Ahad, 15 Disember 2024

Mengkaji Budaya Merantau Dalam Kalangan Orang Melayu


Saya melihat kajian sejarah di Malaysia banyak menekankan aspek politik dan ekonomi, ini jelas sekali menonjol dalam kajian yang dikeluarkan saban tahun. Aspek budaya jarang sekali dikaji sebagai tajuk utama. Jika dikaji pun, biasanya ia dibahaskan sebagai aspek sampingan sahaja dan bukan tonggak kajian utama. Saya masih belum menjumpai misalnya satu kajian terperinci perihal budaya merantau dalam kalangan orang Melayu. Kajian ini saya kira bukanlah satu kajian yang rumit, tidak perlu geran berjuta-juta atau makmal sehebat Large Hadron Collider (LHC), namun tidak ada yang cuba melakukannya. Dalam penilitian saya, sahabat serumpun kita di Indonesia lebih terkedepan dalam hal ini, kajian tentang budaya merantau dalam kalangan masyarakat Indonesia begitu banyak sekali. Tahniah Indonesia. Walaupun kajian saya ini tidaklah terperinci dan begitu mendalam, tetapi sekurang-kurangnya ia membuka ruang agar aspek ini diketengahkan. Mungkin akan menimbulkan niat dalam kalangan pengkaji untuk meneroka aspek ini.

Saya juga menggunakan budaya perantauan ini bagi menolak label malas yang digunakan oleh pihak kolonial dan orientalis kepada masyarakat Melayu. Antara komen yang saya terima dari pewasit adalah kenapa tidak menggunakan karya Syed Hussein Alatas sebagai rujukan? Bukanlah beliau adalah pelopor kepada idea penolakan peribumi malas? Pertama, kajian ini bukan berfokus kepada penolakan label peribumi malas, itu bukan tunjang kajian. Ia sekadar dapatan sampingan. Kedua, itulah tugas penyelidik. Bukan sekadar melakukan penyelidikan yang sama. Jika penyelidikan yang mandiri dilakukan dan tidak terikat dengan idea Alatas, tetapi menghasilkan konklusi yang sama, itu sebenarnya merupakan sumbangan kepada idea Alatas, kerana konklusi itu menguatkan ideanya. Oleh itu kajian selari patut diraikan dalam penyelidikan, bukan semuanya mahu disuruh merujuk kepada bahan-bahan yang sama sahaja yang akhirnya menatijahkan pengulangan yang membosankan.

Terima kasih Jurnal Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah yang menerbitkan tulisan saya. Jemput para sahabat untuk membaca dan mengkritiknya. Jemput baca artikel saya “Penelitian Terhadap Budaya Merantau Orang Melayu Dalam Persuratan Sejarah : A Review On The Culture Of Merantau In The Malay Society In The Historical Literature”. Manu Jurnal Pusat Penataran Ilmu Dan Bahasa 35 (2), 2024.

Tiada ulasan: