Memaparkan catatan dengan label Kembara Ilmu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kembara Ilmu. Papar semua catatan

Isnin, 1 Disember 2025

Mon Monologue: Tri


Akhirnya, aku kini sudah di hujung perjalanan untuk menyiapkan pengajian sarjana setelah melalui proses yang panjang, bermula dari kursus pengenalan, kuliah, tutorial, perbentangan, dan kini di fasa akhir disertasi. Walaupun nasib disertasi ini masih lagi belum jelas, sama ada akan diterima atau tidak oleh pemeriksa, sekurang-kurangnya aku sudah menyiapkannya dan menghantarnya untuk semakan. Aku merasakan, aku sudah melakukan yang terbaik. Maka, aku serahkan pada takdir, akan keputusannya.

Menyerahkan disertasi telah menghilangkan satu beban yang sangat berat dari pundakku. Aku memang teringin untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Namun mungkin aku akan berehat sebentar beberapa tahun. Mengumpul tenaga dan juga wang ringgit, sebelum melalui jalan sunyi yang menyiksakan dan juga menyeronokkan. Hilangnya bebanan dari pundakku ini sedikit sebanyak dapat membuatkan aku melihat dunia sebagai satu kehidupan yang indah semula. Menghargai sisi-sisi bahagianya yang selama ini terlindung di sebalik tekanan membaca dan menyiapkan kajian setiap hari.

Kesibukan yang tidak membenarkan aku membaca atau menikmati filem. Namun selepas menghantar disertasi, mindaku sedikit sebanyak mula terang kembali. Di sebalik masa-masa senggang, aku sempat menonton animasi The Wind Rises, karya Hayao Miyazaki tidak pernah mengecewakan. Kisah ini adalah berkenaan Jiro, seorang kanak-kanak yang bercita-cita menjadi jurutera aviasi. Aku menonton dengan perlahan, tiga kali sesi masih belum habis. Bukan kerana bosan, tapi kerana aku merasakan kisahnya sangat baik, elok dihargai perlahan-lahan.

Antara babak yang menarik perhatianku adalah Jiro yang sering bermimpi perihal kapal terbang sejak dari kecil lagi. Di dalam mimpinya, dia selalu berjumpa dengan Caproni, seorang jurutera aviasi Itali yang menjadi idolanya. Babak ini sebenarnya sangat memberi kesan kepadaku. Kerana pada masa aku bergelut dengan penulisan disertasi sarjana, sememangnya ia terbawa-bawa hingga ke dalam mimpi. Aku sering bermimpi akan hal-hal disertasi semasa tidur, walaupun kadang kala aku sedar ia hanya mimpi, ia mengingatkanku bahawa disertasi itu menghantuiku baik semasa aku sedar mahu pun tidur.

Monolog ini merupakan medium aku mengekspresikan sedikit kebebasan yang kini aku rasai semula. Bertemankan kopi dan penulisan di malam hari memang satu perkara yang sangat mengasyikkanku. Malam dalam aksara yang panjang adalah satu kenikmatan bagiku, sama ada aksara bacaan atau tulisan. Harapnya, kebebasan ini akan mencapai kemuncaknya tidak lama lagi. Saat aku selesai viva voce dan menyerahkan disertasi akhir kulit keras kepada Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan. Tidak sabar rasanya untuk aku menyambung projek penulisan yang tertangguh, juga membaca buku-buku yang menarik yang telah aku kumpul. 2026 akan menjadi tahun yang aku nantikan, akan aku warnainya dengan pembacaan dan tulisan yang membebaskan.

Isnin, 17 November 2025

Pena Merah Guru Telah Abadi

 

Salah satu perkara yang membahagiakan dalam menuntut ilmu adalah guru. Selepas tamat universiti, seperti manusia lain, untuk menghilangkan haus dan dahaga kepada ilmu, saya menyelak buku. Buku menyimpan banyak ilmu, maklumat, dan pengetahuan. Namun renungan membaca tetap tidak dapat mengisi ruang yang diisi oleh guru. Kita boleh membaca, menulis, dan merenung sendiri, tapi tetap tidak sama dengan pengalaman menuntut ilmu bersama guru.

Apabila kita membaca dan merenung, kita mungkin rasa renungan kita itu hebat. Tapi sebenarnya ada bias, prejudis, dan kelemahan yang kita tak nampak. Sebab itu ia memerlukan analisis ke atas analisis, nur ala nur. Sebab itu dalam sejarah ada history of history, juga dipanggil historiografi. Lapisan analisis yang lebih tinggi.

Guru memberi kita satu perspektif yang kita tak dapat fikir sendirian, guru sedia mencabar sudut pandang kita yang kita sudah rasa sempurna. Belajar dengan guru sentiasa ada kelebihan dari membaca sendirian. Itu adalah antara sebab saya memilih juga untuk sambung belajar secara formal. Kita akan terdedah dengan perspektif lain, bahan bacaan lain, sumber lain, yang mungkin tak berjaya kita capai dengan membaca sendirian atau berharap pada algorithma.

Guru yang baik adalah guru yang mengambil serius pandangan, idea dan tulisan muridnya. Memberi masa untuk mengasah mereka.

Namun tidaklah guru itu sentiasa betul. Sebab itu ulama besar, setelah sekian lama, dia akan mengeluarkan pandangan sendiri dan dilihat menyanggahi guru. Seperti Sayyid Qutb yang berguru dengan al-Akkad kemudian menyanggahinya selepas 20 tahun. Perbezaan itu bukan bermakna hilang hormat, tetapi satu bentuk kematangan yang melahirkan pemikiran baharu. Guru yang baik adalah guru yang boleh melahirkan murid yang lebih hebat dari dirinya dan menerima hakikat itu. Dia tidak akan selamanya memeram murid dibawah bayangannya. Jika dia hanya melahirkan murid setara dirinya, maka ilmu akan statik. Tapi jika dia melahirkan ilmuan yang lebih besar dari dirinya, maka dia telah menyumbang pada pengkayaan ilmu.

Tapi bukanlah tujuan kita menuntut ilmu itu untuk menyanggahi guru. Sebesar mana pun kita, jasa guru itu tidak terbalas. Cuma kita harus terima, bahawa guru kita juga manusia, tidaklah dia terlepas dari khilaf yang ada. Bagi saya, sebesar manapun gedung pustaka kita, tidak akan dapat melawan peranan guru dalam proses mencari ilmu. Pena merah mereka yang membetulkan kesalahan kita telah abadi jasanya.

Terima kasih kepada semua guru yang pernah berjasa kepada saya, dari pra-tadika hingga ke pasca-siswa. Al-Fatihah dan doa saya tujukan pada semua guru-guru saya yang telah pergi menghadap ilahi. Allah jua sebaik-baik pembalas budi.

Malam Yang Pendek Untuk Sebuah Kajian

Betul kata Einstein, masa adalah relatif. Malam yang digunakan untuk membaca, menulis, dan mengkaji cepat betul berlalu. Tidak habis lagi tugasan yang hendak dilakukan jam mencecah 12 malam dan mata mula mengajak untuk tidur. Walaupun perjalanan pengajian itu panjang, aku kini mungkin sudah di simpang yang terakhir sebelum masuk kepada bahagian suntingan kajian. Harapnya, selepas habis naskah-naskah akhir yang perlu diteliti ini boleh masuk ke fasa trimming. Entah berjaya entah tidak. Banyak lagi sebenarnya naskah yang teringin dianalisis, tapi kajian akademik ada had masa, jadi macam mana pun tetap ada yang tidak akan sempat diteliti. Itulah manusia, lemah dan terbatas.

Menyentuh Daun Hijau: Limitasi Kajian Akademik

Apabila melakukan kajian akademik, terutamanya dalam bidang sejarah. Saya merasakan masalah utamanya adalah apabila kita membaca. Apabila kita membaca, kita akan bertemu banyak rujukan lain. Membuatkan kita terpaksa membaca pula rujukan-rujukan yang dijumpai itu. Kemudian kita akan terjumpa lebih banyak rujukan lain lagi. Semakin lama kita membaca, semakin banyak rujukan baru kita jumpa, terus membiak, terus bertambah banyak, ad infinitum

Kajian akademik pula mempunyai batasan masa, ruang, dan patah perkataan. Kita hendak menulis lagi tetapi ruang dan masa sudah habis. Membuatkan kita akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa kalau kita mengekori semua sumber rujukan yang dijumpai, maka kita akan bergraduasi seratus tahun lagi! Pastilah pihak universiti tidak memberi keizinan untuk kita extend sepanjang itu.

Kita juga tidak boleh hanya membaca kerana apabila membaca dari pagi sampai malam. Idea-idea bernas akan menyorok dan malu untuk keluar. Sebaliknya kita kena pergi keluar melihat awan, menyentuh daun hijau, dan merasa dingin air hujan di luar rumah. Dalam ketenangan itu baru kita akan tiba-tiba terfikir idea-idea yang bernas dan membuatkan kita lari semula ke kerusi dan meja kerja kita untuk sambung menaip.

Sekadar mengomel kosong.

Sabtu, 1 November 2025

Bertemu Guru-Guru di Forum Warisan Pulau Pinang

Bersama guru-guru di Bahagian Sejarah, PPIK USM. Dari kiri, Dr. Abdul Rahman bin Mad Ali, Syed Ahmad Fathi, Dr. Tan Chee Seng, Dr. Dunita Nabila A. Rahimin, Prof. Mahani Musa, Dr. Siti Noor Hafizah binti Mohamed Sharif, dan Dr. Norasmahani binti Hussain.

Pada 30 Oktober 2025, saya berkesempatan mengikuti Forum Warisan Negeri Sejarah Awal Pulau Pinang: Arkeologi, Persejarahan & Komuniti. Forum ini menampilkan pembentangan dari Prof. Dr. Stephen Chia Ming Soon, Prof. Datin Dr. Mahani Musa, Marcus Langdon, dan Clement Liang. Namun kehadiran saya sebenarnya kerana mahu bertemu guru-guru saya di Bahagian Sejarah, PPIK USM. Bagi saya antara kebahagian menuntut ilmu adalah bertemu dengan guru-guru. Akhirnya saya berpeluang bertemu dengan Prof. Mahani Musa, setelah sekian lama menuntut ilmu melalui kelas dalam talian pasca pandemik Covid-19. Saya mengambil peluang ini untuk mendapatkan tandatangan beliau pada buku Sejarah Awal Pulau Pinang yang disunting oleh Muhammad Haji Salleh. Dalam buku tersebut Prof. Mahani menyumbangkan dua bab iaitu 'Sejarah Awal: Pulau Pinang Sebelum 1786' dan 'Sejarah Awal Seberang Perai'. Buku ini telah menjadi salah satu sumber utama yang saya gunakan dalam menulis artikel saya yang bertajuk 'Anti-Colonial History: Pulau Pinang from the Point of View of Local Historian and Writer' yang diterbitkan di dalam MINDEN: Journal of History and Archaeology.
Bersama Prof. Mahani Musa.
Tamat forum tersebut, saya menghantar beberapa gambar yang saya ambil kepada Prof. Mahani. Saya juga mengucapkan tahniah kepada beliau atas pembentangannya. Saya merasakan perspektif yang beliau bentangkan adalah sangat menarik, perihal ketegangan antara Sultan Kedah dan Francis Light melalui analisis surat-surat Light. Sultan Kedah terpaksa bertahan dengan perangai Light bagi mengimbangi ancaman Siam ke atas Kedah. Saya berharap perbentangan ini nanti akan diterbitkan sama ada dalam bentuk jurnal, bab buku, atau buku. Prof. Mahani menulis mesej kepada saya:

"Terima kasih Fathi sudi datang...moga terus sukses. Lepas buat MA ni saya sarankan Fathi buat PhD pula, saudara berpotensi besar utk masuk ke dalam dunia akademia."

Saya memang ada hajat untuk menyambung pengajian. Tapi masih belum benar-benar berani untuk mengambil PhD. Namun harapnya satu hari nanti akan terbuka jalan dan ada rezeki saya dalam dunia akademia.