Apabila kita menulis sesuatu, kadang kala ada orang merasakan kita mahu tunjuk pandai atau kita mahu memperlihatkan bahawa kita mempunyai ilmu yang banyak. Walhal kita hanya mencatat apa yang kita fikir, kita tidak pun merasakan tulisan kita itu mempunyai autoriti ilmu, tetapi sekadar anekdot lintasan fikir yang ingin direkodkan.
Tulisan yang keluar juga mungkin kemudian akan mengalir ke dalam ranah kritikan dan perdebatan hingga membuatkan orang menyangka bahawa penulis itu seorang yang suka bercakap dan berdebat. Suka ke depan mempamerkan dirinya. Bagi saya secara peribadi penulisan bukanlah menggambarkan itu semua. Penulis sering dinilai apabila penulisannya telah keluar, gegak gempita perdebatan yang berlangsung selepasnya. Jarang sekali penulis itu dinilai pada fasa sebelum tulisannya itu keluar, walhal, itulah masa yang banyak dihabiskannya, membaca, termenung, dan meninta sedikit fikir.
Bagi saya penulisan itu adalah sebuah seni yang dikandung dalam sepi. Itulah saat-saat yang lebih saya hargai, saat dapat larut di dalam bacaan, berlayar dalam tulisan, dan ranum dalam renungan. Proses-proses itu semuanya dikandung dalam sepi. Jauh dari jerit pekik komen manusia. Pada saya keseronokan penulisan tetap di situ, satu proses menikmati sepi. Apa pun ribut kontroversi yang keluar selepas penulisan itu keluar, ia tetap tidak dapat memadamkan nikmatnya kesepian itu. Dan sesudah ribut itu berlalu pergi, proses itu akan kembali dapat dinikmati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan