Isnin, 10 Disember 2018

Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331)



Sekiranya anda menerbitkan buku di Malaysia, anda boleh mendapatkan International Standard Book Numbering (ISBN) secara percuma. Antara syarat yang perlu dipenuhi apabila mendapat ISBN adalah menyerahkan 5 naskah buku ke Pusat Penyerahan Terbitan Negara di Perpustakaan Negara Malaysia. Serahan ini adalah wajib melalui Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331).

Akta ini mewajibkan penerbit menyerahkan bahan yang diterbitkan dalam negara kepada Perpustakaan Negara Malaysia melalui Pusat Penyerahan Terbitan Negara. Bahan-bahan yang diterima ini dijadikan sebagai koleksi negara yang dapat mencerminkan warisan intelek, kesusasteraan, kebudayaan serta ilmu dan kebijaksanaan manusia yang terkumpul. Konsep penyerahan secara undang-undang telah diamalkan sejak dahulu lagi melalui Straits Settlements Book Ordinance 1886, FMS Book Enactment (F.M.S Cap 90) 1916, Preservation of Books Ordinance 1950 dan Akta Pemeliharaan Buku 1966.

Akta ini bertujuan:
1. Menyediakan bagi pemuliharaan dan penggunaan bahan perpustakaan yang diterbitkan di Malaysia.
2. Mewujudkan rekod bibliografi yang standard bagi bahan yang diterbitkan di Malaysia.
3. Menyelenggara rekod-rekod statistik bahan perpustakaan yang diterbitkan di Malaysia.


Bahan yang diterima dibawah Akta 331 ini akan disimpan di:
1. 1 naskah disimpan sebagai koleksi negara.
2. 2 naskah untuk Pusat Rujukan Malaysiana.
3. 2 naskah disimpan di dua pusat penyimpanan luar sebagai langkah keselamatan sekiranya berlaku bencana.


Saya difahamkan oleh pustakawan, bahan yang disimpan ini hanya boleh dibaca dan tidak boleh dipinjam.

Semoga kita menjadi bangsa membaca!


Tiada ulasan: