Kadang saya berasa canggung dengan orang yang mendakwa bahawa diri mereka sekular tetapi asyik berkata tentang sosok seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy yang membawa idea politik Islam dalam perjuangan kebangsaan Melayu. Idea politik Islam Dr. Burhanuddin ini sukar disangkal kerana beliau sudah mengabadikannya dalam tulisan falsafah kebangsaannya.
Sebahagian manusia menafsirkan bahawa jika kita menyatakan bahawa politik sebahagian dari agama, kita bersifat takfiri, mencampur aduk hal fiqah ke dalam aqidah dan sebagainya. Walhal, dalam sejarah bangsa kita sendiri, idea inilah yang diperjuangkan oleh banyak pejuang nasionalis kita sendiri. Mereka faham Islam bukan sekadar ibadah ritual. Tetapi juga politik, ekonomi, pendidikan. Sebab itu kita mempunyai tokoh seperti Ustaz Abu Bakar al-Baqir yang cuba membina pelbagai platform ekonomi, politik dan sosial di Il Ihya Al-Syarif. Namun beliau segera dibanteras British, malah ditohmah oleh bangsanya sendiri sebagai “bahaya dari gunung”.
Perjuangan Kaum Muda di tanah kita ini sebenarnya berjaya, dan subur, meski pun akan dinafi oleh golongan pembenci yang berjiwa sekular. Mereka berjaya melahirkan masyarakat baharu yang akrab dengan Islam, yang berfikiran kritikal, dan tidak hanya menelan budaya sekular Barat yang korup dan bersifat jahiyah itu.
Idea sekular di tanah air kita ini sebenarnya tandus, kerana itu golongan sekular akhirnya terpaksa mengangkat pemimpin Islam juga sebagai ikon tokoh perjuangan, bercakap tentang Kaum Muda dalam hal pemikiran. Kaum Muda adalah golongan yang bercakap tentang politik adalah sebahagian dari agama. Tidak wajar ditinggalkan sehingga umat dipimpin oleh golongan yang berideologi jahiliyah.
Saya melihat tokoh-tokoh Islam begitu sifatnya. Ketika hidup mereka ditohmah. Seperti Tuan Guru Nik Aziz, Ustaz Fadzil Noor, apabila mereka meninggalkan kita mereka dianggap sebagai tokoh. Begitu juga Dr. Burhanuddin al-Helmy yang meringkuk di dalam penjara hingga ke hujung usia oleh pemerintah bangsanya sendiri. Namun apabila beliau meninggal dunia, kisahnya diangkat, namanya dijulang. Seolah-olah kita hanya mahu menyanjung pejuang kita dalam sejarah, perjuangan Islam itu hanya dihargai apabila mereka sudah menjadi sejarah. Bagi saya kita perlu mengubah cara fikir ini, pemimpin yang ikhlas sedia ada perlu kita hargai, selagi nyawa dikandung badan mereka.
Apabila kita mengatakan bahawa politik itu sebahagian dari Islam, mereka yang berfikiran sekular, golongan neo-orientalis, tidak dapat menerima idea ini. Bagi mereka kita menuduh orang lain sebagai tidak betul agamanya atau sesat akidah pemikirannya. Walhal kita hanya menerima idea Islam yang wadih, yang benar, yang syumul dan menyeluruh, tidak memisahkan agama dari mana-mana juzuk kehidupan.
Memilih fikiran Islam berbentuk gerakan/harakiyah tidak bermakna kita tidak boleh bersifat sufi dari segi ibadah dan kerohanian, atau menerima pandangan salafiyah dari segi akidah ketuhanan. Itu adalah pemikiran sekular orientalis yang memisah-misahkan agama. Hakikatnya Islam itu menyeluruh, kita tidak bermasalah dengan idea politik dalam masa yang sama bersifat sufi dan abid dalam ibadah, kita tidak melihat apa-apa pemisahan. Bagi kita Islam adalah Islam, tiada pemisahan Islam sufi, Islam haraki, Islam sosialis, atau apa pun idea sekular orientalis seperti yang ditulis.
Jika benar Islam itu tidak menyentuh politik, maka pendahulu kita tidak akan menubuhkan seribu satu gerakan. Dari parti hingga empayar. Khazanah politik Islam itu begitu kaya, luas dan mendalam. Maka tidak harus kita menyempitkan fikiran kita dengan kalam-kalam sekular orientalis yang terus mahu kita lemah dan diperintah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan