Manusia adalah pencari makna. Dalam kata lain, erti hidup adalah pada mencari. Kita mencari apa yang hendak diisi dalam kehidupan kita yang sempit dan sementara ini. Kita mencari ilmu, mencari kebenaran, kita mencari pasangan hidup. Kita mencari ketenangan dan kebahagiaan. Maka, ya, erti hidup boleh dikatakan pada mencari.
Pencarian ini mungkin akan lebih tebal dan mendalam tertanam dalam hati buat manusia yang sedar, bahawa masa dalam genggaman tangannya sangat sedikit. Ibarat pasir yang cuba digenggam, tetapi mengalir keluar di celahan jari jemari. Apabila kita ditimpa sakit misalnya, kita akan segera terbayang akan saat penghabisan, di mana tiada lagi kita berpeluang untuk menabur erti dan menabur bakti di dunia.
Dalam kesedaran ini, saya suka menyibukkan hidup saya hingga jarang wujud masa lapang dalam kehidupan sehari-hari. Bekerja pagi ke petang, bermesyuarat setiap malam, beraktiviti di hujung minggu. Hingga hidup kadang terasa seperti dalam ribut yang tidak pernah berhenti berpusing.
Di satu sudut, hidup di dalam ribut berjaya mengisi sedikit makna. Tetapi di sudut lain, kadang kala saya merasakan ribut ini menghalang saya untuk berhenti dan berfikir dengan mendalam. Kurang masa untuk bersunyi-sunyi dan berkhalwat dengan pemikiran sendiri. Kurang masa merenung makna hidup yang sering sibuk di dalam keributan.
Tetapi pernah juga ada ketika di mana hidup saya lebih perlahan dan lapang. Pada ketika itu pula saya merindui ribut yang memberi makna. Maka mungkin begitulah manusia, hidupnya dalam dualiti, sentiasa mencuba untuk berjalan di tengah-tengah perbatasan antara dua jurang kehidupan, jurang sepi atau jurang keributan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan