Ahad, 26 Januari 2020

Setelah Mendung Usrah Ada Awan Yang Cerah


Beberapa kali saya mengulang baca artikel karangan Fathi Aris Omar bertajuk 'Dibawah Mendung Usrah' yang diterbitkan kira-kira 13 tahun yang lalu. Artikel ini dikirim oleh sahabat saya Benz Ali, mungkin sebagai hujahnya dalam mengkritik buku saya yang baginya begitu tepu dengan nilai ke-usrah-an. Tidak mengapa pun untuk beranggapan begitu, kerana setiap orang punya pengalaman dan pandangan yang berbeza. Jadi atas hak yang sama, saya ingin juga kirimkan pandangan dan pengalaman saya. Untuk tidak kedengaran didactic, ingin saya tintakan bahawa tulisan ini boleh sahaja diterima, atau dibuang sekiranya dirasa tidak berguna.

Saya ingin mulakan penulisan panjang pada malam ini dengan sembang saya bersama Francis, setelah penat menarik pengunjung di Pesta Buku KL 2019 untuk mengenali karya tulisan kami, saya dan Francis duduk disebuah warung bersebelahan Sungai Gombak yang berwarna coklat seperti teh tarik. Kami bersembang berkenaan bahan bacaan, antaranya tulisan-tulisan Chomsky. Bagi Francis tulisan Chomsky membawa naratif gerakan kiri lama, begitu juga gerakan kiri di Malaysia yang bagi Francis masih mengambil model-model lama. Saya tidak begitu setuju dengan pandangan beliau pada ketika itu, tetapi hari ini saya merasakan getusan rasa Francis itu ada benarnya. Begitu juga dengan gerakan Islam, saya kira kadang kala terlalu rigid dengan model lama. Bukan saya tidak pernah merasakan perlunya ada pembaharuan pada sistem fikir gerakan Islam. Saya pernah juga mengutarakan bahawa perlu ada pemahaman baharu bagi kesesuaian dengan latar dan geografi kita, bukan sekadar mencedok secara literal teks-teks lama yang ditulis pemikir di era kolonial, contohnya idea-idea dalam Milestones tulisan Sayyid Qutb, kegagalan mengagaskan pemahaman baru bakal menyebabkan pergerakan Islam hilang relevannya. Namun tulisan saya itu lebih bermaksud menyuntik nafas baru, berbanding meninggalkannya.

Setelah membaca artikel Fathi Aris Omar itu, faham saya pengalaman usrah beliau adalah bersama JIM atau bentuk-bentuk JIM sebelum atau selepas berlaku perpecahan dalam gerakan Islam. Penglibatan beliau adalah di era 80-an dan 90-an. Saya pula mengikuti usrah di abad baru dan tidak bersama dengan JIM, jadi saya kira saya tidak layak untuk membela gerakan yang saya tidak duduk di zamannya. Saya generasi yang terkemudian, bersama selepas era 'pergaduhan' gerakan Islam telah sejuk dan abu-abunya telah gugur. Jadi tulisan saya ini hanya mewakili pengalaman saya. Usrah seperti juga diskusi-diskusi lain, berubah mengikut zamannya, mengikut wataknya, mengikut pengisiannya, juga mengikut masalah-masalah geografinya.

Isu kemendungan pertama yang dibangkitkan oleh Fathi Aris Omar adalah usrah sebagai proses indoktrinasi. Saya kira tidak ada gunanya kita menafikan perkara ini, ya usrah ada kalanya bersifat  indoktrinasi yang cuba menanam kefahaman Islam kedalam ahli-ahlinya. Tetapi saya tidak melihat ia dari sudut yang negatif, mana-mana gerakan perlukan satu kefahaman yang sama untuk bergerak sebagai satu gerakan yang effektif. Sebelum berlaku Revolusi Rusia misalnya, sudah ada gerakan-gerakan yang menanam kefahaman perjuangan hak masyarakat pekerja, apabila adanya satu kefahaman yang sama barulah ia boleh membuahkan revolusi. Begitu juga kita lihat dalam pembentukan patriotisme dan kenegaraan, kita dihantar ke kursus Bina Negara, difahamkan dengan rukun negara, perlembagaannya, lagunya, jatanya, sistem pemerintahannya, agar terbinanya negara yang effektif. Jadi jika semua gerakan di dunia, baik yang kecil mahupun besar menjalankan proses indoktrinasi agar mereka dapat bergerak dengan effektif, jadi apakah salah bagi gerakan Islam menggunakan cara yang sama, yang natural, dalam membina gerakan mereka?

Proses ini pada sudut pandang saya, tidak lebih dari keperluan management untuk menghasilkan gerakan yang effektif. Fathi Aris Omar kemudian mengatakan proses ini tidak jauh dengan Hitlerisme, walaupun sebelum membuat persamaan ini beliau meletakkan sedikit disclaimer untuk berada di lembah yang kelihatan selamat, seolah-olah beliau hendak mengatakan bahawa "saya tidak katakan sama, tetapi kelihatan sama". Ia membuatkan saya teringat diskusi saya bersama naqib lama saya, Dr. Khairul, di Old Town White Coffee Bangi hujung tahun lalu, setelah lama terpisah, kami bersembang panjang, hingga masuk kepada teori Darwin di dalam bukunya The Origin of Species serta penyambung kalam beliau Richard Dawkins dalam The God Delusion. Jika benar usrah itu sama atau "kelihatan sama" dengan Hitlerisme mungkin kami yang berbincang idea diluar kerangka Islam ini sudah mati ditembak firing squad atau dicampak ke gulag atau mati dalam gas chamber di ghetto yang disediakan oleh pendokong usrah. Ya, ia kedengaran kelakar. 

Artikel Fathi Aris Omar ini juga terdapat banyak paradoks dalam masa dia mengkritik paradoks gerakan Islam. Sebagai contoh, beliau menulis bahawa gerakan Islam sebagai "dunia hingusan dan syok sendiri", kemudian pada perenggan yang terkemudian, beliau memuji rekod beliau sendiri sepanjang era usrah sebagai "bersih, kalaupun enggan disebut cemerlang". Kelihatan dia pula yang jatuh ke dalam lembah paradoks dan syok sendiri. Pada satu perenggan dia menulis bahawa dia tidak membayangkan bahawa usrah itu sama dengan kesesatan, namun pada ketika lain dia menulis bahawa terdapat "orang-orang tua yang telah jauh disesatkan oleh usrah". Saya bertambah bingung, seolah-olah penulis tidak dapat membuat pendirian yang tetap, mindanya sendiri keliru, jika sesat bukankah lebih baik disebut dengan explicit tanpa perlu ada disclaimer atau hujahan berpusing-pusing, hujah penuh paradoks yang tidak membantu.

Pada pandangan saya, penulis ketika cuba untuk menyuruh manusia berfikir, lama kelamaan beliau menjadi seperti apa yang dia kritik sendiri. Contohnya ketika beliau menulis perihal ingin mengharamkan buku-buku Hassan Al-Banna dan Yusuf Qaradawi kepada anak-anak usrahnya. Mungkin beliau boleh mengambil alih tugas Kementerian Dalam Negeri yang suka mengharamkan buku. Tidakkah itu juga satu paradoks? Mengajak manusia menggunakan kekuatan akal tetapi ingin mengharamkan buku? Bukankah lebih baik Fathi Aris Omar menyuruh anak-anak usrahnya membaca sahaja, kemudian menggunakan kemampuan akal mereka dalam menapis pemikiran Al-Banna dan Qardhawi.

Saya berpandangan spektrum rasional dan dogmatik ini ada pada semua gerakan. Dalam gerakan liberal juga ada sifat dogmatik seperti mahu mengharamkan buku dan pendidikan non-liberal. Kita melihat sejarah negara-negara berfahaman ateis juga banyak bersifat dogmatik, menghalang pemikiran keagamaan menggunakan kekerasan, paksaan, dan indoktrinasi, bukan reason. Kita boleh sahaja memilih beberapa ciri dogmatik dan megabaikan sisi rasional dalam membuat generalisasi untuk memburukkan gerakan yang tidak seangkatan dengan kita. Saya merasakan proses generalisasi terhadap golongan yang mengikuti usrah ini, prejudis yang dilabelkan pada mereka tidak banyak bezanya dengan kelakuan sarjana Barat dalam mengeneralisasikan peradaban Timur sebagai mistik, exotic dan terkebelakang seperti yang ditulis oleh Edward Said dalam bukunya Orientalism. Fathi Aris Omar menafikan adanya kerencaman dalam golongan yang mengikuti usrah, pada beliau mereka semua "mendung", "syok sendiri", "sesat", "zombie", "kaku", "tohor", "manusia paling bodoh", "tidak membaca buku", "tidak berbakat" dan pelbagai lagi gelaran buruk yang beliau cuba tampalkan pada manusia yang mengikuti usrah. Walhal realitinya mereka rencam sekali pemikirannya, kecenderungannya, cuma mereka memilih kesatuan kefahaman yang sama untuk bergerak dengan effektif.

Banyak lagi pengalaman-pengalaman saya bersama dengan program usrah yang begitu kontradik dengan pengalaman dan kefahaman Fathi Aris Omar. Contohnya beliau mengatakan bahawa usrah ini hanya "menarik mereka kembali kepada Al-Qur'an dan ibadah khusus", sedangkan kami selepas usrah sama-sama turun membersihkan rumah manusia dari lumpur ketika banjir, membangun sekolah-sekolah, membuka institusi pendidikan bagi golongan terpinggir seperti Bajau Laut, dan seribu satu lagi amalan kemasyarakatan lain yang menjangkaui lebih dari "ibadah khusus". Kami didoktrinkan bahawa Islam itu syumul, ibadah bukan sekadar solat, membuka rumah anak yatim juga satu ibadah.

Saya juga tergelak kecil ketika beliau menulis bahawa "usrah tidak lebih daripada tempat pembuangan manusia tidak berbakat". Saya sendiri belajar bercakap kepada awam melalui usrah. Pada mulanya, setiap kali bercakap kepada awam, muka saya akan merah, dan saya akan terus gugup dan lupa apa yang saya hendak perkatakan. Dari usrah saya belajar mengatasi ketakutan pengucapan awam saya, sedikit demi sedikit saya akhirnya berani bercakap dihadapan awam. Begitu juga ramai rakan-rakan saya yang lain, mereka mengasah bakat dalam usrah, mereka yang berbakat dalam bidang volunteerism, menjadi fasilitator dan urusetia program, apabila ke universiti mereka diangkat sebagai kepimpinan pelajar. Bakat mereka itu kebanyakannya lahir dari bulatan-bulatan usrah yang menolak mereka keluar dari zon selesa. Banyak lagi contoh dan pengalaman yang boleh diberikan, namun ia akan memberatkan penulisan ini. Tidak berbakat? Cukuplah sekadar kita sambung ketawa atas tuduhan liar ini.

Mengutuk mendung dan gelap itu mudah, tapi menyalakan lilin dan membuka payung itu lebih sukar. Jika ideologi beliau dirasakan lebih elok dan mulia, atau dalam perkataan beliau sendiri "bermutu dan tahan lama", seharusnya dia membangunkan gerakan baru untuk menyaingi gerakan yang berfikiran jumud itu, bukan menjadi "by-stander". Sebagaimana artikel dilawan dengan artikel, buku dilawan dengan buku, amal perlu dilawan dengan amal. Maka sekiranya dia berasa lebih benar, ayuh bangunkan gerakan, terjun ke medan amal membaiki masyarakat, jika gerakan Islam galak membina pendidikan dan sekolah seharusnya dia mendirikan sekolahnya, jika gerakan Islam menghantar bantuan bencana ke luar negara seharusnya gerakan beliau yang lebih mulia itu menghantar lebih banyak bantuan. Jika gerakan Islam masuk ke kampung memberi pendidikan kepada masyarakat Bajau Laut, seharusnya gerakan yang lebih benar, mulia, dan "membaca banyak buku" telah menyelesaikan masalah golongan yang terpinggir dari arus pendidikan. Apa gunanya ber-romantisme dengan ideologi dan buku-buku agung seperti Jean Paul Sartre itu tanpa ada amalan yang real dan material? Ayuh beramal, bukan sekadar mengutuk "mendung" tetapi hanya menyendiri menjadi "by-stander".

Saya sebenarnya tidak pun ingin menulis tulisan panjang ini, kerana sejak dahulu lagi prejudis terhadap mereka yang mengikuti usrah ini telah wujud, mereka dianggap kolot dan jumud, tetapi entah kenapa suasana segar malam di Bagan Datuk hari ini memberi saya semangat untuk menulis. Saya merasakan tulisan Fathi Aris Omar ini bukanlah satu gambaran keseluruhan yang jujur. Ya, gerakan Islam ada masalah-masalahnya, saya sendiri mengkritiknya dalam buku saya, tetapi bagi saya ia masih mempunyai relevansi pada hari ini, ia juga mempunyai masa depan. Bak kata Muhammad Ahmad Ar-Rasyid dalam kitabnya Al-Muntalaq (Langkah Bermula), "ianya gerhana bukan tenggelamnya matahari". Saya merasakan artikel Fathi Aris Omar itu lebih kepada alasan beliau untuk meninggalkan gerakan Islam yang haraki. Keputusan itu adalah haknya, dan kita hormati (kita tidak akan hantar firing squad ala-ala Hitlerisme). Bagi beliau mungkin usrah itu sudah terlalu mendung dan perlu ditinggalkan, tetapi bagi saya dan generasi saya yang masih bersama harakah Islam, bagi kami mendungnya usrah itu akan membawakan hujan yang membasahi dan menghidupkan hati, dan selepas itu, mendung itu akan diganti dengan awan-awan baharu yang cerah dan ceria.

Tiada ulasan: