Memaparkan catatan dengan label Ulasan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ulasan. Papar semua catatan

Ahad, 8 Ogos 2021

Memetik Al-Muqaddimah Dari Almari


Pada awalnya saya memetik buku Al-Muqaddimah dari almari untuk membuat sedikit rujukan. Kerana senarai buku yang sedang dibaca masih banyak belum selesai, saya tidak bercadang untuk membaca naskah ini sekarang. Kerana aktiviti membaca bagi saya sudah menjadi aktiviti yang sangat kompleks. Dahulu saya membaca dengan lebih mudah, sekadar baca dan fikirkan apa isi utama yang cuba dibawakan penulis.

Namun tabiat membaca saya lama kelamaan berubah. Sukar untuk membaca secara bersahaja (kecuali novel). Setiap kali membaca pasti saya mempunyai urgensi untuk menandakan bacaan saya, membuat nota bagi setiap isi yang saya rasakan bermakna dan perlu dimasukkan dalam bakul nota saya. Ini menjadikan pembacaan sebagai satu proses yang sangat berat, tidak lagi santai. Namun ia lebih bermakna kerana ia menjadi bacaan yang berisi, bukan bacaan santai yang berlalu seperti tiupan angin.

Setelah menyelak dan membaca prakata yang ditulis oleh 'Abd-ar-Rahman Abu Zayd ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Khaldun al-Hadrami (nama penuh Ibn Khaldun), naskah ini terus meresapi minda. Sukar untuk diletakkan semula ke almari tanpa membelek-belek halamannya.

Dalam prakatanya Ibn Khaldun membicarakan perihal sejarah, yang menurut hemat beliau merupakan cabang dari keilmuan falsafah. Beliau mengkritik ahli sejarah sebelum beliau yang menulis tanpa kritis, sekadar menyalin bahan umpama burung kakak tua. Beliau juga mengkritik ahli sejarah yang tidak cermat memilih sumber, tidak mengasingkan fakta yang absah dari fakta yang menyeleweng dan rekaan. Bagi Ibnu Khaldun sejarah bukan sekadar perlu disalin semula, tetapi ahli sejarah perlu memberi makna kepada apa yang berlaku, menerangkan kepada pembaca mengapa sesuatu berlaku dalam sejarah. Ahli sejarah juga perlu menyesuaikan pensejarahan mereka seiring dengan peredaran masa, sejarah yang ditulis tanpa mengambil kira perubahan zaman merupakan sejarah yang kaku.

Bruce B. Lawrence membangkitkan penghargaan Ibn Khaldun kepada penulisan dalam komentarnya. Bagi Ibn Khaldun, penulisan adalah satu kemahiran yang paling berguna. Dari rahim penulisanlah lahirnya pengiraan matematik dan juga kajian saintifik. Ini bukanlah satu analisa yang silap oleh Ibn Khaldun. Menurut Yuval Noah Harari, nama manusia pertama yang dicatatkan oleh sistem penulisan adalah 'Kushim' yang merupakan seorang akauntan dari Sumeria, Mesopotamia. Kushim memerlukan tulisan untuk menyimpan data-data perihal percukaian. Dari penulisan juga lahir budaya intelektual, ia adalah komponen paling dasar dalam kehidupan kosmopolitan. Namun dalam masa yang sama Ibnu Khaldun tetap menghargai kepentingan puisi dan budaya oratori.

Kerana rasukan naskah ini begitu kuat, ia terbawa bersama dengan saya ke PPV. Sambil menunggu dos kedua Sinovac, sempatlah meninjau dan menikmati kalam-kalam tulisan Ibn Khaldun.

Ahad, 12 Julai 2020

Aljazeera: Mempertahankan Kebebasan Media



Pada awal bulan Julai 2020, Aljazeera telah menerbitkan sebuah dokumentari bertajuk "Locked Up in Malaysia's Lockdown" yang menceritakan keadaan pekerja migran di Malaysia semasa perintah kawalan pergerakan untuk mengawal wabak Covid-19. Sosial media meletup, dan sekali lagi kita menyaksikan pelbagai page meniupkan kempen kebencian 2.0 kepada pekerja-pekerja migran dan pelarian di Malaysia. Kempen kebencian terhadap migran pertama adalah pada pertengahan Jun 2020, apabila netizen mengamuk mempertahankan tindakan kerajaan menghalau bot pelarian Rohingya yang ingin mendarat menyelamatkan nyawa mereka.

Saya kira menjadi tugas dan tanggungjawab kita, yang sedar, yang faham, yang ada perasaan sayang, untuk menunjukkan kepada manusia yang mereka sebenarnya tidak rasional, emosional, dan bertindak seperti kambing-kambing yang digembala kebencian.

Bagi saya secara jujur, maaf, orang-orang yang mengikut menyerang "page", bangga kononnya berjaya menjatuhkan rating sesuatu "page" atau memberi banyak "dislike", kononnya itu menjadi bukti bahawa dia benar, atau kempennya berjaya, bagi saya, secara jujur, maaf, mereka seperti orang-orang yang bodoh. Kasar bunyinya, jadi saya mohon maaf kali ketiga, izinkan saya terangkan.

Pertama, nombor tidak menjadikan sesuatu perkara itu benar. Majoriti Nazi yang menyokong penghapusan etnik, tak membawa maksud penghapusan etnik itu benar. Majoriti Zionis yang menyokong pembunuhan rakyat Palestin tak bermaksud pembunuhan itu benar. Apa yang benar adalah benar menurut prinsip dan asas fundamentalnya.

Kedua, bagi saya mereka terlebih emosional, seolah-olah jika kita mengasihani imigran kita tidak patriotik, jika kita melayan mereka seperti manusia kita tidak hormati undang-undang. Di masa hadapan, mungkin manusia akan melihat perspektif seperti ini adalah perspektif primitif atau perspektif orang gila. Namun itulah hakikatnya yang berlaku, maka mereka pun digembala "page-page" tertentu yang sedap mengarah follower mereka menyerang pembawa mesej. Sedih sekali page-page ini menggunakan kebencian untuk mencari populariti, mengeksploitasi rasa insecurity masyarakat dalam melonjakkan capaian mereka. Tetapi tahukah kalian apa yang lebih sedih? Yang lebih sedih adalah ada mangsa di alam realiti yang mengalami kebencian. Mereka merasakan komen-komen kebencian jelik itu harmless, tanpa mereka sedar mereka sedang membina sifat rasisma tebal dalam masyarakat, mereka menyokong polisi yang menekan imigran-imigran yang hidup dalam ketakutan. Sudahlah mereka membanting tulang membina negara kita dengan gaji yang rendah, sentiasa takut ditangkap dan diburu, kini mereka dibenci dan dihina oleh masyarakat. Jika ada media yang berani membela mereka media itu diserang, dijatuhkan rating. Entah dimana moral dan agama mereka.

Jika ummat Islam ditindas dinegara lain, hai! mereka bangkit memberontak, membakar bendera kononnya membela saudara seagama. Apabila kaum seagama mereka datang menumpang mencari rezeki di tanah mereka, mereka hina pula saudara seagama mereka, "kotor", "meludah sirih", "busuk", "pendatang haram", "elok dibuang ke laut", "elok di biar mati tenggelam". Alangkah hipokrit, alangkah dustanya solat, puasa, haji, umrah, usrah, ukhuwwah dan qunut nazilah mereka. Alangkah hinanya mereka di hadapan Tuhan yang menciptakan dunia tanpa sempadan, yang menciptakan manusia tanpa passport atau kad pengenalan, yang menciptakan manusia dengan pelbagai rupa, bentuk dan warna kulit.

Jika bukan kita saudara seagama, saudara semanusia yang patut membela mereka siapa lagi? Jika bukan sekarang, ketika mereka sedang tertindas, bila lagi? Bila masa yang sesuai untuk membela pekerja imigran yang dilayan dengan buruk di Malaysia? Bila mereka mati atau lemas di laut? Bila? Benar sekali pertanyaan Hillel the Elder, sang cendiakawan Yahudi, "If not us, who? If not now, when?".

Dahulu, saya pernah naik bas satu malam, dari KL ke utara. Masa bas tersebut lalu dalam KL ternampak bangunan-bangunan yang gah tinggi. Kemudian tersingkap permandangan "rumah" yang diperbuat dari kayu-kayu binaan dan dicerahi dengan lampu mentol, di bawah flyover jalan. Kelihatan pekerja-pekerja sedang mandi. Permandangan itu beri kesan yang sangat mendalam. Di satu sudut ada bangunan tinggi yang mewah, didiami oleh manusia yang lahir dalam keluarga yang betul, dalam bangsa yang betul, dan dalam negara yang betul. Di sudut lain ada manusia yang hidup dalam papan-papan walaupun merekalah yang membanting tulang menyiapkan bangunan mewah tersebut, tapi mereka lahir di dalam keluarga yang salah, bangsa yang salah, dan negara yang salah. Jadi martabat mereka lebih rendah.

Bangunan-bangunan yang tinggi yang kita bangga-banggakan semuanya dibuat oleh pekerja asing, kemudian ditampal jenama-jenama kita, kita pun mendabik "Oh lihat negaraku maju!". Majukah kita jika kemodenan kita dibina atas tulang-tulang pekerja asing yang ditindas. Yang dilayan dengan hina seolah mereka bukan manusia. Mungkin makanan kucing-kucing peliharaan kita lebih mahal dari makanan mereka.

Ada yang mengatakan dokumentari Al Jazeera ini tidak adil dalam mengkritik Malaysia, bagi saya secara peribadi mereka ini tidak mahu mengaku kesilapan diri. Tidak jujur dalam melihat kemanusiaan. Negara, sempadan, bendera semuanya ciptaan fantasi manusia. Tetapi, manusia, dunia tanpa sempadan itu dicipta Tuhan. Tidak patut kita mendiskriminasi manusia kerana mereka mempunyai kertas yang berbeza dari kita, atau kerana mereka tak punya kertas seperti yang kita ada. Kita mendabik dada dengan kemajuan kita. Dapi dari segi moral, kita masih jauh dari sebarang kemajuan.

Alhamduillah. Ditengah-tengah campaign of hate kita masih ada suara-suara rasional yang mendokong prinsip kemanusiaan Islam walaupun mereka minoriti. Yang melihat manusia lebih dari kertas-kertas pendaftaran. Mudah untuk kita mengikut arus kebencian yang dimainkan page-page di media sosial, mengambil tindakan-tindakan reaksionari tanpa mengukurnya dengan batas akal dan rasional. Tapi prinsip mengajar kita untuk tidak menjadi lalang yang mudah ditiup api kebencian. Islam mengajar kita kemanusiaan, dan kita harus pegang kemanusiaan itu dan memilih untuk tidak menjadi suara-suara kebencian. Antara yang berani bersuara adalah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM). Mereka mengeluarkan kenyataan:

“Kita beritahu kerajaan bahawa sikap orang ramai harus dikawal supaya tidak menimbulkan kemarahan dan ketegangan dalam masyarakat. Melalui media sosial nampaknya sangat tidak sihat. Kita minta kerajaan hentikan dan pulihan keadaan."

Semoga MAPIM terabadi harum dalam sejarah kemanusiaan, kekal berprinsip ketika negara dilanda kempen kebencian. Menjadi suara kemanusiaan menerangi lumpur hina kebencian dan rasisma.

Ramai rakan dan teman tidak bersetuju dengan pendirian saya mempertahankan saudara-saudara migran dan pelarian. Baik, mari kita bentangkan hujah (H) mereka, dan saya akan bentangkan jawapan (J) saya.

(H) Media Qatar tu? Mereka pun punya rekod buruk mengendalikan pekerja migran. Tepuk dulang paku serpih, kata negara orang dia yang lebih!

(J) Ini adalah falasi, orang lain buat salah tak bermakna kita pun boleh buat salah. Two wrongs don't make a right.

(H) Cuba bagi tahu negara mana yang bagi kebebasan penuh kepada pendatang tanpa izin?

(J) Ini adalah strawman. Jika kita lihat dokumentari dengan penuh, tiada pun pekerja imigran ini minta kebebasan penuh, ini bukan permintaan mereka! Mereka cuma mohon dilayan dengan ihsan dan diberi keadilan. Mereka juga mahu hidup tanpa ketakutan ditangkap dan diugut.

(H) Banyak lagi warga asing yang kaya, kenapa bersifat selektif dan tunjuk yang miskin sahaja?

(J) Itu adalah skop dokumentari tersebut, untuk mengangkat nasib mereka yang tidak bernasib baik, itu tugas media, tugas media bukan untuk mengampu kerajaan. Jika anda hendak buat dokumentari untuk mengetengahkan isu pendatang asing kaya, silakan buat dokumentari sendiri. Dokumentari vs dokumentari, baru buku bertemu ruas, bukan pergi menangkap wartawan.

(H) Nampak sangat Aljazeera bias dalam liputan mereka.

(J) Untuk mengkritik sesuatu isu, kita kena ambil posisi, ya betul Aljazeera bias kerana dia mengetengahkan suara golongan migran yang tidak mendapat suara dalam media tempatan. Tapi adakah itu menjadikan laporannya tidak benar? Tidak. Laporannya tetap perlu diteliti dan diselesaikan masalahnya. Kita kena selesaikan masalah, bukan menghukum orang yang beri tahu kita bahawa kita ada masalah.

Banyak lagi hujah-hujah yang saya kira tidak langsung menjawap persoalan yang dibangkitkan. Ia lebih kepada emosi dan falasi. Kesimpulannya, kita hendaklah memandang serious laporan tersebut, merenung kesilapan kita dalam melayan buruh-buruh asing, pelarian yang menyelamatkan diri yang menumpang teduh di negara kita, mereka perlu dibantu dan dilayan dengan baik. Sebaliknya kita patut elakkan sifat terlebih emosional, mahu menghukum media yang menyampaikan berita, bukan menyelesaikan masalah yang diutarakan. Kita kena belajar terima kelemahan, menerima kelemahan tidak bermaksud kita tidak patriotik atau membelakangkan undang-undang. Jikalau kita masih lagi merendahkan bangsa lain hanya kerana mereka lahir di tempat yang berbeza, maka dalam diri kita masih ada sifat Aljahiliyah.


Sabtu, 1 Februari 2020

Usrah yang melalaikan: Jawapan buat Benz Ali



Jean-Paul Sartre menulis bahawa jika anda dikritik oleh kedua-dua belah pihak, diatas teks yang sama, ini adalah beberapa petanda bahawa anda berada di pihak yang betul. Apabila golongan Islamis membaca buku saya mereka mengatakan bahawa saya mungkin jatuh ke lembah kesesatan, malah terkejut dengan contoh dan buku komunis yang saya petik. Apabila golongan kiri membaca buku yang sama mereka mengatakan ia tepu dengan nilai ke-usrah-an. Saya tidaklah beranggapan saya sahaja yang benar, tetapi jika ujian Sartre ini diambil kira, saya kira sedikit sebanyak saya telah menjalaninya.

Tulisan ini bertujuan menjawab kritikan bahagian dua yang ditulis oleh komrad yang dikasihi, saudara Benz Ali dalam artikelnya di blog Republikbuku yang bertajuk 'Usrah yang melalaikan – Kritik pada buku Berfikir Tentang Pemikiran'. Artikel beliau banyak mengulangi hujah dari satu artikel yang ditulis 13 tahun lalu oleh Fathi Aris Omar bertajuk 'Dibawah Mendung Usrah'. Oleh kerana saya telah menjawab artikel itu dengan artikel saya yang bertajuk 'Setelah Mendung Usrah Ada Awan Yang Cerah', dalam artikel ini saya tidak akan mengulanginya. Cukuplah pada pendapat saya artikel saya itu menjawabnya, saya juga kira buku saya itu bukan sekadar menyentuh usrah sahaja. Jika ada fikiran baru, saya akan meng-update artikel tersebut.

Sebaliknya tulisan ini akan cuba menjawab persoalan lain yang di bangkitkan oleh Benz Ali mengenai  buku saya, yang pada saya menarik untuk sama-sama kita renungkan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Benz Ali kerana sudi membaca dan mengkritik tulisan saya, seperti yang saya tulis di portal Borneo Komrad dalam artikel bertajuk 'Harga Sebuah Kritikan', kritikan itu berharga kerana ia adalah sarana pengembangan ilmu. Semoga proses ini mengembangkan lagi ilmu saya, juga ilmu saudara Benz Ali. Walaupun beliau kecewa dengan seratus mukasurat pertama, tidak mengapalah kerana saya tidak dapat memuaskan hati semua orang, buku itu juga tidak ditulis untuk memuaskan hati sesiapa, ia adalah renungan jujur saya, saya berterima kasih kepada beliau kerana jujur dalam mengungkapkan perasaannya.

Berkenaan dengan pembacaan buku sastera, saya akui ini merupakan salah satu kelemahan saya. Saya lebih cenderung membaca buku-buku non-fiksyen jadi anda tidak akan temui petikan Dostoevskiy dalam buku tersebut. Saya juga tidak membaca Tolstoy tetapi ada memetik buah fikir Tolstoy yang saya ambil secondary reference dari tulisan Michael Lewis dalam bukunya 'The Big Short'. Saya ada membeli buku Dostoevskiy dan Tolstoy dalam bahasa Rusia dari kedai buku Dom Knigi di Nevskiy Prospekt, St. Peterburg, namun sehingga hari ini belum membacanya. Saya juga ada membeli karya lengkap Leon Trotsky bertajuk 'The History of the Russian Revolution' tetapi juga masih belum sempat dibaca buku tebal tersebut. Saya ada membaca buah fikir Trotsky dan Lenin dari secondary source tulisan Paul D'Amato dalam bukunya yang bertajuk 'The Meaning of Marxism', tetapi saya membacanya setelah buku saya diterbitkan, jadi ia tidak disentuh dalam buku itu. Mungkin kebelakangan ini baru mula membaca karya-karya sastera, seperti novel-novel Khaled Hosseini, juga bertatih membaca puisi-puisi Rumi.

Buku Dostoevsky dan Tolstoy yang dibeli di Dom Knigi (Rumah Buku) di Nevskiy Prospekt, St. Petersburg, Russia.

Suka saya sebutkan, buku yang saya tulis itu diterbitkan pada suatu masa tersebut, jadi ia terbatas kepada pengalaman dan buku yang saya baca pada masa tersebut. Ia mempunyai skop, tentulah ia tidak boleh atau tidak sempat memuatkan semua buku yang dicadangkan. Namun saya terbuka untuk membacanya, tiada masalah, walaupun Fathi Aris Omar menuduh 'manusia usrah' itu tidak rencam bacaannya, saya akan cuba mendapatkan buku-buku yang dicadangkan dan membacanya perlahan-lahan.

Bekenaan dengan mengajar konsep ketuhanan disebut sebagai doktrinisasi, jika kita membaca buku keibubapaan, buku Jamie Glowacki contohnya, kita akan dapati bahawa kanak-kanak di awal usia masih belum mampu berfikir secara logik dan rasional. Oleh sebab itu kadang kala, jika anda berpengalaman sebagai ibubapa, ada kehendak mereka yang sukar diterima logik akal, contohnya memasukkan taik cicak ke dalam mulut, atau ingin keluar berjalan di taman jam 11 malam. Anak-anak itu memang dilahirkan kosong. Maka apa sahaja yang diajar adalah doktrinisasi, jika diajar sains ia adalah doktrin sains, jika diajar agama ia adalah doktrin agama, jika diajar ateis ia adalah doktrin ateis, jika diajar makan nasi ia juga adalah satu doktrin, kenapa tidak makan roti? atau spegeti? Kenapa tidak beri mereka pilihan? Glowacki mengatakan adalah tugas ibubapa menentukan perkara-perkara  diawal usia kerana mereka tidak mampu untuk buat pilihan pun. Hendak suruh mereka cari sendiri? Membaca pun belum pandai, apatah lagi mengkaji kepelbagaian di internet. Jadi tidak timbul soal doktrin.

Agama apa yang perlu diajar? Konsep ketuhanan mana? Tentulah apa yang dirasakan benar oleh ibubapanya. Dalam Islam sendiri nabi mengatakan ibubapa yang akan mencorak anak tersebut untuk menjadi Nasrani, Yahudi, atau Muslim. Itu adalah sifat natural. Apabila mereka sudah besar, sudah boleh membaca, mencari, menganalisa, maka terpulanglah kepada mereka untuk menentukan sendiri apa yang dirasakan benar. Mereka boleh membaca buku-buku Benz Ali dan artikel Fathi Aris Omar, mereka juga boleh membaca buku Maududi dan Al-Banna jika mereka mahu, atau menonton siri Young Sheldon.

Berkenaan dengan Young Sheldon. Babak kegemaran saya adalah ketika Sheldon berdebat dengan Pastor Jeff, selepas itu beliau menubuhkan agamanya sendiri yang digelar "Mathology" dimana satu-satunya dosa dalam agama beliau adalah kebodohan. Saya gelak besar melihat babak tersebut. Saya kira saya punya sedikit persamaan dengan Sheldon, walaupun Sheldon ateis dan saya digelar sebagai 'manusia usrah', kami masing-masing meminati Carl Sagan. Ketika Halloween, semua orang memakai kostum masing-masing dan Sheldon memilih untuk memakai kostum seperti Carl Sagan. Buku pertama Sagan yang saya baca adalah 'Pale Blue Dot' ia sememangnya satu buku yang sangat mengesani pemikiran dan membuatkan pembaca jatuh cinta pada sains. Saya ada juga ada beberapa kali menulis ulasansaya berkenaan dengan karya Sagan. Jika saya bosan saya sering mendengar audio pendek Sagan berkenaan dengan bumi, hingga kawan-kawan menasihati saya move on dari pemikiran Sagan. Saya ada membeli bukunya yang kedua 'Cosmos', tapi belum sempat dibaca. Dalam buku tersebut juga saya ada menyentuh buah fikir Sagan, pasti Sheldon boleh relate dengan bahagian yang saya tulis tersebut. Jadi, adakah ini melayakkan saya untuk menjadi anak usrah Benz Ali?

Kemudian persoalan adakah kualiti umat Islam lebih baik atau orang putih?

Soalan ini pada saya berbentuk umum. Apa yang dimaksudkan dengan ‘kualiti’ dan ‘baik’? Adakah yang dimaksudkan dengan kualiti dan baik ini dari sudut ekonomi, penguasaan politik, kualiti hidup, atau apa? Secara ekonomi, ada yang cemerlang, ada yang baik, dan ada yang sangat mengecewakan. Dari segi penguasaan politik, ya, sangat lemah, itulah juga naratif yang cuba dibawa oleh kebanyakan gerakan Islam, dalam membina kesatuan semula yang kini dipisah dengan semangat negara bangsa. Namun jika dikatakan secara umum bahawa keadaan umat hari ini lemah, ya, saya sangat bersetuju, kita dalam banyak aspek tertinggal dibelakang. Namun adakah kelemahan ini disebabkan usrah? Atau kepercayaan pada Tuhan dan Nabi? atau pergi haji? Bagi saya tidak. Malah bagi saya usrah, kuliah buku (Kubu), atau apa sahaja bentuk-bentuk diskusi bukan masalahnya, ia bukan sarang pembodohan tetapi medan perjumpaan dan diskusi. Masalah yang lebih besar mungkin penagihan dadah, pendidikan yang tidak menyeluruh kepada semua segmen masyarakat, kemiskinan, kelemahan pentadbiran, juga kelemahan kesatuan antarabangsa.

Juga jangan kita lupa, 'kualiti' orang putih itu banyak merupakan hasil yang dijarah dari negara-negara kolonial. Kemajuan ekonomi itu dicapai dengan pelbagai jenis penindasan, baik penindasan pekerja domestik, juga penguasaan secara paksaan dari tanah-tanah jajahan, koloni, juga perhambaan. Setelah mereka maju mereka mendabik dada mereka mempunyai kemajuan dari segi ekonomi dan ketinggian moral, namun mereka tidak perkatakan berkenaan dengan negara-negara yang mereka jarah. 

Akhir sekali, sebagai penutup kepada siri jawapan kali ini, jika Benz Ali kecewa dengan buku saya itu, saya juga sedikit kecewa dengan ulasan beliau apabila beliau menyebut “ini yang aku harapkan dan nak dengar..” kerana seolah-olah dalam pembacaannya, dia sudah membentuk apa yang dia ingin percaya. Ini juga yang dikritik oleh Tolstoy, yang mana rangkapnya ada saya petik dalam buku saya tersebut dari buku Michael Lewis. Kata Tolstoy:

“The most difficult subjects can be explained to the most slow-witted man if he has not formed any idea of them already; but the simplest thing cannot be made clear to the most intelligent man if he is firmly persuaded that he knows already, without a shadow of doubt, what is laid before him.”

Tetapi ia bukanlah kekecewaan yang besar, kritikan-kritikan tajam beliau lebih besar harganya dari kekecewaan kecil ini, pemikiran merupakan satu perjalanan bagi saya, tentulah kritikan-kritikan ini akan menjadi sebahagian dari proses pembentukan fikir saya, untuk itu saya ucapkan terima kasih buat beliau yang sudi duduk membaca dan menulis perihal masalah-masalahnya.

Isnin, 31 Oktober 2016

Komen berkenaan artikel: Kemunculan Blok Iran



Terima kasih kepada sahabat saya Saudara Hilmi Azhari yang meminta saya berkomentar berkenaan sebuah artikel yang bertajuk Kemunculan Blok Iran oleh Dr. Muhammad Atiullah bin Othman, yang merupakan seorang pensyarah di UPSI. Saya cuba memberikan komentar se-objektif yang mungkin tanpa memihak kepada aliran sunni atau syiah.

1. Dalam perenggan kedua beliau memetik tulisan Ray Takeyh (2014), artikel Foreign Affairs itu boleh di baca di link ini. Jika kita membaca artikel tersebut, artikel tersebut membincangkan berkenaan dengan peranan CIA pada tahun 1950-an bukan 1978. Revolusi Iran berlaku pada 1978. Ironinya, artikel Ray Takeyh tersebut cuba menafikan CIA mempunyai peranan yang signifikan pada tahun 1950 di Iran. Ray Takeh bahkan menganggap peranan CIA pada 1950 sebagai myth kerana kekurangan sandaran dokumen. Katanya:

"But the mythological version of the events of 1953 has persisted, partly because since the Islamic Revolution, making the United States out to be the villain has served the interests of Iran’s leaders."

Oleh itu saya kira, mengaitkan revolusi Iran dengan peranan CIA adalah satu spekulasi menarik yang perlu dibuktikan. Ia bukanlah fakta. Namun untuk menambah kefahaman kita berkenaan dengan peranan CIA semasa kejatuhan Mossadeq pada 1950, bolehlah membaca buku oleh Ervand Abrahamian bertajuk The Coup: 1953, the CIA, and the Roots of Modern U.S.-Iranian Relations. Saya sendiri belum berpeluang membacanya.

2. Dalam perenggan ke-5 beliau menyebut:

"Hubungan Amerika-Iran sering dilihat bertentangan tetapi sebenarnya tidak. Hubungan ini perlu dilihat berlainan kerana Amerika tidak pernah mensasarkan bom di Iran."

Saya kira, hujah ini sangat simplistik. Amerika tidak pernah mensasarkan bom di Malaysia, Indonesia, Brunei. Apa kesimpulan tersirat yang boleh kita beri? Amerika mempunyai hubungan tersirat dengan pelbagai negara.

3. Amerika tidak hanya menyalurkan senjata kepada Saddam. Amerika menyalurkan senjata kepada Turki, Afghanistan (semasa perang Afghan-Soviet), Israel dan lain-lain. Amerika akan menyokong mana-mana pihak yang dirasakan sesuai bagi keuntungan ekonomi dan hegemoni mereka.

4. Dengan mengatakan bahawa pengayaan nuklear sebagai satu sandiwara, saya kira ia juga memerlukan bukti secara objektif. Jika tiada, ia hanya boleh dianggap satu spekulasi yang menarik. Menurut apa yang saya fahami 1.7 billion tersebut adalah hutang Amerika kepada Iran yang belum dibayar, ia adalah jumlah yang perlu dibayar oleh Amerika melalui pembelian senjata oleh Shah Reza Pahlavi. Amerika membayar wang ini kerana Iran telah menghantar kes ini ke Mahkamah Dunia The Hague, ia dapat dibaca melalui laporan oleh WSJ:

"The White House described the settlement as a victory for taxpayers, arguing that the U.S. was likely to lose in arbitration under way in The Hague, Netherlands, and could have been held liable for billions more if the process had dragged on."

5. Dengan menaikkan pemimpin berfahaman Syiah di Iraq, saya kira ia memang merupakan satu percaturan Amerika untuk melemahkan Iraq, dengan penerusan krisis sectarian. Namun, saya kira ia bukan bertujuan untuk membentuk blok Syiah, tetapi bagi menguasai sumber minyak. Kerajaan demokratik yang kuat di Iraq akan menyukarkan penguasaan syarikat multi-national barat bagi menguasai sumber tenaga di Iraq.

6. Saya bersetuju dengan perenggan akhir, bahawa Amerika ingin mengekalkan kuasa hegemoni di timur tengah.

Kesimpulan, saya faham bahawa kita yang berfahaman sunni bersikap bias dan suka untuk memburukkan Iran kerana mereka majoritinya berfahaman syiah. Namun saya kira kita perlu adil dalam analisis kita dan tidak terbawa-bawa permusuhan sunni-syiah ini dalam analisis kita. Saya tidak bersetuju syiah perlu diperangi dan dibunuh. Sebagaimana saya membenci syiah yang membunuh sunni, saya juga membenci sunni yang membunuh syiah. 

Saya kira kita tidak boleh membunuh seseorang kerana agamanya. Jika syiah terkeluar dari Islam sekali pun kita tidak berhak membunuh mereka. Saya bersetuju dengan Prof. Tariq Ramadhan bahawa nabi sendiri tidak membunuh orang murtad. 

Permusuhan dan pembunuhan sunni-syiah sudah berpanjangan terlalu lama, saya tidak nampak kebaikan nya untuk terus bebunuhan. Sudah tiba masanya kita belajar dari sejarah dan tidak mengulanginya. Belajar hidup bersama tanpa dendam dan prejudis. Saya bersetuju dengan kesimpulan Carl Sagan dalam ucapannya, kita sangat kecil dan perlu belajar hidup bersama, belajar berbuat baik antara satu sama lain.

Syed Ahmad Fathi bin Syed Mohd Khair
BEng Marine (Hons) Rus.