Salah satu sebab saya tidak berminat dengan sesetengah "wacana pasca-kolonial" adalah kerana mereka langsung tidak menyentuh soal kolonialisme yang berlaku di Palestin. Mereka hanya bersembang pasal teori dan falsafah yang kosong dan tidak menjawab masalah semasa. Jika disebut pun secara sambil lalu tanpa menamakan penjenayah kolonial di Palestin. Mereka hanya sedap bersembang pasal kolonial yang sudah berakhir, yang sudah selamat dan selesa untuk diwacanakan. Mereka membosankan saya dengan jargon-jargon moral yang palsu. Intelektual sebenar adalah intelektual yang berani melawan kolonial ketika ia masih berlaku, bukan hanya bersembang perihalnya apabila ia sudah selamat dan sekadar menjadi pemanis mulut bagi agenda careerism peribadi.
Saya tertanya-tanya. Apa guna ilmu mandiri kalau pembunuhan 50,000 jiwa manusia pun tidak dapat menggerakkan hati untuk bersuara?
Saya masih ingat seorang pseudo-intelektual yang claim bahawa dia belajar ilmu IR di Turki, dia adalah pseudo-intelektual yang bermulut busuk, dia mencaci Ismail Haniyeh dan keluarganya. Kemudian Ismail Haniyeh mendapat syahid. Dan saya sampai sekarang membenci mulut busuknya.
Di peringkat kerajaan pula, saya merasakan kutuk sahaja tidak cukup, zionis sengih sahaja melihat kenyataan-kenyataan kita yang kosong itu. Kerajaan perlu menutup syarikat pembekal senjata pada Israel seperti Lockheed Martin dan BAE System yang masih ada pejabat di Malaysia dan mempunyai usahasama di Malaysia. Kontrak kerajaan dengan pembekal senjata ini perlu dibatalkan.
10 tahun lagi, anak-anak kita akan membaca buku-buku yang kita tulis, mereka akan buka jurnal-jurnal akademik, mereka akan mencari wacana pada masa yang lalu. Mereka mahu tahu, apakah pemikiran barisan penulis dan para intelektual ketika dunia menyaksikan jenayah genocide paling besar dalam dunia. Adakah intelektual itu mempunyai "moral stand". Mereka akan jumpa kekosongan yang besar, mereka akan jumpa wacana-wacana intelektual yang langsung tidak peduli dengan peristiwa besar dunia. Mereka akan hampa dengan kekosongan moral intelektual sebelum ini. Mereka akan jumpa penulisan yang penuh dengan moral-moral palsu. Mereka akan membaca bahawa jurnal-jurnal akademik ini langsung tidak peduli dengan nasib yang menimpa umat mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan