Saturday, July 25, 2015

Catatan Baitul Muslim 6



Saya tidak pasti sama ada saya layak atau tidak untuk berbicara tentang cinta, kerana umur masih terlalu muda dan perjalanan juga masih panjang, namun izinkan saya untuk bertinta buat sekian kalinya. Jika ada manfaat maka ambil lah, jika tiada maka tinggalkan lah, jika salah bantulah saya memperbetulkannya.

Masih ingat ketika mendapat berita kehamilan dari zaujah, usia baitul muslim ketika itu baru sekitar 81 hari. Ketika itu saya sedang makan di kafe universiti ketika mendapat panggilan, perasaan ketika itu bercampur baur, takut, tidak bersedia, gembira, terharu dan lain-lain. Buat seketika, saya termenung jauh semasa zaujah masih di dalam talian, sehingga akhirnya dia bertanya " Hello, ada orang ke ni?" Baru saya sedar semula dari menungan panjang saya.

Sejak itu saya melihat perubahan mendadak pada zaujah, melihat sendiri kesakitan yang di alami kadang saya kasihan dan berharap agar sedikit kesakitan itu dapat dipindahkan kepada saya agar ringan sedikit beban nya. Namun, disebalik segala kekuatan dan kegagahan seorang lelaki, Allah memilih wanita untuk menggalas kesakitan mengandungkan zuriat.

Di awal kehamilan, pening, bangun di tengah malam dan muntah, pitam menjadi perkara yang perlu ditempuhi. Saya yang tidak bersedia ini agak kekok, tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Mungkin jika waktu dapat diputar kembali ke masa itu saya akan membeli buku berkenaan kehamilan lebih awal. Bagi saya, ia sangat penting bagi suami membaca buku-buku berkenaan dengan kehamilan walaupun suami tidak hamil, anda akan lebih memahami, hati akan lebih memaafkan. Memahami perubahan diri zaujah dan memberi sokongan yang diperlukan.

Semakin lama kandungan juga semakin membesar, berjalan lama juga sudah sukar. Kadang perlu berhenti kerana sakit, sehingga air mata mengalir dalam tidak sengaja kerana kesakitan. Mungkin inilah cinta. 

Semakin hari saya semakin merasakan cinta itu punya definisi dan dimensi yang lebih kompleks dari apa yang mampu dihurai dengan kata-kata. Sungguh indah Islam yang meninggikan darjat para ibu, mereka mampu meredah kesakitan demi cinta kepada suami dan anak-anak.

Mereka merasai apa yang tidak dapat dirasai oleh lelaki. Perasaan gembira merasai baby kick di dalam tubuh sendiri merupakan suatu perasaan magikal yang hanya mampu dirasai oleh insan bergelar ibu. Di sebalik ke comelan baby kick tersebut sebenarnya wujud pelbagai kesakitan dan kepayahan.

Saya sebenarnya masih belajar mengenai cinta, definisi mungkin berbeza untuk setiap manusia. Tapi apa yang pasti ia tidak lah sesempit keseronokan cinta monyet remaja, bukan sekadar untuk mencari kepuasan seksual, ia memerlukan definisi dan misi yang lebih besar. Melahir, mendidik dan membangun potensi generasi akan datang merupakan rangkuman definisi cinta yang kompleks, sementara komponen permulaanya merupakan cinta seorang ibu dan isteri yang berkorban kesihatan, tenaga, dan masa mereka.

Semoga kisah cinta ini akan kita sambung di syurga nanti.

Uhibbukifillah.

Tuesday, July 14, 2015

Mendahulukan emosi sebelum akal



Media sosial membawa banyak perkara baru, ia merupakan platform penyebaran maklumat yang efektif yang tidak ada pada zaman sebelum ini. Meminjam kata-kata Thomas L. Friedman, ia merupakan enabler, yang memberi lebih banyak kuasa informasi kepada masyarakat sivil pada hari ini.

Apa yang lebih menarik, kepantasan penyebaran maklumat ini tidak hanya terhad kepada sesuatu isu yang benar. Maklumat yang salah juga, jika digubah dengan bahasa provokatif dan ditambah unsur sensasionalisma akan menjadi viral dan merebak dengan mudah. Oleh kerana itu, saya berfikiran adalah lebih baik untuk tidak terjebak atau menyebarkan sesuatu perkara, hanya kerana bahasanya yang menarik dan sensasi sehingga menimbulkan pertanyaan di dalam minda orang ramai 'mungkin perkara ini betul?' , lalu ia dikongsi dan disebar walaupun ia hanya bersifat 'mungkin betul'. Namun setelah beberapa ketika 'mungkin betul' ini terbukti hanya mainan sensasi media sahaja.

Sebagai contoh, kononnya ada remaja hilang di Villa Nabila. Maka ia disensasikan dan dikongsi. Pakar-pakar misteri yang muncul entah dari mana mengeluarkan teori-teori dan 'fakta' yang menguatkan lagi misteri tersebut. Ramai yang terpengaruh dan berkongsi, hanya kerana nilai sensasinya. Setelah beberapa ketika, remaja itu rupanya bermalam di rumah kawan. Maka jadilah orang yang berkongsi-kongsi itu tadi dengan teori misteri mereka seperti orang bodoh yang malu sendirian.Inilah yang terjadi apabila kita mengutamakan emosi sebelum akal dalam berkongsi sesuatu perkara.

Ini belum lagi kita masukkan soal-soal keajaiban dalam agama, yang dalam banyak perkara tiada langsung asas malah menampak kan agama seolah perkara mistik yang mengarut. Namun orang awam tetap berkongsi kerana emosi yang konon nya perkara ajaib itu menguatkan agama.

Lebih menyedihkan, kebanyakan isu yang dimainkan dan disensasikan kebanyakan nya merupakan isu yang tidak langsung melambangkan ketinggian minda dan intelek masyarakat Malaysia. Contohnya isu perempuan mengamuk apabila kereta dilanggar, ia diperbesarkan sehingga menjadi isu nasional. Satu negara sibuk bercerita mengenainya. Apa kebaikan yang kita dapat hasil dari isu ini? Ekonomi semakin baik? Keharmonian kaum dapat diperbaiki? Saya sehingga hari ini masih tidak dapat menerima, bertapa picisan nya isu yang diperbesarkan oleh media Malaysia.

Hari ini saya lihat isu-isu yang dipermainkan mula menyentuh soal perkauman. Perbezaan yang sepatutnya menjadi satu keunikan kini menjadi modal permusuhan. 

Di dalam bulan Ramadhan ini saya terlibat dengan program mengutip dana untuk membantu anak-anak saya di Palestin dan Syria. Masih segar dalam ingatan saya ketika memegang tabung derma di bazar Ramadhan, masyarakat Cina, India juga merupakan antara yang memasukkan duit ke dalam tabung kami. Penjual bazaar pula banyak yang memberi kami nasi dan kuih percuma untuk berbuka puasa apabila kasihan melihat kami yang keletihan. Terdetik dalam hati saya, masyarakat Malaysia ini banyak lagi sisi positifnya, cuma mungkin adengan ini tidak ditangkap gambar dan direkod, tidak dilapor media kerana tidak sensasi. Isu perpecahan lebih sensasi dan menguntungkan!

Apa yang lebih menakutkan saya adalah apabila media luar mula melakukan serangan terhadap Malaysia. Ya, saya faham kita sebagai rakyat sudah mula benci dengan pemerintahan yang semakin hari membebankan rakyat dengan pelbagai bebanan perbelanjaan dan cukai. Kita sudah mual dengan pemborosan dan ketirisan yang berlaku. Saya berkongsi rasa yang sama. Saya juga gembira sekiranya kita boleh mengubah pemerintah yang ada dengan yang lebih baik dan berkredibiliti. Namun pada fikir saya masalah dalaman ini, harus kita fikir dan baiki dengan lunas-lunas perundangan yang ada. Melalui cara yang betul, kita tidak perlu campur tangan. Adakah kita lupa kita pernah dijajah Jepun yang kononnya mahu membebaskan Asia dari cengkaman Barat?

Mungkin ada yang mengatakan saya terlalu banyak menonton video teori konspirasi atau saya merupakan seorang yang selesa dengan status quo dan takut untuk berubah. Saya ingin Malaysia berubah tapi dengan acuan nya sendiri. Mungkin mereka belum pernah membaca thesis Samuel P. Huntington berkenaan dengan bagai mana Amerika Syarikat menaja NGO pro-demokrasi, media dan mengeluarkan geran bagi perlaksanaan dasar luarnya menggunakan proksi. Ya, kita perlu berubah, saya akui. Tapi kita perlu jelas acuan mana yang akan kita guna pakai. Tiada guna kita berubah kepada yang lebih buruk, keluar dari mulut harimau dan masuk ke mulut buaya.

Sebelum saya mengundur diri, ingin saya tegaskan bahawa ini bukan panggilan untuk kita menjadi pasif, namun ia adalah tulisan untuk kita berfikir untuk mencari jalan yang terbaik untuk kita mengubah negara yang kita sayang ini. Tiada guna kita menang berhujah di Facebook andai kita tiada sumbangan pada masyarakat. Kita harus menjadi perubahan yang kita ingin lihat.

Selamat malam. 


Sunday, June 28, 2015

How to talk so kids will listen & listen so kids will talk



Penulis: Adele Faber dan Elaine Mazlish
Penerbit: Scribner

Pernahkah kita terfikir apa pekerjaan yang paling penting dalam dunia ini. Adakah doktor? Ketiadaan doktor akan menyebabkan banyak nyawa tidak dapat diselamatkan. Adakah jurutera? Ketiadaan jurutera akan menyebabkan tiadanya struktur atau alatan yang memudahkan hidup kita pada hari ini. Atau mungkin pekerjaan yang paling penting adalah tukang tebar roti canai? Kita mungkin akan kelaparan dimalam hari sekiranya tiada kedai mamak.

Namun pekerjaan yang paling penting seperti yang dinukilkan Faber dan Mazlish adalah 'parenting'. Menjadi ibu bapa adalah tugas terpenting, darinyalah baru akan terhasil doktor, jurutera atau penebar roti canai. Ibu bapa merupakan asas pada pembentukan generasi.

Saya tertarik dengan perkongsian speaker terkenal berkenaan dengan parenting di Malaysia, Tuan Hj. Rosdi Baharom. Katanya, "Pendidikan anak-anak akan menentukan kita menghantarnya ke syurga atau neraka". Oleh itu ketahuilah bertapa besarnya tanggung jawab menjadi ibu dan ayah ini. 

Namun malang. Untuk menjadi doktor kita perlu mengikuti kursus selama 6 tahun, jurutera 4 tahun, untuk menjadi ibu bapa berapa lama kursus perlu dilalui? Malangnya jawapan nya adalah tiada. Tiada subjek pendidikan anak-anak di peringkat UPSR, PT3, SPM atau STPM. Di universiti juga tiada 'credit hour' diperuntukkkan untuk melatih manusia menjadi ibu bapa yang competent. Jadi bagaimana kita mahu mengharapkan generasi yang hebat akan lahir dari ibu bapa yang tidak terlatih dan tidak bersedia ini? Sekiranya kita akan menjalani pembedahan, beranikah kita menjalaninya dengan doktor yang tidak terlatih? Beranikah kita mendiami rumah yang dibina oleh orang yang tidak pernah ada pengalaman membina rumah atau mengikuti latihan membina rumah? Anda pasti mampu menjawab soalan-soalan tersebut dengan semula jadinya.

Mendidik anak bukan merupakan perkara mudah, dan kesalahan kita dalam mendidik mungkin tidak dapat di reverse semula, ia akan meninggalkan kesan permanent. Sepeti kita merebus telur, setelah masak adakah mungkin kita menjadikannya tidak masak semula?

Option yang tinggal pada kita munkin adalah dengan menyertai seminar atau kelas keibubapaan dan membanyakkan bacaan buku berkenaan dengan parenting. Saya berterima kasih kepada sahabat saya yang mencadangkan buku ini kepada saya, saya kira ia sangat bermanfaat dan berharga buat para ibu bapa, walaupun mungkin buku ini sedikit ahead of time untuk saya, kerana saya belum menjadi bapa. Saya bersyukur kerana membacanya walaupun bukan dari genre yang saya minati.

Buku ini ditulis oleh dua orang pakar keibubapaan dan menghimpunkan siri-siri seminar yang mereka jalankan. Ia juga ditambah dengan pengalaman sebenar ibu bapa yang mencuba teknik komunikasi yang dianjurkan. Sebahagian darinya akan membuat anda tersenyum manakala sebahagian yang lain akan menginspirasikan anda.

Buku ini meneroka persoaalan berkenaan dengan skill-skill komunikasi yang diperlukan oleh ibu bapa bagi  menghadapi kisah dan drama mereka bersama anak-anak dalam kehidupan sebenar. Ia memberi alternatif kepada cara lama mendidik anak seperti memarahi, merotan, menghukum dan meninggikan suara. Jika dapat saya simpulkan point-point utamanya, ia terdiri dari beberapa point berikut:

1. Menghargai dan memahami perasaan anak-anak
2. Teknik untuk mendapatkan kerjasama dari anak-anak 
3. Alternatif kepada hukuman
4. Melatih anak berdikari dan menjadi lebih indipendent
5. Memuji sikap baik anak-anak
6. Membebaskan anak-anak dari watak ciptaan keatas mereka

Teori yang diutarakan mungkin asing sedikit dari cara pendidikan anak-anak di Malaysia. Namun, saya fikir ia tidak keluar dari batas pendidikan budaya kita atau batas pendidikan agama Islam. Ia lebih kepada penggunaan skill-skill baru yang membuatkan kita lebih hormat kepada perasaan anak-anak.

Satu perkara yang saya tertarik di dalam buku ini adalah bagaimana perkongsian ibu bapa di barat yang juga risau dengan pengaruh buruk media keatas anak-anak. Mereka juga concern dengan pendedahan anak-anak kepada bahan yang lucah, ganas dan tidak berakhlak. Saya kira ia merupakan titik temu dengan concern pendidikan di timur.

Saya akhiri dengan idea yang menarik dari buku ini yang merupakan intipati pemikiran Dr. Haim Ginott. Mempelajari teknik berkomunikasi dengan anak-anak anak merupakan perkara yang sukar seperti mempelajari bahasa baru. Tetapi ketahuilah jika kita belajar bahasa kasih sayang, bertoleransi, memahami perasaan dan mendidik anak-anak dengan bahasa ini, bahasa ini akan menjadi bahasa ibunda anak-anak kita, dan mereka akan mewariskan nya pada generasi seterusnya, generasi selepas kita akan bertutur dengan bahasa ini secara semulajadi. Mendidik anak bukan semudah menghabiskan bacaan dari sebuah buku, ia mengambil masa dan perlu kepada kesabaran. Mari belajar dan mari berkasih sayang.

Sunday, June 7, 2015

Pemikiran Islam Liberal : Perbahasan Isu Isu Sentral



Penulis: Ugi Suharto
Penerbit: Dewan Pustaka Fajar
Cetakan Pertama: 2007

Kepesatan teknologi, globalisasi membawa perubahan yang besar. Turut sama berubah adalah gaya fikir manusia di era moden ini. Kecanggihan penyebaran maklumat memudahkan pola pemikiran ala barat masuk ke dunia Islam dan mempengaruhi ummatnya. Akibatnya lahir aliran pemikiran baru yang ganjil pemahaman nya. Ia memakai pakaian Islam namun isinya bukan lagi Islam yang tulen, tetapi percampuran ideologi yang mengelirukan. Garisan sempadan Islam yang jelas menjadi kabur, apa yang telah tetap yang menjadi asas hidup ummat ini dijadikan persoalan, konon nya perlu kepada re-evaluasi agar disesuaikan dengan kemodenan hari ini. Buku ini banyak menjawab persoalan-persoalan yang bermain di minda saya, ia merupakan satu usaha yang sangat besar jasanya bagi saya, dalam mempertahankan Islam menggunakan hujjah akademik. Saya amat beruntung dapat membacanya pada masa saya masih lagi belum memuktamadkan pola fikir saya.

Saya akui walaupun mungkin dari segi cara hidup, saya kelihatan seperti Islamis, tetapi apabila saya memenuhi selera bacaan dengan tulisan dan karya barat yang kebanyakan nya menafikan kewujudan tuhan dan menjadikan kekuatan akal sebagai satu-satunya sumber  pedoman hidup, sedikit sebanyak ia masuk kedalam pola fikir saya. Kesannya, lahir suara-suara dihati saya yang menolak dan mempersoalkan perkara-perkara yang diungkapkan oleh agamawan. Peperangan ke atas pemikiran liberal menggunakan senjata ilmiah seperti yang di buat oleh Dr. Ugi Suharto ini telah menyelamatkan saya dari terus terpengaruh dengan pemikiran yang terkeliru. 

Pernah satu ketika saya berdebat dengan seorang rakan, dia terkeliru dalam masa yang sama mengelirukan saya. Katanya Islam tidak lebih dari tafsiran manusia, saya pada masa itu berhujah menolaknya. Namun saya berhujah hanya kerana mahu menang, bukan untuk mencari kebenaran. Akibatnya pemikiran ini masuk kedalam pemikiran saya, sehingga pada satu ketika saya bertanya kepada seorang rakan, tafsir Al-Qur'an itu pelbagai, mengapa kita ikut tafsiran yang ini dan bukan yang itu. Jika tuhan mahukan manusia faham suruhannya mengapa dia tidak menurunkan tafsir Al-Qur'an? Mengapa tuhan hanya menurunkan Al-Qur'an tidak berserta tafsir? Siapa pula yang layak menafsir Al-Qur'an?

Pemikiran bahawa Islam ini hanyalah tafsiran manusia, dan tafsiran itu pelbagai merupakan pemikiran yang didokong oleh ahli akademik seperti Reza Aslan. Buku ini menjawab persoalan saya ini. Saya bersyukur kerana tergerak hati untuk membelinya.

Dr. Ugi dalam perbahasan buku ini menjelaskan perkara ini. Hakikatnya Al-Qur'an itu diturunkan untuk manusia dalam bahasa manusia. Kebanyakan ayatnya terutamanya dalam soal akidah dibawa oleh Al-Qur'an dengan bahasa yang mudah difahami oleh manusia. Konsep ke- Esaan ALLAH misalnya sekiranya ditafsir oleh sesiapa pun tetap akan membawa kepada Aqidah bahawa ALLAH itu satu. Jadi pada perkara usul dan asas, penafsiran Al-Qur'an tidak akan melahirkan tafsiran yang bercanggahan dan berlawanan.

Pada perkara yang bukan asas pula, perbezaan penafsiran merupakan kelebihan yang dikurniakan Allah kepada ummat Islam agar Al-Qur'an kekal relevan sejauh mana pun masa dan zaman berlalu. Ia juga merupakan kemudahan agar Islam mampu sesuai dengan kehidupan manusia di pelbagai benua dan garisan geografis. Persoalan berkenaan ibadah, muamalah, ekonomi dan maqasid syariah ditetapkan asasnya sahaja, segi teknikalnya dapat diolah oleh kekuatan akal manusia agar sesuai dengan latar zaman dan latar geografis nya. Kerana Al-Qur'an sendiri mengiktiraf peranan akal manusia untuk berfikir.


"Dan Dialah yang telah menciptakan bagi-mu pendengaran, penglihatan dan hati. Amat sedikitlah yang bersyukur. Dan dialah yang menciptakan serta meramaikan kamu di bumi ini dan kepada NYA lah kamu akan dihimpunkan. Dan Dialah yang menghidupkan dan mematikan, dan dialah yang mengatur pertukaran malam dan siang. Apakah kamu tidak berfikir tentangnya?

(Surah Al-Mu'minun : 78-80)

Banyak lagi perbahasan-perbahasan yang merungkai pelbagai kekeliruan dirungkai dalam makalah ini, yang tidak mungkin saya kongsikan semuanya disini melainkan anda sendiri meneliti lembaran-lembarannya. Persoalan-persoalan seperti pluralisme, femenisme, sekularisme, hermeneutika dalam penafsiran Al-Qur'an, serta pandangan sarjana Islam seperti Prof. Dr. Syed Naquib Al-Attas dan Prof. Dr. Yusuf Al-Qardawi dalam usaha memerangi kecelaruan pemikiran yang meresapi pemikiran ummat. Semuanya digarap dengan baik, disusun menjadi hujah yang utuh.

Moga Allah limpahi kebaikan pada penulis dalam usaha menyelamatkan ummat ini. Ameen.






Wednesday, May 27, 2015

Diari kabus di puncak kejauhan



Ingin sekali aku tumpahkan tinta ini pada mentari,
Atau di ukir saja pada kejora buat pedoman laksamana meneroka samudera,
Namun apakah daya aku hanya manusia,
Maka di helaian ini saja aku bertinta.

Terubat kini rinduku yang sekian lama menjajah jiwa,
Seolah ku punya talian darah saudara dengan si rimba,
Hati berbunga pabila dahan dan daunan menepuk bahu ku,
Aku hanyut gembira bersama unggas dan serangga dalam bait lagu.

Disini tiada bingitan kereta,
Tiada juga papan tanda yang dipacak kapitalis kota,
Yang ada cuma deringan angin bayu, 
Alunan air yang berlari di celahan batu,
Juga sang kabus yang mendinginkan kalbu.

Daku aman disini,
Tidak perlu berkejar ke sana ke mari,
Cukuplah sang bintang sebagai teman bicara ku malam ini,
Dan rimba, mari bercerita soal hati.

Sekali aku terpandang anak itu bermain di laman,
Berlatarkan hijau hutan,
Rumah sekadar sambungan bilangan papan,
Ingin aku bertanya pada penguasa yang berbahas di dewan,
Yang dipertua, adakah mereka berhak diberi harapan?

Potret mereka menggambarkan erti kehidupan,
Ku lihat mereka bernafas tanpa kemewahan,
Meredah hutan, buat mengubati tangis perut anak kelaparan.

Setiap hari mereka berdua bicara di meja berita,
Katanya aset negara nilainya berjuta,
Dan esok kita akan bina sebuah lagi singgahsana,
Politikus juga manis bicaranya, suaranya berkata kekayaan sama dirasa.
Namun anak itu masih di lamannya berlatarkan rimba,
Yang dipertua, adakah nikmat berjuta milik penuh kapitalis kota?

Namun bicaraku mungkin tiada nilainya,
Ah kau hanya kuli hina, kata mereka,
Umurmu belum cukup untuk berbicara,
Garam dan gula belum kau rasa.

Lalu ke sini aku membawa diri,
Bercinta dengan sang bulan dan matahari,
Dedaun layu menjadi saksi,
Tangisku yang gugur bila bicara apa terbuku di hati.

Mimpiku kali ini di bawah langit yang terbentang luas,
Bantalku hanya akar kayu yang keras,
Ingin juga ku tinta soal sahabat,
Moga padanya tersebar manfaat.

Sejak kecil kita berteman,
Kini kau sudah di arena perkahwinan,
Begitu pantas sungai waktu berlalu,
Kadang ku termenung di jendela rindu.

Begitu indah saat muda dahulu, kita saling menggali ilmu,
Bertemankan buku juga guru, melakar memori dalam sejarah waktu.

Hari-hari itu kita muda, dan hobi kita adalah mencuba,
Soal kesan belakang cerita, dan memori itu masih basah di minda,
Di rotan ditampar makanan biasa, namun aku gembira,
Kerna akhirnya kita menjadi manusia.

Ku kirim doa agar kau bahagia teman, mencipta bangunan harapan,
Moga dari mu lahir generasi baru, yang bakal menyambung obor perjuanganmu.

Di kaki bukit ini aku aman, tanpa mesej dan deringan,
Yang ada cuma pekat kegelapan dan kedinginan menjadi teman.

Ketenangan disini besar bezanya, cuma embun yang menemani pabila subuh tiba,
Dingin sungai membasahi anggota, dan sujud kita pada pencipa,
Membasahi jiwa.

Di puncak ini aku bertinta bahagia,
Melihat kabus berarak menyelubungi buana,
Awan juga datang singgah menyapa,
Di sini aku mengagumi Sang Pencipta.

Di puncak ini rama-rama kuning nya petah bicara,
Katanya harga peluh dan lenguh telah terbayar,
Katanya keindahaan ciptaan ini hadiah buat mereka,
Mereka yang berusaha dan sanggup membayar harga.

Aku mencari lelahku yang kini hilang dan sudah tiada,
Apa yang ku jumpa hanya sang kumbang mengutus tahniah kerana berjaya,
Kata sang lebah bukan semua manusia tahan berusaha,
Dan aku mengangguk tanda mengiya.

Di puncak ini awan nya dingin, tanahnya basah dengan lumut licin,
Manakala kumbangnya kecil dan mengajak bermain,
Oh tuhan tidak terbayang Syurga mu yang lebih indah yang ku selalu ingin.

Dingin ini mengocak jiwa, ku tersenyum terbang teringat cinta pertama,
Sihatkah dia yang kini menjaga dua nyawa,
Maafkan aku tidak selalu bersama, moga sakitmu Tuhan kurnia pahala,
Dan pengorbanan mu Tuhan kalungkan syurga,
Cintaku padamu tak terungkap dengan tinta.

Kabus bertiup dan bonzai pun menari,
Sedang aku merenung perjalanan hidupku yang hanya tinggal beberapa hari,
Sudahkah ku temui apa yang di cari?

Oh gunung bilakah kita mampu bertemu lagi,
Belum puas aku berbicara dengan mu soal hati,
Bila pula kabus akan memeluk ku lagi,
Menyapa pipi dan membuatkan ku bermimpi.

Syed Ahmad Fathi bin Syed Mohd Khair
Gunung Rajah, Bentong, Pahang.
23 & 24 Mei 2015

Thursday, May 21, 2015

Trying to be Muslim


Penulis: Norhafsah Hamid
Penerbit: A.S. Noordeen

Secara jujur saya tidak dapati sebarang perkara baru didalam penulisan ini melainkan pengalaman penulis yang merupakan pengamal undang-undang dalam perjalanannya memperbaiki diri dalam beragama. Membaca separuh dari buku ini, saya lebih beranggapan bahawa tajuk yang lebih sesuai adalah 'Trying to be Muslimah', kerana saya kira banyak lontaran pendapat yang diberikan adalah dari sudut kewanitaan berbanding sudut pandang umum.

Apa yang saya dapat pada pembacaan ini walaupun saya kira ia adalah penulisan biasa adalah sesiapa pun boleh menulis, dan setiap penulisan adalah bernilai. Pengalaman kita dalam sesuatu perkara merupakan sesuatuyang berharga untuk dikongsi, meskipun kita merasakan bahawa ia biasa-biasa sahaja.

Pembawaan pengalaman yang dibawa oleh saudari Norhafsah ini mungkin tidak dapat dirasai kebersamaan nya pada sesetengah orang, tetapi ia mungkin dapat menyentuh hati setengah yang lain. Pengalaman dan nasihat beliau terutamanya dalam permasalahan haji dan umrah saya kira amat berguna untuk memotivasikan diri Muslim untuk berusaha memampukan diri untuk menjadi tetamu ilahi.

Sunday, May 10, 2015

The God Delusion



Penulis: Richard Dawkins
Penerbit: Bantam Press (Transworld publishers)

Saya kira buku ini sekiranya diterjemah ke dalam bahasa melayu dan dijual di Malaysia, ia akan diharamkan, dirampas dan dilupuskan pada hari pertama nya di Malaysia. Kebelakangan ini Malaysia dilihat sangat kritikal di dalam penerbitan buku, dengan beberapa buku diharamkan. Kes pengharaman buku ini mungkin untuk menyekat penyebaran fahaman yang tidak sesuai dengan fahaman yang ada di Malaysia yang mungkin boleh membawa kepada 'civil disorder'.

Apa pun saya lebih berpegang pada pendapat ruang pembacaan perlu dibuka meskipun bahan tersebut bertentangan dengan pemikiran mainstream. Saya tahu pendapat saya ini tidak populis.

Buku ini merupakan percubaan Dawkins untuk membuktikan bahawa tuhan tidak wujud dan manusia boleh hidup tanpa tuhan. Pelbagai persoalan dibawa dan di hujahkan, antaranya termasuklah persoalan dari mana kita menentukan standard moral jika kita memilih untuk menolak tuhan dan agama.

Dawkin saya kira agak ekstrim dalam pemikiran nya terutamanya apabila melibatkan soal kanak-kanak. Dawkins berpendapat ibu bapa tidak berhak menentukan agama bagi anak-anak. Seperti mana kita tidak menyuruh anak-anak memilih kefahaman politik di awal usia begitu juga dengan agama. Kanak-kanak bagi Dawkins perlu diberi peluang untuk memilih agama apabila sudah matang usia.

Jadi mengapa saya tidak menjadi atheist setelah membaca buku ini?

Ada beberapa perkara yang saya masih tidak dapat terima hasil hujah Dawkins, meskipun saya berjanji pada diri untuk membaca secara terbuka tanpa prejudis ketika kali pertama saya menyelak helaian buku ini.

Pertama adalah berkenaan dengan alternatif yang diberi Dawkins. Dawkins beriman bahawa bukan Tuhan yang menciptakan manusia sebaliknya manusia merupakan produk dari evolusi yang berlaku secara semula jadi. Apa masalah yang ada pada teori evolusi?

Sering kali dalam buku ini Dawkins menafikan bahawa evolusi tidak sama dengan 'secara tidak sengaja' atau by chance. Kita tidak dapat menerima sekiranya angin taufan bertiup kencang menerbangkan besi-besi lalu terbentuk pesawat Boeing secara tidak sengaja. Evolusi tidak sama dengan 'secara tidak sengaja' tetapi merupakan proses adaptasi perlahan lahan sesuatu organisma dari organisma simple kepada yang lebih kompleks melalu proses yang dinamakan natural selection.

Masalah pada teori ini yang pertama adalah pada permulaan nya. Dawkins menyatakan ia bermula dengan reaksi kimia berbilion tahun dahulu, hasil reaksi kimia lalu tercipta organisma simple seperti satu sel, kemudia ia beradaptasi hingga menjadi pelbagai organisma kompleks seperti yang kita lihat pada hari ini. Sehingga kini tiada saintis yang dapat mencipta satu hidupan menggunakan bahan tidak hidup seperti reaksi kimia, menyebabkan premise ini tidak masuk akal pada saya.

Masalah pada teori evolusi yang kedua adalah proses natural selection. Sekiranya organisma berevolusi sebagai contoh dari katak kepada monyet, akan ada hidupan pertengahan sebelum ia sempurna. Kita namakan sebagai katnyet (katak campur monyet). Tetapi tiada bukti fossil untuk menyokong teori ini, bahkan tulang monyet berjuta tahun yang lalu sama dengan tulang monyet hari ini. Banyak fossil-fossil dipalsukan untuk tujuan menjayakan teori ini yang akhirnya terdedah.

Masalah seterusnya, sekiranya chimpanzee berevolusi menjadi manusia kenapa kita masih mempunyai chimpanzee pada hari ini? Bukan kah evolusi merupakan cara survival, maka sepatutnya chimpanzee tidak dapat menyesuaikan diri dengan suasana dunia telah pupus, ia patut pupus dan meninggalkan hanya manusia. Sekiranya organisma berevolusi untuk terus kekal, mengapa burung dodo pupus? Mengapa burung dodo tidak berevolusi menjadi dokap (dodo dan siakap) atau dowal (dodo dan bawal) dan hidup didalam air untuk meneruskan kelangsungan spesisnya? Bukankah ia mampu berevolusi?

Kedua, selain dari alternatif yang diberikan oleh Dawkins untuk menggantikan tuhan, adalah logik akal. Hujah Dawkins menolak agama adalah agama membawa pelbagai benda karut yang tidak boleh diterima akal logik. Dan manusia diminta beriman kepada perkara yang tidak masuk akal tanpa mempersoalkan nya. Kebanyakan contoh yang diberikan di dalam buku ini merupakan sedutan dari Old Testament dan Bible (sebagai contoh kekeliruan triniti).

Ini sebenarnya bertentangan dengan Islam. Islam menurut apa yang saya faham membawa kefahaman yang dapat diterima akal. Terdapat juga beberapa perkara yang mungkin sukar kita fahami seperti bagaimana Rasulullah dapat naik ke langit semasa Isra' Mikraj. Tetapi kita tidak mampu mengatakan ianya tidak masuk akal. Mengapa? Sebagai contoh jika 5000 tahun dahulu jika ada manusia yang mengatakan bahawa dia boleh berkomunikasi secara terus dengan keluarganya di benua lain, dia akan dikatakan gila. Tetapi pada hari ini, ia perkara biasa dengan kemajuan teknologi seperti internet. Tentu lah tuhan mempunyai teknologi yang lebih maju dari manusia sendiri.

Sebab terakhir saya menolak atheisma adalah sumbangan sarjana Islam sendiri. Eropah maju pada hari ini hasil kajian dan ilmu yang diwarisi dari tamadun Islam. Angka '0' sendiri merupakan ciptaan sarjana Islam yang membolehkan kita menggunakan matematik pada hari ini. Angka '0' tidak ada dalam roman numerals.

Jika Dawkins mengatakan agama menyekat kemajuan sains ini sama sekali tidak benar. Ummat Islam mundur pada hari ini bukan kerana agamanya tetapi sikapnya. Islam bahkan menyuruh manusia berfikir seperti yang dianjurkan dalam Al-Qur'an. 

Namun, buku ini bukan lah semuanya negatif. Ada sudut-sudutnya yang membuatkan saya ketawa, malah banyak sudutnya membuatkan saya berfikir. Inilah yang penting pada kira saya, kita tidak boleh menyekat manusia untuk berfikir. "Jangan berfikir banyak nanti jadi gila" bagi saya tidak relevan kerana Al-Qur'an sendiri bertanya kepada kita "Afalam yatafakkarun" - adakah kamu tidak berfikir? Fungsi akal di iktiraf dalam Islam. Keberanian kita berfikir apa yang tidak orang lain fikir, dan keberanian kita untuk berbeza pemikiran lah yang akhirnya melahirkan penemuan dan teknologi baru.

Apabila melihat kesungguhan para saintis barat  berusaha membuktikan dan meyakinkan masyarakat bahawa tuhan tidak wujud. Teringat satu ayat firman Allah beribu tahun yang lalu, seolah-olah telah bersedia untuk memberi jawapan kepada gerakan saintis atheist pada hari ini.

"Dan apabila dikatakan kepada mereka, "Berimanlah kamu sebagaimana orang lain telah beriman!" Mereka menjawab, "Apakah kami akan beriman seperti orang-orang yang kurang akal itu beriman?" Ingatlah, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang kurang akal, tetapi mereka tidak tahu"

(Al-Baqarah : 14)