Ahad, 15 Disember 2024

Bichara "Homo Historikus" Anjuran Lestari Hikmah di Hubooks, Ipoh


Pada hari Khamis (12/12/2024) saya sempat membicarakan perihal buku terbaharu saya iaitu Homo Historikus: Perkembangan Kesedaran Sejarah di Malaysia terbitan Penerbit Cakna. Pertama, saya cuba menerangkan perihal pandangan saya perihal perkembangan kesedaran sejarah di Malaysia. Saya kira kesedaran sejarah di Malaysia ini terbahagi kepada beberapa fasa. Pertama adalah fasa sejarah tradisional di mana penulisan sejarah berbentuk sastera dan mempunyai pengaruh mitos dan legenda yang kuat. Kemudian fasa pensejarahan objektif yang mempunyai pengaruh kuat kolonial. Fasa terakhir adalah fasa pensejarahan baharu yang objektif, bebas dari pengaruh kolonial dan bersifat demokratik. Fasa akhir ini melahirkan pelbagai naratif baharu yang saling bertentangan antara satu sama lain.


Perbahasan juga dilanjutkan dengan persoalan yang ditimbulkan oleh Abang Syed Omar Hussain perihal keutuhan sejarah lisan dan juga kebolehan kita mencapai sejarah yang sempurna. Saya berpandangan bahawa sejarah lisan adalah sumber sejarah yang valid tetapi mesti dilakukan dengan metodologi yang betul dan dapat dipertanggungjawabkan. Sementara mencapai sejarah yang sempurna itu adalah kerja yang mustahil. Ustaz Syed Shahriman Jamalullayl pula membangkitkan persoalan apa yang hendak disampaikan melalui kesedaran sejarah. Saya berpandangan, jika manusia itu mempunyai kesedaran sejarah, mereka akan menggunakan hidup mereka dengan lebih bermakna dan memastikan mereka meninggalkan satu legasi yang baik bagi dunia. 

Terima kasih saya ucapkan kepada Ustaz Mohd Rashidi dan Lestari Hikmah yang menganjurkan bicara buku manusia sejarah ini. Terima kasih Hubooks yang menjadi tuan rumah. Terima kasih semua teman-teman jauh dan dekat yang sudi hadir bersama. Terima kasih Saudara Izzuddin Khalis dan Ali Karimi Nasri, Presiden IIUMSU menemani saya drive dari Kedah. Harap ada manfaat, minta maaf andai ada salah dan silapnya.

Tiada ulasan: