Sabtu, 29 Mac 2025
Madani & Sikap Totalitariannya
Selasa, 10 Ogos 2021
Tim Marshall - Dipenjara Geografi
Sama ada negara itu merupakan negara yang besar, atau negara yang kecil, keadaan dan struktur georgrafinya menjadi pagar yang menghadkan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukannya. Ia menjadi penjara kepada ketua-ketua negara yang membataskan rancangan dan tindak tanduk mereka. Batasan ini merupakan perbatasan yang berkekalan sepanjang zaman, ia terpakai baik buat kerajaan kuno mahupun kerajaan moden. (vii)
Tanah dimana sesebuah negara didirikan akan menentukan bentuk masyarakat yang ada di atasnya. Ia mencorakkan peperangan, pergelutan kuasa, politik dan pembangunan sosial penduduk yang menduduki tanah tersebut. (vii) Menurut Marshall tiada satu faktor georgrafi yang lebih penting dari faktor geografi lain, kawasan pergunungan tidak kurang pentingnya dari padang pasir, sungai tidak kurang pentingnya dari hutan. Semua ini merupakan faktor geografi yang mencorakkan kehidupan manusia, membataskan apa yang mereka boleh dan tidak boleh lakukan. (viii)
Sebagai contoh China dan India, dua negara besar yang berjiran dan mempunyai corak politik dan budaya yang berbeza antara satu sama lain. Kedua-dua negara gergasi tidak pernah berperang antara satu sama lain kecuali satu pertempuran kecil pada tahun 1962. Mengapa? Kerana dua negara gergasi ini dipisahkan oleh pagar georgrafi yang sangat besar dan tinggi – Banjaran Himalaya. (viii) Sungai juga boleh menjadi pagar geografi, Sungai Ibar di Kosovo sebagai contoh, menjadi pemisah antara bangsa Serb dan Albania, ia kekal menjadi sempadan yang memisahkan dua etnik sejak Perang Kosovo Polje pada 1389 hinggalah ke hari ini. (ix)
Walaupun teknologi sudah berkembang maju, terdapat banyak kejadian alam yang masih belum boleh dikuasai manusia. Sebagai contoh, teknologi canggih satelit Amerika Syarikat ketika beroperasi di Afghanistan tidak dapat berfungsi semasa ribut pasir. Kejadian-kejadian alam ini merupakan sebahagian dari faktor cuaca dan geografi yang masih mempengarusi kehidupan manusia sejak zaman kuno sehinggalah ke zaman moden hari ini. (xi) Faktor geopolitik ini memberi kesan tidak kira sama ada negara itu sedang berperang atau dalam keadaan aman. (xii)
Jika kita melihat peta timur tengah, kita melihat bagaimana negara dibentuk kuasa kolonial tanpa mengambil kira topografi dan budaya menurut geografi sesebuah kawasan, hal ini merupakan resepi kegagalan. Kita melihat bagaimana negara-negara yang dibentuk kuasa kolonial ini tidak stabil dan masih berkonflik sehingga ke hari ini. (xii) Namun, ini tidaklah bermakna faktor-faktor lain tidak punya peranan langsung, ia tidak bermakna nasib kita telah ditentukan geografi. Teknologi sebagai contoh punya peranan dalam mengatasi batas-batas geografi. (xii)
Rusia
Rusia merupakan negara yang luas. Kedalaman Moscow ditengah-tengah keluasan ini menyebabkan mana-mana kuasa penjajah perlu memikirkan cara untuk memastikan laluan bekalan ketenteraan dapat disediakan untuk misi tersebut. Hal ini sangat sukar dilaksanakan. Pelajaran ini dipelajari oleh Napoleon pada 1812 dan Hitler pada 1941. (5) Sebagai sebuah negara terbesar di dunia, dengan musim pertanian yang singkat, kerajaannya menghadapi tugas sukar untuk memastikan bekalan makanan mencukupi untuk dibahagikan ke seluruh negara. (9)
Russia juga bukanlah sebuah kuasa di Asia. Walaupun 75 peratus kawasannya di Asia hanya 22 peratus penduduknya tinggal di bahagian ini. (10) Apabila Soviet Union runtuh, ia seolah-olah balasan geografi ke atas ideologi. Peristiwa ini menatijahkan peta yang lebih logikal yang mana pergunungan, sungai, tasik dan laut menjadi sempadan bagi bangsa-bangsa yang berbeza mengikut budaya dan bahasa mereka. (13)
Tim Marshall juga membahaskan mengapa negara-negara jiran seperti Georgia, Ukraine dan Moldova terikat dengan Rusia. Rusia tidak akan membenarkan negara-negara ini menyertai Kesatuan Eropah atau NATO. Perbahasan beliau ini pada saya mirip apa yang selalu dibahaskan oleh John Mearsheimer, yang mengatakan bahawa negara-negara ini adalah “buffer zone” buat Rusia dari serangan Eropah. Rusia akan bertindak jika kawasan ini masuk ke dalam sphere of influence Eropah, bahkan ia boleh mencetuskan peperangan. (14)
China
China sekian lama merupakan sebuah kuasa darat, dengan tanah yang luas dan populasi yang besar, hari ini populasi China sekitar 1.4 billion manusia. (37) Tindak tanduk China boleh dikatakan merupakan tindakan dari sifat takut, apa yang disebut sebagai geopolitics of fear. Mengapa China mahu menguasai Tibet? Hal ini mempunyai asas dari sudut geografi. Tibet merupakan tanah tinggi yang memberi kelebihan geografi bersempadan dengan India. Tibet juga merupakan sumber bagi 3 sungai utama China iaitu Sungai Kuning, Sungai Yangtze, dan Sungai Mekong. Atas faktor strategik geografi ini, China tidak akan melepaskan Tibet dari penguasaannya kerana ia adalah faktor survival buat China. (45)
Apa pula asas geografi bagi China untuk menguasai Xinjiang yang mempunyai majoriti penduduk Uighur Muslim? Xinjiang merupakan kawasan yang bersempadan dengan 8 negara, selain merupakan buffer zone, ia juga merupakan laluan perdagangan strategik bagi pelan One Belt, One Road. Selain itu Xinjiang juga menempatkan fasiliti persenjataan nuklear China. (49)
Mungkin tindak tanduk China yang penting buat kita adalah aktiviti China di Laut China Selatan. Malaysia pernah menyekat animasi Abominable dari ditayangkan di pawagam negara kerana animasi ini memaparkan peta Laut China Selatan dengan 9-dash line yang merupakan kawasan tuntutan China di Laut China Selatan. Laut China Selatan juga mempunyai First Island Chain yang merupakan sempadan laut bagi China untuk mengakses Laut Pasifik. (54) Tuntutan China keatas Laut China Selatan bukan sahaja bermotifkan akses pada pasifik, ia juga satu perebutan sumber minyak dan gas yang ada di kawasan tersebut juga hak untuk menangkap ikan di kawasan tersebut.
Untuk menguatkan tuntutan, China membina realiti di lapangan. Sebagai contoh, di satu Pulau Spratly, China membina pelabuhan lengkap dengan landasan untuk digunakan oleh jet pejuang. Di batu karang yang lain China juga menempatkan unit artileri mereka. (59)
China juga bergantung kepada pembukaan Selat Melaka untuk digunakan mereka. Hampir 80 peratus bahan tenaga yang diimport ke China melalui Selat Melaka. (61) Negara yang mengawal selat ini, Indonesia, Malaysia, dan Singapura adalah pro-Amerika Syarikat. Selat ini mempunyai bahagian sempit yang hanya berkeluasan 1.7 batu sedangkan 12 juta tong minyak melaluinya setiap hari untuk memastikan kilang-kilang di China dapat terus beroperasi. (84)
Undang-undang antarabangsa yang mengawal kedaulatan di laut adalah United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS). Dimana negara yang meratifikasi undang-undang ini mempunyai hak ekonomi sejauh 200 batu nautika dari perairan mereka dan menjadikan kawasan ini Exclusive Economic Zone (EEZ), dimana sesebuah negara boleh meneroka sumber minyak dan gas, juga mempunyai hak perikanan dalam kawasan ini. (278)
Amerika Syarikat
Dalam membahaskan Amerika Syarikat sebagai kuasa dunia, Marshall menolak teori bahawa Amerika Syarikat merupakan satu kuasa yang sedang dalam kemerosotan. Kedudukan Amerika sebagai negara besar yang bersempadan dengan Laut Atlantik dan Pasifik, keluasan tanah dan kesuburan, kemajuan teknologi, serta ketiadaan musuh regional merupakan antara hujah Marshall bahawa Amerika Syarikat akan terus menjadi superpower dunia. Bagi beliau tulisan bahawa Amerika dalam kemerosotan adalah satu exaggeration.
Antara kekuasaan strategik Amerika adalah posisinya sebagai ketua kepada pakatan ketenteraan NATO. Pembentukan NATO oleh Amerika Syarikat pada tahun 1949 membolehkannya mewarisi kuasa ketenteraan Eropah. Walaupun ketua sivil bagi NATO berubah-rubah, komander NATO akan sentiasa merupakan Amerika Syarikat. (77)
Bagi Marshall, Rusia bukanlah lawan Amerika Syarikat pada hari ini, keadaan geografi menafikan keupayaan Rusia untuk mendapat akses terhadap lautan global. Mereka masih tidak mempunyai perlabuhan yang tidak akan membeku, dan akses terhadap lautan terbuka perlu melalui lautan Laut Baltik, Laut Utara, Laut Hitam, dan Laut Mediterranean yang mendedahkannya kepada pelbagai negara yang tidak mempunyai hubungan mesra dengannya. (79)
China pula menghampiri Amerika Syarikat dari sudut ekonomi. Tetapi mereka masih lagi ketinggalan dari sudut strategi dan ketenteraan. Manakala Amerika akan terus menggunakan kelebihan yang ada padanya untuk memastikan China tidak berjaya mendahuluinya. (80)
Mengakhiri analisis beliau terhadap Amerika Syarikat, Marshall menolak teori bahawa Amerika merupakan sebuah kuasa yang sedang mengalami kemerosotan. Beliau berpendapat sebaliknya. Amerika sedang menuju fasa dimana ia tidak perlu lagi bergantung kepada bekalan tenaga luar. Amerika kekal menjadi kuasa ekonomi terbesar dan merupakan negara yang paling banyak melabur dalam bidang ketenteraan. Populasinya juga tidak menghadapi masalah penuaan, ia kekal menjadi negara pilihan bagi migrasi dan memiliki universiti-universiti terbaik di dalam dunia. Semua faktor ini menurut Marshall akan mengekalkan kekuasaan Amerika ke atas dunia. (90)
Eropah Barat
Menurut Marshall, apa yang kita rasai sebagai dunia moden pada hari ini lahir dari Eropah. Ia adalah anugerah pada dunia berkat lokasi strategik Eropah yang melahirkan idea dan inovasi. (94) Eropah mempunyai banyak sungai-sungai yang sesuai untuk aktiviti perdagangan. Sungai ini tidak bercantum lalu menghasilkan diversiti negara dalam ruang yang sempit dengan sempadan semulajadi. (95)
Eropah juga menyaksikan negara seperti United Kingdom (UK) yang berkedudukan strategik, kepulauan yang terisolasi yang memberinya sekuriti. Marshall menjelaskan bahawa sekuriti yang dikecapi oleh UK menjadikannya sebuah negara yang boleh memberikan kebebasan tanpa despotisma kepada rakyatnya. Menurut teori ini, dengan ketiadaan ancaman luar, UK tidak memerlukan diktator atau pemimpin yang kuat untuk mempertahankannya. Keadaan ini berjaya melahirkan demokrasi sebelum negara-negara lain mengecapinya. (110)
Kemasukan Imigran Muslim ke negara-negara Eropah juga memberi kesan kepada Kesatuan Eropah. Imigran Muslim berhijrah kebiasaannya disebabkan faktor ekonomi, juga terdapat golongan yang melarikan diri dari pergolakan yang berlaku di Timur Tengah. Kemasukan imigran ini bukan sahaja menyebabkan kegelisahan warga Eropah berkulit putih, ia juga memberi kesan kepada polisi Eropah, contohnya terhadap isu Palestin dimana sensitiviti populasi rakyat muslim mereka perlu diambil kira dalam mengetengahkan sesuatu polisi. (114)
Afrika
Berbeza dengan Eropah, Afrika mempunyai sungai-sungai yang hebat, namun sungai-sungai ini tidak dapat digunakan bagi tujuan perdagangan kerana ia mempunyai banyak air terjun. Perkara ini menghambat Afrika dari mencapai kemajuan seperti Amerika dan Eropah. (120)
Antara tragedi dalam pembentukan negara moden yang dibahaskan oleh Marshall adalah bagaimana bangsa kolonial Eropah melukis peta sempadan negara tanpa menghiraukan keadaan geografi dan sempadan kaum. Contohnya di Afrika mereka melukis sempadan di atas peta mereka kemudian memanggilnya sebagai sebuah negara. Antaranya kawasan pertengahan Congo dan kawasan atas Volta, kemudian memanggil kawasan ini sebuah negara. Ini bukan sahaja satu kesilapan malah penipuan. Akibatnya, penduduk Afrika terperangkap dengan sempadan politik yang dilukis oleh orang Eropah hinggalah ke hari ini. Mereka berperang sesama sendiri serta membantutkan perkembangan ekonomi mereka serta tidak dapat merasai hasil semulajadi yang ada dalam sempadan geografi mereka. Perkara yang sama akan kita lihat di Timur Tengah. (125)
Mesir merupakan sebuah negara yang kaya dengan sejarah di Afrika. Mereka merupakan satu negara dengan ketamadunan yang hebat ketika bangsa Eropah masih lagi tinggal dalam rumah yang dibuat dari lumpur. Namun Mesir tidak dapat menjadi kuasa global dan hanya menjadi kuasa regional. Walaupun dilindungi oleh padang pasir, dan mempunyai akses kepada Laut Mediterranean. Sebab kepada halangan ini menurut Marshall adalah geografi, Mesir terletak di kawasan yang tidak punya banyak pokok. Tanpa sumber kayu, Mesir tidak dapat membina armada laut untuk meluaskan kuasanya. (132)
Hari ini kita melihat hari ini bagaimana China mula melabur dengan agresif di Afrika. Negara-negara Afrika senang untuk menerima pelaburan dari China kerana pelaburan China tidak datang dengan sebarang kondisi, China tidak mempunyai pandangan terhadap hak asasi manusia atau korupsi, mereka hanya menimbang dari sudut ekonomi. China tidak akan menyuruh negara-negara Afrika melakukan reformasi ekonomi, atau memperbaiki hak-hak manusia, atau menekan pemimpin Afrika untuk membanteras korupsi seperti mana Bank Dunia atau IMF. Dalam perkara ini, Marshall mengetengahkan faktor ekonomi bukan geografi. (140)
Timur Tengah
Perkataan “Timur Tengah” adalah perkataan yang dicipta oleh orang Eropah. Kita harus bertanya, ditengah apa? Timur dari mana? Ia adalah kawasan Timur dari Eropah, kawasan pertengahan sebelum sampai ke bahagian yang lebih Timur di Asia (Far East). Terminologi ini sendiri lahir dari konsep Eropah terhadap dunia, pandangan Eropah terhadap dunia Timur ini dikupas dengan menarik sekali oleh Edward Said dalam makalah beliau Orientalism. Seperti juga di Eropah, tragedi di Timur Tengah lahir dari tangan orang Eropah yang membuat sempadan negara diatas tanah-tanah jajahan mereka, sempadan yang sekarang cuba diubah dengan darah dalam pergolakan di Timur Tengah. (148)
Sempadan yang dilukis ini adalah imaginasi kolonial Eropah. Sempadan yang ada menurut sejarah adalah berdasarkan geografi. Kawasan-kawasan ini terpisah dan ditadbir mengikut keadaan geografi, semangat etnik dan agama. Mereka tidak menubuhkan negara bangsa seperti konsep negara bangsa Eropah, dan penduduknya tidak mempunyai konsep sempadan negara tetap. Mereka telah sekian lama mengembara dalam kawasan ini tanpa sempadan untuk bertemu keluarga, apabila mereka tiba-tiba memerlukan dokumen yang dikeluarkan oleh pihak yang mereka tidak kenali ia merupakan satu konsep yang asing. (148-149)
Dalam menelusuri konflik di Timur Tengah, Marshall seolah-olah mencanggahi thesis utama beliau, hujah yang dipakai banyak membahaskan soal perbezaan fahaman agama berbanding geografi. Di Iraq sebagai contoh, golongan Syiah tidak akan mengiktiraf penguasaan kerajaan Sunni terhadap dua bandar suci mereka iaitu Najaf dan Karbala, di mana mereka mempercayai Ali dan Hussin dikebumikan. Kawasan-kawasan ini sekian lama diperintah sebagai kawasan berbeza: Mosul, Baghdad dan Basrah, pemisahan ini telah berlaku sejak zaman Assyria, Babylon, dan Sumer, begitu juga dibawah pemerintahan Parsi dan Umayyah. Hanya British menurut Marshall yang memisahkan 3 kawasan pemerintahan ini menjadi satu. Ia merupakan satu kemustahilan yang tidak logik yang hanya boleh difahami seperti konsep Triniti, namun realitinya bagi Iraq ia adalah konsep kehancuran. (152-153)
Bagi menyatukan kawasan-kawasan yang tidak bersatu ini, penganalisis politik mengutarakan teori bahawa satu pemimpin yang kuat (strong man) diperlukan untuk menyatukan mereka. Satu per satu diktator diangkat dan dibuang, namun hakikatnya penduduknya tidak pernah bersatu, mereka hanya duduk diam sebentar kerana takutkan diktator. Antara bangsa yang hidup dalam batas geografi Iraq tetapi merupakan satu etnik tersendiri adalah Bangsa Kurdis, mereka menduduki batasan geografi yang boleh ditentukan dengan objektif disamping mempunyai populasi yang besar dan mampu bertindak balas apabila beban diktator terlalu menghimpit. Iraq mempunyai 5 juta penduduk berbangsa Kurdis di bahagian utara di kawasan seperti Irbil, Sulaimaniyah dan Dahuk. Mereka berjaya memelihara identiti mereka yang tersendiri meskipun ditekan dibawah regim diktator. (153)
Marshall juga menolak teori yang mengatakan ketidakstabilan Timur Tengah adalah kerana Israel. Bagi beliau ini adalah penipuan yang diketengahkan oleh diktator Arab. Penipuan ini menurutnya diterima oleh orang-orang Eropah yang bodoh. (168) Namun dalam hal ini saya kira Marshall tidak jujur, beliau tidak membahaskan peranan kuasa Eropah dalam menghalang proses pendemokrasian negara-negara Timur Tengah. Beliau juga tidak membahaskan sokongan Eropah terhadap para diktator yang membolehkan mereka mengawal sumber hasil bumi, juga sikap Eropah yang mengambil keuntungan hasil dari konflik yang berlaku dengan menjual senjata.
Mengapa Kesatuan Eropah tidak menerima Turki sebagai ahlinya? Bagi Marshall sebab pertama adalah kerana rekod hak asasi manusia, terutamanya dalam persoalan Bangsa Kurdis. Juga kerana ketidak setaraan ekonomi. Perbezaan ekonomi ini ditakuti akan menimbulkan migrasi populasi besar-besaran bangsa Turki ke Eropah bagi mencari pekerjaan. Faktor ke-Islaman negara Turki juga dilihat sebagai faktor penolakan Eropah keatas Turki dari menjadi ahlinya. (180-181) Dalam analisa beliau perihal “Arab Spring”, bagi Marshall ia adalah ciptaan media. Media Barat pantas menemuramah protestan muda yang liberal menjadikan ia seolah-olah suara keseluruhan masyarakat Arab. Perkara ini menimbulkan kekeliruan kepada kefahaman masyarakat Barat perihal fenomena ini, mereka membayangkan bahawa masyarakat Arab sudah bersedia menerima kebebasan liberal seperti di Barat. Namun hakikatnya suara yang mereka angkat itu adalah suara minoriti dalam masyarakat Arab. (185) Bagi Marshall, kebencian orang Arab terhadap Barat bukanlah satu prejudis, tetapi sifat mereka. Namun sifat ini tidak dikritik oleh golongan liberal di Barat yang digelar “apologis” oleh Marshall. Ini kerana menurutnya mereka takut digelar dengan gelaran “Orientalis” yang dipelopori oleh kajian Edward Said. (187)
India-Pakistan
Perpecahan antara India, Pakistan, dan Bangladesh juga menurut Marshall adalah kerana perbezaan sejak zaman purba bersabit dengan bahasa, georgrafi, dan agama. Apabila British meninggalkan kawasan jajahan mereka, perbezaan ini muncul kembali dan menatijahkan peperangan dan pembentukan negara yang berbeza. (194) Perkara ini merupakan perkara yang sama, bagaimana kuasa kolonial menggabungkan bangsa yang berbeza identiti untuk membentuk satu negara bangsa. Penjajahan Amerika Syarikat ke atas Afghanistan juga merupakan sebuah resepi kegagalan. Taliban yang cuba diperangi adalah penduduk Afghanistan dan Pakistan, mereka tiada tempat lain untuk pergi. Mereka akan kekal di sana selepas Amerika Syarikat berundur. Bak kata pepatah “you may have the watches, but we have the time”. (206)
Kesimpulan
Pada hemat saya, buku ini tertingkat sedikit martabatnya kerana beliau menukil dua nama penulis kegemaran saya. Pertama beliau berani mengkritik label "Orientalis" yang dipelopori Edward Said. Kedua, beliau memetik nama Carl Sagan dalam konklusinya. Bagi Sagan masa depan eksplorasi manusia adalah angkasa lepas, dan ini menurut Marshall merupakan tempat dimana konflik masa depan akan mengambil tempat. (288) Pandangan peribadi saya perbahasan geo-politik beliau biasa-biasa sahaja. Mungkin kerana fokusnya terlalu besar, jadi konflik regional dibahaskan secara surface level sahaja. Banyak juga hujah dan perbahasan beliau yang lari dari central thesis beliau sendiri, iaitu geografi sebagai sumber konflik, sebaliknya banyak perbahasan beliau yang menjurus kepada faktor lain sebagai sumber konflik seperti ideologi, agama dan semangat etnik terutamanya dalam soal India, Pakistan dan Timur Tengah. Walaubagaimanapun saya merasakan kekuatan buku ini adalah pada accessibility-nya, ia mudah dibaca dan difahami oleh sesiapa sahaja.
Ahad, 9 Mei 2021
Analisa Roger Garaudy Perihal Ideologi Politik Zionis
Pertama kali saya melihat buku ini, saya
ingat ia adalah buku tulisan apologis Israel, Alan Dershowitz, buku Dershowitz
itu bertajuk The Case for Israel. Buku Dershowitz ini dikritik hebat
oleh Prof. Norman Filkenstein sebagai “complete nonsense” dan “spectacular
academic frauds ever published”. Jadi pada mulanya saya berhasrat untuk
menolak dari membaca dan mengupas buku tersebut. Namun setelah diteliti,
rupa-rupanya ia adalah buku yang lain. Buku ini bertajuk The Case of Israel,
bukan “for” Israel, dan sub-title-nya adalah A Study of
Political Zionism yang ditulis oleh ahli falsafah Perancis, Roger Garaudy.
Sebelum kita masuk ke dalam isi buku ini,
elok kita tinjau sedikit latar belakang penulis. Roger Garaudy lahir di
Marseille, Perancis pada tahun 1913. Beliau memegang dua PhD, pertamanya dalam
bidang falsafah dari Sorbonne yang kedua dari Institute of Philosophy dari
Russian Academy of Sciences. Dalam bidang politik, beliau merupakan ahli Parti
Komunis Perancis, pernah menang undian dan menjadi ahli parlimen Perancis, dan
pada tahun 1970 beliau menjadi senator. Beliau memeluk Islam pada tahun 1982
dan berkahwin dengan seorang wanita dari Palestin. Beliau pernah dijatuhkan
hukuman di bawah akta Gayssot kerana menafikan Holocaust, tetapi beliau
menafikan tuduhan ini kerana menurut beliau bukunya memperihalkan bagaimana
Israel menggunakan Holocaust sebagai justifikasi polisi kolonial mereka. Beliau
meninggal dunia pada tahun 2012 pada umur 98 tahun.
Buku ini diterbitkan pada tahun 1983 oleh
Shorouk International, ia merupakan terjemahan dari naskah asal yang bertajuk L’Affaire
Israël: le sionisme politique yang diterbitkan oleh SPAG-Papyrus di Paris pada
tahun yang sama. Prakata untuk naskah bahasa Inggeris ini diantar oleh Peter
Mansfield.
Dalam pendahuluannya, Garaudy membawakan
bagaimana topik Israel dan Zionis ini menjadi begitu taboo dalam masyarakat
Perancis yang kononnya sekular dan sangat mendokong kebebasan bersuara.
Bagaimana baru-baru ini timbul semula isu kebebasan bersuara di Perancis
apabila seorang cikgu menunjukkan gambar karikatur Nabi Muhammad di sekolah, dalam
mempertahankan kebebasan bersuara ini, Presiden Emmanuel Macron membuat kenyataan
bahawa “agama Islam hari ini dalam krisis”. Menurut Garaudy di Perancis
masyarakat dibenarkan mengkritik apa sahaja sama ada dogma Katolik atau teori
Marxis, menyerang ateis atau nasionalis, mengutuk regim seperti Kesatuan
Soviet, Amerika Syarikat atau Afrika Selatan, juga dibenarkan untuk menyebarkan
fahaman anarki atau monarki, semua ini boleh dilakukan tanpa terjatuh ke dalam
polemik dan kontroversi. Namun apabila masyarakat mengkritik polisi kolonial
Zionis, tiba-tiba ia bukan lagi dibawah kebebasan bersuara tetapi dibawah
undang-undang, dituduh sebagai seorang “Nazi” dan “anti-Semite”. (5)
Tuduhan “anti-Semite” ini memang merupakan
senjata besar Israel dalam membunuh karakter pemimpin-pemimpin Eropah yang
memperjuangkan kebebasan Palestin. Anti-semite ini satu label yang sangat
buruk, sebaris dengan fasis, nazi dan juga rasis. Kalau kita tengok pilihanraya
United Kingdom tahun 2019, apabila pemimpin Parti Buruh ketika itu Jeremy
Corbyn yang pro-Palestin masuk pilihanraya, golongan pelobi Israel ini mainkan
sentimen “anti-Semite” kepada Corbyn hinggalah dia kalah dalam pilihanraya.
Penggunaan “anti-Semite” sebagai senjata ini bukanlah perkara baru, di Amerika
Syarikat pun kita lihat perkara yang sama, bagaimana pemimpin pro-Palestin
diserang pelobi Israel seperti Ilhan Omar, Alexandria Ocasio-Cortez (AOC),
Bernie Sanders, Betty McCollum, Rashida Tlaib, mereka ini sasaran pelobi Israel.
Dan isu penggunaan “anti-Semite” ini sebagai senjata untuk melindungi polisi
barbarik Israel ini dah lama dikupas oleh ahli akademik. Antara buku yang baik
adalah Beyond Chutzpah tulisan Prof. Norman Finkelstein.
Untuk tidak jatuh ke lembah anti-semitism,
Garaudy dalam pendahuluannya amat berhati-hati, disini beliau membuat beberapa
perbezaan, agar pembaca dalam kefahaman yang jelas bahawa serangan beliau
bukanlah ditujukan kepada bangsa Yahudi secara pukal, atau kepada agama
Judaism, tetapi serangan beliau adalah spesifik terhadap pemikiran kolonial
Zionis. Beliau memulakan dengan membezakan zionis agama dan zionis politik.
Zionis agama adalah berbentuk spiritual dan merasakan keterikatan hati dengan
tanah-tanah sejarah yang ada disebut dalam teks-teks Yahudi. Perasaan spiritual
ini tidak menimbulkan ketegangan dengan masyarakat Muslim atau Kristian, dan
mereka mampu hidup bersama selama ratusan tahun. (7)
Apa yang menjadi masalah adalah Zionis
politik yang dimulakan oleh Theodor Herzl bermula tahun 1882. Idea Herzl ini
disusun dalam bukunya Der Judenstaat (1896). Herzl sendiri bukanlah seorang
yang beragama, beliau merupakan seorang agnostik dan menentang keras penakrifan
Judaism sebagai sebuah agama. Sebaliknya beliau melihat bangsa Yahudi dalam
lensa nasionalis. Dari Herzl lahirlah gerakan politik Zionis yang tidak
berakarkan agama. Menurut Garaudy, idea Herzl merupakan idea kolonial sejak
awal, antara penasihat beliau adalah Cecil Rhodes yang menjalankan aktiviti
kolonial di Afrika Selatan. Herzl pada mulanya tidak mempunyai sebarang
preference kepada geografi tempat untuk mendirikan Judenstaat-nya. Namun kemudian
dia memilih Palestin kerana dia boleh menunggang sentimen spiritual Zionis
agama walaupun beliau sendiri secara peribadi tidak mempercayai agama. (7-9)
Perbezaan yang kedua yang dibahaskan oleh
Garaudy adalah perbezaan antara Zionisme dan Judaisme. Setelah menunggang agama
untuk menjayakan projek kolonial Zionis. Taktik kedua adalah menyamakan
Judaisme dan Zionisme, melalui persamaan ini, sesiapa yang mengkritik polisi
kolonial Zionis akan dengan mudah dilabel sebagai anti-semitik. (9) Sebenarnya,
dalam masyarakat yahudi sendiri, terdapat banyak penentangan terhadap projek
kolonial Zionis, namun tidak mendapat perhatian yang besar. Antaranya adalah
mazhab ortodoks Yahudi Heredi, Naturei Karta, mereka sangat lantang menentang
projek kolonial Zionis dan selalu bersama dalam perarakan pro-palestin.
Kumpulan yang lebih liberal adalah Jewish Voice for Peace, manakala barisan
muda progresif yang selalu berkempen menentang kekejaman Israel adalah kumpulan
seperti IfNotNow.
Penggunaan label “anti-semitism” secara
salah ini sebenarnya berbahaya kepada kaum Yahudi sendiri, sebab itu ia
ditentang oleh banyak orang Yahudi seperti kumpulan yang disebut sebelum ini.
Kerana dengan menggunakannya secara salah, abuse of the word, ia akan
menjadikannya perkataan yang tidak bermakna. Contohnya dalam masyarakat
Malaysia, sering apabila agamawan bergaduh mereka akan melemparkan label
“Wahabi”, sehingga perkataan itu hilang relevan dan sekadar menjadi mainan
mulut untuk menyerang lawan. Ini akan menyusahkan proses melawan anti-semitism
yang benar, kerana ia telah bercampur aduk.
Garaudy juga menolak teori konspirasi
“Judeo-Masonic” yang sering berlegar dalam masyarakat, beliau menolak teori
konspirasi bahawa Yahudi dan Freemason ingin menguasai dunia, dalam hal ini
beliau menolak naskah Protocols of the Elders of Zion yang merupakan
fogery yang dilakukan oleh polis rahsia Rusia. (13) Sebaliknya Garaudy memuji
tradisi Judaism yang memberi banyak sumbangan kepada kemanusiaan. Dalam setiap
agama, termasuk Islam dan Kristian menurut Garaudy, ada tendensi yang
berlawanan antara satu sama lain. (14)
Contohnya dalam Islam ada ayat-ayat
perihal persaudaraan, keampunan, juga persefahaman. Tetapi Islam bukan agama
yang pasifis, dalam keadaan tertentu, Islam mengiktiraf perlunya kekuatan dalam
konflik persenjataan. Ayat Al-Qur’an ada diturunkan dalam situasi perang.
Tetapi ada organisasi-organisasi yang menggunakan ayat-ayat dalam konteks
peperangan ini sebagai justifikasi keganasan yang dilakukan mereka. Jadi
menurut Garaudy, perkara yang sama yang dilakukan oleh gerakan politik Zionis,
yang menggunakan ayat-ayat agama dalam menjustifikasikan keganasan program
kolonial mereka, petikan dalil agama ini memberi bayangan bahawa gerakan
kolonial Zionis itu adalah sama sahaja dengan agama Judaism. (14)
Beliau memuji tokoh-tokoh yang memberi
sumbangan kepada kemanusiaan seperti Spinoza dan Martin Buber. Menurut
pandangan Garaudy, Zionis politik bukanlah berakar dari Judaism, tetapi ia
adalah satu fahaman berbentuk nasionalis dan kolonialis yang lahir dari rahim
nasinalisma dan kolonialisma Eropah pada abad ke-19. Penggunaan dalil dari
Bible secara selektif dengan penafsiran yang berbentuk perkauman adalah taktik
Zionis politik dalam menutup kekejaman polisi dan objektif mereka. (16)
Perbezaan yang terakhir yang diketengahkan
oleh Garaudy dalam pendahuluannya adalah perbezaan antara Israel di dalam Bible
dan negara Israel hari ini. Negara moden Israel pada hari ini merupakan negara
ketenteraan dengan 50 peratus dari bajetnya digunakan untuk ketenteraan. Israel
merupakan negara yang mengamalkan aspirasi expantionist dengan objektif untuk
memecahkan negara-negara Arab menurut Garaudy. Pemimpin-pemimpinya menggunakan
Bible sebagai alasan polisi ini, antara negara yang ingin dimakan oleh Israel
dengan alasan historic right adalah Lubnan, Syria, Jordan, Turki, Mesir dan
Cyprus. (16-17)
Antara bahaya lain dalam menyamakan
Zionisme dengan Judaism dengan memetik dalil-dalil dari Bible adalah lahirnya
anti-semitisme yang sebenar. Kerana kekejaman, pembunuhan, polisi kolonial, dan
penghapusan etnik yang dilakukan Zionis juga akan disamakan dengan Judaism dan
bangsa Yahudi. Ini akan menjadi justifikasi kebencian dunia kepada bangsa
Yahudi dan Judaism, bukan lagi kepada Zionisme. Oleh itu menurut Garaudy,
penyebab kepada anti-semitisme bukanlah kritikan terhadap polisi kolonial
Zionisme tetapi sokongan membuta tuli terhadap polisi tersebut. (23)
Dalam bab yang pertama dalam buku ini,
Garaudy cuba untuk membahaskan propaganda bahawa Israel mempunyai hak sejarah
“historical right” ke atas tanah Palestin, propaganda ini adalah dogeng menurut
Garaudy. Dan propaganda ini sering dikaitkan dengan hak yang sakral “devine
right” atau tanah yang dijanjikan “promised land” menurut Bible. Namun dalam
naskah ini Garaudy memisahkan dua dakwaan ini, historical claim dan divine
claim, dan dalam bab pertama beliau hanya berbincang persoalan hak menurut
sejarah. Hal ini tidak susah untuk dilakukan, kerana tidak ada bukti sejarah
dalam teks-teks purba masyarakat Timur Tengah di luar Bible atau tinggalan
arkeologi yang mengabsahkan kisah yang berlaku pada tahun 10 sebelum Masehi
berkenaan wujudnya masyarakat Yahudi, penindasan mereka di Mesir, dan juga
penaklukan yang mereka lakukan kepada Kaum Kanaan. (29)
Mungkin bagi siapa yang tak familiar
dengan kisah ini adalah kisah bagaimana Bani Israel diselamatkan dari kekejaman
dan penindasan Fir’aun di Mesir. Kemudian mereka lari dan sampai ke Palestin,
Tuhan menjanjikan mereka bumi tersebut. Mereka pun memerangi Bangsa Kanaan
(Cananite), jika dibaca dalam Bible dalam Book of Joshua dan Deuteronomy ia
adalah satu siri pembunuhan yang kejam, yang mana tiada nyawa ditinggalkan,
semua dibunuh lelaki, wanita, dan kanak-kanak.
Tetapi tinggalan rekod sejarah amat
berbeza dengan apa yang diceritakan dalam Bible. Pada zaman ini tulisan telah
pun wujud. Mesir purba mempunyai sistem tulisan Hieroglyphs, dan sistem tulisan
ini walaupun telah pupus, ia telah dikaji dan pengkaji telah decipher bahasa
purba ini. Zaman sekarang tulisan Hieroplyphs ini boleh dipelajari di Youtube. Bahasa
purba Sumer di Mesapotamia juga telah di decipher oleh pengkaji, sebab itu hari
ini kita boleh membaca Epic of Gilgamesh yang ditulis dalam bahasa Sumerian
yang sudah pupus. Jadi kita boleh membaca sejarah pada zaman tersebut.
Berdasarkan tinggalan sejarah ini tiada langsung rekod perihal kerajaan Israel,
malah perkataan Israel yang dijumpai melalui rekod zaman tersebut hanya ayat
“Israel telah dimusnahkan, tidak wujud lagi bangsa Israel”. Rekod ini juga
tidak dijumpai dalam kerajaan-kerajaan lain sekitar timur tengah yang bersaing
dengan Mesir Purba. Rekod yang ada adalah perihal ketamadunan bangsa Kanaan
pada zaman tersebut. (31-32)
Dari bukti-bukti sejarah ini, Garaudi
menyimpulkan dua perkara.
Yang pertama, Israel tidak mempunyai “hak
sejarah” keatas Palestin, kerana sebelum kedatangan bani Israel sudah wujud
bangsa-bangsa lain termasuklah Canaanites, Hittites, Ammonites, Moabites, dan
Edomites, juga kedatangan bangsa Philistines. Bangsa Arab datang kemudian pada kurun
ke-7, mereka kemudian berasimilasi dengan masyarakat yang ada dan
memperkenalkan budaya mereka. Jadi apa yang disebut sebagai Bangsa Palestin itu
bukanlah merujuk pada etnik tapi lebih kepada fenomena budaya, yang mana mereka
merupakan keturunan bangsa-bangsa asal termasuklah Bangsa Kanaan. (32)
Kesimpulan yang kedua, bangsa Israel yang
datang, sama ada melalui penghijrahan atau penaklukan, adalah satu dari
pelbagai bangsa yang pernah menjajah tanah ini termasuklah bangsa Babylon,
Hittites, Mesir, Parsi, Yunani, Roman, Arab, Turki, dan British. Hanya selepas
kurun ke-13, kita boleh menyatakan bahawa Israel itu sebuah bangsa kerana tiada
rekod bertulis akan kewujudan mereka sebelum itu melainkan rekod Bible. (32-33)
Semasa penjajahan Rom, bangsa Israel tidak lagi wujud di Palestin dalam bentuk
komuniti, tetapi mereka sudah menjadi diaspora di Eropah dan Timur Tengah. Bani
Israel atau bangsa Yahudi bukanlah penduduk asal, tetapi satu dari pelbagai
etnik yang ada di tanah Palestin. (33)
Jadi dalam sejarah Palestin yang panjang
ini, hanya ada beberapa ketika pengaruh, iaitu peristiwa penaklukan Kanaan, 73
tahun kerajaan David dan Solomon, pembuangan negeri ke Babylon dan pulang
kembali, juga siri revolusi yang gagal semasa pemerintahan Rom. Sedangkan 2,000
tahun sebelum kedatangan Bani Israel ini seolah-olah tidak diambil kira. Juga
2,000 tahun selepas kegagalan pemberontakan pada kerajaan Rom sehinggalah
pembentukan Israel pada 1948 seolah-olah bukan bukti sejarah, seolah tiada apa
yang berlaku sewaktu itu. (36)
Dalam perbahasan mainan propaganda dogeng
hak sejarah ini juga, Garaudy menyerang propaganda yang lain termasuklah
propaganda bahawa Israel berjaya menukarkan Palestin dari padang pasir kepada
kebun yang subur. Saya juga dahulu percaya akan dongeng ini, pernah sekali saya
bawakan hal ini untuk dibincangkan dengan seorang profesor biologi tempatan,
beliau langsung tidak nampak keajaiban, katanya sistem saliran air yang baik
sudah cukup untuk menukar padang pasir kepada kebun. Antara frasa propaganda
yang masyhur perihal hal ini bahawa Palestin adalah tanah gersang tanpa
penduduk sebelum terbinanya negara Israel adalah frasa: “give a country without
a people to a people without a country”. (37)
Antara buku yang ditulis dengan penipuan
bahawa Palestin sebelum Israel adalah tanah kosong tanpa penduduk adalah buku
yang ditulis oleh Joan Peters bertajuk From Time Immemorial, buku ini
diiktiraf sebagai pemalsuan fakta hatta oleh penyokong Israel sendiri. Buku
Peters ini merupakan antara rujukan Alan Dershowitz dalam The Case for
Israel, dimana Finkelstein membuktikan bahawa Dershowitz plagiat buku
Peters ke dalam bukunya.
Zionism sering mengatakan bahawa bangsa
Palestin tidak wujud, tetapi mereka melawan, they did not exist but they
resist, ini merupakan satu falasi logika yang serious, bagaimana sesuatu
yang tidak wujud boleh wujud dalam masa yang sama. (37) Propaganda bahawa
Palestin hanyalah padang pasir sebelum kedatangan Israel ini sangat mudah
dipatahkan oleh Garaudy. Beliau membawakan data semasa penjajahan British
bahawa Palestin merupakan pengeksport gandum dan buah oren. Malah menurut Peel
Report 1937, eksport oren Palestin mendahului Amerika Syarikat, Sepanyol, dan
negara-negara lain. (39)
Antara bahagian dari mitos sejarah yang
digunakan Zionism adalah mitos bangsa, mitos ini menyatakan kononnya bangsa
Yahudi itu bersambung zaman berzaman. Ini merupakan sebuah fiksi dalam bentuk
genealogi – hakikatnya bangsa Yahudi hari ini bukanlah keturunan satu bangsa,
sebaliknya mereka telah bercampur dengan masyarakat setempat lain, hal ini
kerana bangsa Yahudi sebelum penubuhan Israel terpecah ke dalam banyak negara
dalam bentuk diaspora. Walaupun diakui, ada tokoh dalam bangsa Yahudi, seperti
Nehemiah dan Ezra yang membawa ideologi bahawa bangsa Yahudi harus mengekalkan
“purity” dengan tidak berkahwin silang dengan bangsa lain. (40) Israel hari ini
memanipulasi pemikiran Nehemiah dan Ezra ini untuk tujuan kekuasaan politik
walaupun kebanyakan yahudi di Israel dan diserata diaspora tidak lagi menganuti
agama yang dianuti oleh bangsa yahudi dahulukala. (41)
Konsep “bangsa’ seperti yang kita fahami
hari ini adalah rekaan Barat pada abad ke-19 untuk menjustifikasikan projek
kolonial mereka. Konsep ini mengubah fahaman bangsa dari kumpulan yang memiliki
bahasa yang sama kepada perbezaan biologi, mereka juga mencipta hiraki bangsa
dan etnik bagi manusia. Semangat bangsa berdasarkan biologi ini lahir dari
teori evolusi yang menganggap bangsa bukan Eropah sebagai bangsa primitif. (42)
Kefahaman pseudo-saintifik yang lahir dari
teori evolusi ini (juga dikenali sebagai social-darwinism dan diaplikasikan
dalam eugenics) sering digunakan sebagai justifikasi untuk mendominasi bangsa
lain dengan keganasan. Kemuncaknya adalah Nazism dimana Hitler sebagai contoh,
dalam Mein Kampf menuduh yahudi membawa orang kulit hitam ke Jerman bagi
merosakkan darah dan keturunan orang Jerman, walhal orang yahudi sendiri
menjaga darah dan keturunan mereka. (43) Negara Israel hari ini menggunakan
definisi rasis yang sama dalam mendefinisikan siapa yang layak diiktiraf
sebagai orang Yahudi, iaitu mereka yang lahir dari wanita Yahudi atau beriman
dengan agama orang Yahudi. Definisi ini adalah definisi rasis menurut Garaudy,
kerana mereka yang diiktiraf akan mendapat keistimewaan manakala yang tidak
akan tertindas. (43)
Bagi Garaudy, sejarah dan biologi tidak
dapat membentuk definisi bangsa yang jelas, dengan mencipta satu kumpulan
bangsa yang terpisah dari sesebuah negara adalah mencipta mitos menurut beliau.
Ini merupakan persamaan antara Zionism dan anti-semite, yang mahu mengasingkan
Yahudi sebagai sebuah bangsa yang terpisah dari negara yang mereka duduki,
kedua-dua ideologi ini membawa kepada natijah yang sama. (44) Dari sudut
sejarah, apa yang disebut sebagai apiru atau habiru (Hebrews) adalah merujuk
kepada kategori sosial, kumpulan yang menolak pemerintah, bukan sebagai satu
kumpulan etnik tersendiri. (45)
Kemuncak kepada ideologi kolonial Zionis
ini adalah pengeluaran orang Yahudi dari negara-negara yang telah mereka duduki
sekian lama ke sebuah tanah yang sudah mempunyai penduduk tetap. Hal ini
dicapai bersama kolaborator British melalui pengishtiharan Balfour dimana satu
negara menjanjikan kepada negara kedua sebuah negara yang dimiliki oleh negara
yang ketiga. Walaupun deklarasi Balfour mempunyai klausa yang menekankan
tanggungjawab untuk menjaga penduduk asal, ia tidak pernah dihormati oleh
Israel. (47) Zionis juga semasa penubuhannya dibantu rakan kolaborator dari
Amerika yang melobi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menekan
negara-negara kecil dibawah orbitnya seperti Haiti, Liberia, dan Filipina untuk
membahagikan tanah Palestin – walaupun negara-negara ini pada asalnya tidak
bersetuju dengan rangka polisi ini.
Tetapi tanah sahaja tidak mencukupi,
kerana Israel bukan merupakan projek kolonial yang ingin menggunakan tenaga
penduduk asal sebagai tenaga kerja, tetapi mahu menggantikan mereka, oleh itu
penduduk asal perlu dicabut dari tanah-tanah mereka secara sistematik. (49)
Maka bermulalah proses pembersihan etnik yang dilaksanakan dengan kejam oleh
militia Yahudi seperti Haganah, Irgun dan Stern Gang yang membunuh, mengusir
dan membakar kampung-kampung Palestin. Oleh itu, adalah tidak benar Israel
ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, tetapi ia ditubuhkan
menggunakan keganasan yang dilaksanakan oleh perlbagai kumpulan militia dan
para-militari Yahudi. (51)
Oleh itu, kita melihat bahawa hujah
sejarah ini telah roboh, ia tidak lebih dari sebuah propaganda. Kerajaan yang
dikatakan menjadi asas kepada kerajaan hari ini, yang terbentuk 3,000 tahun
dahulu hanya bertahan selama 73 tahun, itu pun mereka tidak pernah berusaha
untuk mewujudkan kerajaan yang homogenous dengan hanya satu bangsa seperti yang
dilakukan Israel pada hari ini. (53)
Gerakan Zionis juga sering memainkan
sentimen “perasaan ingin pulang” kepada bangsa Yahudi yang hidup di diaspora.
Namun sentimen ini tidak mempunyai hujag sejarah, Judah Halevi (1075-1141)
sebagai contoh, seorang ahli falsafah Yahudi yang membawa pemikiran yang sama
semasa Muslim memerintah Sepanyol, beliau berhijrah dan berangkat ke Jerusalem,
dan mati di pintu masuknya, tiada siapa yang mengikutinya. Begitu juga yang
berlaku pada Nahmanides yang berhijrah ke Jerusalem, tiada pengikut yang
mengikutinya. Apa yang menyebabkan orang Yahudi berhijrah ke Palestin adalah
penindasan mereka di Eropah bukan sentimen “perasaaan ingin pulang”. (54)
Gerakan politik Zionis mengeksploitasi fakta penindasan ini dan memberi
kolonialisme sebagai solusi. (55)
Oleh kerana persamaan tujuan antara
Zionism dan anti-semitism, iaitu ingin mengeluarkan orang-orang Yahudi dari
negara yang mereka duduki (diaspora), bagi Garaudy, Zionism dan anti-semitism
adalah kembar. Zionism ingin mengeluarkan orang Yahudi supaya projek nasionalis
mereka berjaya, manakala anti-semite ingin mengeluarkan orang Yahudi dari
negara mereka kerana kebencian mereka terhadap bangsa. (58)
Garaudy juga mengkritik bagaimana
Holocaust dimanipulasikan sebagai justifikasi kolonial Zionis. Mereka
mengasingkan orang Yahudi sebagai bangsa eksklusif kekejaman Nazi Jerman,
sedangkan berjuta-juta lagi kematian hasil kekejaman Hitler adalah bukan Yahudi
seperti orang-orang Poland dan bangsa Slavik. Mengapa hanya kematian orang
Yahudi dianggap suci? tanya Garaudy. Manipulasi Holocaust ini merupakan objek
kajian Norman Finkelstein dalam bukunya Holocaust Industry. (61)
Pada bab yang kedua, Garaudy membahaskan
mitos kedua yang digunakan oleh Zionis sebagai justifikasi projek kolonial
mereka, selepas mitos sejarah, mereka menggunakan mitos agama. Mitos ini
sebenarnya bukan sahaja digunakan oleh orang Yahudi, tetapi juga digunakan oleh
penyokong mereka dikalangan Evangelikal dan Kristian Zionis bahawa di dalam
Bible, tanah Palestin dijanjikan tuhan kepada Bani Israel yang merupakan
keturunan Nabi Ibrahim. Mitos ini digelar sebagai biblical myth yang
menyatakan bahawa tanah jajahan mereka di Palestin itu adalah tanah yang
dijanjikan tuhan kepada mereka (promised land). Mitos ini diulang-ulang
oleh pemimpin Zionis seperti Golda Meir dan Menachem Begin. (69) Penunggangan
agama untuk meneruskan agenda kolonial ini bagi Garaudy bukanlah satu perkara
yang baru, ia digunakan oleh kuasa kolonial sepanjang zaman yang menganggap
bangsa mereka superior, bangsa terpilih, malah tentera Nazi sendiri mempunyai
frasa Gott mit uns pada helmet mereka yang bermaksud tuhan bersama kami.
(70)
Dalil yang digunakan dalam Bible bagi
menghalalkan projek kolonial zionis adalah seperti di dalam Genesis dimana
Tuhan dikatakan memberikan tanah Palestin kepada keturunan Ibrahim. Pada
Garaudy penafsiran ayat ini oleh golongan Zionis merupakan tafsiran berbentuk
“tribal” – iaitu tafsiran untuk keuntungan satu puak sahaja. Dalam masa yang
sama beliau mempersoalkan bagaimana tafsiran suatu kitab suci itu boleh
dipaksakan keatas golongan lain yang tidak mempercayai kitab tersebut? (73-74)
Juga ayat-ayat dari Old Testament (Joshua di Jericho)digunakan, bagi
menjustifikasikan pembunuhan beramai-ramai yang mereka lakukan. (75)
Tafsiran yang dibuat oleh golongan Zionis
bukan sahaja bersifat tribal, tetapi juga berbentuk selektif. Di mana ayat-ayat
yang boleh menjustifikasikan pembunuhan dan keganasan diketengahkan, manakala
ayat-ayat perihal keamanan dan persaudaran manusia diketepikan. Ayat-ayat
seperti kepentingan menghormati jiran dan orang yang tidak dikenali seperti
dalam Deuteronomy dan Exodus tidak diamalkan. (76-77) Bagi Garaudy, Bible tidak
boleh dibaca sebagai buku sejarah yang objektif, kerana banyak cerita dan
peristiwa yang diceritakan tidak dapat dibuktikan melalui metodologi pensejarahan.
(78) Antara ahli akademik yang saya minati dalam pengakjian Bible dari
perspektif sejarah adalah Bart Ehrman, namun pengkajian beliau memfokuskan
tentang New Testament kerana ia lebih terkemudian dan boleh dinilai dari sudut
pensejarahan melalui rekod yang ada. Namun hasil kajian Ehrman banyak
bercanggah dengan doktrin Kristian menyebabkan beliau tidak disukai oleh
golongan Evangelical.
Bagi Garaudy, penafsiran sepatutnya
mengajar kita untuk menjadi lebih manusiawi, memberikan manusia erti untuk hidup
dan untuk mati. (79) Penafsiran ayat perihal perjanjian untuk mewarisi tanah
harus dilihat secara suksesif, pertama ayat yang menjanjikan tanah bagi
golongan nomad, kemudian tanah untuk bernegara, dan yang ketiga adalah tanah
untuk diwarisi oleh semua manusia. Ini penafsiran yang lebih lengkap, bukan
terhenti pada strata kenegaraan dan mengimport idea nasionalis Eropah yang
asing pada zaman tersebut. (82) Akhir sekali, dalam perbahasan biblical myth,
Garaudy menerangkan bahawa janji Tuhan kepada Ibrahim bukanlah perwarisan
berbentuk bangsa, tetapi perwarisan kepada siapa yang mengikuti ajaran dan
agama Nabi Ibrahim. (85)
Saya merasakan penerangan Garaudy perihal biblical
myth ini tidak begitu mendalam dan komprehensif sebagai mana beliau
menghuraikan historical myth. Mungkin kerana latar bidang akademik beliau yang
lebih bersifat falsafah dan sejarah, bukan dalam bidang penafsiran Bible. Namun
kesimpulan beliau tidaklah berbeza dengan ahli dalam bidang penafsiran Bible.
Contohnya seperti apa yang ditulis oleh Gary M. Burge dalam bukunya Whose
Land? Whose Promise? What Christians Are Not Being Told about Israel and the
Palestinian, pada mukasurat 290 beliau membuat kesimpulan bahawa “Therefore
the Zionist idea was not born from the Bible but from ethnic nationalism that
also gave birth to other nations such as 1930s Germany with all their attendant
problems. Christian Zionist who envisions Herzl rebuilding Israel with a Bible
under one arm are naive to the realities of history”. 1930 adalah zaman
pemerintahan Paul von Hindenburg yang kemudian melantik Hitler sebagai
Chancellor German. Baik, siapa Gary M. Burge? Beliau merupakan seorang sarjana
dalam bidang kajian kitab suci Kristian dan merupakan professor di Calvin
Theological Seminary, Grand Rapids, MI, Amerika Syarikat.
Dari mitos-mitos sejarah dan Bible yang
menjadi foundasi kepada ideologi politik Zionis ini, Garaudy membawakan
perbahasan bagaimana ideologi ini diterjemahkan dalam dunia sebenar, dengan
kewujudan negara Israel dan polisi-polisi yang datang dengannya. Dari ideologi
kolonial yang rasis ini lahirlah undang-undang yang juga bersifat rasis dan
zalim terhadap penduduk asal Palestin.
Pengasas ideologi politik Zionis, Theodor
Herzl, tidak teragak-agak untuk bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin
anti-semite antaranya Vyacheslav von Plehve dimana Herzl menawarkan Zionism
sebagai solusi untuk mengelakkan revolusi (mengeluarkan orang Yahudi dari
empayar Rusia). Herzl juga menyatakan bahawa ant-semite akan menjadi teman
rapat Zionis dan negara yang bersifat anti-semitik akan menjadi sekutu Zionis.
(91)
Perampasan tanah Palestin, dan pembersihan
etnik yang dilakukan Zionis merupakan satu pelan yang terancang dan tersusun.
Ia telah dirancang sebelum negara Israel ditubuhkan. (94) Antara polisi
apartheid dan rasis yang dibahaskan Garaudy adalah Undang-Undang
Kewarganegaraan, dimana Arab Palestin dilayan seperti orang yang tidak punya
negara dan perlu membuktikan dengan dokumen bahawa mereka pernah tinggal di
Palestin, pembuktian ini selalunya sukar kerana banyak dokumen dimusnahkan
semasa perang. Ini berbeza dengan bangsa Yahudi yang berhijrah ke Israel,
mereka dianggap warganegara sejurus mereka menjejakkan kaki di lapangan terbang
Israel. (98) Beliau juga membahaskan bagaimana Undang-Undang Tanah digunakan
untuk merampas tanah rakyat Palestin. Professor Israel Shahak pada tahun 1975
menyenaraikan 385 perkampungan Arab yang dimusnahkan dari jumlah keseluruhan
475 kampung yang wujud pada tahun 1948. (105)
Polisi rasis Israel ini diiktiraf oleh
perdana menteri Afrika Selatan, Verwoerd yang berkata bahawa tindakan Israel
yang merampas tanah dari orang-orang Arab yang sudah menetap disitu beribu
tahun merupakan satu persamaan dengan Afrika Selatan, bagi Verwoerd, Israel
adalah negara apartheid. (108) B’Tselem, yang merupakan kumpulan hak asasi
manusia di Israel juga, pada 12 Januari 2021 mengakui bahawa Israel adalah
sebuah negara apartheid.
Selain polisi rasis, ideologi politik
Zionis juga membawa polisi expansionist seperti yang dirangka Herzl, polisi ini
dicapai melalui siri keganasan dan perperangan, Garaudy menyamakan polisi ini
dengan polisi Lebensraum yang diamalkan Hitler. (123) Polisi ini tidak
dapat dicapai kecuali dengan bantuan keewangan dan ketenteraan dari Amerika
Syarikat. Amerika menyalurkan berbillion dollar kepada Israel, memberi subsidi,
juga pinjaman untuk membolehkan Israel mengekalkan kebolehan ketenteraan
mereka. Bantuan Amerika ini merupakan hujah Garaudi yang menepis sangkaan
bahawa Israel merupakan satu keajaiban, dimana negara kecil persis David boleh
mengalahkan negara-negara Arab yang dianggap sebagai Goliath. Hakikatnya,
Israel mempunyai peralatan ketenteraan paling canggih hasil bantual Amerika.
(145) Garaudy juga membahaskan bagaimana ideologi politik Zionis melahirkan
negara yang mengamalkan terrorisma, membunuh musuh-musuh mereka diluar negara
menggunkan agen-agen perisik.
Dalam kesimpulannya, Garaudy menyatakan untuk
menyelesaikan konflik ini, Israel perlu ditekan untuk mengikuti undang-undang
antarabangsa. Keputusan yang dibuat oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
perlulah dihormati dan dilaksanakan. Penyelesaian ini, saya kira merupakan
kesimpulan yang sama yang dibuat oleh Prof. Norman Finkelstein, yang sering
mengulang-ulang bahawa jalan penyelesaian adalah dengan “follow the law”.
Bukan undang-undang rimba yang dibuat Israel, tetapi undang-undang
antarabangsa.
Secara peribadi, saya merasakan bahawa
buku ini merupakan satu buku yang baik dalam memahami perkembangan dan juga
struktur ideologi politik Zionis. Garaudy meruntuhkan mitos bahawa Zionis
mempunyai hak ke atas Palestin dari sudut sejarah, juga dari tafsiran kitab
Bible. Sebaliknya ia adalah ideologi nasionalis barat yang bersifat kolonial
dan rasis, mirip ideologi nasionalis German tahun 1930. Dari ideologi ini lahir
negara dengan polisi apartheid, negara yang mengamalkan keganasan untuk
pengembangan penjajahan, juga negara yang mengamalkan terrorisma.
Sabtu, 7 November 2020
Pilihanraya Amerika 2020: Trump Vs Biden
Sehingga artikel ini ditulis, pilihanraya presiden Amerika Syarikat masih belum menamatkan tirai, selepas 3 hari keputusan sama ada Donald Trump bakal kekal menjadi presiden bagi penggal ke-2 masih menjadi tanda tanya. Seperti ramalan penganalisis, pada peringkat awal, Trump dijangka mendahului, fenomena yang dipanggil The Red Mirage. Namun, apabila undi-undi pos dikira, calon Demokrat, Joe Biden mendahului Trump. Setakat artikel ini ditulis, Biden mendahului dengan 264 undi, manakala Trump dibelakang dengan 214 undi. Masing-masing memerlukan 270 undi untuk memenangi pertandingan ini.
Saya dahulu ikut dengan rapat juga politik Amerika Syarikat, tetapi selepas Bernie Sanders gugur sebagai calon presiden kerana tidak mendapat sokongan dari elit politik dalam Parti Demokrat, saya hilang minat. Dan saya tidak terkejut jika Trump menang, kerana bagi saya elit Demokrat sudah lost touch dengan grassroots voters. Bagi saya Biden tiada beza dengan Bill Clinton. Ya, Trump banyak buat kerosakan pada international order, tarik diri dari Iran Nuclear Deal, tarik diri dari Paris Climate Agreement, dan yang terbaru tarik diri dari WHO. Semakin lama dibawah Trump, semakin cepat US menjadi pariah state berbanding global leader. Tapi Amerika sudah pun lama menjadi pariah state di UN terutamanya dalam undi perihal isu Palestin.
Jika tanya saya, saya mahu Trump menang supaya lebih banyak kerosakan dilakukan, ia akan menjadi reality check kepada elit Demokrat bahawa meletakkan calon yang mengekalkan status quo dan tiada polisi progresif akan sentiasa gagal menangkap imaginasi rakyat.
Tetapi pilihanraya kali ini ada juga yang menggembirakan. Calon muslim seperti Ilhan Omar dan Rashida Tlaib mempertahankan kerusi masing-masing. Selain itu banyak juga calon Muslim lain yang menang termasuklah Mauree Turner (Oklahoma), Iman Jodeh (Colorado), Madinah Wilson-Anton (Delaware), Nida Allam (Durham County Commissioner), Hoda Hasan (MN State Rep), Nafisa Fai (Washington County Commission), Nadia Hasan (Beaverton City Council).