Sebagai permulaan saya ingin state the obvious. Sebagaimana seorang
tidak dapat menerangkan bagaimana rasa manisnya epal atau masamnya limau
mandarin kepada orang lain yang tidak pernah merasainya, begitulah rumah
tangga. Kita boleh baca jutaan helaian makalah, hadiri jutaan ceramah, malah
mungkin buat kajian doktor falsafah berkenaan dengan baitul muslim. Kita tetap
tidak dapat memahami maknanya jika kita sendiri tidak merasainya, melaluinya.
Bermula dari titik itu saya ingin
bermula, agar minda kita sedar bahawa tulisan ini tidaklah banyak atau berat
maknanya melainkan kita sendiri melalui prosesnya.
Sehebat manapun manusia, dia
bermula dari permulaan yang sama. Bayi kecil yang lemah tanpa sebarang pakaian.
Apabila dia keluar dari perut ibunya, masing-masing bermula dengan permulaan
yang berbeza. Ada yang disambut dengan kain emas di dalam istana, ada yang
disambut di pondok usang di desa, ada juga yang dibalut kain putih oleh
jururawat di hospital. Setiap orang mempunyai pengalaman hidup berbeza, membaca
perkara yang berbeza, bersosial dengan watak yang berbeza, semua akhirnya
mempunyai pandangan yang berbeza, cara fikir yang berbeza. Sekuat manapun
perasaan cinta dua insan yang bersatu itu, mereka adalah insan yang berbeza.
Perbezaan bukanlah membawa makna
kebencian, pergaduhan, dan penceraian. Perbezaan perlu difahami sebagai suatu
anugerah yang membentuk percintaan. Hidup tidak akan indah jika warnanya hitam
dan putih. Tetapi disebalik kepelbagaian warna, kepelbagaian bentuk,
kepelbagaian suasana, membuatkan kita merasai keindahan alam. Begitu jugalah
kehidupan baitul muslim, tidak semuanya manis, tidak semuanya pahit, kadangkala
sakit, kadangkala bosan, kadangkala benci, itulah warna warninya. Semuanya
perlu diterima.
Dalam baitul muslim biasanya
cinta akan memuncak diawalnya, semakin hari ia akan meninggi. Namun hukum tuhan
tetap sama, tiada yang kekal kecuali zat yang Esa. Seperti burung yang terbang
bebas tinggi akhirnya perlu turun kembali hinggap di dahan bumi. Cinta akan
turun, mendatar, pudar, mungkin juga hilang selamanya. Namun ketahuilah
walaupun cinta telah hilang, tanggungjawab akan terus kekal. Cinta adalah emosi
yang mustahil kita kawal, tetapi tanggungjawab adalah kontrak yang kita telah
terima sebagai sesuatu yang kekal. Hanya batal apabila dipisah nyawa atau
penceraian.
Sebagaimana dia menerima baik dan
buruk kita, kita juga perlu menerima baik dan buruk mereka. Akan tiba masa kita
akan berkata dengan gembira, ada juga ketika kita akan berbicara dengan air
mata. Pujangga mengingatkan kita agar tidak berjanji tika suka dan berkeputusan
ketika duka. Apabila tiba di persimpangan duka, elakkan dari berkata yang boleh
meluka, carilah teduh, sehingga rasional tiba semula. Dalam membuat keputusan
sedarilah hidupmu adalah hidupnya dan keluargamu adalah keluarganya.
Helaian-helaian kehidupan akan
terselak satu persatu. Akhirnya kau akan tiba di sebuah helaian dimana akan
lahir insan ketiga. Keluar dari perutnya lahir ke dunia. Ketika itu sifirnya
sudah berbeza. Kala itu cinta akan bertambah, namun cukup untuk dibahagikan
kepada tiga. Kemudian mungkin empat, lima, dan seterusnya sesuai dengan tulisan
takdir.
Jadilah pasangan yang sentiasa
memberi. Jangan sibuk bertanya hak, tapi sibuklah menilai tanggung jawab.
Jadilah pasangan yang memahami. Jangan malu memasak, membasuh baju, menukar
lampin anak, pasangan kamu adalah sama seperti kamu. Dia peneman hidup bukan
bibik atau hamba. Kau ketua keluarga bukan raja. Sang nabi juga tidak malu
menjahit capal sendiri, tidak jatuh kemuliaanmu menolong pasanganmu.
Kemuncaknya, yang paling penting
saya kira adalah matlamat baitul muslim. Ombak dan badai akan berlalu, jika
kita tiada matlamat akhirnya bahtera akan sesat. Tidak tahu hendak ke timur
atau barat. Jika matlamatnya selain tuhan, ia tidak akan kekal, kerana semuanya
akhirnya akan hancur, semuanya fana. Jika yang dikejar adalah dunia, akhirnya
penat, dan kecewa jika hujungnya bukan taubat. Sama-samalah memimpin tangan ke
syurga dengan ilmu dan kasih sayang.
Sebagaimana permulaan begitulah
akan kembali pengakhiran. Jadi di perenggan akhir nota khutbah tidak rasmi ini,
saya ingin mengucapkan selamat merasai sendiri episod cinta dalam
helaian-helaian singkat kehidupan. Tiada pengalaman yang sama, sebagaimana buku
resepi yang sama melahirkan masakan dengan rasa yang berbeza apabila dimasak
oleh tukang berbeza. Maaf jika penulisan ini terlalu lirikal. Cuma mengambil
hikmah rangkap lagu UNIC, teman itu ibarat si matahari. Jadi selamat menyulam
cinta dalam rumahtangga wahai sang matahari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan