Selasa, 29 Jun 2021

Dipenjara Abah


Entah hari ini hari apa, tarikh yang ke berapa. Semuanya begitu samar, mungkin kerana masa yang dikatakan sebagai relatif oleh Einstein itu tidak dapat lagi diukur apabila kita dipenjarakan. Begitulah apa yang aku rasakan hari ini, ketika kita bersama-sama mengerumuni ruang penjara yang disediakan Abah. Dari janji asal supaya "just stay at home" selama dua minggu, kini kita sudah dipenjarakan memasuki tahun yang kedua. Dengan pengagihan vaksin yang lembab, mungkin kita akan dipenjarakan lagi pada tahun hadapan.

Tulisan malam ini bukanlah satira politik, bukan juga omelan perihal takdir. Perenggan pertama itu sekadar latar belakang keadaan semasa. Untuk menangkap mood negara pada hari ini. Tulisan malam ini sekadar catatan malam sunyi, setelah lama tidak menulis dari hati. Menulis dari minda ada kalanya memberi kepuasan, namun setelah beberapa ketika ia terasa kering, sekadar fakta dan data, tiada jiwa. Maka malam ini jari jemari dibiarkan bebas berdansa di papan kekunci, mencurah sedikit lebihan emosi yang telah sekian lama bertakung di hati. Dansa jemari ini juga sebagai introspeksi diri, setelah sekian lama diri hanyut dibawa sungai zaman.

Manusia itu memang dilahirkan lemah. Kita dimasukkan ke dalam sebuah bekas, bekas yang merupakan objek biologi. Ada bahagian dari objek ini yang boleh kita kawal, seperti pergerakan tangan, kebanyakannya berfungsi secara automatik, tanpa kawalan kita seperti kelajuan peredaran darah atau bilangan bulu roma yang perlu ditumbuhkan di tangan. Bekas ini sifatnya tidak tahan lama, ia akan bertukar tua, dan ada masanya ia gagal, dan kita tidak mampu mengawal kegagalan itu, maka kita akan meninggalkan bekas ini.

Manusia cuba mengawal pelbagai benda. Masa sebagai contoh, merupakan satu perkara yang bukan objek, malah mungkin juga bukan subjek. Kita mengimaginasikan masa, cuba mengiranya dalam unit saat, minit, jam, hari, minggu, tahun, abad dan seterusnya. Namun hakikatnya tanpa bantuan alat mekanikal, kita sendiri pun tidak tahu berapa lama harusnya kita katakan satu minit itu. Manusia juga cuba mengawal alam, kita membina bumbung, apabila cuaca kering kita membenihkan awan, kita menahan aliran sungai dengan membina empangan, kita membiakkan ayam dan ikan untuk menjamin kelangsungan makanan. Namun sebenarnya tidak ada satu perkara pun yang boleh dikawal oleh manusia. Tiada siapa yang boleh meramal cuaca dengan tepat apatah lagi sejarah. Ahli ekonomi sering meramal bahawa tahun depan ekonomi akan berkembang sebanyak 10 peratus, kemudian kita mengalami kegawatan ekonomi di masa hadapan.

Disebalik kemajuan teknologi, perkembangan data, kelajuan internet, disebalik segala-galanya, disebalik usaha terbaik manusia, disebalik semuanya sebenarnya manusia tidak dapat mengawal apa-apa. Bukan sahaja alam, bahkan bekas yang mengisi diri mereka. Bekas ini mudah sahaja gagal dan rosak, tidak perlu akan ribut, api, atau mara bahaya, cukup dengan sebutir virus mikroskopik yang tidak mampu dilihat oleh kornea mata.

Maka apakah tujuan penulisan bebas malam ini? Berserah pada takdir? Hidup tanpa cuba merancang? Tidak ada. Penulisan ini tidak berhajat untuk memberikan ilmu atau pelajaran. Ia hanya catatan buat fikiran. Tulisan ini tiada inklinasi ideolog atau teolog. Sekadar aksara-aksara bebas yang memenuhi skrin digital. Jika anda punya masa maka silalah baca lagi, jika tidak, seeloknya rehatlah dengan mimpi.

Membelek-belek media sosial hari ini tiada apa lagi yang bisa membangkitkan jiwa. Dahulu aku juga aktif berpatisipasi di sana. Mengutara idea, mematah hujah, berlawan dengan kawan, menulis panjang, namun daya usaha sebegitu sudah tidak ada. Aku tak pasti sama ada ruang itu sudah membosankan diriku, atau mungkin aku sudah tua, tidak tersengat lagi deria dengan slogan-slogan yang ada. Dikotomi ideolog kiri atau kanan juga sudah tidak meransang lagi mindaku, aku merasakan ia perlawanan yang sudah basi, mungkin juga sudah bosan untuk diterokai. Bagiku hari ini, yang penting adalah kebenaran, bukan kiri atau kanan. 

Atau mungkin aku yang sudah ketandusan idea. Sudah tidak punya apa-apa untuk ditawarkan pada dunia. Mungkin juga ini adalah satu fasa, bila mana kita tandus idea, kita perlu belajar mendengar, belajar melihat sahaja pertelingkahan yang ada. Tidak meletak setia di mana-mana. Cukup berada di arena sebagai pelajar, memerhati dan memahami sejarah yang sedang diukir. Belajar dalam diam tanpa cuba memberi solusi atau memperbaiki. Manusia cuba memperbaiki dunia sepanjang sejarahnya, adakah mereka berjaya? Hingga hari ini mereka cuba memperbaikinya. Atau memang dunia itu tidak akan boleh diperbaiki, cuma boleh dihidupi, dengan seribu satu kelemahan dan kekurangannya.

Akhirnya hidupan kopi sudah kering diminum. Maka dengan berakhirnya kopi, berakhirlah dansa jemari ini. Tiba masanya untuk menutup suis alatan elektronik, memadam lampu, memadam minda, menarik selimut, memeluk sayang dan tenggelam dalam pengembaraan mimpi. Esok kita akan bangun semula dalam penjara ini, mencuba dengan apa adanya, apa kudratnya, untuk mengharunginya, tanpa kita sedari lagi apakah nama hari esok. Mungkin "selasa" atau mungkin "satu hari lagi di penjara". Apa pun nama hari esok, biarlah.

Selamat malam dunia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan