Memaparkan catatan dengan label Kesihatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kesihatan. Papar semua catatan

Sabtu, 28 Disember 2024

Progres Sakit Jantung di Umur 34 Tahun

 

Saya mengalami serangan jantung kali pertama pada bulan November 2023. Selepas hampir setahun, saya mengalami serangan kedua pada penghujung Oktober 2024 dan mendapat rawatan di Hospital Kuala Kubu Baru.

Pada minggu lepas, hampir setiap hari rasa chest pain, tapi sebab ada beberapa perancangan yang sudah diatur, jadi saya tangguhkan dulu untuk serah diri di hospital. Ada hari yang rasa mild sahaja, lepas ambil GTN dia resolve. Ada hari yang kuat juga sakitnya, sampai kebas tangan kiri, makan GTN tiga kali pun masih rasa chest pain-nya. Setelah seminggu bertangguh, saya pun pack la beg untuk serah diri di hospital untuk berjumpa dengan kardiologis pada 23 Disember 2024.

Kardiologis: Kamu ni hisap rokok banyak sangat kot?

Saya: Ish, suka hati doktor aja main tuduh-tuduh, saya mana hisap rokok.

Kardio: Ke awak selalu lepak dengan kawan yang hisap rokok?

Saya: Mana ada doktor, saya duduk rumah aje, aktiviti harian selalu memasak lepas tu tolong sidai kain sikit-sikit kalau tak hujan.

Kardio: LDL awak ni tinggi lagi ni 2.1, patut kalau makan ubat bawah 1.4, awak makan ke tak ubat ni?

Saya: Hari-hari makan doktor, macam solat, saya tak pernah tinggal, makan atorvastatin full tablet 40 mg.

Kardio: Yeke, kenapa tak turun. Awak makan apa hari-hari?

Saya: Makan sup ayam je doktor hari-hari.

Kardio: Sup pun banyak kolestrol, nak makan sup biar dia sejuk sikit, lepas tu buang minyak yang bertakung kat bahagian atas tu. Lepas ni jangan makan benda berminyak, santan, goreng-goreng semua tak boleh. Mee goreng kalau nak makan sekali sebulan je. Ubat apa awak makan sekarang?

Saya: Banyak doktor, perindopril, pantoprazole, glycine, clopidogrel, atorvastatin. Lepas tu hari tu doktor KKB tambah bisoprolol.

Kardio: Ok, saya tambah dosage sikit, clopidogrel awak makan dua kali pagi dengan malam. Tapi jaga-jaga siked, sebab darah akan jadi cair, jangan bagi tangan luka, gosok gigi pun jangan kuat-kuat. Saya bagi juga vastarel, awak makan sebulan.

Saya: Ok doktor. Saya ingat tahun depan saya nak pergi gym la doktor, dah tak boleh running, saya nak buat muscle, bagi sado macam Hugh Jackman. Exercise muscle tak kacau jantung.

Kardio: Condition awak dengan 50% block dekat LAD artery saya tak suggest la awak ni pegi gym, lagi pun muka awak tak masuk dengan bentuk badan sado. Awak kan suka masuk marathon, jogging je la keliling taman 10 km.

Saya: Doktor tak nak check ke, kot la block tu dah hilang.

Kardio: Kan tahun lepas baru buat angio, kompem ada lagi punya.

Saya: Boleh ke jogging sakit jantung ni doktor, saya dah tinggal dah jogging ni.

Kardio: Boleh, jangan laju sangat, slow-slow je, 10 km saya bagi.

Saya: Ok doktor, esok jugak saya update Strava. So hari ni warded tak?

Kardio: Tak payah la, saya nak cuti Krismas.

Sabtu, 18 November 2023

Serangan Jantung di Umur 30-an


Pagi Ahad, 11 November 2023 sepertinya merupakan Ahad seperti hari yang biasa. Kami merancang untuk ke Kuala Kangsar untuk bertemu dengan ibu di sebuah homestay dan membawa anak-anak bersama. Di pertengahan jalan kami singgah di Shell Sungai Bakap untuk membeli makanan dan minuman, saya pula ingin membeli kopi sebagai peneman di sepanjang perjalanan. Pada ketika itu saya mula merasakan sakit di dada, namun ketika itu tidak begitu kuat, jadi saya fikir ia akan hilang tidak lama lagi, jadi saya terus memandu seperti biasa meninggalkan Shell Sungai Bakap. 

Namun sakit dada saya tidak surut-surut malah bertambah sakit. Akhirnya saya keluar di Exit Parit Buntar di mana isteri saya mengambil alih stereng, dan kami terus ke bahagian kecemasan Hospital Parit Buntar. Selepas mengambil tekanan darah, saya dibaringkan dan electrocardiogram (ECG) di lakukan. Saya juga diberikan beberapa ubat termasuklah ubat glyceryl trinitrate yang perlu diletakkan di bawah lidah. Selepas itu, dada saya beransur hilang sakitnya. Sampel darah diambil, ECG dilakukan sehingga kali ke-3, dan ujian X-ray juga dilakukan. Selepas lebih kurang sejam, doktor memaklumkan bahawa saya terkena serangan jantung ringan, bacaan ECG menunjukkan ada perubahan dan saya perlu dimasukkan ke dalam wad.

Oleh kerana Parit Buntar agak jauh dari rumah saya, saya akhirnya memutuskan untuk masuk ke wad di Hospital Sungai Petani atas risiko sendiri. Setelah menandatangani surat, saya pun dibenarkan pulang ke Sungai Petani. Di bahagian kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim, saya diuji sekali lagi dengan ECG, doktor memaklumkan bacaan menunjukkan ada serangan jantung, manakala imej X-ray menunjukkan keadaan paru-paru dan jantung yang normal, tiada angin. Akhirnya saya dimasukkan ke Wad Bunga Raya 2.

Setelah tiga kali dicucuk fondaparinux di perut dan makan ubat kolestrol setiap malam, saya akhirnya dibebaskan dari wad pada 14 November 2023 dan dibenarkan pulang ke rumah. Saya dibekalkan dengan ubat glyprin, clopidogrel, pantoprazole, dan atorvastatin. Final diagnosis yang dinyatakan pada discharge note saya adalah "unstable angina".

Bacaan kolestrol saya sebelum ini memang sedikit tinggi. Kali terakhir ujian darah saya lakukan untuk masuk ke Universiti Sains Malaysia pada 22 Ogos 2023. Ketika itu bacaan kolestrol keseluruhan saya adalah di paras (6.5), LDL di paras (4.5), manakala bacaan triglycerides pada paras (0.9). Oleh kerana waktu menunggu untuk ujian cardiac stress test dan echocardiogram di hospital kerajaan agak lama. Saya memutuskan untuk ke Hospital Pantai untuk melakukan ujian lanjut.

Ujian di Hospital Pantai dilakukan bermula 15 November 2023, keputusan echocardiogram tidak menunjukkan apa-apa gejala yang tidak normal, kesimpulan yang dibuat dari ujian ini adalah "good heart function". Kemudian saya telah menjalani cardiac stress test pada hari yang sama. Ujian ini dilakukan dalam beberapa fasa. Di mana alat ECG dilekatkan pada badan, dan kita dikehendaki untuk berlari di atas treadmill. Setiap fasa, kelajuan dan inclination akan ditingkatkan. Setiap fasa dilakukan dalam masa 3 minit. Jururawat mencadangkan saya melakukan ujian hingga fasa ke-6, namun di fasa ke-5 saya sudah kepenatan dan berhenti. Cardiologist mengatakan bahawa jantung saya stabil pada fasa pertama, namun bermula fasa kedua dan seterusnya, bacaan graf menunjukkan ada penurunan kandungan oksigen, beliau menyebut ada "interference" bermula fasa kedua. Jadi beliau menasihatkan saya untuk berhenti dari menjalankan apa-apa sukan yang berbentuk kompetatif dan high-intensity. Hanya dibenarkan jog ringan sahaja. Nampaknya berakhir sudah kareer sukan saya.

Oleh kerana had limit insurans saya untuk rawatan luar spesialis terbatas, untuk ujian computed tomography (CT Scan) coronary angiogram dan angiogram untuk melihat aliran darah dengan menggunakan contrast dye, saya sekali lagi perlu dimasukkan ke dalam wad. Saya melakukan CT Scan pada 16 November 2023. Saya di minta untuk berbaring dan menahan nafas selama sepuluh saat sementara mesin CT Scan berpusing di sekeliling saya. Pusingan ini dilakukan sebanyak dua kali, kali kedua badan terasa agak panas apabila ubat hijau dimasukkan ke dalam badan dan mesin berpusing laju di sekeliling badan. Doktor mengesahkan bahawa memang terdapat salur darah yang menyempit di bahagian kiri hadapan jantung. Namun menurut beliau, keputusan ini juga tidak begitu konklusif kerana ia mempunyai limitasi dari sudut peratusan kesilapan (percentage error). Salur darah yang bermasalah ini adalah left anterior descending artery (LAD) di mana doktor menulis keputusannya "focal mild to moderate stenosis at proximal to mid LAD". Untuk lebih tepat, doktor menasihatkan saya untuk melakukan angiogram menggunakan contrast dye.

Ujian angiogram ini saya lakukan pada 17 November 2023. Semasa tangan kanan ditebuk untuk dibius dan dimasukkan alat saluran contrast dye, saya merasakan sangat sakit, tangan juga merasa kejang. Dalam hati saya berdoa "O God I am not afraid to die but please spare me the pain". Dari ujian ini memang dapat dilihat bahawa saluran darah kiri hadapan itu mempunyai blockage sebanyak 50%. Maka saya kira dari ujian-ujian ini, saya perlu menerima hakikat bahawa saya memang mempunyai masalah jantung, tidak lagi boleh melakukan sukan berat, dan perlu berdisiplin makan ubat hingga ke hujung usia. Walaupun terdapat sedikit kesedihan di hati kerana tidak dapat lagi terlibat dalam sukan-sukan yang diminati, saya tidaklah kecewa yang teramat sangat sehingga menimbulkan depresi. Saya terima sahaja dengan hati yang redha. Mungkin ini adalah stesen kehidupan yang baharu di mana saya diberi peluang untuk lebih fokus dalam hal pengajian dan akademik.