Apabila disebutkan tentang seniman, kita biasanya akan membayangkan seorang pelukis yang pandai melukis gambar yang indah, atau penyanyi yang boleh mengalunkan suara yang merdu, atau pujangga yang mampu membawakan cerita dan membangkitkan emosi manusia. Saya juga dahulu berfikiran sebegitu dahulu.
Kemudian saya pergi berkursus pada satu masa di Pahang. Dalam kursus tersebut dibentangkan Khalid al-Walid sebagai seorang seniman perang. Khalid menguasai perang sebagai karya seninya. Memahami musuh sebelum musuh memahaminya. Mengatur strategi yang tidak dapat difikirkan lawannya. Seni perangnya mengatasi logik biasa. Saya tersedar bahawa seniman itu bukan sekadar tentang lukisan, suara, atau cerita.
Setiap sisi hidup ada seninya tersendiri. Untuk menguasainya kita perlu bersungguh-sungguh. Tekun, dan tidak mudah berputus asa. Kita kena berani belajar, dan mendedikasikan hidup untuk seni pilihan kita. Malah jika kita menyedari, hidup itu sendiri ada seninya, sebuah seni kehidupan. Orang yang menguasainya akan menggunakan hidupnya dengan bersungguh-sungguh. Kerana dia sedar, dia sedang berlumba dengan masa. Seni kehidupan adalah seni untuk bertarung dengan masa, mengisi hidup sebanyak mungkin dengan perkara-perkara yang bermanfaat dan berguna. Orang yang menguasainya akan meninggalkan perkara yang sia-sia.
Bukan hidup sahaja mempunyai kesenian. Setiap yang hidup pasti menemui mati. Sama ada dia suka atau tidak, rela atau terpaksa, satu hari nanti nafasnya akan terpadam, dan pandangannya akan terhenti. Maka yang lebih hebat adalah manusia yang menguasai seni kematian. Mereka yang mampu merancang kematian yang tidak sia-sia. Tetapi kematiannya adalah sebahagian dari perjuangan yang panjang, kematian yang tidak mati tetapi menghidupkan api perjuangan bagi generasi mendatang.
Kematian yang penuh kesenian.
Sentiasa akan dikenang dan dicemburui.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan