Sabtu, 25 Julai 2020

Manusia dilahirkan merdeka tetapi digari dimana sahaja - Rousseau



Saya masih ingat dahulu ketika menghadiri kelas ekonomi bersama pensyarah saya, Radchenko, beliau sering mengulang sebut frasa “the invisible hand” dalam karya magnum opus Adam Smith, The Wealth of Nation. Pengulangan beliau begitu melekat di fikiran saya, sehingga beberapa tahun selepas tamat pengajian saya mencari buku tersebut dan menghabiskan 8 bulan untuk membaca buku setebal 1,264 mukasurat versi Bantam Classics hanya untuk mencari frasa tersebut.

Baru-baru ini saya bersiar-siar di laman Youtube, melompat dari satu video ke satu video, dari satu syarahan ke satu syarahan, dari satu debat ke satu debat, terjumpa dengan frasa “man is born free and everywhere he is in chains” yang merupakan tulisan Jean-Jacques Rousseau dalam adikaryanya The Social Contract. Seperti karya Adam Smith, saya akan cuba geledah dan cari frasa ini disebalik helaian makalah Rousseau. Jadi apa yang dimaksudkan oleh Rousseau?

Saya tidak tahu maksud sebenar, apa yang dimaksudkan Rousseau secara literal kerana saya belum membacanya, saya sudah memesan naskah tersebut, kebiasaannya buku yang dihantar par avion oleh Royal Mail dari Gloucestershire akan mengambil masa lebih dari sebulan untuk sampai ke Kampung Baru Bakar Arang, Sungai Petani. Jadi saya tidak boleh syarahkan perkara yang saya belum baca, kerana saya tidak mendalami ilmu kasyaf atau ilmu laduni. Tetapi saya ingin coretkan perspektif yang dibincangkan dalam video yang saya lihat di laman Youtube.

Manusia, atau masyarakat yang hidup dalam agama sering kali beranggapan bahawa agama itu mengongkong, membataskan kebolehan dan keupayaan manusia. Mengambil semangat dari Revolution Francaise dengan motto “liberte, egalite, fraternite” ramai yang ingin bebas dari agama, ingin bebas tanpa kongkongan.

Dalam masa yang sama, ada juga manusia yang hidup tanpa pengaruh agama, mereka merasakan bahawa dunia yang berfokus kepada kebendaan dan moral nihilism merupakan satu kongkongan terhadap jiwa, dan memilih untuk keluar darinya dan masuk kedalam agama yang dirasakan membebaskan jiwa. Antara buku yang baik berkenaan dengan hal ini, pada fikir saya, adalah buku tulisan Na’ima Robert bertajuk From My Sisters’ Lips, yang mahu mengetengahkan suara wanita Eropah yang memilih Islam, perspektif mereka sendiri yang bebas dari sebarang paksaan.

Maka disini kita sampai kepada satu kesimpulan bahawa tidak ada keadaan yang membolehkan manusia itu bebas seratus peratus. Pasti ada limit dan kekangan yang akan mengawal mereka, pasti ada undang-undang, baik agama atau sekular yang akan mengikat mereka. Mungkin itulah yang dimaksudkan oleh Rousseau apabila beliau menulis “man is born free and everywhere he is in chains”, manusia itu dilahirkan merdeka tetapi dimana sahaja dia berada, dia digari.

Ambil ekonomi sebagai contoh, jika kita mengamalkan sistem kapitalis yang mengutamakan nilai kebebasan kita akan “digari” dari sudut kesaksamaan, dimana yang kaya dibenar mengumpul harta dan berjurang dengan yang miskin. Jika kita mengamalkan sistem komunis yang mengutamakan nilai kesaksamaan, kita akan “digari” dari sudut kebebasan memiliki harta. Begitu jugalah dengan aspek-aspek lain dalam kehidupan.

Ada orang pernah mengatakan pada saya, mengajar anak-anak perihal agama adalah proses “indoktrinisasi”. Saya bersetuju. Tetapi jika kita tidak mengajar mereka agama, dan mengajar mereka atheism, tidakkah itu akan menjadi indoktrinisasi atheism? Kerana anak-anak itu dilahirkan kosong, bersih, umpama kain putih, terserah kepada ibubapanya untuk mencorakkannya (men-indoktrinisasi-kannya). Jadi kita akan keluar dari satu gari ke gari yang lain.

Selain contoh ekonomi dan pendidikan, manusia akan digari oleh suasana sekelilingnya. Masyarakat, undang-undang, adat, hatta media sosial yang kita rasakan bebas pun punya peraturan dan limitasi. Kadangkala ada hantaran yang dipadam, ada profile yang ditiadakan. Kerana manusia akan sentiasa hidup dalam kongkongan. Hatta jika kita lari dari semua ini, kita siapkan khemah dan beg The North Face kita untuk masuk ke hutan dan jauh dari kongkongan ekonomi, politik, dan sosial, kita masih tidak mampu lari dari “gari” biologi, yang menentukan akhirnya kita akan mati, dan kebebasan kita untuk bergerak, bernafas, berpanca indera, semuanya akan ditarik balik.

Saya tidaklah merasakan saya benar dan tahu semua, seperti yang saya tegaskan, saya tiada ilmu kasyaf atau ilmu sihir. Tetapi pada kira-kira saya yang kurang tahu ini, mungkin dari sentiasa cuba untuk bebas sebebasnya, yang menyebabkan kita bebas dari satu gari hanya untuk digari oleh gari yang lain, mungkin kita boleh mencari kebahagiaan dan ketenangan, mungkin itu lebih bermakna dan diperlukan. Di dalam sejarah, tidak sedikit kita menjumpai insan yang dipenjara jasad tetapi jiwa mereka bebas dan bahagia. Kerana bahagia itu di jiwa, mungkin itu sahaja bahagian manusia yang bebas dari sebarang gari duniawi, yang kekal merdeka selepas kelahiran manusia.

Dan pada ayat Rousseau mungkin kita boleh menambah “man is born free and everywhere he is in chains, except for his soul, which will remain free, if so he choose”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan