Selasa, 1 September 2020

Merdeka Talk: Beyond The Meaning of Freedom


Alhamdulillah, semalam diberikan peluang untuk berkongsi sedikit pendapat dan buah fikir dalam satu wacana bersempena dengan Hari Kemerdekaan Negara. Program ini dipengerusikan oleh Saudara Syahmi Ibrahim sebagai moderator dan tuan guru saya Cikgu Azmi Bahari sebagai rakan panel. Disini saya kongsikan sedikit nota saya berkenaan dengan program ini. Untuk rakaman penuh boleh klik disini.

Erti Kemerdekaan & Signifikan Peranan Pemuda Dalam Mencapai Kemerdekaan

Kemerdekaan dari sudut sejarah Malaysia merupakan kebebasan rakyat dalam konteks sebuah negara untuk mentadbir sendiri urusannya, baik urusan domestik atau urusan polisi luar negara. Dari sudut pandang anratabangsa, kita merupakan sebuah negara yang berdaulat, bukan lagi sebuah kawasan yang merupakan koloni empayar British, Jepun atau mana-mana kuasa imperial. Kecintaan kepada kemerdekaan dan kecintaan pada negara ini merupakan sesuatu yang natural dalam diri manusia, dalam Islam disebut sebagai hubbul watan, nabi sendiri cinta akan tempat beliau lahir dan membesar, nabi cinta kepada Mekah, apabila berhijrah nabi berkata “Jika bukan karena aku dikeluarkan oleh kaumku darimu, aku tidak akan meninggalkanmu selamanya”.

Dari sudut Islam kemerdekaan yang sebenar di dunia ini adalah kemerdekaan dari perhambaan sesama manusia, kemerdekaan dari menghambakan diri kepada perkara-perkara material dan bersifat fana, kepada perhambaan kepada Pencipta kita. Ucapan syahadatain itu adalah peristiharan kemerdekaan. Dalam perspektif Islam juga kemerdekaan yang hakiki adalah pembebasan dari api neraka di akhirat nanti, apabila kita mendapat redha Allah.

Permulaan gerakan mahasiswa di Malaysia ini kita boleh jejaki sebelum Perang Dunia Kedua, iaitu pada permulaan abad ke-20, pada masa tersebut Inggeris memperkenalkan institusi pengajian tinggi di Tanah Melayu iaitu Kolej Perubatan King Edward Ke-7 pada 1905 dan Kolej Raffles pada tahun 1929. Kolej ini kemudian digabung menjadi Universiti Malaya pada 1949, pada mulanya semua institusi ini terletak di Singapura. Antara institusi lain di zaman awal yang melahirkan elit intelektual Melayu adalah Kolej Sultan Idris (1922) di Tanjung Malim Perak, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Dari lapisan intelektual ini lahir kesedaran nasionalisme dan mereka mendirikan gerakan politik yang radikal pada ketika itu dinamakan Kesatuan Melayu Muda (KMM).

KMM ini mempunyai pengaruh dari Turki, Young Turk (Turki Muda), antara pengasasnya adalah Ibrahim Yaakob yang belajar di Maktab Perguruan Sultan Idris (hari ini UPSI). KMM punya idea ketika itu adalah menggulingkan British dan bergabung merdeka bersama Indonesia membentuk Melayu Raya. (1)

Idea kebebasan ini merupakan idea yang sama, baik golongan kiri atau kanan, kaum muda atau kaum tua dalam sejarah kemerdekaan. Cuma mereka berbeza tentang bagaimana untuk bebas dan apa bentuk yang ingin dicapai setelah kita bebas, bentuk “nation” atau negara yang hendak kita bina.

Selain dari institusi tempatan, mahasiswa yang belajar di luar negara seperti di Azhar, Mesir juga mempengaruhi gerakan kemerdekaan, mereka membawa pengaruh gerakan Ikhwan Muslimin yang melawan British di Mesir. Apabila mereka pulang, mereka dikenali sebagai Kaum Muda, mereka cuba mereformasikan masyarakat Melayu dengan tulisan dan penerbitan akhbar serta majalah, antaranya Al-Manar, Al-Imam, Neraca, Tunas Melayu, Ikhwan dan Saudara. Ini memberi faham kepada kita tentang peranan mahasiswa dalam menjadi objek merubah perlu melahirkan penulisan-penulisan untuk mengubah masyarakat. Dari gerakan kaum muda ini lahir parti politik Hizbul Muslimin, parti ini ditentang British, pemimpinnya ditangkap, dan akhirnya dibubarkan. Perjuangannya kemudian diteruskan dengan penubuhan Parti Islam Se-Malaysia yang dipimpin oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Desakan memelihara Islam ini akhirnya diterjemahkan selepas pengisytiharan Malaysia, yang menjamin di dalam perlembagaan perkara 3 iaitu “Islam ialah agama bagi Persekutuan”. (2)

Pengiktirafan ini penting dalam menjamin kedudukan Islam di Malaysia. Perkara ini sangat penting kerana Islam boleh wujud dalam bentuk institusi, kita ada Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam, Mufti, bahkan Menteri khusus untuk agama Islam. Jadi sebarang usaha untuk mengubah Malaysia sebagai negara sekular perlu melepasi halangan besar pertama ini.

Dengan Islam wujud dalam bentuk institusi, Islam dapat dipelihara dengan penguatkuasaan dan ada legal standing, ini berbeza dengan negara jiran kita yang mana Islam tidak disebut secara jelas dalam perlembagaan. Indonesia sebagai contoh dalam perlembagaannya iaitu Undang-Undang Dasar 1945 tidak menyebut Islam dengan jelas. Ada frasa “dengan kewajiban menjalankan syariat Islam bagi pemeluk-pemeluknya” dalam preamble asal, tapi kemudiannya dibuang. Di Indonesia ada Majlis Ulama Indonesia (MUI), yang boleh mengeluarkan fatwa (ruling) tetapi tidak legally binding. (3)

Itu, dari sudut sejarahnya, pengorbanan dan usaha anak muda sebelum ini. Tetapi kita hendaklah memahami sejarah dalam usaha berjuang untuk hari ini, sejarah bukan berfungsi sebagai kisah-kisah peristiwa lalu, ia mesti digunakan untuk menyelesaikan masalah hari ini. Jadi golongan mahasiswa lalu telah berjuang menyelesaikan masalah pada zamannya hingga tanah air merdeka dari penjajah. Mahasiswa hari ini perlu memahami masalah hari ini, dan berjuang menyelesaikannya.

Pada pandangan saya secara peribadi, kita dah selesai masalah penjajahan secara fizikal, tetapi apa yang belum selesai adalah pembinaan negara, disini kita ada pelbagai bentuk idea yang saling berlawanan, soal “identiti negara”, apa yang kita maksudkan apabila kita katakan kita adalah rakyat Malaysia. Jadi kemerdekaan itu belum selesai dari sudut pembinaan negara, soal keharmonian masyarakat berbilang kaum, juga soal pembangunan ilmu, ekonomi, pendidikan, juga pembangunan dan peradaban. Ini merupakan sisi-sisi kemerdekaan yang memerlukan perjuangan mahasiswa hari ini.

Apa yang saya sebutkan disini sekadar permukaan sahaja, kerana masa kita yang terhad, jika kita mahu mendalami peranan mahasiswa dan pemuda dalam sejarah kemerdekaan atau seerah Islam kita perlu membaca dengan serious naskah-naskah sejarah yang ada.

Adakah Kita Hari Ini Telah Benar-Benar Merdeka?

Ada satu kata-kata menarik dari ahli falsafah Jean-Jacques Rousseau “manusia dilahirkan merdeka, tapi dimana-mana sahaja dia digari”. (4) Maksudnya tidak ada kebebasan atau kemerdekaan yang mutlak, apa sahaja sistem atau ideologi yang kita pilih ia pasti punya batasan dan kawalan. Sebagai seorang Muslim, kebebasan yang hakiki tidak ada di atas muka bumi ini, tetapi kebebasan hakiki adalah apabila kita kembali pulang bertemu dengan pencipta, bebas dari api neraka dan tergolong dalam orang-orang yang diredhai Allah.

Seperti yang saya sebutkan tadi, kemerdekaan itu belum selesai dari sudut pembinaan negara, soal keharmonian masyarakat berbilang kaum, juga soal pembangunan ilmu, ekonomi, pendidikan, juga pembangunan dan peradaban. Ini merupakan sisi-sisi kemerdekaan yang memerlukan perjuangan mahasiswa hari ini. Jadi saya hendak menggunakan soalan ini bagi menyampaikan pendapat saya berkenaan dengan pembinaan peradaban.

Yang pertama manusia yang berperadaban ini mestilah mempunyai akhlak dan budi pekerti yang baik. Jika dalam teori-teori Barat orang yang berperadaban disebut sebagai “civilized” manakala lawannya adalah “savages” atau “barbarian”. Jika seseorang itu merupakan mahasiswa Islam dia punya tanggunjawab besar dalam membina peradaban masyarakat kita pada hari ini, terutamanya dari sudut akhlak, moral, dan sahsiah. Rasulullah sendiri bersabda bahawa beliau diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia. Jadi masyarakat tidak boleh dikatakan maju atau berperadaban jika dia tidak punya adab yang mulia.

Sebahagian besar akhlak mulia ini adalah hubungan sesama manusia. Akhlak yang baik itu perlu difahami bukan hanya sebagai nilai-nilai moral peribadi, tetapi ia dipancarkan dan dirasai oleh masyarakat. Mahasiswa yang berakhlak perlulah menjadi mahasiswa yang faham akan masalah masyarakat dan menyelesaikan masalah masyarakat. Baik masalah kemiskinan, masalah pekerjaan, kesihatan, masalah pendidikan, masalah sosial, jika akhlak yang baik itu tidak memberi kesan atau sumbangan pada masyarakat kita tidak boleh katakan ia sebagai akhlak yang baik. Jadilah mahasiswa yang syok sendiri, terpisah dari masyarakat dan dunia realiti.

Yang kedua adalah keilmuan dan teknologi. Ini adalah salah satu sudut yang kita belum merdeka. Kita masih banyak bergantung harap kepada negara-negara lain, tamadun Islam masih belum menguasai semula bidang ilmu malah hari ini kita dibelakang sekali. Oleh itu mahasiswa hari ini perlu membina tamadun ilmu negara dan umat Islam amnya. Walaupun negara kita kecil, tidak semestinya kita tidak boleh melahirkan ilmuan-ilmuan yang mempunyai sumbangan besar pada kemanusiaan. Mahasiswa kita perlu mencari ilmu bukan sekadar sebagai tiket untuk masuk ke alam pekerjaan, tetapi sebagai satu platform mereka menyumbang pada masyarakat dan negara.

Yang ketiga adalah solidariti kita pada masyarakat dunia. Walaupun negara kita telah merdeka, masih ada saudara-saudara kita di penjuru dunia yang masih belum merdeka dari penjajahan. Terutamanya saudara kita di Palestin, saudara-saudara Rohingya kita, mahasiswa kita perlu faham bahawa nasionalisme kita bukan nasionalisme sempit tetapi mempunyai semangat persaudaraan yang lebih luas, nasionalisme kita mempunyai semangat Ukhuwwah Islamiyah. Kemerdekaan kita tidak bererti jika masih ada saudara kita yang dijajah, seperti kata-kata pejuang kebebasan Afrika Selatan yang terkenal, Nelson Mandela “We know too well that our freedom is incomplete without the freedom of the Palestinians.” Jadi sebenarnya masih banyak ruang-ruang perjuangan yang boleh diisi oleh mahasiswa hari ini. 

Kesimpulan

Apabila kita berbicara tentang kemerdekaan ini, hendaklah ia kita fahami dalam konteks apa yang kita boleh sumbangkan pada negara ini khasnya, dan pada umat secara amnya. Kemerdekaan seharusnya menjadikan mahasiswa dan pemuda bukan sahaja cakna perihal sejarah kemerdekaan, peristiwa dan tokoh yang ada, tetapi cakna dengan masalah negara hari ini. Apalah gunanya kemerdekaan yang kita kecapi andai negara ini tidak kita bina, bangsanya malas, sistem sosialnya kacau bilau, budaya ilmunya miskin dan peradabannya tidak terbina.

Oleh itu kemerdekaan ini harus memberi kita semangat untuk berusaha, sebagaimana generasi sebelum kita berusaha dan berjuang untuk memerdekakan negara, kita hari ini perlu berjuang untuk membina negara. Membina identitinya, budayanya, keilmuannya hinggalah kepada peradabannya.

Sebagai Muslim juga kita perlu sedar bahawa kemerdekaan kita tidak lengkap selagi ada saudara-saudara kita yang masih dijajah dan dicabuli hak-hak mereka, baik di Palestin, Arakan, Syria atau mana-mana bahagian dunia. Kita belum merdeka selagi semua manusia belum merdeka.

Dan tambahan jika kita adalah mahasiswa muslim, kita perlu fahami bahawa kebebasan yang hakiki itu adalah kebebasan di akhirat dari api neraka Allah. Oleh itu perjuangan kita di dunia perlulah selari dengan syariat Islam, dari segi objektif dan perancanaannya. Kerana hakikatnya kita akan pulang bertemu Allah bukan sebagai satu negara, tetapi sebagai ruh yang membawa hati, dan kita berdoa “hati” yang kita bawa adalah “hati yang sejahtera”, qalbun saleem yang diredhai oleh Allah.

Rujukan:

(1) Maiwan, Mohammad. "Dari kampus ke jalanan: suatu tinjauan atas gerakan mahasiswa di malaysia." Jurnal Ilmiah Mimbar Demokrasi 13.1 (2013): 13-29.

(2) Sulaiman, Mashitah. "Islam dan transformasi sosial masyarakat Melayu Malaysia: Suatu kajian eksploratori." Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR. 2013.

(3) Syed Ahmad Fathi. “Diskusi UniSHAMS:Islam liberal, salahkah?” Meniti Jambatan Masa, 16 Mac 2019.

(4) Jacques, Rousseau Jean. "Social Contract." (1968).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan