Sabtu, 5 November 2016

Catatan Baitul Muslim 11



Manusia terdiri dari 3 fakulti, fizikal, akal dan hati (ruhh). Sejauh mana pun dia lari, dia menafikan nya, akan tiba satu masa fakulti hati terdetik, tersentuh, tersentak. Dia akan sedar bahawa hidup ini lebih dari fizikal dan akal. Mungkin dia punya banyak masa lagi, mungkin masanya telah tiba untuk pulang ke kampung abadi. Dia akan sedar bahawa dia punya hati yang dahaga. Kosong.

Begitulah apa yang saya rasa sekarang. Setelah berumah tangga, bekerja melalui rutin harian, kini sudah mempunyai anak. Semua komitmen mencubit dari segenap segi, masing-masing merebut masa dalam kehidupan kita. Sehingga program dan halaqah tidak lagi manis seperti dulu, tiada lagi energy yang membuak-buak, semangat untuk berdakwah. Semuanya bagaikan rutin. Terasa tawar. Pudar.

Sekian lama hati yang dahulunya hidup, kini sepi menyendiri. Tidak lagi terasa basah segar disiram tarbiyyah, tiada kekuatan walaupun duduk ditengah-tengah arena tarbiyah. Seumpama gema di tepi gaung, semakin lemah, semakin tidak didengari. Hilang.

Namun, sedalam mana pun kita jatuh jangan kita pisahkan diri dari gerabak ini. Paksalah diri bersamanya walaupun mungkin hati memberontak untuk berhenti bersandiwara. Yakinlah dengan rahmat dan kasih-sayang ALLAH bahawa satu hari hati itu akan kembali. Keluar bersinar. Seolah mentari yang muncul di ufuk fajar. Terang. Gembira.

Begitulah perihalnya apa yang ku rasakan hari ini. Setelah sekian lama hati ini menyorok pergi, hari ini ia kembali. Seolah teman lama, datang semula. Hari ini aku bertemu kembali dengan murobbi lama, Cikgu Azmi Bahari. Kata-katanya ringkas tetapi membekas, ia berjaya memujuk hati ku agar keluar kembali, merasakan kehangatan mentari, mentari tarbawi. Aku yakin ia adalah secara langsung atau tidak langsung berkait rapat dengan baitul muslim yang dibina. Banyak kata-kata yang dikongsi beliau sangat di rasai. Izinkan aku bercanda, dan berkongsi.

Perkahwinan tidak ada yang sempurna. Baik yang berkahwin itu mas'ul dan mas'ulah. Kerana masing-masing belajar, baru mula hendak memahami dan mengenali. Namun di sebalik ketidak sempurnaan itu, amat penting untuk kita mempunyai pasangan yang mempunyai fikrah. Cikgu berpesan, mendidik zaujah tidak semudah yang kita sangka. Kerana mereka hidup bersama kita, mereka tahu keburukan kita, berapa helai Al-Qur'an yang kita baca, jam berapa kita bangun tidur, semuanya dihujung jari mereka. Bukan mudah seseorang yang dapat melihat keburukan kita menerima nasihat kita. 

Kerana itu pentingnya berkahwin dengan yang sekufu fikrahnya. Ia bukan merupakan syarat pernikahan, bahkan perkahwinan itu sah. Tapi dalam penerusan tarbiyah ia sangat kritikal. Aku tidak dapat kecuali bersetuju dengan pandangan cikgu. Ya, bukan mudah mahu memaksa diri menghadiri program tarbiyah, bisa saja kita memetik seribu alasan. Namun ia terbatas dengan kehadiran zaujah yang memahami fikrah. Kita mungkin akan malu secara tidak langsung untuk ponteng program tarbawi, atau secara langsung ditegur.

Berbicara soal anak bersama cikgu menjadi diskusi panjang lebar. Bagaimana 7 tahun pertama merupakan fasa bunga untuk anak-anak. Masa untuk kita bercerita bersama mereka, belum tiba fasa menengking dan memarahi. Mereka mungkin degil, tetapi degil itu potensi. Berapa ramai orang yang berjaya kerana mereka degil, tidak mahu mengaku kalah dan terus berusaha. Kedegilan dan kenakalan adalah fasa biasa yang perlu kepada pembentukan, agar ia disalur menjadi potensi.

Didiklah anak-anak dengan al-fikr (pemikiran). Agar mereka menjadi orang yang mampu berfikir dan independent. Mempunyai nilai al-adlu (adil), tersusun hidupnya, meletakkan perkara di tempatnya. Perlu ada as-syuja (keberanian), elakkan dimomok oleh hantu dan ketakutan. Juga sifat 'iffah (kepekaan jiwa), ceritakan kepada mereka kisah-kisah teladan, ajar mereka bersedekah kepada orang miskin, hidupkan jiwanya. Sifat ayah biasanya banyak membiarkan anak, berlawanan dengan sifat ibu yang teliti perihal anak-anak. Ada ketika dalam rumah tangga ia bertembung, kadang pertembungan itu menjadi pertengkaran. Kedua-dua sikap tadi sebenarnya penting untuk sang anak. Ayah yang membiarkan dan menasihati selepas beberapa ketika akan melatih sikap berdikari. Manakala sikap ibu yang sangat teliti akan mengajar anak-anak agar tersusun kehidupan dan urusannya. Anak memerlukan kedua-dua nilai ini.

Tarbiyah kadang kala bersifat mengongkong. Anak remaja pula sikapnya ingin kebebasan. Seringkali dua nilai ini bertembung. Ibu bapa perlu mencari jalan untuk mengharmonikan mereka. Menerangkan kepada mereka bahawa usia remaja adalah usia bercucuk-tanam. Kesusahan yang dilalui ini akan kita tuai hasil baiknya nanti.

Mendidik anak ini bermula dari pemilihan pasangan. Pasangan yang mempunyai fikrah tidak bermaksud pasangan yang sempurna. Pasangan yang tidak berfikrah tidak semestinya jahat. Namun, untuk membekalkan anak-anak dengan fikrah ia memerlukan ibu yang mempunyai fikrah, ketika mereka tidak sempurna, dia mempunyai halaqahnya sendiri, mas'ulahnya sendiri, kebaikan itu dapat dibentuk, walaupun bukan dari suami. Ia adalah jalan yang lebih selamat dan sejahtera.

Setelah sekian lama, aku bersyukur akan hari ini. Hari dimana aku berjumpa dengan hati ku semula.

Tiada ulasan: