Memaparkan catatan dengan label Komen Facebook. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Komen Facebook. Papar semua catatan

Khamis, 7 Januari 2021

Ahmed Deedat Tersenyum Dari Kuburnya


Teman saya Syafiq dari Dubai tiba-tiba menghantar pesanan di bahagian mesej di sebuah platform media sosial. Beliau berkerja sebagai pereka grafik dan web. Sudah sekitar 7 purnama berlalu sejak kami bertukar-tukar perkataan. 

"Assalamualaikum saudaraku, bagaimanakah keadaan anda? Aku punya berita penting buat kamu" tulis Syafiq kepadaku.

Beliau kemudian menghantar beberapa pautan perihal berita bahawa tuduhan salah laku seks yang dilakukan oleh Ravi Zacharias kini terbukti benar. Ini adalah pengkhabaran yang sangat besar gumam hati saya.

"Jadi sesungguhnya beliau bukan sahaja penipu tetapi merupakan pemangsa seks" balas saya kepada Syafiq.

"Ya, dia pernah memfitnah Ahmed Deedat selepas kematiannya, dan sekarang nampaknya dia pula telah dipukul hebat selepas kematiannya. Allah tahu apa yang terbaik" tulis Syafiq kepada saya.

"Alhamdulillah, Deedat nampaknya masih menang walaupun dia berada di dalam kubur" tulis saya.

"Siasatan masih berterusan keatas Ravi, tetapi laporan interim telah dikeluarkan, aku hargai organisasi Ravi iaitu RZIM, mereka menerbitkan laporan ini di laman web mereka, kebanyakan kumpulan lain seperti mereka tidak akan mengakui isu-isu seperti ini" tulis Syafiq menghargai kejujuran RZIM.

"Ya, itu patut dipuji" balasku.

Kami mengakhiri perbualan kami disitu. Manakala saya seperti mendapat semangat baru hari itu. Saya masih ingat perbincangan-perdebatan saya dengan seorang rakan kristian saya Theo. Pada satu hari beliau berkongsi kepada saya video ucapan Ravi Zacharias yang memfitnah Ahmed Deedat kononnya ketika Deedat memberi ucapan di sebuah Universiti Islam di Malaysia, seorang Professor bernama Lee bertanya soalan. Deedat memanggil Lee ke hadapan dan menampar mukanya, menyuruhnya membuka seluar dan baju dan memalukan Lee di depan khalayak. Lee pulang ke pejabatnya hanya berseluar dalam. Video ucapan ini di muat naik oleh Naga Seminarian pada bulan Ogos 2020. Deedat yang telah meninggal pada tahun 2005 pastinya tidak dapat mempertahankan dirinya atas fitnah ini.

Deedat merupakan pendebat dan orator professional. Dalam debat, jika anda hilang kawalan dan marah, anda telah kalah. Deedat yang professional sangat arif dengan keadaan ini. Sebab itu jika anda melihat siri-siri debat Deedat, beliau akan sentiasa tersenyum meskipun lawannya menjerit-jerit emosional, atau pendengarnya menjerit-jerit memarahinya. Contohnya deebat Deedat melawan Pastor Stanley Sjoberg, anda boleh lihat sendiri bertama emosionalnya Stanley, sementara Deedat kekal cool sambil tersenyum menjawab soalan. Sebab itu fitnah ini sukar dipercayai. Siri debat Deedat juga pasti direkodkan, manakala tuduhan ini tidak punya apa-apa rekod.

Tidak ada satu pun video atau berita media yang melaporkan perkara ini. Cerita karut dan fitnah Ravi Zacharias ini disebar luaskan oleh media-media kristian. Sirikwa Pentecostal Fellowship contohnya menerbitkan tulisan kisah karut ini di laman Facebooknya pada 11 Disember 2013. Fitnah Ravi ini tiada langsung bukti, Prof. Lee yang disebutkan juga tidak pernah muncul untuk mengesahkan cerita karut Ravi. Bukti cerita ini hanyalah air liur Ravi, Ravi sedar pengaruhnya besar, dan pengikutnya akan percaya perkataannya tanpa perlu akan pembuktian. Theo adalah salah seorang dari pengikut buta Ravi yang naif.

Ravi Zacharias bukan merupakan figura kecil di dalam dunia kristian. Timbalan Presiden Amerika Syarikat, Mike Pence menghadiri upacara peringatan kematiannya, Pence dalam ucapannya pada majlis itu mengirim kata-kata dari Presiden Amerika sendiri, Donald Trump yang mengatakan bahawa “making the intellectual case for Christianity, Ravi Zacharias was instrumental in helping millions of people around the world come to know the love and mercy of Jesus Christ". Ravi Zacharias mengasaskan Ravi Zacharias International Ministries (RZIM), sebuah organisasi global yang mempunyai pejabat di USA, UK, Canada, Jerman dan banyak lagi.

Kini, kurang setahun dari kematian Ravi Zacharias, RZIM mengakui salah laku seks dan penipuan Ravi Zacharias adalah benar dari penyiasatan dalaman mereka melalui Miller & Martin PLLC. Dalam sekelip mata, Tuhan membuktikan bahawa Ravi merupakan seorang penipu sekaligus membersihkan nama Deedat dari fitnah kotor Ravi. Dalam sebuah artikel CTV News, Carson Weitnauer dari RZIM menulis bahawa Ravi adalah "penipu besar", beliau menulis bahawa:

"The realization that Ravi Zacharias was not the greatest apologist of his generation -- but rather one of its greatest frauds -- has felt like a catastrophic betrayal, I have felt a sickening combination of revulsion and grief."

Saya menyampaikan khabar yang indah ini kepada Theo. Theo tergamam, kemudian dia menulis:

"Interesting. It's exactly why we need to look to God and not men. Even King David committed adultery with Bath-sheba and subsequently murdered her husband by proxy when he found out that she was pregnant with his child. Fortunately for him, God sent a prophet who exposed and rebuked him. Well, we would only know if Prof. Lee himself comes forward with the truth. But to you who are listening I say: Love your enemies, do good to those who hate you, bless those who curse you, pray for those who mistreat you. - Luke 6:27-28".

Saya rasa sangat kelakar, kerana Lee tidak berani untuk keluar bagi membenarkan kisah fitnah karut Ravi. Saya pun membalas "So far Lee still didn't dare to come forward. We will have to wait for forever. Until he came forward, its just an unsubstantiated lie by a known sexual abuser".

Membaca tulisan saya, Theo bertukar defensif, dia perlu mencari alasan kenapa Lee tidak keluar untuk membuktikan tuduhan fitnah ini. Dia pun memetik Jakim yang tiada kena mengena langsung dengan kes ini. Theo menulis "Say he does comes forward, what is  JAKIM going to do? Apprehend Deedat? Compensate Prof. Lee? I highly doubt do, it better to remain silent".

Menjawab falasi Theo yang cuba menyorok dibelakang Jakim kerana tidak berjaya membuktikan fitnah dari Ravi si pemangsa seks, saya menulis "Jakim has nothing to do with it. For me simple, if its true give evidence, if false, then keep giving excuses to not give them. But the words of this sex abuser will not hold water anymore. As such Deedat is in the clear. Even in his grave, Deedat is still winning. Thank God".

Pasrah kerana kehabisan hujah, Theo hanya mampu memetik petikan Bible, dia menulis "For God will bring every deed into judgment, including every hidden thing, whether it is good or evil. Ecc 12:14"

Setelah bertahun-tahun Ravi Zacharias memfitnah Ahmed Deedat yang kemudian disebarkan oleh media-media kristian. Tanpa sebarang bukti, hanya dengan mempercayai perkataan Ravi, akhirnya Tuhan membantu Deedat dengan mendedahkan bahawa Ravi Zacharias tidak mempunyai kredibiliti, beliau bukan sahaja penipu besar tetapi juga pemangsa seks. Nampaknya Ahmed Deedat masih lagi memenangi perlawanan dengan kristian, dari kuburnya Ahmed Deedat tersenyum. Tuhan sendiri membersihkan namanya.

Sabtu, 2 Januari 2021

Berani Menuntut Hak


Kisah ini ada saya kongsikan di laman Facebook. Perihal bagaimana baru-baru ini saya ada ke syarikat penghantaran, mahu mengantar buku teks kepada seorang teman di Syria yang akan menduduki peperiksaan professional. Di kaunter saya tanya harga penghantaran 2 buah buku, setelah ditimbang dan di check rate penghantaran, total cost adalah RM300.

Kerana macam mahal, saya balik bincang dengan rakan saya dulu, kami setuju akan kos tersebut. Esoknya saya pergi semula dan bayar.

Selepas beberapa hari, saya dimaklumkan penghantaran tidak boleh dibuat, kerana agen mereka tidak boleh menghantarnya. Saya okay, saya minta refund. "Takda" jawab mereka ringkas. Saya rasa tertipu. Patutnya jika tidak boleh hantar, beri tahu sebelum saya bayar, jimat masa, tenaga, dan duit. Jika nak guna alasan perang, perang di Syria dah bertahun lamanya, jadi patut polisi dah jelas tidak boleh hantar. Bukan beritahu boleh, minta duit, kemudian kata tak boleh hantar.

Saya kata saya akan buat tuntutan di mahkamah kecil, kerana RM300 tak banyak, tapi still rasa tertipu. Ini bukan kali pertama saya guna ayat nak buat tuntutan mahkamah, kali pertama rasanya masa minta pulangkan deposit dari syarikat percetakan yang tak tunaikan servis. Prosedur tuntutan ni senang sahaja, boleh Google. Kalau malas Google saya pautkan link disini. Kalau kawan hutang tak nak bayar pun boleh buat tuntutan.

Akhirnya pihak syarikat penghantaran setuju untuk pulangkan duit. Bayangkan jika 100 orang tidak menuntut dan biar sahaja bila dikatakan tiada refund. Dah boleh dapat RM30,000. Kalau seribu orang, boleh dapat RM300,000 dan boleh beli sebiji rumah secara cash.

Hidup ni kadangkala memang kena melawan kalau tak mahu ditekan. Setiap kali ada penindasan perlu ada perlawanan. Bak kata Widji Thukul "hanya satu kata, lawan!".

Rabu, 9 Disember 2020

Menulis Sebagai Pengembara Bukan Ideolog


Baru-baru ini saya ada menulis perihal kritik saya terhadap pemikiran Bakunin, seorang teman, yang merupakan komrad anarkis menghantar mesej kepada saya, kata beliau, hatinya sedikit kecewa kerana kritik saya itu tidak cukup panjang. Walaupun beliau seorang anarkis, beliau punya persoalan yang sama dengan saya perihal pemikiran anarkis Bakunin, beliau juga ada menulis manuskrip namun tidak disiapkan, dan beliau berharap saya dapat mengembangkan kritik saya menjadi sebuah buku. Idea beliau itu bagi saya sangat menarik, kerana banyak perkara dalam pemikiran Bakunin boleh dibahaskan, diteliti, dan yang problematik boleh diperhalusi dan dikritik.

Namun, walaupun saya merasakan ia satu idea dan projek yang menarik untuk dilakukan, saya merasakan saya tidak mampu melakukannya, kerana saya sendiri terikat dengan pelbagai projek penulisan. Sebahagiannya aktif diusahakan, manakala banyak darinya tergendala.

Saya memberitahu beliau bahawa saya mengkritik Bakunin bukan sebagai seorang ideolog, saya tidak punya apa-apa tujuan untuk merendahkan anarkisme kemudian mengetengahkan ideologi saya. Tidak. Tetapi saya menulis kritik-kritik itu sebagai seorang pengembara, saya sedang berjalan, berjalan dalam kehidupan. Satu hari saya berehat sebentar dibawah pokok, ketika itu saya terjumpa naskah pemikiran Bakunin, saya pun baca dan coretkan sedikit pandangan saya. Kemudian saya letakkan semula makalah itu ditempatnya, lalu saya menyambung semula perjalanan saya.

Saya jarang membaca buku-buku yang telah saya terbitkan, kerana saya telah mengulang baca berkali-kali semasa menyuntingnya sebelum penerbitan. Tapi kadang kala saya selak-selak juga melangkau-langkau, kadang saya tertanya juga "apalah yang aku tulis dahulu?". Dan bila saya baca, ya, saya menulis dahulu sebagai seorang yang idealis, sebagai seorang ideolog. Saya bukan hendak mengatakan tidak boleh berideologi, tapi saya perpendapat sekarang (qaul jadid) bahawa menulis sebagai pengembara lebih menenangkan, lebih objektif, lebih terang pemikiran dalam menulis, dan yang lebih penting, saya kira ia jalan yang lebih adil dalam membahas sesuatu idea.

Ketika mengkritik Bakunin itu, pada mulanya saya terbitkan mukaddimahnya sahaja di Facebook, kerana pada ketika itu saya sedang bekerja, dan menyelit sebentar menulis waktu rehat makan tengahari. Bak kata Shakespeare, manusia itu mempunyai banyak topeng. Begitu jugalah saya, ada ketika saya memakai topeng suami, topeng sebagai ayah, topeng sebagai anak, topeng sebagai seorang pekerja, juga topeng sebagai seorang penulis di waktu senggang. Oleh kerana banyak topeng, saya punya masa yang terhad untuk setiap topeng.

Ada netizen yang meninggalkan komen "Bersambung pulak dah? Kau ingat kau superstar nak orang tunggu-tunggu kau? Habiskan je lah bro!". Saya tidaklah terasa atau mengambil hati, mungkin sebab sudah tua, masa zaman darah panas muda-muda dahulu mungkin saya akan bergaduh terus. Cuma komen itu buat saya terfikir soal menulis.

Bagi saya menulis bukanlah proses yang boleh dibuat secara tergesa-gesa, terutamanya jika mahu mengkritik pemikiran orang lain. Kita kena baca dahulu pemikiran mereka, duduk termenung cuba untuk faham, kemudian berfikir bagaimana untuk mempersembahkan hujah-hujah yang rasional. Jika ini tidak dilakukan, kritikan akan tersasar, malah kita sendiri akan kelihatan lebih bodoh dari orang yang kita ingin kritik. Jadi itu juga merupakan salah satu faktor penulisan saya sedikit perlahan dan bertahap. Pembaca mungkin tidak dapat menghargai perkara ini, kerana mereka hanya membaca, tidak terlibat dalam proses pembacaan sumber primer, proses berfikir, dan proses untuk mensintesiskan hujah-hujah.

Saya merasakan dalam perjalanan kehidupan ini, meniti jambatan masa menuju alam seberang sana, semakin banyak saya membaca dan menulis, semakin saya merasakan banyak perkara yang saya belum tahu, hikmah yang belum tersingkap di fikiran. Oleh itu saya semakin lama semakin kurang ideolog, saya mahu menjadi pelajar dan pemerhati, dalam masa yang sama menjadi perekod sejarah, menulis apa yang saya temui sepanjang perjalanan singkat ini.

Khamis, 16 Julai 2020

PPSMI: Diskusi bersama Wern Han



Pada 16 Julai 2020 sekitar jam 12 petang, saya berkesempatan untuk berdiskusi dengan Wern Han salah seorang ahli kumpulan GE-Global di Facebook. Beliau berkongsi pautan berita dari Malaysiakini tentang jawapan menteri pendidikan, Radzi Jidin di Parlimen yang menyatakan bahawa program PPSMI tidak akan dihidupkan semula, dan pengajaran tulisan Jawi akan diteruskan.

Saudara Wern Han mempertikaikan bahawa hampir semua ahli parlimen melengkapkan pengajian mereka di luar negara, dan mereka belajar menggunakan Bahasa Inggeris. Beliau tidak mengemukakan apa-apa data terhadap dakwaan ini, saya anggap ia adalah kepercayaan beliau. Namun, jika dilihat dengan lebih dekat, pertikaian beliau ini jika benar, membuktikan bahawa kita tidak perlukan PPSMI untuk berjaya belajar di luar negara dan menjadi menteri. Kerana tentunya ahli parlimen yang 40% adalah golongan yang berumur lebih 60 tahun menerima pendidikan sebelum PPSMI dilaksanakan pada tahun 2003.

Saya masih ingat, pada tahun 2003 itu saya berada di tingkatan 1, terdapat banyak kekeliruan, bukan sahaja pelajar, malah guru-guru. Pada peringkat awal itu, saya masih ingat, semasa peperiksaan masih diberikan pilihan, ketika PMR dan SPM kertas-kertas subjek seperti Sains, Matematik, Fizik, Kimia, dan Biologi semuanya dwi-bahasa. Pelajar boleh memilih hendak menjawab dalam Bahasa Inggeris atau Melayu. Kertas soalan dan jawapan juga dwi-bahasa. Kami pelajar ketika itu, benar-benar merasakan bahawa kami adalah tikus makmal untuk menguji polisi pendidikan negara.

Saudara Wern Han kemudian bertanya, adakah kita perlu berhenti menggunakan Bahasa Inggeris untuk mengajar? Saya merasakan beliau keliru. Di Malaysia kita tentulah belajar dalam bahasa nasional, itu tidak bermakna kita tidak belajar bahasa Inggeris sebagai satu subjek berasingan. Wern Han kemudian menambah bahawa beliau faham kepentingan bahasa kebangsaan (bagi saya, baguslah jika faham), tapi beliau berkata kita juga perlu tahu bahasa Inggeris yang diiktiraf sebagai bahasa antarabangsa. Beliau memberi contoh ketika pelancong datang ke Malaysia, kita perlu gunakan bahasa Inggeris, jika kita tidak fasih, bukankah ini akan meninggalkan persepsi buruk terhadap Malaysia?

Disini kelihatan beliau masih keliru. Malaysia menurut EF English Proficiency Index (EF EPI) pada tahun 2019 berada di tangga ke 26, dikategorikan sebagai high proficiency bersama negara maju seperti Switzerland (Switzerland adalah negara ke-2 termaju dalam dunia selepas Norway menurut World Population Review pada tahun 2020). Malah Malaysia dalam indeks EF EPI lebih baik dari Perancis (31), Hong Kong (33), Korea Selatan (37) yang dikategorikan sebagai moderate proficiency. Jika kita ukur sekadar di Asia, Malaysia di tempat ke-3 selepas Singapura ditempat pertama dan Filipina di tempat kedua.

Baik, berbalik kepada hujah pelancong asing Wern Han, pelancong biasanya mahukan informasi-informasi tempatan yang mudah seperti arah dan lokasi, ini semestinya mudah dijawab bagi warga Malaysia yang merupakan negara ke-3 di Asia yang mempunyai tahap kebolehan bahasa Inggeris yang tinggi. Pelancong bukan mahu menilai tatabahasa bahasa Inggeris kita, dan kita mencapai semua ini tanpa pun kita bergantung kepada polisi PPSMI. Wern Han kemudian berkongsi pengalamannya melancong ke Thailand, dan terpaksa menggunakan aplikasi Google Translate sepanjang masa. Bagi saya ini bukan hujah, jika Thailand bermasalah suruhlah Thailand yang melaksanakan PPSMI bukan Malaysia. Mengapa kita perlu makan ubat kepada penyakit yang kita tidak hidapi?

Akhirnya Wern Han berkata bahawa dia hanya menyatakan jika kita tidak boleh bertutur bahasa Inggeris kita akan ada masalah komunikasi dengan orang asing, dan dia tidak menyalahkan Malaysia dalam hal ini. Belajar bahasa Inggeris tidak akan menyelesaikan persoalan bahasa ni negara kita tambahnya lagi. Dan pada ketika itu saya pun bersetuju.

Ahad, 4 Disember 2016

The power of being neutral



Leo Tolstoy pernah mengungkapkan:

"The most difficult subjects can be explained to the most slow-witted man if he has not formed any idea of them already; but the simplest thing cannot be made clear to the most intelligent man if he is firmly persuaded that he knows already, without a shadow of doubt, what is laid before him."

Ungkapan ini dimuatkan oleh Michael Lewis dalam buku beliau The Big Short. Maksudnya sekiranya seseorang itu merasakan dia telah tahu tentang kebenaran, kita tidak dapat memberikan apa-apa penjelasan kepadanya. Kita dapat melihat dengan jelas perkara ini pada penyokong mana-mana parti politik. Kerana itu bagi saya, menyokong mana-mana parti politik akan menjadikan view kita distorted dan bias.

Saya terjumpa satu posting yang menarik beberapa hari lepas:


Saya bersetuju dengan perenggan pertama. Masalah yang diutarakan adalah open secret, satu barah yang dibiarkan bernanah dan mengikis kepercayaan terhadap kredibiliti kerajaan. Saya kira semua rakyat Malaysia yang waras, apa juga parti marah dengan skandal ini. Apa yang menarik perhatian saya adalah perenggan yang kedua.

Beliau mem'bodoh'kan dan men'tolol'kan orang yang neutral dengan perkara ini. Pertama, jika beliau merupakan wakil rakyat, rakyat akan menolaknya kerana merendahkan intelektual rakyat dengan membuat generalization. Kedua, sekiranya dia seorang ahli akedemik, beliau tidak perlu dihormati kerana tidak beradab dan tidak berhujah menggunakan fakta, sebaliknya terperangkap dengan emosi sendiri (kadang-kadang saya rasa dia memperbodohkan diri sendiri). Ketiga, sekiranya beliau ingin menjatuhkan pemerintah sedia ada, ia adalah strategi yang salah dan merugikan, tiada siapa yang akan menyokong orang yang arrogant dan acah-acah paling pandai. 

Golongan neutral sebenarnya golongan yang sangat penting dan critical untuk dimenangi. Golongan ini tidak menyokong mana-mana parti secara terbuka, setiap kali pilihan raya setiap parti politik akan bercakap akan pentingnya memenangi pengundi atas pagar. Pengundi atas pagar adalah golongan neutral yang boleh berubah mengundi sesiapa yang dirasakan menguntungkan mereka, mereka tiada loyalty pada mana-mana parti. Jadi membodohkan dan mentololkan mereka adalah strategi yang bodoh dan tolol.

Tun Dr. Mahathir pernah membicarakan tentang pentingya golongan ini dalam lecture beliau yang bertajuk 'The Malaysian Dilemma'. Bagaimana beliau berani membuat pilihanraya kerana beliau tahu golongan neutral yang moderate akan mengundi beliau walaupun mereka tidak menyatakan dengan jelas preference undi mereka.

Saya tidak mahu berpenat lelah mempersoalkan artikel Malaysiakini tersebut, kerana bagi saya Malaysiakini merupakan propaganda pembangkang tidak banyak bezanya dengan Utusan sebagai propaganda UMNO. Setelah banyak pengkhianatan terhadap etika kewartawanan, saya sudah lama hilang kepercayaan dengan kebebasan pandangan portal ini. Namun, untuk sekadar melihat kepandaian pemilik post tersebut saya bertanya seperti dibawah.



Ada masalah dengan jawapan yang diberikan. Beliau menyamakan tulisan ini dengan Occupy Movement. Occupy Movement merupakan pergerakan rakyat. Ia tiada hierarchy, atau dalam kata lain tiada struktur organisasi dan tiada pemimpin. Ramai menganggap pergerakan ini gagal kerana ketiadaan kepimpinan. Alasdair (2012) sebagai contoh menyebut:

"The interconnections of communication are such that you can imagine people not just communicating but acting, and acting damn effectively, without leadership, a secretariat, without even formal information channel."

"The Occupy Movement briefly flourished and then failed. It burned itself out without moving the country substantially closer to remedies for any of the problems associated with the neoliberal project."

Kegagalan atau keberjayaan sesuatu pergerakan bukanlah dalam skop perbincangan artikel ini. Apa yang hendak dikatakan adalah Occupy Movement merupakan pergerakan rakyat yang tidak mempunyai hierarchy, oleh kerana itu ia menggunakan nilai 99%.

Berbeza dengan artikel yang dikongsikan. Ia ditulis oleh Liew Chin Tong, yang merupakan pengarah pendidikan politik DAP merangkap Ahli Parlimen Kluang. Jika kita ingin menyamakan ia dengan Occupy Movement, ia tidak valid. Kerana jika kita menggunakan definisi Occupy Movement, Liew Chin Tong merupakan golongan ahli politik 1% dan bukan merupakan rakyat 99%. Oleh itu penggunaan 99% boleh dipersoalkan kerana ia bukan merupakan pandangan rakyat atau golongan proletariat.

But nevermind  the fact, we already have the truth.

Rujukan:

1. Roberts, Alasdair. "Why the Occupy movement failed." (2012): 754-762.