, 2 November 2023

Untuk Cinta, Aku Laburkan Umur Pada Ilmu

 

Semalam sempat ke Big Bad Wolf Sungai Petani bersama anak-anak. Oleh kerana ada beberapa almari lagi buku yang belum dibaca, dan mungkin takkan sempat dibaca semuanya sebelum mati, jadi saya berikrar untuk beli sebuah buku sahaja. Saya tertarik dengan sebuah buku yang cuba untuk memperihalkan sejarah universiti, bagaimana universiti boleh sampai ke tahap moden yang diduduki sekarang. Buku tersebut bertajuk Wisdom's Workshop: The Rise of the Modern University oleh James Axtell.

Saya mempunyai satu sikap di mana, kalau saya tahu buku itu menarik, namun saya tak punya masa untuk membacanya, saya akan membelek-belek dan membaca 10-20 mukasurat pertama. Biasanya tesis utama akan berada dalam lingkungan ini. Walaupun mungkin bukan keseluruhannya. Axtell dalam kalam mulanya banyak menceritakan perihal pengalaman peribadinya, perubahan-perubahan minatnya yang menyebabkan beliau banyak menulis subjek-subjek yang berbeza. Namun akhirnya beliau kembali ke subjek kegemarannya, yang beliau gelar sebagai "cinta pertama", iaitu universiti.

Membaca pengalaman Axtell menulis menimbulkan satu semangat yang berjangkit kepada saya. Entah kenapa semangat menulis saya yang semakin lama semakin pudar muncul semula. Melihat semua buku-buku yang ditulis Axtell membuatkan saya cemburu. Takkanlah saya hanya mahu berhenti di sini, sedang horizon ilmu masih luas. Masih banyak yang boleh dipelajari dan ditulis dengan baki umur yang ada. Maka saya kira saya perlu bersemangat semula untuk mengangkat pena.

Budaya pena dan penulisan bukanlah sesuatu yang baru di tanah nusantara kita ini. Menurut John M. Gullick dalam tulisannya Indigenous Political Systems of West Malaya (halaman 52), budaya penulisan dan sastera telah merebak di Nusantara sejak berkurun lamanya. Pada kurun ke-15 surat dari kuasa asing akan di bawa oleh Sultan Melaka ke bandar dengan rombongan bergajah untuk dibacakan. Begitu sekali mereka meraikan sebuah penulisan.

Maka haruslah kita generasi baharu meneruskan budaya penulisan, pembacaan, susastera, dan juga wacana. Bukan sekadar untuk meninggalkan sesuatu untuk generasi seterusnya. Tetapi juga untuk diri kita sendiri. Untuk memuaskan kecintaan kita pada ilmu. Kerana bagi saya, umur yang berguna adalah umur yang kita laburkan pada ilmu.