Bersama Ustaz Aizat di Derang, Kedah pada 03 Disember 2024. |
Pada setiap tahun, Malaysia akan dilanda Monsun Timur Laut (MTL). Ada kalanya, musim monsum ini membawa bersama banjir yang kecil sahaja. Ada juga tahun di mana air banjirnya begitu tinggi sampai menenggelamkan tingkat dua bangunan sekolah. Pada tahun 2024, MTL membawa banjir yang agak besar, membawa kerosakan teruk di sekitar negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu. Saya sempat turun ke beberapa misi di Kedah dan Kelantan dalam musim MTL 2024.
03 Disember 2024
Pada 03 Disember 2024, saya berkesempatan membersihkan dua buah rumah di Kampung Tengah, Mukim Derang, Kedah. Antaranya rumah mertua Ustaz Anas Mokhtar (UAM) kemudian rumah Ustaz Aizat, pengetua sekolah rendah Ma'ahad Derang. Kami juga sempat meronda-ronda di sekeliling kampung untuk melihat rumah penduduk dan mengagihkan roti dan air mineral. Sebahagian rumah masih belum surut airnya sepenuhnya. Sebahagian yang lain sudah boleh dimulakan proses pembersihan. Besar ujian yang menimpa penduduk. Kawasan Derang ini sudah mengalami banjir sebanyak 4 kali pada tahun ini sahaja. Ada yang baru sahaja beli perabot baru bulan lepas. Habis tenggelam dan hancur. Kerugian benar-benar menyayat hati. Harapan saya adalah semua yang berkemampuan untuk sama-sama turun padang untuk membantu membersihkan rumah penduduk. Juga menyalurkan bantuan seperti barang makanan. Semoga dengan bantuan kita dapat meringankan beban mereka.
06 Disember 2024
Pada 06 Disember 2024, saya sempat membantu penduduk membersihkan rumah bersama pasukan HALUAN Kedah di Taman Tabung Haji, Kepala Batas, Kedah. Kebanyakan rumah-rumah penduduk sudah banyak yang sudah selesai dibersihkan di bahagian dalam. Namun masih banyak yang perlu dibersihkan terutamanya perabot dan kelengkapan rumah. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir menyumbang tenaga pada hari tersebut.
Pasukan HALUAN Kedah di Taman Tabung Haji, Kepala Batas pada 06 Disember 2024. |
09 Disember 2024
Setibanya saya dan Salahuddin Nordin di Pasir Puteh, kami dijemput oleh abang ipar saya, Muhammad Zakiran Mahmud di stesen. Selepas sarapan, kami terus membantu mengagihkan bantuan barangan banjir kepada penduduk terjejas. Barangan yang diberikan adalah toto dan kain pelikat sumbangan RANDEX 2024 dan juga hygiene kit sumbangan Yayasan Hasanah. Sebanyak 60 set diagihkan dari rumah ke rumah di Kampung Gaal Hilir, Pasir Puteh. Kemudian sebanyak 45 set diagihkan kepada penduduk di Kampung Gong Pasir, Pasir Puteh secara berkelompok. Agihan berkelompok lebih mudah kerana tidak perlu gerak dari rumah ke rumah. Sebelah petang, sempat berendam di air terjun bersama anak-anak sedara.
Gambar bersama pasukan HALUAN di Johor mengangkat tangki air ke dalam lori di Taman Uda Murni pada 10 Disember 2024. |
10 Disember 2024
Tim Haluan dari Johor tiba di Pasir Puteh diketuai oleh Wak Kamarojman. Kami bergerak ke Kota Bharu untuk loading barang pembersihan dan tangki air menggunakan 3 hilux dan sebuah lori. Ini kerana kawasan terjejas di Tumpat masih belum pulih sistem pengairannya sepenuhnya. Maka air perlu dipam ke dalam tanki dan dibawa menggunakan lori. Di Tumpat kami membersihkan kawasan kompleks Pondok berdekatan Sungai Golok. Dekat betul kampung tersebut dengan Thailand. Kami membersihkan beberapa bilik asrama dan juga bilik kelas. Sebelum balik, Muhammad Farhan Johan belanja kami makan siakap 4 rasa di Restoran Siam, Kota Bharu. Terima kasih kepada semua sahabat dan ahli keluarga yang banyak membantu menguruskan permusafiran kami dalam misi banjir kali ini. Semoga Kelantan dapat pulih sepenuhnya dan terus membangun bersama Islam. Jumpa lagi!
Gambar bersama Tim Bravo Randex 2024, Salahuddin Nordin dan Muhammad Farhan Johan. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan