Ahad, 26 Julai 2020

Catatan Baitul Muslim 32: Nasihat Buat Kaum Ibu



Bagi lelaki untuk menulis nasihat bagi kaum hawa pada zaman ini mungkin sedikit kontroversi, zeitgeist zaman moden hari ini menyambut kebebasan wanita, mereka perlu dibenarkan membuat keputusan mereka sendiri, sebarang usaha memberitahu atau "menasihati" mungkin boleh ditakrif dengan takrifan seperti bersifat patriarki. Iaitu memaksa dominasi kaum lelaki keatas wanita. Menyedari risiko ini, saya tetap juga ingin tintakan nasihat saya, kerana bagi saya menasihati itu perlu, tidak kisah lelaki kepada wanita, atau wanita kepada lelaki, kerana dalam keluarga atau Baitul Muslim, keduanya perlu bekerjasama untuk membina keluarga yang berjaya.

Usia perkahwinan saya kini sudah memasuki tahun ke-6, melepasi separuh dekad. Walaupun ia tempoh yang agak lama, ia tentu sekali kecil jika dibandingkan dengan keluarga generasi di atas saya yang mungkin sudah berkahwin selama 30-40 tahun. Jadi bagi saya secara peribadi, usia perkahwinan yang singkat ini belum melayakkan saya untuk mengistiharkan diri sendiri sebagai pakar keluarga, namun itu tidak bererti kita tidak boleh menulis perihal pengalaman, nasihat dan renungan kita dalam berkeluarga. Meskipun ia tidak bertaraf jurnal akademik authoritatif berimpak tinggi, ia tetap boleh dibaca dan ditekuni sebagai pedoman.

Saya ingin memberi nasihat secara spesifik buat kaum ibu yang baru berkahwin, atau yang bakal berkahwin. Persoalan ini ada saya baca dalam satu tulisan yang sangat baik yang ditulis oleh Sheryl Sandberg beberapa tahun lalu dalam naskahnya yang berjudul Lean In: Woman, Work, and the Will to Lead. Apabila kita menandatangani kontrak perkahwinan, banyak terma dan syaratnya tidak ditulis secara spesifik, tidak ada hitam putih, tidak ada klausa yang membincangkan tugas dan tangungjawab pihak yang bersetuju untuk masuk kedalam kontrak perkahwinan itu. Lebih bahaya, jika pihak yang masuk kedalam kontrak tersebut tidak mempunyai idea langsung apa tugas dan tanggungjawab mereka, mereka meyakini pasangan mereka hanya atas dasar cinta. Cinta adalah sesuatu yang abstrak dan tidak zahir, tidak material dan sukar dibuktikan, menjadikan keadaan lebih sukar. Dan cinta sifatnya tidak kekal, ia mudah sahaja hilang ditengah pelayaran apabila usia muda yang menyeronokkan telah berlalu.

Oleh sebab itu, perlu ada perkara yang lebih besar dari cinta untuk membina keluarga, untuk memastikan apabila cinta itu telah hilang secara semulajadi, pihak yang terlibat terus kekal menjalankan tugas, amanah, dan tanggungjawab mereka dalam kontrak perkahwinan. Dalam Islam, perkara yang lebih besar dari cinta ini adalah kefahaman Islam yang sama, iaitu kedua-dua pihak mempunyai persefahaman bahawa keluarga mereka adalah institusi untuk melahirkan generasi Islam yang baru, yang cemerlang dan seimbang dari semua segi.

Dalam kontrak keluarga yang kita tandatangani, tiada klausa yang memperincikan pihak mana yang perlu melakukan kerja-kerja domestik. Merangkumi siapa yang perlu memasak, siapa yang perlu buang sampah, basuh dan sidai baju, siapa yang perlu basuh pinggan dan mengemas rumah. Dalam hal ini, kebiasaanya buat kaum ibu yang baru berkahwin, mereka akan melakukannya untuk suami mereka. Mereka merasakan ini tangungjawab mereka. Apabila suami mereka ingin melakukan perkara-perkara tersebut, mereka akan berkata "ala abang tak payahlah buat", mungkin atas dasar sayang dan ingin berkorban untuk suami. Tetapi ini satu kesilapan. 

Kerana apa? Kerana mungkin pada mulanya mereka merasakan mereka ingin berkorban dan berkhidmat untuk suami (yang mana bagus pada perkiraan saya), tetapi dengan menghalang suami di awal perkahwinan untuk melakukan kerja-kerja domestik, ini akan menghantar satu signal kepada mereka bahawa "OK isteri saya boleh buat, saya tidak perlu fikir lagi hal ini". Isteri mungkin merasakan ini hal kecil dipermulaan perkahwinan, tetapi apabila mereka mula mempunyai anak-anak, bertambah dengan bebanan kerja, ia akan menjadi satu bebanan yang besar, bahkan ia mungkin akan menyebabkan isteri tersebut tertekan. Dia mungkin bertanya "kenapa suami aku tak kisah atau tidak mengambil berat?". Dalam masa yang sama, suaminya telah bertahun-tahun tidak dilatih melakukan kerja domestik, dan pada fikirnya sang isteri boleh mengurusnya walaupun dalam masa yang sama mereka perlu mengurus anak-anak dan kerjaya mereka sendiri.

Jadi pada saya, perlu buat kaum ibu memahami sejak awal usia perkahwinan, suami mereka perlu dilatih membuat kerja domestik. Ya, mereka perlu buat bukan "tolong", kerana tugas ini tidak dipersetujui secara spesifik dalam kontrak rumah tangga sebagai tugas eksklusif satu-satu pihak, ia adalah tugas bersama.

Kaum ibu juga pada peringkat awal perlu sentiasa memberi galakan buat suami mereka melakukan kerja-kerja domestik. Jangan terlalu menegur perkara-perkara yang kecil sehingga menyebabkan suami merasakan "hmm kita tak pandai buat benda ni, lebih baik kita biar sahaja isteri yang buat". Perkara kecil seperti sidai baju perlu hanger warna merah, seluar perlu guna warna biru, perkara ini bagi suami adalah hal kecil, mereka biasanya buta warna, asalkan pakaian itu kering, itu sudah memadai. Bukanlah bermaksud tidak boleh menegur langsung suami melakukan hal-hal domestik, tetapi perlulah menegur dalam masa yang sama membina.

Zeitgeist kita hari ini sudah berubah seiring peredaran zaman. Jika zaman dahulu mungkin di rumah, suami tidak pandai membancuh teh sendiri, semuanya diurus isteri, tetapi hari ini ia bukanlah sesuatu yang pelik. Bagi saya ia adalah perkembangan progresif dalam masyarakat, apabila kaum ibu diringankan beban dalam mengurus hal domestik, mereka boleh berdaya saing dalam soal kerjaya. Saya teringat dahulu saya pernah balik ke kampung, dan memandikan anak yang masih bayi dan menyiapkannya memakai baju dan pampers, nenek saya berkata lebih kurang "ish kalau dulu ni, memang tak ada orang lelaki yang mandi dan siapkan anak". Dahulu ia memang dilihat sebagai tugas wanita. Namun begitulah, zaman berubah dan sistem sosial kita juga harus berubah sesuai dengan kehendak zaman. 

Dengan bantu-membantu, insha'Allah keluarga yang dibina akan berjaya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan