Rabu, 9 September 2020

Curam-Curam Dalam Penulisan


Salah satu perkara yang saya takuti jika menulis atau menerbitkan penulisan adalah pandangan orang lain bahawa saya mengetahui banyak perkara, atau saya mengetahui lebih dari orang-orang kebanyakan. Dikagumi, dijemput untuk bercakap. Walaupun perkongsian itu satu perkara yang yang sangat bermanfaat, kekhuatiran saya adalah jika ia diambil bulat-bulat sebagai kebenaran, hakikatnya ia hanyalah pandangan atau pendapat yang boleh sahaja betul atau salah.

Mungkin ini yang menyebabkan saya lebih selesa untuk menulis di tempat-tempat yang kurang sesak, di blog berbanding di Facebook yang mana sesuatu tulisan itu boleh merebak dengan cepat. Saya mungkin belum sampai ke satu tahap dimana penulisan merupakan kerjaya yang boleh membiayai kehidupan, tetapi saya kira saya tidak mahu bergantung harap kepada penulisan untuk mencari kehidupan kerana pada saya ia akan merendahkan nilai kritis dalam penulisan.

Saya melihat ini berlaku dalam banyak kalangan penulis, dimana apabila mereka mencapai tahap ini, penulisan mereka bergantung pada pembaca, jadi mereka sentiasa menulis untuk memenuhi selera pembaca, jika mereka mempunyai pengikut, mereka perlu sentiasa menulis, menghasilkan sesuatu untuk menggembirakan pengikut mereka, agar nama mereka sentiasa muncul di paparan-paparan pengikut mereka. Mengejar perkara ini bagi saya kadangkala merendahkan penulisan, masa merupakan satu kandungan asas dalam penulisan, penulisan yang baik dengan makna-makna yang dalam memerlukan masa yang lama untuk difikirkan, digarap, dan dikarang. Jika ia dilakukan untuk mengejar pengikut ia akan menjadi penulisan yang cetek, berbentuk pop, dan tidak matang. 

Sesetengah orang berpendapat, apa gunanya penulisan yang baik dengan makna yang dalam jika tiada yang membacanya. Mungkin pandangan itu benar. Namun bagi saya pandangan itu benar bagi mereka yang mencari pembaca dan pengikut. Tetapi jika penulis itu menulis untuk kepuasan diri, sebagai ruang untuknya melepaskan apa yang menghimpit jiwa dan minda, sebagai satu pentas untuk dirinya berkarya, pandangan itu tidaklah dianggap begitu tepat. Ia tidak begitu penting, kerana penulisan itu jujur untuk dirinya sendiri, orang lain adalah sekunder, jika mereka merasa ia berharga mereka akan membaca, jika tidak, mereka berlalu, sedikit pun tidak mengesani penulis. 

Antara curam lain dalam penulisan adalah kebergantungan penulis kepada penerbit. Zaman ini memberi kelebihan kepada penulis, kerana mereka tidak perlu lagi bergantung ehsan kepada penerbit, sekiranya karyanya tidak dimahukan dia bisa saja menerbitkannya sendiri. 

Antara nasihat awal yang saya pernah terima dalam penulisan adalah "orang pertama yang haru percaya kepada kemampuan dan potensi penulisan kita adalah diri kita sendiri". Jika kita sendiri tidak yakin dengan karya dan penulisan kita, bagaimana orang lain boleh menghargainya. Atas dasar percaya akan kebolehan diri inilah penulis seharusnya tidak takut menerbitkan karyanya sendiri, jikapun dia menerbitkan dengan penerbit lain, ruang untuk swaterbit perlu sentiasa dibiar terbuka agar sekiranya penerbit tidak mahu menerbit, dia akan sentiasa mempunyai saluran penerbitan sendiri.

Menulis merupakan sesuatu yang berisiko. Tidak sedikit catatan sejarah yang merekodkan manusia dipenjara, dibunuh, disiksa, dihalau keluar negeri kerana menulis. Akan ada dalam sejarah penulisan diri kita sendiri, penulisan kita akan dikritik, malah mungkin dihina dan dicaci. Itu adalah asam garam dalam penulisan. Atas risiko ini juga biasanya satu penulisan kritis itu akan ditolak oleh penerbit, kerana mereka tidak mahu menanggung risiko, mereka mahu penulisan yang tidak mengundang kontroversi, penulisan yang selamat dan boleh memberi mereka makanan. Ini mungkin berbeza dengan hasrat penulis yang menulis untuk membangkitkan isu, untuk menyatakan protes, untuk mengkritik kuasa, seperti yang pernah dikatakan Kafka "kita harus membaca buku yang menikam kita, jika pembacaan tidak menggegarkan minda, apa gunanya kita membaca?".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan