Ahad, 6 September 2020

Berakhirnya Sejarah: Menekuni Adikarya Francis Fukuyama



Antara buku yang sempat saya tekuni sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersempena penularan virus Covid-19 adalah kitab The End of History and The Last Man tulisan Francis Fukuyama. Buku yang pertama kalinya diterbitkan pada tahun 1992 ini bagi saya merupakan teks klasik moden dalam lingkungan pemikiran dan falsafah politik. Thesis utama dalam buku ini adalah sistem demokrasi liberal merupakan sistem akhir dalam sejarah evolusi pemikiran falsafah politik, tidak ada sistem baharu yang boleh menggantikannya, dalam erti kata lain ia adalah sistem yang telah sempurna.

Beliau memulakan perbahasannya dengan membicarakan kecurigaan manusia terhadap perkembangan sejarah. Abad ke-20 dipenuhi peperangan dan kekejaman yang tidak pernah dilihat dalam sejarah manusia seperti yang dilakukan oleh Hitler dan Stalin. Kekejaman ini hanya boleh dicapai menggunakan persenjataan moden hasil usaha sains dan teknologi. Ia membuatkan ramai pemikir curiga dan pesimis bahawa perkembangan sejarah akan melahirkan sesuatu yang bermakna. Ketika kemuncak keganasan dan pembunuhan yang dilakukan oleh rejim Fasis Nazi, masyarakat German merupakan masyarakat yang paling terkedepan dalam bidang pendidikan, budaya, dan sains. Fukuyama menekankan bahawa kemajuan sains dan teknologi hanya akan menyumbang kepada kebaikan manusia sekiranya ia diiringi oleh kemajuan moral dan etika manusia.

Sementara Fasis German menyaksikan kekejaman spektrum kanan politik, spektrum kiri politik yang ekstrem menyaksikan kekejaman rejim totalitarian komunis. Perbezaan antara authoritarian dan totalitarian bagi Fukuyama adalah kebolehan mengawal organ-organ masyarakat, sehingga rejim totalitarian menjadi immune kepada perubahan dan reformasi. Sebagai contoh, bentuk kerajaan despotik lain cuba mengawal gerakan sivil, tetapi kerajaan totalitarian menghancurkan terus gerakan sivil, untuk mengawal masyarakat secara total. Institusi seperti keluarga, agama, persatuan, semuanya dihapuskan dalam usaha untuk menjadikan setiap individu sebagai 'atom' yang hanya bergantung pada kerajaan. Sehingga kepercayaan, sistem nilai, semuanya dikawal kerajaan melalui media dan organ propaganda yang sistematik.

Oleh sebab itu sebahagian pemikir melihat demokrasi sebagai lemah, sukar mengawal manusia kerana dalam demokrasi kelemahan kecil akan diperdebatkan, akan sentiasa ada suara yang mengkritik, menaikkan rasa tidak puas hati masyarakat, dan menimbulkan rasa tidak percaya kepada pemerintah. Sementara rejim totalitarian dapat mengawal semua organ masyarakat sehingga bencana besar seperti kebuluran juga tidak dapat menggugat kuasa pemerintah kerana rakyat kebanyakan tidak diberi ruang untuk melakukan protes.

Kelemahan Kerajaan Yang Kuat

Demokrasi liberal secara definisinya merupakan kerajaan yang lemah, mengangkat kebebasan individu bermaksud kerajaan perlu menghadkan kuasanya. Hal ini berbeza dengan corak diktator seperti authoritarian dan totalitarian yang boleh memaksa populasi kearah matlamat-matlamat yang ingin dicapai, sama ada pembinaan ketenteraan, pembahagian sumber, atau pemesatan ekonomi. Namun ada masalah pada corak yang dianggap kuat ini. Kelemahan pertama adalah masalah pada paras idea, iaitu legitimasi. Legitimasi merupakan satu persepsi minda populasi, ia tidak wujud dalam ruang realiti fizikal. Setiap kerajaan perlukan legitimasi, tiada corak pemerintahan yang mampu bertahan hanya dengan 'kuasa paksaan' semata-mata. Hitler sebagai contoh, boleh mengerah dan memaksa rakyatnya, namun dia tak mungkin berjaya jika mereka yang berada dalam lingkungan pemerintahannya, pegawai-pegawai atasan kanannya, mempercayai bahawa beliau mempunyai legitimasi. Oleh itu legitimasi perlulah difahami sebagai salah satu bentuk kekuasaan, atau sebab yang memberi kekuasaan. (280)

Dalam sistem demokrasi liberal, pemerintah mendapat mandat dan kepercayaan rakyat, kelemahan kecil biasanya akan dilupakan selepas dikritik, kelemahan besar mungkin dapat diatasi dengan menukar presiden atau perdana menteri. Tetapi dalam corak pemerintahan diktator, yang tidak mempunyai cara untuk mengubah kepimpinan, kelemahan ini akan diikuti dengan kejatuhan rejim tersebut. 

Kelemahan kedua adalah kebejatan ekonomi. Corak pemerintahan diktator mungkin boleh memesatkan ekonomi sehingga ke satu paras, ekonomi berasaskan keluli, perkilangan, dan industri berat misalnya boleh dicapai tanpa memberi banyak kebebasan pada populasi. Namun untuk ekonomi dan teknologi yang kompleks, kawalan ketat pemikiran dan pelan ekonomi berpusat, tidak dapat berdaya saing secara lestari. Pengalaman Soviet dan China sebelum Deng Xiaoping, menyaksikan bahawa kemelesetan ekonomi tidak dapat ditutup dengan organ propaganda selama-lamanya. Walaupun kerajaan totalitarian cuba mengawal pemikiran, namun rakyat Soviet mampu berfikir dan mengetahui mereka ditipu, akhirnya Soviet runtuh dan Deng Xiaoping membuka ekonomi China kepada pasaran antarabangsa.

Pembukaan ekonomi ini bagi Fukuyama, menjadikan China walaupun tidak bergerak menjadi negara demokrasi, masyarakatnya menjadi masyarakat bourgeois, pembukaan ini pada pandangan Fukuyama tidak memungkinkan China kembali kepada polisi ekonomi era Mao. (277)

Di abad baru, pada pandangan Fukuyama, authoritarian dan perancangan ekonomi berpusat ala-sosialis telah gagal meninggalkan hanya satu pandangan yang masih teguh berdiri iaitu demokrasi liberal, iaitu doktrin kebebasan individu dan pemerintahan berorientasikan pandangan popular rakyat. Liberalism dan demokrasi merupakan dua konsep yang berbeza. Politik liberal boleh didefinisikan sebagai corak pemerintahan berdasarkan undang-undang yang menghormati kebebasan hak individu dari penguasaan kerajaan. Namun dalam definisi ini sekali pun, Fukuyama menghadapi kesukaran untuk mentafsirkan 'hak individu', oleh itu beliau mengambil definisi Lord Bryce yang hanya mengiktiraf 'hak individu' dalam beberapa perkara iaitu hak individu dan pemilikan harta, hak beragama, hak berpolitik, dan juga kebebasan media. Disini mungkin kita melihat sedikit tidak kosisten, Fukuyama menolak hak-hak lain seperti hak-hak berekonomi seperti hak mendapatkan perkhidmatan kesihatan, hak untuk mempunyai tempat tinggal dan pekerjaan. 

Manakala demokrasi ditafsirkan sebagai hak setiap rakyat untuk mengundi dan mengambil bahagian dalam politik. Dalam definisi ini juga dilihat bermasalah, kerana definisi yang diambil oleh Fukuyama terlalu umum dan tidak mengambarkan situasi praktikal sebenar. Fukuyama melakukan hal ini agar perbahasannya dapat diterima akal oleh itu beliau mengabaikan aspek bagaimana demokrasi boleh dimanipulasikan, bagaimana populism boleh menjadikan demokrasi liberal tidak rasional.

Konsep Sejarah Universal Kemanusiaan

Sejarah universal kemanusiaan bukanlah sejarah penciptaan alam, atau himpunan semua ilmu perihal kemanusiaan, tetapi ia adalah cubaan untuk mencari corak keseluruhan perkembangan manusia yang bermakna. Penulis Yunani Kuno seperti Plato dan Aristotle tidak memberikan demokrasi tempat yang istimewa dalam sejarah, malah mereka berpendapat demokrasi membawa kepada tirani. Beliau memulakan penjejakan terhadap pemahaman sejarah universal ini dari Immanuel Kant, walaupun sejarah penuh dengan peperangan dan kekejaman, Kant berfikir sama ada penguasaan intelek manusia mempunyai perkembangan yang bermakna, contohnya penguasaan matematik yang bersifat kumulatif, tiada seorang manusia yang mampu mencipta semua teori matematik, sebaliknya ia berkembang dari generasi ke generasi. Perkembangan sejarah juga mempunyai penamat, iaitu tujuan, iaitu kebebasan manusia melalui perlembagaan sivil. Persoalan Sejarah Universal oleh itu, cuba untuk menjawab adakah perkembangan sejarah membawa kepada kerajaan republik yang difahami hari ini sebagai demokrasi liberal. 

Pemikiran Kant ini kemudian disambung oleh Hegel yang menyatakan bahawa kesedaran kita sering bergantung kepada keadaan semasa kita. Sistem-sistem nilai kita bergantung kepada keadaan semasa. Boleh jadi apa yang dirasakan baik oleh masyarakat terdahulu, tidak lagi dianggap baik oleh masyarakat kini, ia merupakan satu 'kebaikan yang silap' setelah disingkap sejarah. Dalam sudut ini, Hegel berbeza dengan pandangan ahli falsafah lain dimana beliau merasakan bahawa 'sifat semulajadi' manusia itu berubah malah dicorak oleh mereka sendiri, dalam kata lain, sifat semulajadi manusia adalah untuk menjadi yang tidak sama dengan apa yang ada dahulu. Bagi Hegel sejarah adalah perubahan manusia kepada status kebebasan dan rasional yang lebih tinggi. Proses sejarah adalah bersifat dialektikal, yang mana sistem politik dan sosial sebelum ini mempunyai "konflik dalaman" yang menyebabkan ia runtuh dan diganti oleh sistem baru yang lebih sempurna, masyarakat liberal dianggap telah mencapai tahap tertinggi dan menutup perbahasan dialektik ini.

Mekanisma yang menggerakkan sejarah

Dalam menjawab persoalan adakah sejarah mempunyai tujuan perjalanan, iaitu sejarah beredar dalam satu gerakan yang sama ke satu titik akhir, Fukuyama membawakan mekanisma yang menggerakkan sejarah kepada satu arah, arah yang rasional. Mekanisma ini adalah metodologi sains yang membawa kepada kelahiran ilmu sains moden. Sains moden terbina secara kumulatif, seorang pelajar fizik hari ini mungkin mengetahui teori fizik yang lebih maju dari Isaac Newton, disebabkan dia lahir pada zaman yang terkemudian. Selepas lahirnya sains moden, ia tidak dapat diterbalikkan, manusia tidak boleh berpatah balik dari progress sains, tiada ahli politik yang dapat memansuhkan mana-mana teori sains. Oleh itu kemajuan sains moden merupakan mekanisma yang dapat menerangkan pergerakan sejarah dalam satu arah, kepada satu titik akhir.

Kemajuan sains moden telah melahirkan sistem hidup baru, kehidupan konsumerisma juga letupan perkembangan ekonomi yang memberikan impak negatif pada alam sekitar. Kemajuan ini tidak semestinya membuatkan manusia gembira, ia menjadikan manusia mengejar produk-produk dalam siri kitaran tanpa henti, apabila produk baharu dapat dibeli, ada produk baharu lain yang dicipta, menjadikan manusia mengejar dan terus mengejar tanpa puas. Dalam menekuni masalah ini, Fukuyama membawakan pemikiran Rousseau bahawa untuk gembira manusia perlu keluar dari kitaran kemahuan ini dan hidup bersama alam sebagai sebahagian dari alam. Namun, bagi Fukuyama walaupun kritikan Rousseau ini begitu mendalam menusuk kemajuan sains moden, ia mungkin akan mewujudkan gerakan untuk menyelamatkan alam sekitar, tetapi ia tidak akan membawa masyarakat keseluruhannya kembali kepada kemajuan pre-industri.

Dalam soal penjagaan alam sekitar, Fukuyama menyatakan bahawa kedua-dua sistem ekonomi, baik kapitalis mahupun sosialis mempunyai rekod yang sangat buruk terhadap alam sekitar. Demokrasi, pada pandangan beliau, merupakan jalan keluar untuk menyelesaikan masalah alam sekitar, demokrasi lebih pantas bertindak balas terhadap pelanggaran yang merosakkan alam. Ini kerana demokrasi berteraskan suara rakyat, dan rakyat bukan sahaja mahukan manfaat-manfaat ekonomi, tetapi alam yang baik untuk didiami. Kerajaan berteraskan demokrasi akan mengagihkan kos pemuliharaan alam sekitar ini dengan baik antara populasi dan syarikat perindustrian supaya tiada pihak perlu menanggung beban yang tidak dapat mereka tanggung. Dalam hal ini, kerajaan menjadi penyelaras bagi memastikan ekonomi berkembang dalam masa yang sama alam sekitar dipelihara.

Diktator Dengan Polisi Yang Baik

Persoalan sama ada ekonomi yang baik bergantung kepada sistem politik yang bebas atau demokratik merupakan tema kajian yang telah lama wujud dalam bidang politik-ekonomi. Acemoglu dan Robinson dalam buku mereka Why Nations Fail membincangkan perkaitan ini, dimana mereka membawakan thesis pembangunan ekonomi bergantung kepada sistem politik yang terbuka dan demokratik. Tetapi ada sebahagian ahli ekonomi yang menolak thesis ini, antaranya Ha-Joon Chang dalam bukunya 23 Things they Don't Tell You About Capitalism, Chang memberi contoh bagaimana General Park Chung-hee menggunakan pemerintahan diktatornya untuk memodenkan Korea Selatan hingga menjadi salah satu dari Harimau Asia.

Fukuyama dalam bukunya juga membicarakan bagaimana demokrasi kadangkala menjadi penghalang kepada polisi progresif ekonomi. Beliau memberi contoh kegagalan mereformasikan pemilikan tanah di Filipina oleh Aquino selepas jatuhnya pemerintahan diktator Marcos (120). Hal ini kerana polisi ini akan merugikan ahli-ahli legislatif yang memiliki tanah yang banyak. Dalam hal ini Fukuyama menyatakan pemerintahan diktator lebih baik kerana ia boleh memaksa perubahan progresif ini dan membantu memodenkan masyarakat seperti yang dilaksanakan Amerika ketika mereka menjajah Jepun dan melaksanakan reformasi pemilikan tanah. Jika diktator menggunakan kuasanya untuk melaksanakan hal ini, bagi Fukuyama, tidak ada sebab untuk menganggap ia sebagai polisi yang tidak baik untuk ekonomi moden.

Jika hanya ekonomi yang menjadi ukuran, Fukuyama menyatakan bahawa model politik yang paling sesuai adalah adalah gabungan antara ekonomi yang liberal dan politik yang authoritarian, model ini digelar "bureaucratic authoritarian state" atau "market oriented-authoritarianism". Terdapat banyak data-data yang membuktikan kejayaan sistem ini dalam memacu ekonomi seperti German dibawah pemerintahan Imperial, Jepun dibawah Meiji dan banyak lagi. Pada era 60-an sebagai contoh, negara demokratik seperti India berkembang sebanyat 2.1 peratus, manakala negara dengan pemerintahan diktator seperti Korea Selatan berkembang sebanyak 5.2 peratus (123).

Sebab mengapa ini berlaku adalah sangat mudah. Negara-negara demokratik perlu membuat keputusan ekonomi dengan mengambil kira tekanan politik dari pengundi yang sentiasa mahu melindungi ekonomi jangka pendek mereka walaupun ia tidak baik untuk jangka masa panjang. Dalam masa yang sama, kerajaan diktator boleh memaksa pelan ekonomi jangka masa panjang tanpa perlu takut akan tekanan politik, dalam kata lain rakyat terpaksa menanggung kesukaran jangka pendek untuk kelestarian polisi jangka masa panjang. 

Contoh paling dekat dengan kita mungkin adalah perlaksanaan cukai GST, walaupun ia digunakan oleh hampir majoriti negara didunia, GST akhirnya dikalahkan di Malaysia. Ia mungkin mempunyai kesan buruk jangka pendek seperti kenaikan harga barang secara tiba-tiba, sistem peringkat awal yang mengelirukan, dan lain-lain. Tetapi dalam jangka masa panjang negara akan mempunyai dana yang cukup untuk menanggung belanja manfaat sosial rakyat, perkembangan sistem kesihatan dan pendidikan, juga dana pembangunan. Polisi-polisi baik tetapi tidak popular ini mudah dikalahkan dengan pilihanraya. Tetapi China sebagai contoh, dapat memaksa polisi dengan mudah, polisi satu anak sebagai contoh, merupakan sebahagian polisi China dalam membangun ekonomi, walaupun ia mempunyai banyak kelemahan dari segi harga kemanusiaan yang perlu dibayar, sepertimana yang dibincangkan dan dikritik hebat oleh Mei Fong dalam bukunya One Child: The Story of China's Most Radical Experiment, polisi ini berjaya dilaksanakan dan China mengubah nasib 850 juta rakyatnya yang sebelum ini hidup dalam kemiskinan. 

Membicarakan perkara seperti ini mungkin akan menyebabkan rasa tidak selesa. Kita mudah dilabel tidak demokratik atau pencinta diktator. Tetapi dengan tidak membicarakannya kita akan menjadi tidak jujur, kita akan gagal melihat sudut kelemahan pemerintahan yang ada, kita akan gagal memahami limitasi sistem pemerintahan yang kita pilih. Dan apabila kita gagal memahami, kita akan gagal mencari solusi yang betul, atau lebih buruk, kita akan melaksanakan polisi yang salah yang membawa lebih banyak kerosakan.

Menolak Pengulangan Sejarah

Fukuyama menolak konsep pengulangan sejarah seperti yang digambarkan oleh Aristotel dan Plato, walaupun peristiwa yang seakan sama seperti perperangan akan berlaku, Fukuyama tidak menerima sejarah itu sendiri sebagai satu pusingan (seperti teori ketamadunan Ibnu Khaldun), sebaliknya beliau berpendapat sejarah mempunyai satu arah tujuan, ia bergerak kepada satu titik akhir. Hujah yang diberikan beliau adalah metodologi yang dipunyai oleh manusia moden dalam mengekalkan kemajuan dan cara fikir yang telah ada - alat tersebut ialah sains moden. Bagi Fukuyama, sains moden membolehkan manusia memelihara sistem sosial,politik, dan ekonomi yang telah berkembang pada hari ini. Jika berlaku perang atau bencana, sains moden akan dengan cepat membantu dunia membina semula sistem ini dalam masa yang singkat.

Namun saya berfikiran, dari sudut falsafah, Fukuyama seperti melawan hujahnya sendiri, diakhir buku ini Fukuyama memberi satu paradoks yang meruntuhkan sendiri konsep beliau. Fukuyama meminjam dari Hegel dan Kojeve bahawa kelahiran kontrak sosial manusia adalah dari pertarungan yang disebut "battle for pure prestige" dimana akhirnya manusia terbahagi kepada kelas pemerintah dan diperintah. Namun apabila struktur sosial ini berevolusi, manusia sampai kepada titik demokrasi liberal dimana semua manusia dianggap sama, satu struktur sosial yang egalitarian. Keadaan ini menyebabkan manusia bosan dengan kehidupan biasa menyebabkan mereka memulakan semula pertarungan. Ini merupakan paradoks pemikiran Fukuyama, disatu perenggan dia menolak konsep pengulangan sejarah, di perenggan yang lain dia menceritakan bagaimana konsep beliau boleh menyebabkan sejarah berulang.

Menyerang Haiwan Ekonomi dan Teori Modernisasi

Bagi Fukuyama, Teori Modernisasi tidak dapat menerangkan sepenuhnya perkembangan sejarah. Asas teori ini adalah dengan menganggap manusia sebagai economic animal, haiwan ekonomi yang hidup bermotifkan nafsu keinginan dan juga rasionaliti. Jika teori ini benar, dan manusia sememangnya secara semulajadi merupakan haiwan ekonomi, maka seharusnya masyarakat yang berlainan budaya berevolusi dengan bentuk yang sama. Tetapi kita melihat setiap masyarakat berubah dalam bentuk dan keadaan yang berbeza.

Oleh itu teori ini bagi beliau mempunyai limitasi, dan tidak dapat menerangkan secara penuh proses sejarah. Sejarah merakamkan pelbagai peristiwa yang tidak rasional seperti peperangan, hal ini bercanggah dengan teori yang mengatakan manusia sebagai makhluk yang sentiasa membuat keputusan secara rasional. Walaupun setiap negara menempuh jalan yang berbeza untuk mencapai kemodenan, Fukuyama berhujah bahawa apabila mereka sudah sampai ke destinasi, iaitu kemodenan, mereka mempunyai persamaan yang besar, iaitu berbentuk liberal demokrasi dengan sistem ekonomi kapitalis.

Falsafah Perkembangan Sejarah

Untuk menjawab persoalan apa yang menjadi enjin yang menggerakkan sejarah, Fukuyama kembali kepada persoalan asas dalam falsafah perkembangan sejarah. Beliau kembali semula kepada Hegel yang berpandangan motor yang menggerakkan sejarah bukan pengetahuan sains moden atau perkembangan kemahuan manusia, tetapi sifat asas manusia yang berkehendakkan akan pengiktirafan "the struggle for recognition"

Perkembangan ini bersifat dialektik, dari sudut falsafah, untuk kita menentukan sama ada demokrasi liberal merupakan sistem akhir, kita perlu meneliti sama ada dalam proses dialektik ini, adakah sistem ini mempunyai percanggahan, yang menyebabkan ia gagal dan diganti dengan sistem baru yang lebih sophisticated. Percanggahan falsafah ini perlu dibezakan dengan "masalah-masalah" yang wujud dalam semua sistem seperti  inflasi, jenayah atau masalah dadah, sebaliknya percanggahan adalah satu masalah yang tidak boleh diselesaikan dalam sistem secara dalaman yang menyebabkan ia runtuh sendiri. Contohnya menurut Marx, keadaan kaum buruh yang terus ditindas dalam sistem kapitalis merupakan "percanggahan" yang melahirkan revolusi. Jika dari suduh falsafah, manusia telah benar-benar menganggap bahawa sistem demokrasi liberal sebagai sistem yang memuaskan dan dapat menyelesaikan sifat asas manusia yang berkehendakkan pengiktirafan, maka ia boleh dikatakan sebagai sistem akhir.

Bagi Fukuyama, dialektik non-materialist Hegel lebih tepat dalam menggambarkan apa yang memotivasikan manusia dalam perkembangan sejarah, baginya dialektik materalis Marx tidak menggambarkan keseluruhan kehendak manusia. Beliau memberi contoh Sepanyol, Korea Selatan, Taiwan yang semuanya mengecapi kemakmuran dari segi kekayaan material. Tetapi ini tetap tidak memuaskan hati mereka selagi mereka tidak diiktiraf dengan kebebasan, maka kita dapat fahami revolusi gerakan liberalisasi dunia hari ini berlaku bukanlah dalam sudut pandang ekonomi atau material sahaja.

Untuk memahami pergelutan untuk pengiktirafan ini, kita perlu dahulu melihat sifat asas manusia. Iaitu manusia sebagai manusia, dan ditanggalkan identiti lain yang merupakan produk dari persekitaran mereka seperti seseorang itu merupakan warga negara Malaysia, atau seorang beragama Buddha. Ini adalah konsep manusia pertama, manusia pertama itu bukanlah manusia pertama dalam sejarah, sebaliknya manusia yang telah ditanggalkan semua sifat-sifat lain yang merupakan produk dari masyarakat sekelilingnya. Bagi Hegel manusia itu tidak mempunyai sifat asas, manusialah yang mencipta sifat-sifatnya sendiri, dan bagi Hegel manusia itu berbeza dengan haiwan, manusia juga sama seperti haiwan dalam kehendak-kehendak fizikal mereka seperti makan, kehendak seksual, kehendak untuk terus hidup. Tetapi manusia punya satu kehendak yang berbeza, manusia mahu kehendak manusia lain, satu perkara yang tidak material. Ini tidak berlaku dalam alam haiwan, tiada lembu yang mahu diiktiraf sebagai lembu paling handsome atau cantik.

Kehendak yang tidak material ini bagi ahli falsafah lain seperti Hobbes merupakan sumber peperangan dan kesengsaraan manusia, disebabkan manusia ingin pengiktirafan, mereka bertarung dan berlawan untuk perkara yang tidak masuk akal seperti pingat dan bendera. Apabila manusia bebas tidak punya penguasa, mereka akan bertarung sesama sendiri menimbulkan anarki, penyelesaian kepada anarki ini adalah dengan menubuhkan satu bentuk kerajaan, dimana manusia bersetuju akan satu kontrak sosial dimana kerajaan menjaga hak mereka untuk hidup, dalam masa yang sama mereka bersetuju untuk menyerahkan hak-hak mereka dibawah satu undang-undang.

Dalam falsafah Hobbes, hak untuk hidup merupakan hak fundamental. Lebih dari itu, kerajaan liberal tidak mempunyai apa-apa usaha untuk mempromosi apa-apa bentuk cara hidup, dalah hal ini kerajaan bersifat neutral. Namun keadaan ini melahirkan masyarakat bourgeois yang pentingkan diri dan ini tidak bertentangan dengan falsafah Hobbes, mengapa mahu bersusah payah menolong orang lain jika hak kita hanya untuk kelansungan dan keselesaan hidup individu? Falsafah ini juga sukar menjustifikasikan kenapa rakyat perlu menyertai tentera dan mati untuk negaranya, lebih baik dia melarikan diri bersama keluarganya kerana nyawa adalah yang paling utama. (160)

Untuk manusia berkorban nyawa untuk sebuah bendera memerlukan falsafah yang lebih besar dari falsafah Hobbes, hal ini ada pada falsafah Hegel. Menurut Fukuyama, apa yang disebut Hegel sebagai "the struggle for recognition" itu merupakan satu konsep yang lebih klasik dari Hegel, ia boleh disamakan dengan apa yang dipanggil thymos oleh Plato.

Dalam memahami falsafah perkembangan sejarah, Fukuyama turut terpaksa menyerang sekolah fahaman politik realism, sekolah yang diasaskan oleh Nicollo Machiavelli. Realism atau realpolitik atau power politik menganggap bahawa sifat manusia yang suka berperang dan berkonflik, bersifat imperial dan menjajah, merupakan sifat manusia yang tidak dapat diubah. Machiavelli menerapkan strategi bertindak mengikut keadaan realiti, bukan anggapan yang dibatasi moral. Bagi Fukuyama, fahaman ini silap kerana hakikatnya semua aspek kehidupan manusia berubah dan berevolusi, ini termasuk agama, keluarga, ekonomi, dan politik juga tidak terkecuali. Bagi beliau politik tidak statik seperti yang difahami mazhab realism. (246)

Antara perbahasan falsafah lain yang saya kira sangat menarik adalah pertentangan antara idea kebebasan dan hak sama rata, yang mana kedua-duanya tidak boleh wujud secara mutlak tanpa membataskan antara satu sama lain. Jika kebebasan penuh diberi dalam mengumpul dan memiliki harta, ia akan melahirkan masyarakat dengan jurang kekayaan yang sangat besar. Manakala jika kita mahukan kesaksamaan dalam pembahagian kekayaan kita perlu membataskan kebebasan memiliki harta.

Hak sama rata juga sebenarnya merupakan satu yang mustahil dicapai. Mungkin perkara yang membataskan kesamarataan dari sudut undang-undang, ekonomi, dan budaya boleh diperbaiki. Tetapi ada unsur-unsur semula jadi yang mejadikan individu berbeza, tidak semua manusia boleh bermain piano, atau menjadi saintis fizik memenangi hadiah nobel, ada yang dilahirkan kacak, ada yang dilahirkan cacat. Oleh itu ketidaksamaan itu tetap akan wujud, meski kita berupaya mengatasinya, begitu juga kebebasan mutlak, ia tidak akan dicapai. (290)

Saya ingat perbincangan saya dengan Francis Wolf, beliau berkata bahawa sistem kapitalis hari ini telah banyak berubah, malah banyak perkara dalam sistem kapitalis hari ini diadaptasi oleh idea-idea sosialis. Perniagaan tidak bebas tetapi dibatasi peraturan, setiap negara memberi bantuan sosial pada rakyat walaupun dengan kadar berbeza, dan hampir semua tidak memberi pemilikan harta penuh, kekayaan dicukai dan diagih pada rakyat.

Kelahiran Penguasa-Hamba

Pertarungan pertama antara manusia dalam mencari pengiktirafan melahirkan dua golongan. Satu golongan menjadi penguasa, mereka yang sanggup menggadai nyawa mereka sendiri, mengatasi kehendak biologi mereka untuk hidup, mereka mendapat pengiktirafan. Yang kedua adalah golongan hamba, mereka mengutamakan nyawa mereka seperti yang dinasihatkan oleh Hobbes, mereka sanggup menggadai pengiktirafan dari mengalami kematian. Namun pengiktirafan penguasa dari hamba tidak begitu memuaskan, kerana hamba bukanlah manusia yang sempurna secara sosial seperti manusia lain. Kita akan merasa lebih bangga jika diiktiraf oleh orang yang lebih tinggi status sosial berbanding diiktiraf hamba. Penguasa juga menjadi manusia statik dan tidak bekerja.

Oleh itu sistem penguasa-hamba ini tidak stabil dan punya percanggahan. Penguasa merasakan dia diiktiraf oleh manusia yang bukan benar-benar manusia, sedang hamba tidak merasakan mereka diiktiraf sebagai manusia. Oleh itu pengiktirafan universal yang diberikan dalam sistem liberal demokrasi menyelesaikan dilemma ini menurut Fukuyama, menurut beliau liberal menurut Hobbes adalah kebebasan mengejar kepentingan diri yang rasional, manakala bagi Hegel adalah kebebasan mengejar pengiktirafan yang rasional. Perkara penting yang diberikan oleh demokrasi liberal adalah pengiktirafan kepada kebebasan manusia dan pegiktirafan kepada harga diri manusia.

Demokrasi Liberal dan Ekonomi Liberal

Kajian berkenaan dengan kaitan demokrasi dan kebolehupayaan ekonomi merupakan tajuk kajian yang terkenal. Antaranya kajian yang dibentangkan oleh Daron Acemoglu dan James A. Robinson dalam buku mereka yang terkenal Why Nations Fail. Acemoglu dan Robinson berpandangan sistem demokrasi dengan institusi yang kuat akan melahirkan ekonomi yang mapan.

Bagi Fukuyama "no economic rationale for democracy" (205) atau dalam kata lain demokrasi bukan lahir dari ekonomi. Malah politik bersistem demokrasi merupakan proses yang melambatkan perkembangan ekonomi. Pemilihan sistem demokrasi sebaliknya dilakukan bersendirian dalam usaha manusia mencari pengiktirafan. Tetapi menurut Fukuyama ekonomi boleh menyebabkan pemilihan sistem demokrasi lebih digemari. Pertama kerana perkembangan ekonomi akan menaiktaraf sistem pendidikan dan golongan hamba akan lebih terdidik akan konsep penguasa-hamba seterusnya mahu merubah keadaan mereka. Yang kedua adalah perkembangan ekonomi meratakan status sosial manusia, dengan sistem yang lebih egalitarian ekonomi dapat berkembang dengan lebih efisien.

Walaubagaimanapun, Fukuyama tidak dapat lari dari paradoks, walaupun ekonomi tidak merasionalisasikan sistem demokrasi, beliau berpendapat kepesatan industri mempunyai korelasi yang kuat dalam mempertahankan kebebasan masyarakat. Beliau memetik idea bapa kapitalis moden, Adam Smith yang mengatakan bahawa perbezaan kekayaan antara negara bukanlah disebabkan demokrasi, tetapi disebabkan polisi kerajaan yang baik dan buruk. Jika perbezaan polisi dibuang, setiap negara akan mempunyai pertumbuhan ekonomi yang hampir sama. (223)

Antara paradoks Fukuyama yang lain adalah usaha beliau untuk membuktikan bahawa sistem kapitalis perlu dibebaskan dari rigidity, syarikat perlu diberi kebebasan untuk membuang pekerja bagi menjadikan sistem mereka lebih efisien. Namun beliau sendiri melawan naratifnya sendiri dengan membawakan kesungguhan orang-orang Jepun bekerja, mereka bekerja kerana merasa bangga dengan kerja mereka, malah mereka bekerja untuk menjayakan organisasi bukan untuk manfaat sementara seperti gaji. Banyak syarikat Jepun memberi pekerjaan sepanjang hayat, yang jelas berbeza dengan konsep ekonomi liberal Eropah, ia adalah economic nationalism, dan ia tetap berjaya membangun ekonomi yang pesat. Konsep ini menjadi antithesis kepada naratif bahawa jaminan pekerjaan akan menjadikan manusia berasa selamat dan malas bekerja. (232) Masyarakat Jepun, dan kebanyakan masyarakat Asia mengikut Fukuyama sering menganggap mereka merupakan satu entiti yang sama, mereka mengutamakan masyarakat berbanding individu. Konsep individualism Barat sering dianggap asing, kebaikan adalah apa yang baik untuk masyarakat bukan individu.

Rakyat dan Kerajaan

Dalam hal perbezaan antara rakyat dan kerajaan, saya dapati idea Fukuyama mempunyai persamaan dengan idea sejarawan legenda Howard Zinn. Dalam tulisan monumental Zinn A People's History of the United States, Zinn mengungkapkan berkenaan apa yang dikatakan sebagai national interest yang sering digunakan oleh ahli politik untuk mendapat sokongan. Apabila disebut kebaikan nasional, Zinn menyuruh kita bertanya, kebaikan siapa? Hal ini kerana kerajaan sering kali mempunyai kepentingan yang berbeza dari rakyat.

Fukuyama mendalamkan perbahasan ini dengan falsafah. Mengapa sistem demokrasi tidak merebak dan menjadi universal? Fukuyama menjawab soalan ini dengan membentangkan percanggahan falsafah antara rakyat dan kerajaan. Kerajaan adalah objek politik yang dicipta manusia, sedangkan rakyat adalah manusia yang sering kali bersatu atas kesamaan kepercayaan, tentang idea yang sama berkenaan apa itu kebaikan dan kejahatan. Kepercayaan ini datang dari budaya dan tradisi yang berbeza di tempat yang berbeza. "Every people speaks its language of good and evil" kata Nietzsche.

Oleh itu persoalaan berkenaan dengan nilai kebebasan, hak sama rata, merupakan perkara yang dinilai dari neraca budaya bukan teori sains. Untuk sistem demokrasi liberal berfungsi, ia perlu mengharmonikan hubungan antara rakyat dan negara, jika ia bertindak dengan memaksa ia mungkin mencipta rasa tidak selesa dalam kalangan rakyat, kerajaan mungkin akan berperang dengan rakyat seperti yang kita lihat hari ini di Syria, atau pada masa lalu di Rusia. Revolusi akan tercetus.(213)

Namun faktor budaya sahaja tidak cukup untuk menerangkan sama ada sesuatu masyarakat itu akan cenderung untuk memilih sistem demokrasi. Fukuyama memberi contoh negara-negara yang tidak mempunyai "pra syarat" dari sudut budaya untuk mencapai demokrasi, namun tetap menuju ke arah demokrasi. Contohnya India yang tidak kaya juga tidak mencapai taraf negara industri, namun demokrasi boleh dikatakan stabil di India. Begitu juga negara yang telah lama ditekan dibawah rejim totalitarian dan tidak mempunyai gerakan sivil seperti Rusia, ia juga bergerak kearah demokrasi selepas jatuhnya blok komunis. Banyak lagi negara-negara yang tidak punya tradisi demokrasi seperti di Barat namun tetap memeluk demokrasi. (221)

Dalam membincangkan konsep kuasa, Fukuyama berpendapat kuasa pada zaman ini bukan lagi dinilai melali kekuatan ketenteraan, sejarah memperlihatkan empayar besar melalui proses pengecilan seperti yang berlaku di Britain dan Turki, tetapi ini tidak bermaksud mereka tidak lagi punya kuasa. Jika teori bahasa setiap negara akan sentiasa memaksimumkan kuasa mereka, pasti negara-negara ini masih mengembangkan kuasa mereka, cuma melalui cara berbeza, bagi Fukuyama cara tersebut adalah penguasaan ekonomi. Malah negara-negara hari ini sanggup menoong jiran mereka kerana mereka sedar ekonomi mereka saling berkait, dan kekuasaan ekonomi juga diterjemah sebagai legitimasi domestik, dengan kestabilan ekonomi rakyat lebih percaya akan negara. (257)

American Exceptionalism

Naskah ini bagi saya turut mempunyai anasir-anasir American Exceptionalism, terutamanya apabila Fukuyama meminjam idea-idea dari salah seorang arkitek polisi imperial Amerika, Henry Kissinger. Disebalik idea kebebasan, iaitu kebebasan populasi di negara lain memilih corak pemerintahan mereka, Fukuyama menyatakan bahawa Amerika mempunyai tanggungjawab "menyebarkan demokrasi". (280) Idea ini mungkin kedengaran seperti baik dan rasional, tapi dari sudut praktikal ia menjadi justifikasi perang dan pembunuhan, kita melihat perkara ini berulang kali, kita melihatnya di Vietnam, Afghanistan, Iraq dan lain-lain negara yang dicampur tangan oleh Amerika.

Manusia Terakhir

Perbahasan moral memerlukan kita untuk melakukan klasifikasikan yang baik dan yang buruk, ini mungkin boleh dilihat sebagai bertentangan dengan prinsip toleransi. Oleh itu "manusia terakhir" di hujung sejarah lebih mengutamakan perbahasan berkenaan kelangsungan dan kesihatan diri, kerana perkara ini tidak kontroversial, mereka lebih selesa mengkritik cara hidup seperti tabiat merokok dari mengkritik kepercayaan manusia lain. Fukuyama menyatakan perkara ini menyerupai manusia pertama Hegel dalam battle of pure prestige yang mengutamakan kehidupan dan rela menjadi hamba. Disini Fukuyama seolah-olah memusnahkan sendiri hujahnya mengenai pengulangan sejarah kerana manusia akhir kembali menyerupai manusia pertama. Manusia terakhir yang hidup di hujung sejarah juga bagi Fukuyama lebih tertarik dengan idea-idea relativism kerana proses sejarah telah menyingkap sifat sebenar kekuasaan dan nilai seperti ketamadunan, agama, etika, moral, kerana mereka telah sedar bahawa ia semua adalah produk situasi tempat dan masa, bukan sesuatu yang bersifat tetap. (306)

Tilikan Fukuyama berkenaan dengan pengakhiran sejarah juga membuat saya ketawa kecil, kerana mungkin sukar diterima akal saya, bagi beliau diakhir sejarah tiada lagi peperangan dan revolusi berdarah, tiada lagi kesenian. Juga tiada falsafah baru kerana falsafah telah sampai ke penghujung proses dialektik Hegel dan mencapai taraf "kebenaran". Melihat keadaan dunia hari ini, kita melihat negara-negara demokrasi liberal-lah antara yang paling bersemangat berperang di negara lain, Amerika, British, Perancis, antara yang terlibat dan campur tangan dengan konflik di Iraq, Afghanistan, Libya, Syria pada hari ini bertentangan dengan tilikan Fukuyama. Dalam soal berakhirnya seni dan falsafah, saya merasakan beliau memandang rendah kebolehan manusia untuk berimaginasi dan berfikir. (311)

Bagi Fukuyama, manusia terakhir masih belum berjaya menyelesaikan "percanggahan" dalam idea liberal demokrasi, percanggahan ini dapat difahami dari kritik-kritik dari Nietzsche tentang bagaimana manusia mampu meletakkan satu quantum nilai pada sesuatu objek dan juga orang lain. Demokrasi liberal menjadikan manusia sama antara satu sama lain, tidak kira dimana juga kita pergi, kesaksamaan ini menjadikan manusia bukan lagi mengabdikan diri kepada mana-mana penguasa tetapi mengabdikan diri kepada aktiviti ekonomi, kepada pengeluaran barangan dan penggunaan barangan. Kepesatan ekonomi menyebabkan peperangan menjadi sesuatu yang tidak diingini. Tetapi sifat manusia itu mahukan cabaran, hidup sebagai hamba tanpa penguasa dirasakan bosan, terlalu biasa dan tidak mencabar. Manusia sentiasa mahukan "idea" untuk dijadikan panduan hidup, yang mana mereka sanggup mati untuknya. Ini adalah "percanggahan" yang belum dapat diselesaikan oleh sistem demokrasi liberal. (314)

Antara kelemahan lain dalam sistem demokrasi menurut Fukuyama adalah sistem yang mengutamakan suara popular itu sendiri, suara popular tidak semestinya baik, ia boleh jadi konservatif atau progresif, terdidik atau tidak. Kesannya, pemimpin dalam demokrasi liberal moden jarang memimpin, sebaliknya mereka sekadar mengurus mood dan sentimen rakyat, jika mereka ingin memaksa sesuatu polisi, dia mungkin terikat dengan pelbagai birokrasi check and balance yang mengurangkan kekuasaannya untuk memimpin. (317)

Selain itu, teori demokrasi liberal juga sukar untuk melahirkan konsep "pengorbanan", demokrasi liberal dikatakan sudah mencapai martabat rasonaliti yang lebih tinggi, sedangkan semangat kecintaan kepada negara adalah berasaskan perkara yang tidak rasional. Dalam teori liberal, menjaga kelangsungan kehidupan adalah perkara yang paling utama, negara wujud bagi manusia meneruskan kehidupan bukan sebaliknya. Ekonomi liberal juga menjadikan manusia tidak lagi hidup dalam komuniti yang erat, sebaliknya sistem ekonomi memerlukan tenaga kerja yang fleksibel, boleh berpindah randah, menjadikan individu seperti atom dan terpisah mengikut keperluan ekonomi. Fukuyama mengatakan bahawa komuniti yang mempunyai "bahasa yang sama tentang apa yang dikatakan baik dan buruk" akan lebih erat, sepertimana yang kita lihat di Asia, namun nilai ini akan bertentangan dengan idea demokrasi liberal. (325)

Manusia terakhir pada Fukuyama boleh menjadi seperti dua keadaan, menjadi manusia yang pentingkan diri dan hanya mengejar kesenangan hidup atau kembali semula kepada perlawanan battle of pure prestige dengan persenjataan moden. (328) Dalam hal ini pembaca akan tertanya-tanya apa gunanya perbahasan beliau tentang pergerakan sejarah ke satu tujuan, penolakan beliau kepada pengulangan sejarah, sekiranya falsafah manusia terakhir beliau akhirnya kembali ke permulaan semula? Ini merupakan kelemahan terbesar yang saya kira ada dalam teori pengakhiran sejarah Fukuyama.

Dalam kata akhir bagi edisi paperback kedua, beliau ada menambah sedikit perihal political Islam, analisis beliau dibuat menggunakan lensa Huntington. Pada beliau penolakan demokrasi di dunia Islam bukan disebabkan Islam tetapi lebih kepada budaya Arab itu sendiri. Penolakan ini berbaur politikal bukan berlandaskan agama. Bagi beliau idea-idea Syed Qutb adalah idea perihal negara dan revolusi, bukan perihal asas-asas agama. 

Kesimpulan

Teori Fukuyama walaupun kedengaran kelakar oleh sebahagian ahli akademik (Edward Said pernah mentertawakannya dalam syarahan beliau), bagi saya mempunyai elemen yang baik untuk difikirkan, walaupun mungkin akhirnya masa akan membuktikan bahawa ia salah, ia tetap mempunyai perbahasan-perbahasan falsafah politik yang sangat meransang pemikiran. Walaubagaimanapun, saya mendapati teorinya mempunyai percanggahan yang serious, terutamanya pada konsep pengulangan sejarah dimana kelihatan seperti Fukuyama berbeza dengan pandangannya sendiri. Buku ini juga mempunyai idea-idea yang dalam, yang akan membuatkan kita merenung, saya sendiri menghabiskan hampir 6 bulan untuk membaca, merenung, menkritik, memahami, dan menghadam apa yang dibicarakan oleh Fukuyama. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan