 |
| Diskusi buku bersama Suhaib Zahir membincangkan naskah 'Sempadan Ilmu Yang Terkurung'. |
Ketika catatan ini ditulis, saya sebenarnya masih penat dari acara Komkura yang berlangsung pada 18 April 2026 di Qahwa Cafe, Bertam. Penatnya belum kebah, tapi bak kata Tok Guru Ibnu Din Assingkiri, kalau idea datang, kita kena tangkap dia. Jadi saya mencoret juga idea-idea pasca-acara untuk menjadi sebahagian dari rekod. Walaupun coretan ini akan terpisah-pisah.
Dalam sesi Komkura tersebut, saya hanya menjadi moderator, jadi masa untuk melontar idea tidak lama. Jadi saya ingin menulis semula beberapa idea yang tidak sempat dimekarkan dengan sempurna dalam acara tersebut.
Pertama soal tradisi menulis. Saya secara peribadi tidak mempunyai apa-apa aliran penulisan. Saya tidak punyai satu tok guru yang membayangi penulisan saya. Tok guru penulisan saya adalah ibu, ayah, guru-guru saya masa di tadika, sekolah rendah dan menengah, merekalah yang mengajar saya membaca dan menulis.
Sebahagiannya, guru di tadika dan sekolah rendah terutamanya, saya sendiri sudah lupa siapa mereka, dan nama mereka. Tapi saya pasti, Allah tidak melupakan mereka, dan sudah mencatat saham mereka, andai ada sedikit kebaikan dalam penulisan saya. Jadi, berbahagialah para guru-guru.
Tetapi tidaklah bermakna penulisan dan pemikiran saya tidak dicorak oleh sesiapa. Bagi saya yang mencorak penulisan saya adalah alam sekeliling saya termasuklah buku-buku yang saya baca. Jadi semua buku yang pernah saya baca, penulisnya semua tok guru saya. Saya banyak ambil manfaat dari gaya penulisan mereka, kaedah mereka beretorik, strategi membentangkan hujah dan fakta, bagaimana mereka menarikan kata-kata, bagaimana mereka memainkan emosi dalam penulisan, itu semua saya belajar dari pembacaan.
Namun tidaklah saya ini Hayy Ibnu Yakzan atau Tarzan yang hanya belajar dari alam. Walaupun saya selalu bergaduh dengan editor yang selalu tukar tulisan saya. Saya masuk juga kelas penulisan dulu-dulu. Saya masih ingat kelas penulisan yang saya sertai di Menara DBP pada tahun 2016 (sepuluh tahun yang lalu). Masa itu kelas dikendalikan oleh Prof. Md Sidin Ishak. Beliau suruh tulis tajuk buku yang hendak ditulis di hadapan kelas. Saya pun dengan penuh malu dan segan, tulis Berfikir Tentang Pemikiran. Selepas dua tahun, alhamdulillah, buku itu selamat dilahirkan.
Bagi saya semua orang boleh menjadi penulis. Cuma yang membezakan manusia adalah usahanya. Jika rajin dan banyak menulis, tulisan akan jadi lagi baik. Jika sentiasa buka hati untuk terus belajar, tulisan akan jadi lagi baik. Jika rajin berusaha keluar mempromosikan penulisan, jumpa manusia dan masyarakat, orang akan semakin membaca penulisan kita. Semua ini boleh dilakukan. Tidak perlu ilmu sihir atau jumpa bomoh. Hanya perlu berusaha gigih, berdoa, dan bertawakkal kepada Allah.
Yang lebih penting bukanlah jadi femes atau jutawan, tapi kita “enjoy the adventure”. Pengembaraan menjadi penulis itu sepatutnya satu kembara yang kita nikmati.
Dalam sesi Komkura tersebut juga rakan panelis saya, saudara Suhaib Zahir ada bertanya berkenaan dengan signifikan penulisan. Adakah saya rasa penulisan saya sampai dan membumi pada masyarakat? Yang ini mungkin kelakar sikit, tapi saya nak cerita juga sikit.
Saya sebenarnya tidak berapa kisah dengan pandangan orang. Jika orang tak suka penulisan kita, atau rasa penulisan saya bosan, dan lain-lain. Bagi saya kritikan itu perkara biasa, saya alu-alukan. Tapi memang apabila menulis ini, banyak benda-benda pelik dan kelakar berlaku. Misalnya ada pembaca random tegur masa tengah bersiar-siar. Lagi kelakar, saya ada jumpa satu blog di Indonesia yang senaraikan nama-nama tokoh nusantara, lepas tu letak nama saya. Saya rasa kelakar dan tak layak masuk dalam list tersebut. Tak pasti sama ada blog itu adalah satira atau serius. Tapi itulah, penulisan kita ini akan sampai ke ceruk-ceruk yang kita pun tak mampu nak imaginasikan dia akan pergi mana. Ibarat macam lepaskan burung, dia terbang, kita tak tahu dia pergi mana. Itulah penulisan.
Baik, yang kurang kelakar sikit. Saya rasa yang lebih penting adalah semua penulis itu sebenarnya adalah sejawan-sejarawan kecil. Kita sering tidak sedar bahawa kita adalah titik kecil dalam sejarah yang lebih luas dan panjang. Rekod yang kita tinggalkan akan dirujuk di masa hadapan. Kampung kita yang kita rasa tidak signifikan, mungkin 200 tahun lagi akan menjadi kompleks angkasa raya di mana para astronaut berlepas ke galaksi lain. Siapa tahu? Di masa itu mungkin akan ada orang (atau manusia separa robot?) yang berminat untuk mengetahui sejarah tempat itu 200 tahun yang lalu. Alangkah gembiranya dia jika dia terjumpa diari kita di kampung yang menceritakan segala kisah-kisahnya. Ia akan menjadi satu bacaan yang mind-blowing buat manusia-separa-robot yang membacanya. Jadi, jadilah penulis, jangan pernah rasa anda tidak signifikan. Anda sebenarnya adalah sejarawan kecil dalam arus sejarah yang panjang!
Rakaman wacana Komkura bertajuk "Pendidikan Atau Kilang Sijil? Peranan Tradisi Berfikir, Membaca dan Menulis" anjuran Komkura di Qahwa Cafe, Bertam pada 18 April 2026 bersaam Suhaib Zahir boleh dirujuk melalui
pautan ini.