Sabtu, 22 Ogos 2020

Meruntuhkan Mitos Superman - Reviu Buku

Saya membaca buku ini setelah saya telah mengkhatamkan buku haram tulisan Benz Ali, Antithesis. Buku ini begitu kontra dengan buku tersebut, jika Antithesis bernada rebel, keras mengkritik apa sahaja yang lalu didepan mata, buku ini agak tone-down, tidak begitu ideologikal. Mungkin kerana ia ditulis bagi mengisi rak genre motivasi, jika Antithesis mencari objek untuk dikritik, buku ini pada kira saya cuba mencari objek didalam diri untuk dihargai dan dijadikan alat motivasi.

Namun bagi saya alegori yang digunakan mempunyai paradoks yang serius. Dalam naskah ini Benz cuba membawa naratif bahawa insan biasa seperti Batman boleh menewaskan manusia separa-dewa seperti Superman, ia adalah alegori bahawa manusia biasa yang lemah dan tidak sempurna boleh mengalahkan satu kekuasaan yang besar. Setelah beberapa mukasurat, saya berasa tertarik dengan naratif ini dan cuba untuk mencari filem tersebut di Netflix untuk lebih mendalami apa yang digarap. Namun, mendukacitakan, filem tersebut tidak tersenarai di Netflix untuk tayangan di Malaysia (disini saya berfikir untuk mempertimbangkan semula langganan Netflix saya). Akhirnya saya berakhir dengan drama bersiri Gotham, yang merupakan spin-off kepada filem Batman.

Saya dapati dalam membina alegori ini Benz cuba mewarnakan watak Batman (Bruce Wayne) sebagai manusia biasa, manusia yang humanis. But this is not the case, Bruce bukan merupakan orang yang lemah, beliau merupakan anak orang kaya yang mewarisi empayar perniagaan ayahnya Wayne Enterprise - saya kira lebih tepat Bruce untuk dialegorikan sebagai Donald Trump dalam aspek kekayaan dan perwarisan harta. Disini adalah titik masalah saya dengan alegori ini, dengan mengangkat orang kaya bourgeoisie sebagai ikon golongan lemah, Karl Marx pasti tidak akan bersetuju. Tetapi ini sekadar alegori, saya faham, jadi mari kita ulas isinya.

Permulaan buku ini juga agak nasionalis nadanya, mungkin nasionalis kiri, bolehkan orang Melayu pergi jauh? soalnya. Sebagai seorang yang suka menulis, saya begitu tertarik dengan kisah peribadi yang dikongsikan Benz tentang bagaimana beliau mula menulis, bagaimana beliau menghantar karya ke majalah dan surat khabar tetapi ditolak, bagaimana beliau berkerja di cyber cafe untuk menyara hidup. Mungkin satu hari nanti saya juga akan menulis perihal pengalaman menulis saya. Walaupun mungkin tiada yang akan membaca, sekurang-kurangnya ia boleh disimpan untuk motivasi anak cucu dan keturunan sendiri.

Buku ini mungkin ditulis secara santai, tidaklah begitu akademik, tetapi ia tetap di nota-kaki kan, kebanyakannya bersumberkan laman web. Seingat saya Benz cenderung kepada ideologi kiri, beliau aktif mengkritik portal-portal kanan seperti The Patriots, ironinya banyak nota kaki beliau bersumberkan portal kanan ini, hingga ada muka surat yang kesuluruhannya bersumberkan website The Patriots. Mungkin ini membenarkan teori bahawa golongan kiri memerlukan pergantungan kepada golongan kanan, seperti Karl Marx yang bergantung kepada Friedrich Engels untuk membiyai penerbitan tulisan-tulisannya. Engels merupakan anak saudagar kaya yang memiliki kilang-kilang tekstil besar di Barmen dan Salford, jadi kapitalis membantu komunis menerbitkan idea mereka.

Tapi tak bermakna buku ini langsung kering tanpa kritikan, selain mengkritik watak dan falsafah Superman, antara kritik yang saya kira sangat bernas adalah ketika beliau mengkritik sifat pengecut dalam kalangan negara-negara Islam-sunnah yang menjadi boneka dan pak turut Amerika, sedangkan negara Islam-syiah yang dituduh sesat berani bangkit melawan hegemoni Amerika. Ini bagi saya satu kritik yang sangat hebat.

Buku ini juga ada menyentuh kampung halaman saya ketika beliau membicarakan perihal kehidupan Vladimir Ilyich Lenin, pada mukasurat 100 beliau menulis bahawa Lenin pada Ogos 1983 berpindah ke "St. Petersburg (sekarang Leningrad)", ini saya kira tidak tepat, mungkin Benz sekadar menyalin semula dari sumber asal tanpa menyemak fakta semasa. Nama asal bandar ini adalah Sankt-Pieter-Burch sempena nama pengasasnya, Peter the Great. Kemudian ditukar kepada Petrograd pada 1914 ketika meletusnya perang dunia pertama, ini kerana pada ketika itu semangat nasionalis begitu tinggi dan frasa "burg" yang bermaksud istana atau bandar dalam Bahasa German dibuang, dan digantikan dengan bahasa Rusia "grad" iaitu kota. Pada 1924 ditukar lagi kepada Leningrad sebelum diubah kepada nama asal Sankt-Peterburg pada tahun 1991. Jadi yang sebenarnya sekarang Sankt-Peterburg atau yang telah di-anglican-kan Saint-Petersburg, bukan lagi Leningrad.

Buku ini juga saya anggap unik, kerana dalam membincangkan sosok komunis seperti Lenin, Benz menutupnya dengan syair dari Imam Syafie, tidak pernah lagi saya jumpa Lenin dan Imam Syafie dibincangkan dalam satu bab yang sama.

Antara hujah-hujah Benz Ali yang pada saya sangat lemah dalam buku ini adalah ketika beliau membicarakan perihal Trotsky dalam memuji Stalin. Beliau menulis "Trotsky...tidak mampu mempertahankan dirinya dari dibunuh orang lain. Bagaimana dia mampu mempertahankan Soviet Union dari diserang baik oleh Jerman Hitler atau Amerika?". Hujah sebegini bagi saya terlalu dangkal, apakah kerana dibunuh ia bermakna seseorang itu tidak pandai memimpin? Ramai pemimpin-pemimpin yang bagus yang akhirnya mati dibunuh, itu tidak menandakan dia tidak pandai memimpin. Kematian Trotsky bukan bermakna dia tidak berupaya memimpin, tetapi ia bermakna bahawa Stalin merupakan seorang yang kejam dan sanggup mengupah assasin keluar negara untuk membunuh musuhnya.

Manakala falsafah yang bernas yang saya minati adalah falsafah lebah yang terbang walaupun bertentangan dengan law of aviation, beliau memetik dialog dalam Bee Movie "The bee, of course, flies anyway because bees don't care what humans think is impossible". Ini bagi saya adalah satu falsafah yang sangat baik, dari sibuk ambil pusing apa orang kata, kita seharusnya terus sahaja bekerja dengan kerja-kerja kita hingga berjaya.

Buku ini banyak mengambil contoh-contoh, cerita, ibrah, dan falsafah dari filem dan komik. Saya juga gemar dengan kritikan berkenaan ketiadaan "identiti" sendiri dalam penghasilan filem adiwira negara kita. Harapnya jika ia dibaca oleh penerbit-penerbit filem tempatan, ia akan membuatkan mereka marah serta berkerja dengan lebih keras dan kreatif dalam menghasilkan adiwira dengan identiti dan budaya kita sendiri. Saya optimis dalam hal ini apabila melihat banyak siri animasi tempatan seperti Upin & Ipin, Ajen Ali, Omar & Hana yang sudah menembusi pasaran global. Anak saya antara peminat video Zain Bhikha ft. Omar & Hana dan Omar Regan - yang merupakan video gandingan internasional. 

Kritik akhir saya adalah pada bab "belajar dari Akumetsu" yang saya kira terlalu sadis untuk diamalkan di dunia sebenar. Membunuh bagi saya bukanlah penyelesaian kepada masalah kita, kerana saya berpendapat violence breed violence. Ya jika kita dalam situasi perang, jika kita sedang diserang, pendekatan non-violence adalah naif dan sia-sia, Gandhi yang non-violence juga setuju akan hal ini. Tapi dalam situasi masyarakat sivil, kita perlu memperbaiki sistem keadilan bukan mendemokrasikan pembunuhan.

Apa-apa pun, saya bersetuju dengan falsafah asas buku ini bahawa kita perlu rajin berusaha, kerajinan boleh mengalahkan kesarjanaan, kita juga perlu berani mengambil risiko kerana keberanian itulah yang akan memberikan erti pada kehidupan kita. Semoga kita semua berjaya meruntuhkan mitos kelemahan, dan berubah menjadi insan-insan yang berusaha, berjaya, dan luar biasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan