Sabtu, 21 Julai 2018

Titik biru yang malap


Voyager-1 dilancarkan pada 5 September 1977 dari Cape Canaveral Air Force Station, Florida, Amerika Syarikat. Antara misinya adalah untuk mengkaji planet-planet dengan lebih dekat. Pada 14 Febuari 1990, Voyager-1 telah mengembara jauh, sekitar 6 billion kilometer dari bumi, tempat asal ia berlepas. Namun berkat hasil tangan manusia dengan akal kurniaan tuhan, Voyager-1 masih dapat menerima signal arahan dari NASA Deep Space Network di bumi.

Dari jarak 6 billion kilometer ini, Carl Sagan, seorang ahli astronomi yang merupakan salah seorang penyelidik dalam NASA memohon agar kamera Voyager-1 di halakan ke bumi bagi mengambil gambar ‘Family potrait’ bumi bersama adik-beradik planetnya yang lain. Permintaan beliau diluluskan. Gambar tersebut menyaksikan ruang kosmos yang luas, dan ada satu titik pixel kecil berwarna biru pudar terapung ditengah sinaran matahari. Dari 640,000 pixel di dalam gambar tersebut titik bumi hanya sebesar 0.12 pixel. Dalam syarahan beliau di Universiti Cornell pada tahun 1994, Sagan berkata “That’s here. That’s home. That’s us”.

Sagan kemudian menulis buku bertajuk ‘Pale blue dot’ sempena gambar istimewa ini. Dalam bukunya Sagan menulis bertapa pengkajian astronomi merupakan satu perjalanan yang sangat merendahkan diri (humbling). Bertapa bumi ini sangat kecil apabila dibandingkan dengan kosmos yang terbentang luas, ibarat sebutir habuk. Bertapa manusia sangat angkuh dan bongkak, manusia yang kagum dengan ideologi masing-masing, sanggup membunuh dan dibunuh untuk merebut sebahagian dari habuk kecil ini. Gambar titik biru pudar ini sepatutnya mengingatkan mereka, bertapa kerdilnya mereka, dan belajar untuk hidup bersama.

Kita tidak pernah mendengar sekumpulan kucing di Arab Saudi berkomplot untuk membunuh spesis kucing lain di Yaman. Tetapi manusia, manusia yang mengaku mempunyai tuhan, mengaku mulia dengan agama, manusia yang dikurniakan akal, membunuh spesis mereka sendiri dengan cara yang kreatif. Mereka mencipta pelbagai jenis persenjataan moden dan canggih untuk membunuh spesis mereka sendiri beramai-ramai. Menggunakan guided missile, hydrogen bomb, kalashnikov, gas kimia, senjata biologi, dan seribu satu cara lain. Malah seronok dan berbangga dengan perbuatan mereka. George Carlin, seorang pelawak berkata, dalam banyak-banyak spesis kehidupan, hanya manusia yang membunuh spesis sendiri untuk keseronokan.

Jika kita melihat situasi negara kita hari ini, kita akan nampak bibik-bibik kebencian antara satu sama lain. Kita gagal menerima perbezaan, melihat orang lain yang berbeza dengan kita dengan penuh kebencian. Kita bersifat prejudis terhadap orang yang berbeza agama, bangsa, bahasa dan fahaman politik. Walaupun pilihanraya sudah berakhir kita terus saling membenci, memburukkan orang lain, memfitnah, menyebar kebencian, saling perli memerli di media sosial. Kita lupa raison d'ĂȘtre negara kita adalah perpaduan. Perbezaan adalah fitrah, kita perlu belajar hidup berbeza bersama.



Tiada ulasan: