Memaparkan catatan dengan label Jurnal. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jurnal. Papar semua catatan

Isnin, 1 Disember 2025

Menerbitkan Artikel Dalam Jurnal Melayu Sedunia Universiti Malaya

Terima kasih Jurnal Melayu Sedunia (JMS) Universiti Malaya kerana menerima dan menerbitkan artikel terbaharu saya dalam Vol. 8 (1). Artikel ini merupakan penelitian saya kepada beberapa sumber perihal etnik Cina yang membentuk masyarakat majmuk di Tanah Melayu (Malaysia). Penelitian seperti ini pastilah tidak lengkap jika tidak merujuk kepada sarjana yang terkemuka dalam bidang ini iaitu Prof. Wang Gungwu.
 
Etnik Cina bukan wujud di Tanah Melayu sahaja, mereka juga membentuk populasi yang signifikan di negara Asia Tenggara lain dan ditermakan sebagai "hua-qiao" atau overseas Chinese. Wang Gungwu mencerakinkan lagi kategori masyarakat Cina ini sebagai "huashang", "huagong", dan fenomena paling kontemporari adalah kategori "huayi".

Dalam artikel ini juga saya menyingkap peristiwa bersejarah tentang bagaimana Malaysia menjadi negara ASEAN pertama yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara komunis China. Hubungan Malaysia dengan komunis tegang kerana perang dan darurat dari 1948 hingga 1960. Bagaimana selepas 14 tahun darurat tamat, Malaysia dapat menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara komunis ini? Merujuk kepada tulisan guru saya, Dr. Tan Chee Seng, saya cuba menjawab persoalan ini.

Artikel ini boleh diakses secara percuma, klik pautan di bawah:

Ahad, 30 November 2025

Tribute Buat Atuk Syed Mohd Jiplus, Pelombong Bijih Timah Melayu di Perak


Artikel ini mempunyai pautan peribadi dengan saya, maka di sini saya ingin menceritakan sedikit backstory-nya. Seperti yang saya kisahkan dalam buku saya Homo Historikus: Perkembangan Kesedaran Sejarah di Malaysia terbitan Cakna, saya menceburi bidang sejarah atas sebab-sebab peribadi. Saya selalu melihat sejarah sebagai satu bidang yang personal. Walaupun ahli sejarah sering mengangkat keperluan "objektiviti", bagi saya itu sering menjadikan bidang sejarah kering, tiada tarikan emosional dan pertalian perasaan di dalamnya. Bagi saya, nilai perasaan dan emosi itulah yang menjadikan bidang kemanusiaan itu menarik untuk dibaca dan diterokai.

Sejarah yang menarik bagi saya pasti ada hubungan dengan penulis sejarah. Itu tidak dapat dielakkan, walaupun sering cuba dinafikan. Saya berminat membaca sejarah perlombongan bijih timah di Perak kerana atuk saya, Syed Mohd Jiplus bekerja sebagai pelombong bijih timah di Syarikat Southern Kinta Consolidated Ltd. Beliau bekerja sebagai buruh di atas Kapal Korek SK-2. Nama kapal korek ini biasanya ada kaitan dengan tempat dan syarikat. SK-2 merujuk kepada kapal korek Southern Kinta kedua. Kapal TT5 yang dipelihara di Batu Gajah bagi tujuan pelancongan misalnya merujuk kepada Tanjung Tualang kelima. 

Syarikat Southern Kinta kemudian telah bergabung dengan syarikat-syarikat perlombongan lain membentuk Malayan Tin Dredging (MTD) berhad dan kemudian membentuk Malaysia Mining Corporation (MMC) Berhad. MMC kini sudah menjadi syarikat konglomerat yang menjalankan aktiviti perniagaan tenaga, utiliti, dan infrastruktur.

Namun apabila saya membaca historiografi perihal perlombongan bijih timah di Perak. Hampir keseluruhannya hanya berkisar perihal pelombong Cina yang merupakan majoriti buruh lombong bijih timah. Pelombong Melayu hilang dalam historiografi. Perkara ini menimbulkan persoalan yang sangat kuat dalam diri saya. Ke manakah pelombong Melayu itu hilang?

Kajian-kajian awal perihal pelombong bijih timah hampir eksklusif hanya menyebut tentang buruh Cina sahaja. Ini boleh dilihat dalam penulisan Wong Lin Ken, Nim Chee Siew, dan Francis Loh Kok Wah antaranya. Membuatkan saya bertanya-tanya betulkah atuk saya bekerja sebagai buruh di lombong bijih timah? Atuk saya bukan orang Cina, beliau adalah imam masjid di Kampung Changkat Tin.

Maka ini telah menolak saya untuk membaca rekod-rekod statistik British, saya dapati orang Melayu memang disenaraikan dalam jumlah buruh setiap tahun. Saya juga menjumpai rekod di mana orang Melayu bekerja di lombong milik orang Cina, mereka dibayar lebih mahal kerana makanan tidak disediakan bagi mereka di lombong. Mungkin pelombong Melayu mahukan makanan halal jadi mereka bawa makanan sendiri dan gaji mereka dilebihkan. Saya juga ke arkib melihat rekod-rekod Pejabat Tanah, saya tertarik melihat orang-orang Melayu termasuk wanita memohon tanah untuk melombong.

Malah catatan British ketika mereka mula masuk secara langsung dalam pemerintahan negeri-negeri Melayu menyatakan bahawa aktiviti melombong itu menjadi amalan hampir keseluruhan masyarakat Melayu. Malah budak-budak Melayu di kampung pedalaman juga melombong di sungai. Terdapat juga catatan yang menyatakan orang Melayu dipaksa menjual tanah lombong mereka kepada Syarikat Eropah. Banyak lagi sebenarnya fakta-fakta menarik yang saya jumpa sepanjang kajian saya. Semuanya saya kumpulkan dalam kertas kajian di dalam jurnal tersebut.

Tajuk ini sememangnya dekat di hati saya. Saya pernah membentangkannya di Seminar Kebangsaan Sejarah Sosioekonomi Malaysia, 1874-1990 (SKSSM 2024) anjuran Bahagian Sejarah, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM. Saya sebenarnya hendak mengangkatnya sebagai tajuk disertasi akhir saya. Namun saya merasakan masa yang diperuntukkan dalam disertasi terlalu singkat untuk saya menyiapkannya. Maka saya terbitkan dapatan awal saya di dalam jurnal MJHA dengan harapan satu hari nanti, mungkin akan ada pengkaji yang mampu mengkajinya dengan lebih dalam dan mungkin menghasilkan tesis sarjana atau monograf. Saya merasakan sejarah kita memang masih banyak belum digali, ia masih menunggu pengkaji yang bersungguh-sungguh, passionate, dan setia.

Kajian ini saya abadikan buat arwah atuk saya, Syed Mohd Jiplus, pelombong Melayu yang sumbangannya hilang dari historiografi.

Sabtu, 29 November 2025

Naskah Fizikal Minden: Journal of History and Archaeology (MJHA) Vol. 2 No. 2

MJHA Volume 2 No. 2
Pada 25 November 2025, saya menerima naskah fizikal Minden: Journal of History and Archaeology (MJHA) Vol. 2 No. 2. Versi digital masih belum keluar pada ketika itu. Difahamkan ini edisi terakhir naskah fizikal. Selepas ini MJHA akan hanya diterbitkan dalam edisi digital. Maksudnya, naskah fizikal ini akan jadi manuskrip sejarah langka lepas ini. Terima kasih USM kerana menerima dan menerbitkan artikel saya dalam edisi baharu ini. Artikel saya bertajuk “Tinjauan Awal Terhadap Penglibatan Orang Melayu Dalam Industri Perlombongan Bijih Timah di Perak, 1874–1941”.
Syed Ahmad Fathi. “Tinjauan Awal Terhadap Penglibatan Orang Melayu Dalam Industri Perlombongan Bijih Timah di Perak, 1874–1941”. MINDEN Journal of History and Archaeology 2 (2): 115-134, 2025. ISSN: 3030-685X | eISSN: 3083-8096


Ahad, 15 Disember 2024

Aliran Sejarah Anti-Kolonial


Penulisan sejarah kaum peribumi bukan sahaja ditulis dengan bias dan prejudis. Ia juga ditulis dengan sengaja mengabaikan beberapa fakta utama bagi memperlihatkan keagungan kolonial Eropah. Dalam membaca sejarah Pulau Pinang, perkara ini dapat dilihat dengan begitu jelas bagaimana sejarah awal itu digelapkan dan tidak ditonjolkan. Pulau Pinang dicabut dari akarnya, iaitu Kerajaan Kedah, dan dikatakan dibuka oleh seorang mamat Inggeris dari Suffolk. Bagi melawan penjajahan sejarah ini, ahli sejarah dan penulis peribumi telah menulis sejarah yang beraliran anti-kolonial. Penulisan mereka inilah yang telah dianalisa oleh saya dalam kajian saya yang terkini. Terima kasih Journal of History and Archaeology yang menerbitkan kertas kajian saya. Jemput sahabat-sahabat membacanya, klik di pautan di bawah:


Mengkaji Budaya Merantau Dalam Kalangan Orang Melayu


Saya melihat kajian sejarah di Malaysia banyak menekankan aspek politik dan ekonomi, ini jelas sekali menonjol dalam kajian yang dikeluarkan saban tahun. Aspek budaya jarang sekali dikaji sebagai tajuk utama. Jika dikaji pun, biasanya ia dibahaskan sebagai aspek sampingan sahaja dan bukan tonggak kajian utama. Saya masih belum menjumpai misalnya satu kajian terperinci perihal budaya merantau dalam kalangan orang Melayu. Kajian ini saya kira bukanlah satu kajian yang rumit, tidak perlu geran berjuta-juta atau makmal sehebat Large Hadron Collider (LHC), namun tidak ada yang cuba melakukannya. Dalam penilitian saya, sahabat serumpun kita di Indonesia lebih terkedepan dalam hal ini, kajian tentang budaya merantau dalam kalangan masyarakat Indonesia begitu banyak sekali. Tahniah Indonesia. Walaupun kajian saya ini tidaklah terperinci dan begitu mendalam, tetapi sekurang-kurangnya ia membuka ruang agar aspek ini diketengahkan. Mungkin akan menimbulkan niat dalam kalangan pengkaji untuk meneroka aspek ini.

Saya juga menggunakan budaya perantauan ini bagi menolak label malas yang digunakan oleh pihak kolonial dan orientalis kepada masyarakat Melayu. Antara komen yang saya terima dari pewasit adalah kenapa tidak menggunakan karya Syed Hussein Alatas sebagai rujukan? Bukanlah beliau adalah pelopor kepada idea penolakan peribumi malas? Pertama, kajian ini bukan berfokus kepada penolakan label peribumi malas, itu bukan tunjang kajian. Ia sekadar dapatan sampingan. Kedua, itulah tugas penyelidik. Bukan sekadar melakukan penyelidikan yang sama. Jika penyelidikan yang mandiri dilakukan dan tidak terikat dengan idea Alatas, tetapi menghasilkan konklusi yang sama, itu sebenarnya merupakan sumbangan kepada idea Alatas, kerana konklusi itu menguatkan ideanya. Oleh itu kajian selari patut diraikan dalam penyelidikan, bukan semuanya mahu disuruh merujuk kepada bahan-bahan yang sama sahaja yang akhirnya menatijahkan pengulangan yang membosankan.

Terima kasih Jurnal Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah yang menerbitkan tulisan saya. Jemput para sahabat untuk membaca dan mengkritiknya. Jemput baca artikel saya “Penelitian Terhadap Budaya Merantau Orang Melayu Dalam Persuratan Sejarah : A Review On The Culture Of Merantau In The Malay Society In The Historical Literature”. Manu Jurnal Pusat Penataran Ilmu Dan Bahasa 35 (2), 2024.

Khamis, 10 Oktober 2024

Artikel Terbaharu di Jurnal Kajian Ketamadunan (JAWHAR)

 


Artikel saya yang bertajuk "Meneliti Karya-Karya Persuratan Bibliofil di Malaysia" telah diterbitkan di dalam Jurnal Kajian Ketamadunan (JAWHAR) oleh Akademi Kajian Ketamadunan - AKK . Artikel saya ini antara lain membincangkan dua buah buku terkini yang telah terbit perihal pengalaman bibliofil di Malaysia iaitu karangan Emmy Hermina Nathasia dan Najibah A. Bakar . Siapa berminat hendak membaca perlu membeli jurnal ini kerana ia tidak terdapat dalam versi elektronik. Saya masih menyimpan satu naskah jika ada yang berminat.